Kekal Kajang adalah impian warga Pakatan Rakyat semenjak kosongnya
kerusi Dun N.25 Kajang. Langkah Kajang penggerak mood pilihan raya kecil (PRK) sehingga
tercetusnya keputusan penghakiman yang mengecewakan dan mengundang Dato’ Seri
Wan Azizah (baca: Kak Wan ) menggantikan
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon. Meskipun nilai kesedihan dan rasa
simpati tinggi petugas pilihan raya Pakatan Rakyat mengiringi sepanjang kempen,
namun keyakinan Kekal Kajang melangkah maju tetap berupaya menyaingi
segala-gala perang saraf pasukan kempen Barisan Nasional. Ia telah mengundang
kemenangan selesa Kak Wan meskipun dengan jumlah keluar mengundi menurun dan nilai
majoriti mengecil. Ia suatu kehebatan Langkah Kajang memartabatkan kuasa
permuafakatan rakyat “Selangor Ku” di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Sekali
gus menatijahkan Pakatan Rakyat kekal di Kajang dan mengabsahkan Kak Wan
penerus Langkah Kajang yang dapat menghidupkan legasi Anwar.
Demografi politik
Dun Kajang menyaksikan sebagai Dun dengan
demografi politik pengunci ‘campuran’ dengan 39,278 pemilih berdaftar. Memiliki 16 pusat pengundian semasa PRK––satu
pusat pengundian awal dan 15 pusat daerah mengundi biasa. Sebanyak 38,055 pemilih yang mengundi biasa pada 23
Mac dan 1,197 orang sebagai pengundi awal yang mengundi pada 19 Mac
bersama-sama 26 orang pengundi pos. Sejumlah 17,569 (44.7%) adalah pengundi pada umur
pertengahan (41-60 tahun) dan 14,899 (37.9%)
adalah pengundi muda (21-40 tahun). Selebihnya adalah pengundi warga emas.
Mengikut
komposisi kaumnya, 19,443 (49.5 %) Melayu, 16,004 (40.7
%) Cina dan 3,829 (9.7%) India serta 2 orang sahaja untuk
lain kaum. Begitu pun, enam daripada 15 peti undi adalah konsentrasi pengundi
Cina amat tinggi, iaitu Bandar Kajang (72.7%), Sungai Chua Satu (82.9%), Sungai
Chua Dua (93.1%), Sungai Chua Tiga (96.9%), Sungai Chua Empat (97.5%) dan
Sungai Chua Lima (94.6%).
Menurut
keputusan pilihan raya umum lalu, kesemua peti undi konsentrasi Cina ini adalah
dimenangi Pakatan Rakyat dengan undi popular yang amat selesa. Misalnya, undi
popular untuk Pakatan Rakyat masing-masing di Kajang 72.0 peratus, Sungai Chua
Empat 73.6 peratus dan Sungai Chua Lima 83.4 peratus.
Menurun
keluar mengundi
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan
keluar mengundi bagi PRK Kajang mampu mencapai sehingga 80 peratus (31,172/38,965)
berbanding 88 peratus (34,290/38,965) pada PRU lalu. Apa pun pada PRK kali ini,
realiti keluar mengundi hanya 72 peratus (28,314/39,278), iaitu menurun
sebanyak 16 peratus berbanding PRU lalu. Ini ada kaitannya dengan faktor sikap
sebahagian pengundi yang menganggapkan sebarang keputusan PRK itu tidak akan
membawa kesan kepada kuasa kerajaan Negeri, iaitu tetap kekal di bawah Pakatan
Rakyat. Justeru agak besar penurunan itu dapat dilihat juga di peti undi
majoriti Melayu seperti di Sungai Kantan dan Taman Delima seperti mana berikut:
Dikatakan
juga punca penurunan undi setiap parti itu ada kaitannya dengan faktor calon
dan kaum. Pakatan Rakyat menamakan Wan
Azizah telah berjaya menarik simpati pengundi Melayu, dan Barisan Nasional
menamakan Chew Mei Fun pula atas sentimen kaum Cina demi mengekalkan
kepentingan MCA di Dun Kajang. Sentimen kaum ini memungkinkan tidak dinafikan
ada sebahagian penyokong Umno bertindak sebagai ‘pengundi palsu’ yang tak
mengundi Mei Fun. Kesannya seperti mana berlaku di kedua-dua daerah mengundi
ini, iaitu undi Barisan Nasional telah menurun, malah memberi majoriti kepada
Pakatan Rakyat di Taman Delima. Hal ini dapat dilihat apabila meneliti jumlah undi
diterima semasa PRU dibandingkan PRK; di Sungai Kantan undi diterima
masing-masingnya 1,992 (PRU) dan 1,851 (PRK), dan di Taman Delima pula 1,395
(PRU) dan 1,257 (PRK). Sedangkan di kedua-dua daerah mengundi ini, pengundi
Melayu agak besar––Sungai Kantan (90.3%) dan Taman Delima (75.7%). Jelas di
sini sentimen pengundi Melayu berpihak kepada calon Pakatan Rakyat, kerana
bertambahnya undi untuk Wan Azizah. Realiti ini hampir sama dengan penemuan
survey Ilham Centre yang meneliti peluang Pakatan Rakyat dapat melebarkan
pengaruhnya di kawasan pengundi Melayu, termasuk di Sungai Kantan.
Faktor sosioekonomi
Selain daripada dua faktor yang disebutkan (sikap terhadap kuasa
dan nilai kaum), sebuah portal berita online
ketika menjelang hari mengundi meramal Pakatan Rakyat mencapai kemenangan besar
atas sebab kepercayaan kepada Pakatan Rakyat berdasarkan pelbagai sebab sosioekonomi
dan politik semasa seperti kenaikan harga barang yang sangat menjejaskan
kehidupan rakyat, harga rumah terlalu mahal dan amalan rasuah yang berleluasa
serta gaya hidup pemimpin BN yang dilihat bermewah-mewah. Hal ini, menurut
portal itu, ia dibantu lagi oleh kekuatan peribadi calon Pakatan Rakyat (Wan
Azizah) yang memiliki sifat kewanitaan dan isteri yang tahan diuji. Malah diperkukuhkan
lagi oleh tingginya simpati pengundi kepada Anwar, khasnya membabitkan peristiwa
terbaharu penghakiman (keputusan Mahkamah Persekutuan pada 7 Mac lalu) yang
agak tragis semacam zalim terhadapnya.
Apa pun sepanjang 12 hari perjalanan kempen, darjah sokongan
dilihat meningkat meskipun suasana gerakan kempen yang sederhana ekoran negara
berduka akibat kehilangan pesawat MAS MH 370. Justeru itu, apa yang didakwa
oleh sesetengah penganalisis PRK Kajang adalah benar tatkala menilai sokongan kepada Pakatan Rakyat bertambah menurut
unjuran; pengundi Melayu meningkat daripada 45 kepada 53 peratus, pengundi Cina
di paras 65 peratus, manakala kaum India pula 55 peratus.
Provokasi negatif
Bagaimanapun darjah sokongan tersebut tidak
menjamin jumlah keluar mengundi yang agak tinggi. Ini kerana ada beberapa pihak
pengundi yang tidak selesa dengan perkembangan kempen provokatif sesetengah
pihak, seperti mengaitkan kehilangan pesawat MAS MH 370 sebagai angkara Anwar
dan Langkah Kajang sebagai medan menukar Menteri Besar Selangor.
Tidak kurang pula, provokasi negatif yang
mencetuskan kesesakan lalu lintas di pusat mengundi seperti lakonan baldi tanpa
air, menjaja kangkung dan mengayuh beralaskan karpet serta meneropong, kononnya
ia suatu aksi sindiran dan ini dilihat memualkan yang turut menjejaskan mood
golongan pengundi untuk keluar mengundi. Ini turut berlaku di Sungai Kantan dan
beberapa pusat mengundi lain.
Apa pun, secara umumnya dapat diakui prestasi Pakatan Rakyat di Selangor
pada tempoh PRK Kajang ini masih stabil dan tidak mudah digugat oleh Barisan
Nasional. Justeru keputusan PRK Kajang kali ini jika dibandingkan dengan
prestasi pada PRU lalu (rujuk jadual berikut), ternyata bagi kawasan pilihan
raya ‘campuran’ ia tetap berpihak kepada Pakatan Rakyat.
Hal ini
berlaku apabila Pakatan Rakyat dapat melonjakkan sokongan popular daripada 58
peratus (PRU) kepada 59.6 peratus (PRK). Meskipun secara bandingan, didapati
menurunnya kadar keluar mengundi, namun peratusan undi kepada parti-parti tetap
bertambah daripada PRU 2013 hingga PRK 2014.
Sehubungan itu, Barisan Nasional
seharusnya merasa tergugat dalam mendepani cabaran PRU akan datang. Di samping
riak SPR untuk persempadanan semula bahagian pilihan raya nanti, pastinya keputusan
PRK Kajang boleh dijadikan petunjuk yang boleh menyusahkan teori gerrymandering agar berpihak kepada Barisan
Nasional. Ia sesuatu yang unik dalam iklim politik Malaysia menjelang PRU ke-14
nanti.
No comments:
Post a Comment