Sempena genapnya
setahun (pada 6 Mei 2014) kepimpinan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob memimpin Kelantan
pasca Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah berjaya melancarkan Pelan
Strategik Merakyatkan Membangun Bersama Islam menuju Keberkatan, Kemakmuran dan
Kebajikan. Suatu pelan yang lahir daripada Bengkel Merakyatkan
Membangun Bersama Islam pada
23-24 April 2014 yang lalu. Apa pun pelan ini merupakan penerusan daripada 23 tahun
pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam yang telah diperkukuhkan dengan misi
menuju Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan semasa pilihan raya umum yang lalu.
Misi ini merupakan kesinambungan daripada nilai-nilai kejayaan yang sebelum ini
diungkapkan sebagai Kelantan Menerajui Perubahan bagi seluruh warga Kelantan.
Sehingga kini
terdapat enam dasar utama Kerajaan Negeri Kelantan yang berpaksikan Membangun
Bersama Islam: 1) Dasar Pentadbiran
Kerajaan berteraskan Syari’at; 2) Dasar Perundangan dan Kehakiman; 3) Dasar
Kebudayaan dan Kesenian; 4) Dasar
Pembangunan Pendidikan; 5) Dasar Pembangunan Ekonomi, dan 6) Dasar Pembangunan
Sosial.
Keenam-enam dasar
utama ini telah dirangkumkan bagi memenuhi program Merakyatkan Membangun
Bersama Islam. Maka pendekatan program ini adalah berkonsepkan pendidikan,
iaitu melalui lima proses membangunkan modal insan: 1) Pendidikan (education); 2) Pencegahan
(prevention); 3) Penguatkuasaan (enforcement); 4) Pencelahan (intervention);
dan 5) Pemulihan (rehabilitation). Kesemua
konsep pendidikan ini diyakini dapat memenuhi lima aspek keutamaan berteraskan
tuntutan maqasid syariah bagi menjaga dan mengawal kehidupan sejahtera, iaitu
aspek Agama, Akal, Keturunan, Nyawa dan Harta .
Tujuh
fokus
Justeru itu, pendekatan strategik yang diambil bagi
mencapai matlamat misi Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan adalah tujuh fokus
nilai teras Merakyatkan Membangun Bersama Islam: 1) Amalan Kebersihan; 2) Menyempurnakan Solat; 3) Pembangunan
Pendidikan; 4) Menyuburkan Kebudayaan dan Kesenian; 5) Menangani Gejala Sosial;
6) Menerajui Pembangunan Ekonomi; dan 7)
Penyelidikan dan Penilaian.
Fokus pertama ialah meningkatkan amalan kebersihan dengan
objektifnya bagi mewujudkan Kelantan Bersih (Kelantan Go Green), melahirkan masyarakat cakna kebersihan dan amalan
kebersihan sebagai budaya unggul. Tunggaknya adalah bergantung kepada
keberkesanan fungsi dan operasi pihak berkuasa tempatan (majlis daerah dan
majlis perbandaran).
Memandangkan solat adalah amalan keimanan sewajarnya
fokus kedua yang diberikan keutamaan ialah membudayakan aktiviti solat sebagai
tiang agama. Ia boleh dijayakan menerusi aktiviti yang menggalakkan amalan
solat berjemaah, menyegerakan bersolat seawal waktu walau di mana berada serta
meningkatkan penghayatan dengan syiar-syiar yang membantu orang ramai sentiasa
mengingati solat.
Bergerak dari soal
keimanan, paling popular di kalangan rakyat Kelantan adalah persoalan seni
budaya dan warisan. Oleh itu, bagi misi merakyatkan persoalan ini, fokus ketiga
ialah aspek hiburan yang bercirikan Islam harus dihidup-suburkan agar selari dengan
sikap dan minat warga negeri. Justeru aktiviti membangun dan mengembangkan permainan rakyat, seni warisan
agar serasi dengan budaya rakyat yang beragama, memartabatkan seni budaya sedia ada agar mesra syariah.
Malah
mengambil inisatif ke arah mengkomersilkan
Seni Warisan Kelantan adalah suatu agenda strategik yang menyentuh cita rasa
majoriti rakyat Kelantan.
Demikian pula ke
arah melahirkan budaya hidup yang berkualiti di Kelantan seharusnya dipandu
oleh kualiti pendidikan rakyatnya. Kejayaan selama dua dekad yang lalu
(1990-2000) adalah pendidikan bersepadu Islam-iktisas dan pengajian tahfiz
al-Quran sudah menjadi sebutan di peringkat nasional. Justeru fokus keempat
ialah menjadikan Kelantan sebagai hab pendidikan Islamik dengan memajukan lagi sektor pendidikan sebagai daya tarikan yang turut mampu
menjana ekonomi negeri– Islamic Based
Education (contohnya: Sekolah YIK, MTS, Pondok Moden, KIAS, pusat-pusat kuliah
agama pagi Jumaat selain Medan Ilmu).
Apa pun, nilai dan mutu kehidupan sosial yang beragama
akan rosak sekiranya tahap kerosakan sosialnya tidak dapat dikawal. Melihat
indeks gejala sosial yang serius, maka fokus kelima program merakyatkan ini
adalah kepada usaha melaksanakan program pendidikan dan pemulihan akhlak dan
peribadi bagi menangani gejala sosial. Ia boleh diperkukuhkan lagi dengan
melaksanakan program pendidikan dan pencegahan gejala sosial, menganjurkan program pendidikan untuk memupuk kesedaran kehidupan sosial
yang berbudaya Islamik. Termasuk
juga mengambil langkah pencelahan (intervention) dan disusuli dengan program pemulihan ke atas mangsa
yang terlibat. Berserta dengan usaha menjalankan aktiviti kawalan dan
penguatkuasaan bagi mengatasi gejala sosial di tempat-tempat awam,
Bertolak daripada
indeks sosial, fokus keenam ialah merakyatkan usaha-usaha bersifat
perekonomian. Justeru langkah rasional kepimpinan Ustaz Ahmad adalah melakukan
sistem aturan projek dan aktiviti ekonomi ke arah memaksimumkan pendapatan
negeri. Ini boleh ditumpukan dalam aspek pengurusan dan pemajuan khazanah asli
yang ada (mineral, tanah dan hutan), memaksimakan pendapatan negeri menerusi usaha ‘Bertani Satu Ibadah’ dalam
sektor pertanian, selain usaha yang berterusan bagi melahirkan masyarakat Usahawan Tani dan Nelayan
serta Penternak yang dinamik dan inovatif. Turut diberi tumpuan ialah menambahbaik
program-program memberdayakan produk barangan anjuran agensi kerajaan Negeri
melalui PPWK dan IKS.
Meneruskan fokus
perekonomian ialah sektor pelancongan dengan cara mengembangkan pelancongan bersepadu
sebagai satu industri. Bagi tujuan ini, usaha mempromosi dan mengenalpasti
lokasi dan atau produk pelancongan baru berteraskan Islamik perlu diutamakan (contoh:
Medan Ilmu, kampung tradisi, pusat
pengajian pondok, kekayaan alam seperti sungai, pantai dan tanah tinggi).
Selain menggarapkan produksi pelbagai cenderahati yang mempunyai nilai estatika
Islamik dan keunikan budaya warga negeri dalam pelbagai artifak dan seni
kreatif (contoh: design T-shirt dengan khat jawi dan kesenian batik Kelantan, barangan
dan foto atau replika seperti Air Terjun Gunung Stong, Masjid Beijing dan
sebagainya). Ini sesuai dengan kalendar pelancongan yang sedia ada bagi
merancakkan Kelantan sebagai pusat
membeli-belah waktu cuti umum
yang berkonsepkan bazar rakyat.
Apa pun, penilaian
terhadap prestasi program merakyatkan Membangun Bersama Islam adalah penting –
boleh diukur melalui indeks kejayaan dari semasa ke semasa, maka fokus ketujuh
pelan strategik merakyatkan dasar ini ialah aspek penyelidikan dan penilaian
prestasi. Kajian dan nilaian yang ditumpukan adalah dari aspek komitmen
kepimpinan terutama wakil rakyat dalam memberi kerjasama dan melaksanakan
tanggungjawab ke arah memacu program yang diatur oleh agensi dan pihak
berwajib. Di samping kajian
dan nilaian turut dibuat ke atas jentera
pentadbiran kerajaan negeri di
dalam memberi khidmat kepada rakyat
dan meninjau sama pandangan awam atau kumpulan sasar (komuniti lokal) mengenai
prestasi pentadbiran dan pengurusan kerajaan Negeri dalam melaksanakan agenda projek,
program dan aktiviti yang dirancang.
Semoga pendekatan
baru Negeri Kelantan (merakyat dasar ini) di bawah kepimpinan Menteri Besar
Ustaz Dato’ Ahmad Yakob bakal mendidik rakyatnya kepada penghayatan lebih murni
dan tuntas kepada cara hidup Islamik. Akhirnya ia berjaya mencapai matlamat
dasar Membangun Bersama Islam menuju Keberkatan, kemakmuran dan kebajikan
kepada seluruh warga negerinya.
No comments:
Post a Comment