08 April, 2011

DUN BETING MARO: HARAPAN MENCIPTA KEMENANGAN SULUNG PAS SARAWAK

Pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak pada hari Isnin 21 Mac 2011, iaitu kira-kira empat bulan sebelum genapnya penggal ke-9 pada 23 Julai 2011. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kemudian menetapkan penamaan calon pada 6 April dan pengundian pada 16 April 2011. Ini bermakna tempoh berkempennya bermula pada hari penamaan calon ialah 10 hari sahaja. Penetapan tarikh-tarikh ini telah merasmikan berlakunya pilihan raya umum negeri Sarawak bagi penggal ke-10 tahun 2011.

Kini penamaan calon sudah berlaku dan parti-parti bertanding, termasuk poihak bebas sudah menampilkan calon masing-masing. Semua calon meletakkan harapan untuk menang.

Pilihan raya lalu

Pilihan raya umum Sarawak 2006 menyaksikan persempadanan baru kawasan pilihan raya yang diluluskan oleh persidangan khas DUN Sarawak pada 20 April 2006. Ia melibatkan tambahan sembilan Dun dari 62 Dun (tahun 2001) kepada 71 Dun.

Pada masa itu, parti-parti bertanding adalah melibat dua pasukan kerjasama politik, iaitu Barisan Nasional dan kerjasama parti-parti oposisi. Parti komponen BN diwakili empat parti; Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sarawak United People Party (SUPP), Sarawak People Democratic Party (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS). SPDP dan PRS adalah dua parti baru yang ditubuhkan selepas pembubaran PBDS.

Kerjasama oposisi pula terdiri daripada Democratic Action Party (DAP), Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) serta Malaysian Dayak Congress (MDC) ketika itu belum diluluskan pendaftaran.

Oposisi juga telah membentuk Barisan Bersatu Sarawak (BBS) yang disertai KeADILan dan SNAP. DAP tidak menyertai BBS dan PAS hanya menyertainya melalui KeADILan. Jumlah kerusi (lihat jadual berikut) yang ditandingi dan dimenangi oleh parti-parti pada pilihan raya 2006:

Amat malang bagi PAS kerana tidak menang sebarang kerusi, walaupun bertanding hanya satu kerusi. Namun, prestasinya cukup memberangsangkan kerana hampir menang dengan mencapai undi popular lebih 40 peratus di Beting Maro.

Pilihan raya Sarawak 2011

Kini pilihan raya umum Sarawak 2011 datang menguji PAS sekali lagi. Besarnya harapan untuk mencipta kemenangan sulung pada penggal ke-10 ini. Sekaligus meneruskan persaingan kerjasama politik PAS bersama Pakatan Rakyat menghadapi Barisan Nasional.

PAS bersama Pakatan Rakyat yang turut dianggotai DAP, KeADILan dan SNAP merupakan kerjasama oposisi utama di Sarawak. Sebelum ini (2001) parti-parti oposisi turut membentuk kerjasama melalui Barisan Bersatu Sarawak (BBS) yang disertai KeADILan dan SNAP tanpa DAP dan PAS.

Sementara bagi Barisan Nasional, menghadapi pilihan raya 2011 kali ini juga bersma–sama parti komponen sedia ada, iaitu empat parti (PBB, SUPP, SPDP dan PRS). Namun ada satu lagi parti komponen Barisan Nasional dari Semenanjung, iaitu Parti Progresif Parti (PPP) turut membuka cawangannya di Sarawak, tetapi dijangka tidak mendapat apa-apa kerusi atas kuota Barisan Nasional.

Jumlah kerusi bertanding

Sehingga hari ini, jumlah kerusi bagi masing-masing parti belum diumumkan, sama ada di sebelah Barisan Nasional mahu pun Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi di sebelah Pakatan Rakyat yang masing-masingnya terlibat untuk bertanding di Dun tindanan sesama sendiri. Harapnya persoaloan ini dapat disegerakan sebelum 6 April ini.

