04 April, 2011

MCA dengan Kerajaan Negeri Kelantan-isu loteri

Demi survival politik di kalangan pengundi Cina, MCA sudah bersikap membetul diri sebagai usaha terdesak memaut sokongan pengundi Cina. Perjumpaan MCA dengan Kerajaan Negeri Kelantan adalah suatu engagement untuk memastikan langkah politik MCA tidak kelihatan sumbang.

Pemimpin MCA itu telah menafikan kesemua sedutan ucapannya yang dilaporkan oleh surat khabar, khususnya berkaitan dakwaan Datuk Seri Chua Soi Lek yang menyifatkan berjudi sebagai budaya Cina dan merupakan sebahagian kepercayaan orang Cina. Justeru, MCA sudah membangkang larangan judi di Kelantan. Memahami realiti tersebut, berikut diperturunkan kandungan penting ucapan/kata-kata pemimpin MCA dan Kerajaan Negeri semasa perjumpaan antara parti MCA dengan Kerajaan Negeri Kelantan pada 3 April 2011 bertempat di Kota Darulnaim.

Majlis dipengerusikan oleh YB Dato’ Tuan Haji Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar.

Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan turut disertai YB Dato’ Haji Anuar Tan Abdullah, YB Dato’ Haji Takiyudin Hassan, YB Mohd Zaki Ibrahim, YB Ustaz Abdullah Yaakob, YBhg. Dato’ Ustaz Mohamad Daud al-Iraqi. Turut hadir Encik Wan Nik, Setiausaha Politik. Perjumpaan tersebut dimulakan dengan penerangan oleh YB Dato’ Haji Takiyudin Hassan, Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan.

Ringkasan penerangan adalah sebagaimana berikut: “Asas tindakan Kerajaan Negeri Kelantan bertindak mengharamkan premis perjudian dan penjualan tiket-tiket judi adalah mengikut Undang-undang kecil perniagaan dan perindustrian. Penjualan big sweep pula kononnya kami mengambil tindakan selepas 20 tahun PAS memerintah.

Perlu diperbetulkan, sejak PAS memerintah bermula 1990 apa sahaja judi diharamkan. Ia termasuklah loteri, kerana dalam tafsiran Kerajaan Negeri Kelantan, loteri itu adalah judi dan setiap judi itu haram. Walau pun loteri itu legal pada sisi Kerajaan Pusat, tapi pada Kerajaan Negeri ia illegal. Begitu juga, big sweep adalah legal pada Kerajaan Pusat, namun dari segi by-law ia tidak boleh dikeluarkan lesen premis.

Mengenai langkah-langkah diambil oleh Kerajaan Negeri ke arah pengharaman judi, pihak Kerajaan Negeri terlebih awal mengadakan beberapa perjumpaan dan persetujuan (consensus), pertama memanggil pertubuhan-pertubuhan masyarakat, keduanya ketua-ketua agama, dan ketiga merumuskan resolusi yang mengambil kira aspek moral dan sosial. Kemudian dijadikan polisi mengharamkan peremis menjual judi.

Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang ada local government, maka turut dipakai ialah pandangan dari sudut undang-undang mendapati ada hak untuk tidak membenar judi dijual. Bermaksud tidak dibenar mana-mana tempat menjual tiket atau apa sahaja unsur judi. Ia adalah hak bagi Kerajaan Negeri. Mungkin dalam aspek ini ada pandangan berbeza, apa pun forum hari ini bukan untuk argument. Forum ini hanya untuk Kerajaan Negeri memberi penjelasan, bukan untuk mengadilinya kerana tidak ada hakim di sini. Perbincangan di sini tidak akan selesai, melainkan selepas ini ke mahkamah untuk muktamad.

Berhubung dengan dakwaan mengatakan MPKB (maksudnya penguatkuasaan MPKBBRI) bertindak terhadap peniaga, sebenarnya ia dibuat bersama dengan polis selepas mendapat ‘search warrant’ untuk semua premis. Afidavit MPKB adalah jelas berdasarkan warrant mahkamah. Tindakan penguatkuasaan berlaku dengan menyenaraikan tiket-tiket loteri yang didapati dijual di kedai berkenaan. Kemudian saman dikeluarkan.

Tiga premis yang disita ialah kedai makan nasi daun pisang dan dua buah kedai buku. Mereka telah bayar compound dan tiket-tiket yang dirampas telah diserah balik. Berbangkit pula, mengenai orang yang menjual dalam premis dan luar premis – kedua-duanya boleh disaman jika perkara yang dijual tidak membayar lesen atau tiada dalam lesen. Seperti mana lesen menjual kedai buku, tetapi menjual tiket judi, maka ia boleh disaman. Tetapi orang membeli tidak boleh disaman.

Justeru isu ini bukan politik, tetapi telah dipolitikkan. Perlu sedar, Kerajaan Kelantan ada kedaulatannya, dan memberi kebebasan beragama dan tidak diskriminasi dari segi agama dan kaum.”

Majlis kemudian memberi peluang Presiden MCA, Datuk Seri Chua menyampaikan kata-kata:

“Bersetuju untuk tidak dipolitikkan isu judi. Tujuan MCA hanya mahu penjelasan dan menegaskan bahawa MCA juga tidak menggalakkan masyarakat Tionghua berjudi dan dinyatakan perjudian bukan budaya. Apa yang ingin disampaikan ialah masyarakat Cina diberi hak sama ada nak berjudi atau tidak berjudi.

Bersetuju, forum ini bukan kamar mahkamah untuk pertahaan mana yang betul atau salah. Apa yang penting, MCA ada permintaan untuk sampaikan hak/kebebasan untuk orang bukan Islam boleh membeli judi/loteri.

Dari segi by-law, sepatutnya (apa yang Kelantan amal) tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Maka kerajaan Kelantan tak seharusnya menghakis hak orang bukan Islam.

Semua kenyataan yang dirujuk (dalam surat khabar) sebagai menghina Islam, sebenarnya out of context dan ia adalah dipetik dari buku 'Malaysia and the Club of Doom' . Ia kerana surat khabar sudah salah lapor.

Diikuti dengan kata-kata YB Dr Wee Ka Siong, Ketua Pemuda MCA
:

“Tujuan MCA ialah untuk perbetul persepsi bahawa MCA macam menjuarai judi. Faktanya, MCA ingin menuntut hak asasi dan terpanggil untuk sampaikan mesej ini. Apa sahaja dasar (Kerajaan Negeri), by-law perlu dilihat. Ini pun yang diamalkan juga oleh kerajaan Negeri di bawah BN. Kalau ada yang tidak betul, perlu diperbetulkan.

MCA menghormatinya (dasar), bila ia melibatkan hak orang bukan Islam. Apa yang menjadi tujuan ialah hak asasi perlu diperbetulkan.”

Dato’ Anuar Tan kemudian mencelah:

“Minta penjelasan mengenai kenyataan DS Chua dalam surat khabar Cina pada 11 Mac, yang didapati mengaitkan judi dengan kepercayaan agama sesetengah orang Cina.”

Penjelasan DS Chua:

“Apa pun sumber dari surat khabar bukan kenyataan tepat sebagaimana maksud sebenar”

Kemudian Dr. Wee Ka Siong mencelah:

“MCA sebenarnya tidak menerima judi sebagai budaya orang Cina dan perjuangan MCA hanya untuk (dapatkan) hak orang bukan Islam.”

Pihak MCA diakhiri dengan kata-kata Datuk Ti Lian Ker:

“Loteri ditafsirkan sebagai judi. Perlu lesen untuk dijual. Soalnya, adakah Kerajaan Kelantan akan buat perkara di luar konteks perlembagaan? Mengungkitkan soal consensus 1990 untuk mengharam judi. Perlu juga diambil consensus terkini.”

DS Chua mencelah:

“Bagi MCA, hak beli tiket loteri itu adalah hak orang bukan Islam, walaupun judi tidak digalakkan.”

Penjelasan Dato’ Takiyuddin:

“Ada pandangan, agar peraturan tutup aurat terpakai untuk judi, iaitu boleh kepada orang bukan Islam. Ini tidak sama. Begitu juga peraturan larangan arak diboleh untuk orang bukan Islam. Apa pun ini bukan forumnya untuk bincang peraturan ini, kerana ia ada perbezaannya dengan larang judi.”

Majlis berkahir kira-kira jam 3.30 peetang dengan jamuan ringan dan ramah mesra.


Catatan hujung:

Akhbar Sinar Harian semalam (3 April 2011) melaporkan kenyataan Ketua Bahagian Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang dilaporkan sebagai berkata, “selama ini judi tidak menjadi tegahan kepada kaum Cina sama ada di Kelantan atau di negeri lain."

Kenyataan itu sudah tidak relevan, dan menggambarkan ketua bahagian itu tidak sedar betapa judi di Kelantan sudah lebih 20 tahun tidak dibenarkan dan ia sudah diterima oleh orang bukan Islam, termasuk kaum Cina.

Berikutan perjumpaan semalam (3 April 2011), pihak MCA pula menyatakan kepada media, bercadang membawa isu hak bukan Islam membeli tiket loteri ke mahkamah. Alasannya, kerana tindakan kerajaan Negeri Kelantan dianggap menghakis kebebasan dan hak prang bukan Islam.

Apakah MCA tiada motif politik di dalam perkara ini? Perkara yang difahami, MCA sudah mencari political mileage atas perjumpaan dengan Kerajaan Negeri. Bagi Kerajaan Negeri sudah dipastikan sedia berdepan dengan kes mahkamah, demi kedaulatan kuasa rakyat berteraskan kesucian Islam yang merahmati kehidupan umat.

No comments: