Pada April ini, menurut sumbernya pihak
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan membincangkan tatacara mengkaji
semula syor-syor menyempadankan [menyempadani] bahagian pilihan raya parlimen
dan negeri. Tatacara itu adalah sesuai dengan peruntukan dalam Jadual Ketiga
Belas yang bersumberkan kuasa Fasal 2 dan fasal-fasal berurutan di bawah
Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Hal ini menjadi tugas rutin SPR setiap lapan tahun (daripada tempoh
kajian semula sebelum ini) dan hendaklah disiapkan dalam tempoh tidak melebihi
dua tahun daripada mula kajian semula dibuat.
Apa yang penting difahami, perbincangan
syor-syor sudah agak terlewat memandangkan tarikh-tarikh proses tatacara kajian
semula menyempadani yang terakhir pada tahun 2003. Berdasarkan tempoh proses tersebut, SPR telah memulakan
kerja awal (menyiarkan pameran notis awal melalui warta) pada 8 Ogos 2002;
siasatan tempatan 1 Oktober hingga 2
Disember 2002; kemudian pameran kedua pada 16 Januari – 15 Februari 2003;
tempoh rayuan pula pada 2 hingga 6 Februari 2003 dan siap proses menerima
rayuan itu pada 10 Mac 2003.
Kajian semula 2003
Oleh itu, tempoh genap lapan tahun selepas siap
proses bagi kajian semula tahun 2003 ialah pada pada 10 Mac 2003 hingga 10 Mac
2011. Ini bermakna pihak SPR sudah pun melakukan tugas-tugas kajian ini sebelum
pilihan raya umum 2013 lagi dan sepatutnya tempoh 10 tahun sebagaimana kehendak
Maka penulisan ini bertujuan meneliti
beberapa cadangan asas untuk pihak PAS dan rakan Pakatan Rakyat mengambil
tanggungjawab mempersiapkan beberapa aspek asas dan prinsip serta teknikal yang
harus dilaksanakan bagi meneliti beberapa syor SPR yang akan dipamerkan untuk
mendapat representasi (kerajaan negeri atau kerajaan tempatan dan orang ramai)
sebegaimana tatacara mengikut Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.
Pengalaman lalu (tahun 2003) pihak Barisan
Nasional telah bersekongkol dengan SPR bagi memantapkan sokongan rakyat melalui
kajian semula ini. Misalnya di negeri dominan Barisan Nasional, Johor
diperuntukkan tambahan 6 kerusi Parlimen baru dan Sabah 5 kerusi, sementara
negeri-negeri lain diberi 1 atau 2 kerusi Parlimen tambahan. Sedangkan di negeri-negeri
undi Barisan Nasional merosot (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis), tidak
ditambah sebarang kerusi Parlimen. Bahkan di Kedah, menyempadani semula bahagian
tanpa tambahan kerusi, sehingga mewujudkan ketidakseimbangan jumlah pengundi
yang amat ketara, terutama kawasan luar bandar dan Barisan Nasional kekal
dominan.
Pakatan
hendaklah sepakat
Memandangkan status demokrasi dan proses
pilihan raya di Malaysia belum lagi berada pada kedudukan terbaik, termasuklah
ada beberapa kelemahan dalam urusan persempadanan bahagian pilihan raya sebelum
ini, maka amat wajar syor-syor kajian semula kali ini diambil perhatian.
Pakatan Rakyat sewajarnya sepakat bagi menghakiskan ruang hegemoni Barisan
Nasional yang selama ini mengekang ruang kepada parti pesaing demi untuk terus
kekal menguasai tampuk pemerintahan.
Sesuai dengan latar belakang rakyat dan pengundi sekarang yang lebih
matang (a matured and informed citizens
and voters), maka sudah tentu ia memerlukan ruang demokrasi (termasuk
urusan sempadan bahagian pilihan raya) yang progresif. Dalam konteks ini, perkembangan
di negara maju seperti di Barat, mereka sedang menikmati satu sistem pelayanan
perkhidmatan awam yang baik dari pihak kerajaan. Satu daripada saluran
pelayanan itu hendaklah ‘kadar perwakilan’ di dalam satu-satu bahagian pilihan
raya hendaklah kompeten dan efektif. Justeru ia penting untuk menyempadani
bahagian pilihan raya itu dengan keluasan, kriteria pembangunan dan jumlah
pemilih yang seimbang dengan upaya khidmat seorang wakil rakyat di bahagian
berkenaan. Maknanya ia seimbang sebagaimana formula yang disyorkan oleh SPR
sendiri (lihat Jadual berikut).
Apa pun persoalan ‘kadar perwakilan’ ini adalah terletak pada SPR yang
akan berurusan dengan Perdana Menteri, sejauh mana hujahnya dapat memastikan
sikap pendemokrasian (untuk melaksana ‘kadar perwakilan’) dipersetujui oleh
Perdana Menteri sendiri. Oleh sebab itu, ruang kajian semula dan syor-syornya
nanti hendaklah dipastikan berlaku penambahbaikan daripada apa yang berlaku
pada tahun 2003 dan sebelumnya. Sebagaimana gesaan Pengerusi SPR (ketika itu),
Tan Sri Haji Ab. Rashid Ab. Rahman (dalam ucaptama Majlis Pelancaran Akademi
Pilihan Raya Malaysia, 8 Januari 2007), “Ke arah penambahbaikan sistem dan
perjalanan pilihan raya Malaysia adalah perlunya dan pentingnya badan
pengurusan pilihan raya seperti SPR senantiasa mendapat kepercayaan awam, tidak
dipersoalkan oleh mana-mana pihak, segala urusannya harus dilihat sebagai
senantiasa adil dan tidak berpihak dan semua pihak yang mengambil bahagian
dalam pilihan raya dapat menjalankan urusan dan aktiviti secara bebas.”
Tambah Ab. Rashid lagi, “Isu-isu berkaitan sistem pilihan raya amat
perlu dilakukan penambahbaikan selepas negara mengharungi 50 tahun proses
demokrasi beriringan dengan proses pembangunan yang pesat, bagi tujuan memenuhi
kehendak awam yang menginginkan amalan-amalan demokrasi dalam pilihan raya di
Malaysia dibangunkan, memperdalamkan dan diperteguhkan sesuai dengan tuntutan
semasa.”
Sehubungan itu, atas rasa tanggungjawab pihak Pakatan Rakyat, sesuai
dengan perkembangan dan tuntutan persempadanan bahagian pilihan raya mencapai
‘kadar perwakilan’ yang standard (seperti kriteria syor SPR sendiri), maka tulisan
ini berpendirian bahawa telah sampai masanya Malaysia yang dijenamakan sebagai kerajaan
‘wasatiyah’ pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak mengambil kira amalan
demokrasi yang juga bersifat ‘wasatiyah’ demi menyuburkan proses patriotisme
dalam pilihan raya akan datang.
Tanggungjawab jamai’i
Bagi pemimpin dan warga kerja PAS, kita hendaklah bersama-sama mengambil
tanggungjawab ini sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW (hadis riwayat Muslim), maksudnya: “Ribat (menjaga perbatasan wilayah Islam dari
serangan musuh-musuh Islam) sehari semalam lebih baik dari pada puasa sunat dan solat sunat
sebulan penuh, dan jika seorang murabit mati ketika sedang
melakukan ribat, maka amal
perbuatannya itu akan terus berpahala, dan ia diberikan rezekinya di syurga
kelak, serta tidak ditanya di dalam kubur (oleh malaikat Munkar dan Nakir)”. Hal ini penting
untuk keterlibatan secara jamai’i untuk memberi respons atas isu dan syor yang
relevan demi mengutuhkan ruang untuk menguasai dan “counter hegemony” terhadap
Barisan Nasional, khususnya di sempadan Melayu-Islam.
Antara isu dan syor relevan yang perlu
dijadikan asas respons ialah dalam enam perkara pokok, iaitu: Pertama, meneliti
objektif persempadanan untuk memastikan semua
warganegara yang layak diberi peluang dan kemudahan untuk melaksanakan
tanggungjawab sebagai pengundi secara sistematik dan teratur bagi pilihan raya yang
bebas, adil dan demokratik; keduanya
sempadan itu mengambil kira fakta kaedah muka bumi, perkembangan ekonomi dan penduduk;
ketiganya kemungkinan ditambah
bilangan kerusi berasaskan keadaan geografi dan topografi kawasan berkenaan,
tahap pembangunan, demografi dan kepadatan penduduk, kemudahan asas yang perlu
seperti jalan raya dan alat komunikasi yang lain, pelbagai prinsip
yang perlu diikuti seperti mana tatacara dalam Jadual Ketiga Belas
Perlembagaan; keempatnya aspek kemampuan
Kerajaan Negeri (khususnya dari segi kemungkinan tambahan kerusi Negeri) untuk
menampung kos yang terlibat ekoran penambahan kerusi negeri; kelimanya penentuan
bilangan pemilih di antara kawasan yang maju dan kawasan yang belum maju atau
di antara kawasan luar bandar dan kawasan bandar dan memastikan SPR mematuhi kriteria faktor kewajaran ‘weightage’
iaitu, bilangan pemilih bagi kawasan luar bandar, pinggir bandar dan bandar
atau bandar raya; keenamnya keadaan
masyarakat di kawasan dalam bahagian pilihan raya berkenaan seperti isu perkauman yang berbilang kaum (homogenous) dan keadaan masyarakat berbilang
kaum yang terpaksa dijelmakan dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang
diwujudkan (sama ada mewujudkan kerusi ‘campuran’ atau ‘majoriti’ sesuatu kaum.
No comments:
Post a Comment