Apa pun, bagi PAS komitmen utama telah tidak berganjak akan bertanding di Dun N.24 Beting Maro. Pada masa sama, PAS tetap berunding untuk bertanding sekurang-kurangnya empat atau lima Dun, iaitu Dun N.3 Tanjung Datu (P.192 Mas Gading), N.15 Muara Tuang (P.197 Kota Samarahan), N.22 Sebuyau dan N.24 Beting Maro (P.201 Batang Lupar) dan N.65 Senadin (P.219 Miri). Bagi DAP pula dijangka bertanding di 15 Dun (kawasan bandar), SNAP 20 Dun (kawasan Iban/Dayak) dan selebihnya lagi (majoriti) ditandingi KeADILan (kawasan pengundi campuran).

Pada pilihan raya 2006, SNAP bertanding 28 Dun, KeADILan 25 Dun, DAP 12 Dun dan PAS hanya satu Dun. Kesemua parti-parti oposisi telah bertanding di 66 Dun daripada 71 Dun. Bermakna lima Dun sahaja BN tidak ditentang oleh parti oposisi, sebaliknya ditentang oleh pihak Bebas. Barisan Nasional pula bertanding mengikut parti-partinya ialah PBB 35 Dun, SUPP 19, PRS sembilan dan SPDP lapan Dun.

Gambaran Dun PAS bertanding

Pada pilihan raya 2001, PAS telah bertanding di tiga Dun, iaitu Beting Maro, Samariang dan Sadong Jaya. Kemudian pada pilihan raya DUN 2006, PAS bercadang bertanding di Satok, Sebuyau, Beting Maro dan Sadong Jaya. Namun selepas berunding dengan KeADILan, PAS mendapat laluan bertanding di Beting Maro sahaja, sementara Dun Sebuyau, Sadong Jaya dan Satok ditandingi KeADILan.

Apa pun keputusan PAS bertanding di Beting Maro adalah menepati sasaran kerana PAS telah di Dun itu pada pilihan raya 2001. Keputusan pada 2001 agak baik di Beting Maro berbanding Sadong Jaya dan Samariang. Pada masa itu (2001) PAS mendapat undi popular 23.99 peratus di Beting Maro, 5.55 peratus di Samariang, dan 18.75 peratus di Sadong Jaya.

Justeru pada pilihan raya 2011 ini, PAS memberi tumpuan untuk bertanding di lima atau enam Dun sahaja. Gambaran lima atau enam Dun tersebut berdasarkan keputusan pada pilihan raya 2006 adalah seperti mana berikut:


N3 TANJONG DATU

Datuk Seri Adnan Satem(menang) BN PBB = 4,545 (91.10%)

Sobey Daud PKR = 409

Larry Dominic Linang Bebas/IND = 35

Majoriti = 4,136

Peratus Undi = 67

Undi Rosak = 66


N15 MUARA TUANG

Datuk Seri Haji Mohammad Ali Mahmud (menang) BN PBB = 7,863

Abang Ibrahim Abang Othman PKR = 1,536 (16.34%)

Jong Nyuk Chan Bebas/IND = 415

Majoriti = 6,327

Peratus Undi = 73

Undi Rosak = 195


N22 SEBUYAU

Haji Julaihi Haji Narawi (menang) BN PBB =3,748

Mohamad Akek PKR = 1,300 (25.75%)

Majoriti = 2,448

Peratus Undi = 68

Undi Rosak = 86


N24 BETING MARO

Bolhassan Di @ Ahmad Di (menang) BN PBB = 2,796

Alem Din PAS = 1,901 (40.47%)

Majoriti = 895

Peratus Undi = 65

Undi Rosak = 45


N20 SADONG JAYA

Datuk Wan Abdul Wahab Wan Sanusi (menang) BN PBB 2,715

Piee bin Ling PKR 1,857

Majoriti 858

Peratus Undi 67

Undi Rosak 67


N65 SENADIN

Lee Kim Shin(menang) BN SUPP = 7,173

Chai Chook Fui PKR = 2,374 (24.87%)

