08 April, 2011

Pilihan raya Sarawak: kerusi Dayak penentu nasib Pakatan Rakyat

Sejarah pilihan raya negeri Sarawak pada kali ini mencipta rekod tersendiri, apabila berlaku persaingan di semua kerusi Dun. Ini bermakna, semua Dun berlaku penyertaan semua parti untuk bertanding untuk menduduki Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi penggal ke-10. Sekaligus memberi maksud, pilihan raya kali ini amat mencabar, terutama bagi Barisan Nasional berikutan setiap kali pilihan raya sebelum ini, sentiasa ada kerusi Dun yang menyaksikan Barisan Nasional menang tidak bertanding.

Parti-parti bertanding

Demikian pula, pilihan raya penggal ke-10 Negeri Sarawak ini turut menyaksikan pertembungan langsung parti penyandang majoriti dengan parti oposisi. Parti panyandang tidak lain ialah gabungan Barisan Nasional yang dianggotai oleh empat parti, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sarawak United People Party (SUPP), Sarawak People Democratic Party (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS). Sementara gandingan parti oposisi mengandungi tiga pihak, iaitu kerjasama Pakatan Rakyat, parti-parti sendirian dan pihak bebas. Kerjasama Pakatan Rakyat kali ini mengandungi tiga parti, iaitu Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Sementara parti-parti sendirian pula adalah Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Parti Cinta Malaysia (PCM). Pihak bebas pula adalah individu-individu yang berminat untuk bertanding atas kepentingan tersendiri di luar daripada persetujuan mana-mana parti atau kerjasama politik.

Justeru, pilihan raya Sarawak kali ini menyaksikan penyertaan parti-parti bertanding mengikut bilangan kerusi persetujuan dan atau mengikut minat masing-masing parti. Bagi Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, telah berlaku agihan bilangan kerusi setiap mengikut persetujuan.

Agihan kerusi berasaskan persetujuan di bawah Barisan Nasional menyaksikan PBB bertanding di 35 Dun, SUPP 19 Dun, PRS 9 Dun dan SPDP 8 Dun. Sementara bagi Pakatan Rakyat masing-masingnya bersetuju bertanding mencabar parti-parti Barisan Nasional, iaitu parti KeADILan di 49 Dun, DAP 15 Dun dan PAS lima Dun. Pakatan Rakuyat tidak menamakan mana-mana calon partinya hanya di dua Dun, iaitu di N.38 Jemoreng dan N.41 Pakan.

Sementara parti-parti sendirian melibatkan dua parti yang tidak sefahaman dengan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Parti tersebut ialah SNAP dan PCM. SNAP telah bertanding di 26 Dun yang bertembung dengan dua pihak, iaitu di 25 Dun melibatkan Barisan Nasional dan dan Pakatan Rakyat (KeADILan). Sementara satu Dun lagi, iaitu di N.41 Pakan hanya bertembung dengan Barisan Nasional.

PCM pula adalah parti baru yang hanya mendapat kelulusan simbol daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia pada saat akhir menjelang penamaan calon pilihan raya Sarawak. Justeru PCM hanya bertanding di enam Dun yang menyaksikan parti ketiga mencabar Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Bebas penghalang Barisan Nasional

Bagi pihak bebas, terdapat 41 orang calon menawar diri bertanding di 34 Dun. Satu Dun menyaksikan tiga calon bebas, iaitu N.57 Belaga dan lima Dun lagi masing-masingnya dua calon bebas bertanding. Ini bermakna terdapat kesemuanya 34 Dun yang ada calon bebas bertanding menentang Barisan Nasional, Pakatan Rakyat, SNAP dan PCM.

Apa pun peranan calon bebas amat signifikan pada pilihan raya Sarawak kali ini kerana satu-satunya Dun yang Barisan Nasional dihalang menang bertanding adalah kerana adanya calon bebas. Ini berlaku di Dun N.38 Jemoreng, tiada calon dari KeADILan atau SNAP mahu pun PCM yang menentang Barisan Nasional. Berikutan dua calon bebas menawar diri di Dun itu, sekaligus menghalang calon Barisan Nasional menang tanpa bertanding. Justeru pada pilihan raya Sarawak kali ini, calon bebas sudah menjadi penghalang Barisan Nasional untuk menang awal secara percuma.

SNAP penghalang Pakatan Rakyat?

SNAP merupakan parti tradisi rakyat Sarawak sejak 1961. Pengasasnya adalah Ketua Menteri pertama Sarawak Stephen Kalong Ningkan, seorang Iban campuran Cina yang juga pengasas Persatuan Dayak Sarawak.

Malang bagi SNAP, kerana tahun 1983 berpecah dan muncul Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan berpecah lagi tahun 2002 sehingga melahirkan pula SPDP. Kemudian PBDS berkrisis 2003 dan dibubarkan 2004 yang membawa kepada lahirnya PRS.

Dalam pilihan raya 2006, SNAP bertanding 28 kerusi dan memenangi satu kerusi Dun di N.28 Engkilili. Pada masa itu, SNAP bersama KeADILan menubuh Barisan Bersatu Sarawak. Namun malang bagi SNAP, apabila wakil tunggal yang menang di Dun Engkilili itu, iaitu Dr. Johnichal Rayong telah menyertai SUPP pada Disember 2010 dan menambahkan lagi bilangan kerusi BN kepada 63 Dun.

Menghadapi pilihan raya 2011 kali ini, moral SNAP dalam keadaan merudum bukan sahaja kerana wakilnya melompat parti, sebaliknya juga gagal berkompromi dengan KeADILan membentuk kerjasama melalui Pakatan Rakyat. Hasilnya SNAP terus kekal bertanding sebahagian besar kerusi asalnya (tahun 2006). Sementara KeADILan Sarawak dipimpin Baru Bian nampaknya juga tidak sedia berkompromi, maka SNAP secara rasmi keluar daripada Pakatan Rakyat. Kesannya, KeADILan telah menurunkan kesemua calon di Dun-dun SNAP bertanding kecuali satu di N.41 Pakan, iaitu Dun yang ditandingi SNAP bertembung dengan SPDP (Barisan Nasional).

Dalam hal ini, mungkinkah penyertaan SNAP menjadi penghalang Pakatan Rakyat menguasai majoriti pilihan raya Sarawak kali ini? Ataukah, ia bakal menjadi ‘hantu dan jembalang’ kepada Barisan Nasional di Sarawak.

Kerusi antara kaum penentu

Justeru pembahagiaan demografi pengundi Dun-dun di Sarawak amat ditentukan peluang menang atas sentimen suku kaum. Sebanyak 30 kerusi Bumiputera/Dayak amat signifikan bagi Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Ia diikuti dengan 26 kerusi (36.62 peratus) Melayu/Melanau dan Cina hanya 15 Dun (21.13 peratus).

Apa pun Pakatan Rakyat (khasnya bagi DAP dan KeADILan) berpeluang dan berpotensi besar di Dun kawasan bandar yang majoriti Cina, di samping turut meletakkan harapan besar di semua kerusi Bumiputera/Dayak. Sementara di Dun Melayu/Melanau nampaknya pihak PBB masih utuh, kecuali di beberapa Dun sekitar Batang Seribas dan Batang Lupar seperti Lingga, Sebuyau dan Beting Maro.

Ditambah lagi dengan perkembangan terkini, nampaknya beberapa isu pilihan raya berkaitan dominasi ketua menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang sudah di penghujung dan isu politik pembangunan yang menghambat undi Barisan Nasional dianggap relevan menentukan pola sokongan kepada Pakatan rakyat. Ia mungkin dirancakkan lagi dengan kesedaran pengundi yang amat sangsi dengan polisi tanah adat (native customary rights) yang selama ini dikelirukan oleh Pihak Berkuasa Negeri pimpinan PBB.

Walau pun begitu, isu-isu tempatan dan keupayaan calon memikat hati pengundi amat penting dalam konteks politik perkauman Sarawak. Maka faktor sentimen perkauman menuntut semua parti bertanding mengolah cara tersendiri untuk mendekati dan memenangi hati pengundi.

No comments: