Latar belakang kepada tindakan MPKB-BRI itu adalah berasaskan dasar Kerajaan Negeri Kelantan sejak 1990. Ia adalah mengikut Undang-undang Kecil Trade Perniagaan dan Perindustrian MPKB yang diluluskan 7 Disember 1989 di bawah Seksyen 102 Akta Kerajaan Tempatan.
Menurut undang-undang itu, MPKBBRI berkuasa mengawal, menyelia dan mendaftar semua jenis perniagaan yang dibenarkan di sisi dasar Kerajaan Negeri. Ia telah berlangsung sudah lebih 20 tahun.
Namun, kenapa sekarang persoalan larangan menjual judi di premis-premis dibangkitkan semula. Nampaknya, dasar anti-judi Kerajaan Negeri sudah dipolitikkan oleh pihak tertentu. Mungkin, pihak tertentu adalah pemimpin MCA yang sudah kekeringan isu untuk berpolitik di kalangan masyarakat Cina di Kelantan.
Mungkin juga pihak MCA sudah terkeliru atau sengaja mengelirukan atas isu loteri Big Sweep yang diluluskan lesen oleh Menteri Kewangan Kerajaan Barisan Nasional itu dikatakan boleh dijual tanpa memerlukan premis. Maknanya jualan loteri Big Sweep tidak memerlukan kepada lesen premis dan tidak terikat dengan undang-undang premis seperti mana dikuatkuasakan oleh MPKBBRI.
Jika dilihat kepada kes tindakan MPKBBRI ke atas dua premis itu, maka sikap pimpinan MCA itu dilihat salah. Ini kerana tindakan itu dibuat mengikut undang-undang premis. Melainkan tindakan MPKBBRI itu merampas tiket loteri itu yang berada dalam poket si penjual, barulah dilihat salah kerana poket penjual bukannya premis. Ia sudah selari dengan tiga premis yang ambil tindakan oleh MPKBBRI tempoh hari kerana menjual tiket loteri tersebut di dalam premis.
Sehubungan itu, kenyataan Dato’ Takiyuddin Hassan itu betul dan menepati hasrat undang-undang yang sedia dilaksanakan oleh MPKBBRI. Maka selama ini, undang-undang kecil MPKBBRI adalah betul. Kelihatan tidak betulnya dan tersasar pula ialah pemimpin MCA.
Apa pun pimpinan MCA terus berlagak menjadi hero membela judi dan berhasrat untuk menemui Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 3 April. Kita percaya, pendekatan ‘dakwah’ Tuan Guru Menteri Besar sedia menjelaskan natijah ketegasan Kerajaan Negeri Kelantan dalam soal judi yang ketegasan itu sudah diterima oleh masyarakat Cina moden. Malah semua agama turut melarang amalan perjudian.
Justeru ada baiknya rakan MCA, khususnya Umno menegur tindakan MCA yang berlagak hero judi. Tidak sepatutnya Umno membisu atas isu loteri Big Sweep, kerana dengan membisu ia semacam mengesahkan bahawa Umno selama ini sudah berpendirian sama dengan MCA, iaitu menjadi hero membela judi!
Harapan rakyat Kelantan amnya, agar kesucian pentadbiran Islam terus utuh di bumi Serambi Mekah. Bagaimana pun Umno selama ini dilihat tidak menyokong harapan ini, sedangkan mereka juga sering mendakwa mahu menjaga kesucian agama Islam. Inilah premis ‘agama’ yang gagal dibuktikan oleh Umno di Kelantan.
No comments:
Post a Comment