Majoriti = 4,799

Peratus Undi = 57.74

Undi Rosak = 127

Apa pun keputusan perundingan kerusi yang diketuai Timbalan Presiden nbagi pihak PAS, sepakat PAS bersama KeADILan dan DAP bersetuju untuk PAS bertanding lima Dun: N.3 Tanjung Datu, N.15 Muara Tuang, N.20 Sadong Jaya, N.22 Sebuyau dan N.24 Beting Maro.

Prestasi PAS di Beting Maro

Berdasarkan kelima-lima Dun itu, Dun Beting Maro berada pada kedudukan paling baik, meskipun lokasinya agak pedalaman dan jauh dari pengaruh bandar. Jumlah pengundinya kira-kira 7,845 orang (September 2010) yang terdiri daripada Melayu 7,017 (89.45%), Iban 520 (6.63%), Cina 306 (3.90%) dan India 2 (0.03%). Sebahagian besar mereka adalah tinggal di sepanjang lembah sungai Seribas, kecuali Iban di daerah lurah bukit sepanjang 19 KM jalan masuk dari Betong/Seri Aman ke Pekan Pusa. Hubungan utama antara perkampungan ialah jalan sungai dengan pergantungan ekonomi adalah pertanian (sago, kelapa sawit dan padi bukit), pembalakan, perikanan sungai serta perniagaan.

Berdasarkan keputusan pilihan raya 2006 antara lima Dun tersebut, Dun Beting Maro adalah yang paling berpotensi dengan undi popular PAS 40.47 peratus. Sementara Dun-dun lain ialah Tanjung Datu BN menguasai 91 peratus, sementara KeADILan di Muara Tuang menguasai 16.34 peratus, Sebuyau 25.75 peratus dan Senadin 24.87 peratus.

Maka peluang untuk PAS bangkit mencetus kemenangan sulung di Beting Maro amat cerah. Analisis bandingan keputusan pilihan raya Dun Beting Maro pada 2006 dengan 2001 (lihat jadual berikut).



  • · Pemilih berkurang sebanyak 1,384 berikutan persempadanan baru 2006
  • · PAS bertambah undi sebanyak 502
  • · BN merosot undi 1,637
  • · BN merosot undi popular/ majoriti 2,139 (32.97%)
  • · Peratus keluar mengundi merosot 4.63%

PAS Kelantan

Sebagaimana sebelum ini, PAS Kelantan telah ditugaskan mengetuai gerakan kempen di Dun Beting Maro bersama PAS Sarawak. Ia akan dibantu oleh PAS Johor dan Negeri Sembilan, iaitu suatu kombinasi baik untuk memikul amanah PAS Pusat demi memastikan kemenangan di Dun Beting Maro.

Kelebihan PAS Kelantan dikira relevan dalam merencana strategi kemenangan kerana ramai pimpinan dan petugas parti yang cukup berpengalaman. Ia disokong lagi dengan pengalaman 20 tahun berkerajaan, sudah tentu banyak isu dan jerit-perih rakyat dapat dijadikan asas bagi memujuk pengundi Beting Maro bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat.


Apa pun, pilihan raya adalah suatu game yang melibatkan persaingan pengaruh antara parti-parti bertanding yang berlaku di depan pengundi. Maka pengundilah bakal memastikan, apakah misi kemenangan PAS sedia disambut baik?


Semoga penyertaan PAS dalam pilihan raya umum Sarawak 2011 kali ini bakal membuahkan kemenangan sulung. Berkat jalinan mantap pasukan PAS Negeri hadir bersama PAS Sarawak menjadi nadi utama ke arah mencipta kemenangan perjuangan Islam di bumi Kenyalang.

No comments: