27 May, 2014

PRK Bukit Gelugor: DAP menang BN malu

SAYA mengulas dari perspektif Pakatan Rakyat, tapi penulis kolum The Star (27 Mei 14), Joceline Tan nampaknya agak mesra nak perlekehkan DAP. Ini petikan/keratan yang J. Tan ulas:



INI ulasan SAYA:

Selesai pilihan raya kecil Bukit Gelugor pada 25 Mei lalu, keputusannya seperti yang dijangka, DAP menang selesa. Suatu keputusan bersifat demokratik yang menyaksikan sifat tidak berganjak pengundi DAP (baca: Pakatan Rakyat). Sementara kedudukan BN dilihat semakin tertekan berikutan trend pengundian yang menunjukkan tiada petanda protes pengundi di bumi mutiara timur itu kepada kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Paling mendukacitakan ialah kalangan calon yang bersaing menentang calon DAP, mereka kecundang teruk, termasuk calon dari Parti Cinta Malaysia (PCM) yang kononnya mewakili kumpulan pengundi Cina, serta dua calon Bebas yang mewakili Melayu Pulau Pinang.

Empat penjuru tanpa BN

PRK Bukit Gelugor menyaksikan saingan empat penjuru antara calon DAP anak mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh dan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan serta dua calon Bebas, Mohd Nabi Bux Mohd Abdul Sathar dan Abu Backer Sidek Mohammad Zan.

Pihak BN sepatutnya diwakili MCA, tetapi tidak muncul semata-mata untuk fokuskan kepada isu ‘menentang’ cadangan PAS bagi melaksanakan Undang-undang Jenayah Syariah (Hudud). Sedangkan PAS tidak pun bertanding di situ.

Keputusan PRK itu jelas berpihak kepada DAP. Sementara BN sepatutnya berasa malu kerana tanpa penyertaan mana-mana rakan komponennya, DAP tetap menang bergaya. Pada pilihan raya umum 5 Mei 2013 lalu, DAP melalui calonnya mendiang Karpal Singh memperolehi 55,839 dan Teng Beng Yeam (BN-MCA) meraih 14,061 ketinggalan dengan majoriti berpihak kepada DAP sebanyak 41,778 undi.

Pada PRK kali ini, Ramkarpal Singh (DAP) memperolehi 41, 242 undi dengan majoriti 37,659 mengatasi calon pesaingnya Datuk Huan Cheng Guan (PCM) 3,583, Mohamed Nabi Bux (Bebas) 299, dan Abu Bakar Sidek Mohd Zan (Bebas) 225 undi.

Secara bandingannya, undi DAP merosot daripada 55,839 kepada 41, 242 iaitu sebanyak 14,597 undi dan nilai majoritinya daripada 41,778 kepada 37,659 iaitu merosot sebanyak 4,119 undi.


Apa pun jika bandingan dari segi undi popular, pada PRK kali ini menyaksikan DAP mencapai 89.5 peratus daripada 46,099 yang keluar mengundi. Populariti ini lebih tinggi berbanding PRU lalu, apabila DAP meraih 79.1 peratus daripada 70,554 yang keluar mengundi. Ini membuktikan, tanpa penyertaan BN memang pengundi Cina yang tegar MCA tidak keluar mengundi. Ini kerana kira-kira 14,000 undi diperolehi MCA pada PRU lalu semacam memboikot PRK Bukit Gelugor minggu lalu. Satu sikap tidak demokratik dalam negara yang mengamalkan kaedah pilihan raya bagi memilih pemimpin. Oleh sebab itu, saat setahun selepas pilihan raya atau selepas MCA di bawah kepimpinan baru (sejak Disember 2013 lalu), tiada indikator untuk menilai sejauh mana penerimaan pengundi Pulau Pinang kepada MCA. Sewajarnya dikatakan MCA sebuah parti yang gagal memposisikan peranan dalam arus politik semasa.


SPR pun gagal

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengumumkan keluar mengundi hanya 56.04 peratus pengundi kali ini berbanding PRU-13, 86.30 peratus. Sebanyak 46,099 undi berbanding jumlah keseluruhan 82,283 pemilih berdaftar. Jelas sasaran awal untuk memperolehi 75 peratus pengundi pada PRK kali ini gagal. Kegagalan ini diakui sendiri oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika sidang media di Dewan Sri Pinang pada malam keputusan pengundi bagi PRK Bukit Gelugor.


Kenapakah keluar mengundi merosot (dari 86.30 menjunam kepada 56.04 peratus) sebanyak 30.26 peratus?


Sebabnya tidak lain, paling utama kerana MCA tidak menyertai PRK kali ini, sedangkan kerusi BN bagi Bukit Gelugor adalah kuota MCA. Kehadiran calon Bebas tiada yang mewakili atau boleh dianggap sebagai proksi MCA. Penyertaan calon PCM sekadar membuktikan parti itu wujud di Pulau Pinang dan mewakili kira-kira 10 peratus sahaja daripada jumlah yang keluar mengundi.


Dalam keadaan calon Bebas sekadar untuk melepaskan gian untuk menjadi calon pilihan raya semata-mata. Kedua-duanya gagal merancakkan pengundi untuk mengundi. Kedua-duanya telah hilang wang pertaruhan yang masing-masingnya sebanyak RM10,000 dan menjadi pendapatan kepada kerajaan Malaysia.

Bukti PR stabil

Apa pun, punca kemenangan DAP adalah bukti Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang berada dalam stabil dan prestasi DAP yang mentadbir negeri terbukti pula berjaya di hati rakyat. Justeru keputusan PRK ini adalah indikator cemerlang pentadbiran PR di Pulau Pinang. Walau pun ketika kempen berlangsung, ada usaha pihak BN melalui media elektronik dan cetaknya cuba ‘demoralise’ kerajaan Pulau Pinang dengan isu kronisme dan nepotisme. Sementara pihak televisyen pula secara fokus memaparkan protes penduduk atas khidmat kerajaan Negeri. Apa yang jelas, DAP yang menampilkan anak mediang Karpal sebagai ganti tidak pun menjejaskan reputasi kepimpinan Lim Guan Eng di kerusi Ketua Menteri. Undi tetap menyakinkan kepada DAP.


Walau bagaimanapun penurunan jumlah keluar mengundi, sekali lagi adalah bukti SPR gagal di dalam usaha memobilisasikan pengundi keluar atau balik mengundi. Ia ditambah lagi dengan pemilihan hari mengundi pada hari Ahad yang cukup merehatkan pengundi BN bersama keluarga di rumah atau berpergian.


Begitu juga kempen PCM yang cuba menjadi galang ganti MCA, jelas tidak kemana, apabila hanya meraih simpati sekitar 3,000 pengundi sahaja. Jauh sama sekali bagi kedua-dua calon Bebas yang sengaja dihebohkan sebagai mewakili kelompok Melayu, mereka juga gagal. Tambahan pula wujud senario dan rasa keselesaan pengundi DAP sendiri, tatkala mereka yang bekerja di luar Pulau Pinang dan Lembah Klang tidak bersedia balik kerana sudah yakin dengan kemenangan selesa untuk DAP.

Natijahnya, PRK Bukit Gelugor kali ini telah menyerlahkan kecelaruan BN, khususnya parti MCA yang sudah kalah di Kajang meskipun di bawah kepimpinan Presiden yang baru. Sementara kehadiran PCM sebagai parti ketiga tidak memberi impak kepada sikap dua parti pengundi Pulau Pinang. Begitu pula kehadiran parti Bebas dalam pilihan raya amat tidak relevan, sebagaimana tidak relevannya Datuk Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket Bebas di Pasir Mas dalam ketiadaan BN yang malu berlawan dengan PAS. Ternyata kemenangan DAP di Bukit Gelugor telah menambah nilai menang menyebelahi PR menyambung dari kemenangan di PRK Kajang. Semoga PK Teluk Intan pada 31 Mei nanti pun berpihak kepada PR.

No comments: