11 April, 2011

Jaga imej dan akhlak orang Kelantan

Kesempatan YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan selama dua hari di Kuching, Sarawak turut diadakan perjumpaan dan majlis minum petang bersama Anak Kelantan pada hari ini (11.4.11) bertempat di Hotel Grand Continental.

Semasa ucapan pada majlis tersebut, Tuan Guru menyentuh hakikat fitrah manusia dan "kelebihan orang Kelantan" tatkala bertemu di luar Kelantan.

Antara kelebihan itu ialah fitrah orang Kelantan begitu ramah mesra bila berjumpa dan paling mesra lagi apabila bercakap loghat Kelantan. Begitu juga kelebihan orang Kelantan ialah minat 'mengaji' hinggakan bertemu dengan orang Kelantan di Mekah, Amerika, England, Australia dan lain-lain lagi.

Lalu diseru kepada orang Kelantan, walau pun ke mana sahaja 'kita' pergi hendaklah jaga imej dan diminta kekalkan imej itu. Imej yang dimaksudkan itu ialah minat mengaji, terutama mengaji agama.

Dalam pada itu, Tuan Guru turut menyentuh beberapa kehebatan orang Kelantan dari segi menolak perjuangan nasionalis dan menerima perjuangan Islam, suka berbuat kebajikan dan mencari pahala. Atas dasar ini, Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru tetap melaksanakan pentadbiran berteraskan Islam (berprinsipkan ubudiyah, mas'uliyah dan itqan).

Kesemuanya, gambaran dan kelebihan orang Kelantan itu adalah tanda ada bukti keyakinan orang Kelantan kepada kehidupan beragama.

No comments: