Showing posts with label pilihan raya. Show all posts
Showing posts with label pilihan raya. Show all posts

20 July, 2012

PRU-13 – BENARKAH PENGUNDI KELANTAN BERALIH ARAH?

Pengalaman olakan turun naik sokongan rakyat kepada PAS di Kelantan boleh dibaca pada setiap kali pilihan raya. Ia berlaku berasaskan sejarah peneraju kerajaan Negeri sejak 1955. Sejarah itu membukti rakyat Kelantan boleh menerima Umno (1955-1959), kemudian PAS (1959-1978), diikuti pula Umno (1978-1990) dan kemudiannya lagi PAS (1990 – kini).

Sokongan yang berolak seawalnya bermula daripada pilihan raya pra-merdeka 1955 yang memberi kuasa buat kali pertama untuk Umno menerajui kerajaan Negeri. Diikuti pilihan raya pertama selepas merdeka 1959, berolak pula kali kedua sekaligus menyaksikan beralihnya kuasa buat kali pertama kepada PAS. Namun selepas 18 tahun PAS berkuasa, sokongan rakyat berolak kali ketiga, dan kali ini telah beralih kuasa untuk kali kedua kepada Umno. Ia mencatatkan sejarah kuasa bagi 
Umno berkuasa selama 12 tahun, iaitu sehingga pilihan raya 1990.

Pada pilihan raya 1990, berlaku olakan kali keempat telah menyaksikan beralihnya kuasa untuk kali kedua kepada PAS yang ketika itu bersama Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Apa pun nilai sokongan rakyat Kelantan kepada PAS bersama Angkatan hanya berlangsung untuk dua penggal pilihan raya sahaja (1990 dan 1995). Selepas itu muncul permuafakatan PAS dalam Barisan Alternatif (BA) dan PAS di Kelantan telah berjaya kekal berkuasa sejak tiga kali pilihan raya (1999, 2004 dan 2008) sehingga kini.

Dari BA kepada PR

Apa pun selepas pilihan raya 1999 sehingga pilihan raya 2004, Barisan Alternatif asalnya terdiri daripada tiga parti – KeADILan, DAP dan PAS – kemudiannya berolak menyebabkan DAP keluar dan bersendirian menentang Barisan Nasional. Ketika itu berlaku prestasi malap PAS bersama-sama KeADILan yang membawa kemerosotan sokongan rakyat di Kelantan. Akibatnya, PAS hampir terlepas kuasa kerajaan di Kelantan dengan hanya kelebihan dua kerusi Dun (kemudian tinggal majoriti satu Dun selepas gagal dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir).

Namun olakan sokongan rakyat kembali segar kepada PAS apabila Barisan Alternatif berjaya meraih semula dokongan DAP menjelang pilihan raya 2008. Ia diikuti dengan dokongan mantap beberapa gerakan rakyat (mass movement) seperti Bersih dan Hindraf. PAS telah meraih kelebihan daripada konsensus tersebut apabila PAS kembali segar dan mantap menerima sokongan dua pertiga rakyat di Kelantan. Justeru sentimen gerakan rakyat itu telah diterjemah secara tuntas oleh pimpinan PAS, KeADILAan dan DAP, maka lahirnya permufakatan politik baru selepas pilihan raya 2008, iaitu Pakatan Rakyat (PR).

Faktor beralih

Natijah politik Kelantan adalah unik, sebagaimana uniknya seni budaya rakyatnya. Ketika menjelang merdeka sepakat menyokong Umno atas alasan mahukan kemerdekaan. Namun selepas merdeka, menurut kajian Clive Kessler (1978) didapati Umno pada waktu itu gagal menunaikan janjinya, malah dimomokkan pula sebagai mengkebelakangkan kepentingan orang Melayu dan Islam. Sebaliknya PAS dikatakan berjaya membangkitkan isu Islam dan Melayu secara jelas dan ia boleh diterima rakyat Kelantan. Antara isu yang mendapat sokongan rakyat ialah isu berkaitan kerjasama Umno dengan parti bukan Melayu dan cabaran kepada masa depan orang Islam dalam konteks Nusantara. Atas isu ini, PAS menimbulkan seruan bangkangan kepada dasar Umno sehingga membangkitkan semangat Melayu Raya. Justeru isu yang dibawa oleh PAS didapati sejiwa dengan rakyat Kelantan, kerana rata-rata rakyat Kelantan adalah rapat dengan golongan agama, seringkali menerima hujah agama daripada pemimpin PAS.

Namun selepas pilihan raya 1969, kestabilan politik nasional tercalar akibat perbalahan kaum  sehingga berlaku rusuhan 13 Mei. PAS sebagai parti memperjuang Islam telah mengambil jalan terbuka dan sedia menjadi pendokong kepada usaha-usaha perpaduan. Kesannya berlaku kerjasama politik dalam kerajaan menerusi pembentukan Kerajaan Campuran antara PAS dengan Umno. Ia berlaku secara praktikal di Kelantan kerana PAS membentuk kerajaan di negeri ini.

Kesan daripada  Kerajaan Campuran itu telah membawa kepada pensabitan PAS menubuhkan Barisan Nasional menjelang pilihan raya 1974. Pensabitan itu membawa kepada PAS menyertai Barisan Nasional atas semata-mata inginkan perpaduan umat Islam. Ia sekaligus memantapkan semula parti Umno yang hampir ranap ketika rusuhan kaum 13 Mei 1969. Sementara dalaman PAS pula berlaku sedikit perpecahan yang melahirkan puak Bebas Bersatu menentang penyertaan PAS dalam Barisan Nasional. Di sini bermula detik pertembungan politik sesama pemimpin PAS. Ia kemudian diparahkan lagi oleh adu-domba pemimpin Umno di Kelantan dalam beberapa isu. Kemuncaknya ialah isu undi tidak percaya kepada Menteri Besar, Datuk Mohamad Nasir sehingga menimbulkan kemelut berlarutan sehingga tercetusnya politik darurat 1977. Darurat kemudiannya berakhir dengan rakyat Kelantan beralih sokongan kepada Umno pada pilihan raya khas Mac 1978. 

Kembali berkuasa

Pada pilihan raya 1990, PAS kembali berkuasa di Kelantan. Ia berlaku selepas perpecahan kalangan Umno di Kelantan ekoran pertembungan kuasa dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri dalam isu pertukaran pegawai tadbir negeri. Ia turut memalitkan pihak istana kerana Umno menuduh istana berpolitik menyebabkan kalah di Kelantan.

Kesemuanya berlaku selepas berlaku pemilihan Presiden Umno tahun 1987 yang menyaksikan Tengku Razaleigh Hamzah kalah tipis kepada Dr. Mahathir Mohamed. Tengku Razaleigh kemudiannya menubuhkan Parti Semangat 46 yang kemudian bergabung dengan parti Berjasa dan Hamim menerusi Angkatan. Kemudian berkerjasama dengan PAS sehingga membangkit tekanan kepada Umno di Kelantan. Kesan daripada perpecahan Umno telah merungkai olakan sokongan rakyat kepada Umno beralih kepada PAS. Meskipun selepas itu (tahun 1996) Semangat 46 telah dibubar dan kembali bertaut semula dengan Umno, kesannya amat signifiken kepada PAS apabila PAS terus disokong oleh rakyat Kelantan.

Begitu pula, pengalaman pilihan raya 1990 dan 1995 didapati cukup menguji kemantapan PAS menerajui kerajaan di Kelantan. Ia juga membuktikan PAS sudah mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat. Walaupun sokongan itu agak berolak pada pilihan raya 2004 (selepas hubungan longgar dalam BA) menyebabkan sokongan kepada PAS agak merosot. Sebaliknya Umno mendapat kekeuatan baru apabila Dr. Mahathir berundur dari kerusi Presiden diganti dengan Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah telah dipromosikan sebagai pemimpin bersih dan menjadi pengharapan baru buat rakyat. Ia turut mempengaruhi sikap dan kepercayaan rakyat Kelantan. Justeru peralihan kepimpinan Umno menjadi asas untuk Umno mendapat kepercayaan baru dan PAS terkesan sehingga hampir kalah di Kelantan.

Pengajaran paling berharga

Apa yang penting di sebalik berlaku olakan sokongan dan beralih kuasa kerajaan antara ‘Umno-PAS-Umno-PAS’ ialah pengajaran paling berharga apabila dibuat penilaian mengenai punca-puncanya. Paling signifiken apabila penilaian itu dibuat ke atas keputusan tiga pilihan raya terakhir (secara bandingan antara pilihan raya 1999, 2004 dan 2008). Analisis berikut ke atas 13 Dun terpilih di Kelantan amat relevan diperhatikan tentang aspek ‘pengajaran paling berharga’ yang dimaksudkan.

Jadual 1: Sokongan beralih dari PAS ke BN



Jadual 1, menunjukkan bagi pilihan raya 1999 ke 2004 telah beralih sokongan rakyat Kelantan dari PAS ke BN bagi semua 13 Dun terpilih. Dun Bunut Payung mengalami olakan sokongan kepada BN paling tinggi, iaitu 14.43 peratus. Sementara Dun Meranti adalah terendah iaitu 6.42 peratus. Purata beralih sokongan dari PAS ke BN ialah 10.68 peratus. Sekiranya rentak olakan pilihan raya ke-13 nanti dan jika terjadi seumpama pilihan raya 1999 ke 2004, maka natijahnya beberapa Dun daripada 13 Dun ini akan menyaksikan beralihnya sokongan rakyat dari PAS ke BN yang menyebabkan akan ada Dun yang berkemungkinan kalah.

Jadual 2: Sokongan beralih dari BN ke PAS 

Jadual 2 pula menunjukkan bagi pilihan raya 2004 ke 2008 telah beralih sokongan rakyat Kelantan dari BN ke PAS bagi semua 13 Dun terpilih. Dun Gual Ipoh mengalami olakan sokongan kepada PAS paling tinggi, iaitu 14.01 peratus. Sementara Dun Pengkalan Kubor adalah terendah iaitu 2.51 peratus. Purata beralih sokongan dari BN ke PAS ialah 5.75 peratus sahaja. Sekiranya olakan pilihan raya ke-13 nanti akan terjadi seumpama pilihan raya 2004 ke 2008, maka natijahnya beberapa Dun daripada 13 Dun ini akan menyaksikan beralihnya sokongan rakyat dari BN ke PAS  yang menyebabkan akan ada Dun berkemungkinan menang besar. 

Namun apa yang dibimbangi, sekiranya berulangnya mood jentera PAS sepertimana mood ketika pilihan raya 2004, maka akan berlaku olakan sikap rakyat yang berkemungkinan akan beralih kepada BN. Tidak mustahil senario pilihan raya yang tergambar daripada analisis Jadual 1, akan berulang. Senario yang bersikap ‘alert’ dan proaktif amat wajar agar tidak berulang lagi pengalaman pilihan raya kecil Manek Urai (14 Julai 2009) yang menyaksikan kemerosotan rakyat sebanyak 6.36 peratus (PAS menang tipis, 65 undi) dan pilihan raya kecil Galas (4 November 2010) juga merosot sebanyak 10.25 peratus (PAS kalah agak besar, -1,190).

Justeru ada berkemungkinan beberapa Dun yang berlaku olakan beralih sokongan rakyat dari 1999 ke 2004 yang lebih daripada 5 peratus ke atas (rujuk Jadual 1), perlulah mengambil langkah yang berstrategik bagi menangani isu-isu pilihan raya yang sedang berlegar ligat sekarang ini. Mudah-mudahan mood jentera PAS dan mood pengundi tidak akan berlaku seumpama pilihan raya 2004.  Justeru PAS akan terus utuh menguasai kemenangan bergaya pada PRU-13 dengan izin-Nya.

11 June, 2012

Amanat Tok Guru untuk para penceramah PAS


Pada Khamis lepas, YAB Tuan Guru Pesuruhjaya PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyampaikan amanat kepada pimpinan dan penceramah PAS Negeri Kelantan sempena Taklimat Isu-isu Pilihan Raya (17 Rejab 2012 bersamaan 7 Jun 2012) bertempat  di PUTIK, Pengkalan Chepa. Antara catatan yang dapat saya nukilkan semula seperti mana di bawah. 

Ia bermula dengan firman Allah SWT,
yang bermaksud: “Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah  murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat” (Surah Al-Fatihah ayat 6-7).

Lantas Tok Guru meneruskan amanatnya:

"Bersyukur kita semua atas limpah nikmat Allah, dan sebesar-besar nikmat ialah kita diberi hidayah daripada Allah SWT. Hidayah atau petunjuk adalah jalan mencapai keredaan Allah sepanjang hidup di dunia hingga ke akhirat.

Nabi bawa Islam

Bertolak daripada memahami nikmat hidayah itu, maka harus juga kita memahami, betapa sebelum Nabi Muhammad SAW datang, sudah ada kerajaan. Dalam sejarah manusia tidak ada sejarah yang tidak ada kerajaan. Maknanya di mana sahaja ada manusia, maka adalah kerajaan yang dibentuk, termasuklah di Mekah. Ketika kedatangan Islam masyarakat Mekah adalah hidup dalam jahiliyah dan pada masa itu di sana telah ada kerajaan. Kerana apa di Mekah yang telah ada kerajaan pun, Allah tetap mengutuskan Nabi Muhammad? Jawabnya kerana kerajaan yang ada telah tidak  mampu menyelamat manusia sampai ke akhirat. Justeru Nabi diperintahkan oleh Allah SWT untuk membawa seruan Islam sebagai penyelamat.

Oleh sebab itu, kita harus memahami tujuan Nabi diutuskan ke muka bumi ini. Ia tidak lain untuk membawa ajaran Islam bagi menyelamatkan manusia agar manusia dapat hidup dengan hidayah dan keredaan Allah. Nabi telah menyeru manusia agar menerima hakikat uluhiyah, nubuwwah dan mempercayai hidup kembali selepas mati. Tiga perkara utama ini telah disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada orang Mekah selama 13 tahun.

Kenapa tiga perkara besar ini menjadi keutamaan ajaran Nabi ketika di Mekah?  Antaranya yang utama ialah kerana Islam mengajar manusia berfikir untuk menerima, pertama ketuhanan (uluhiyah) yang sebenar hanyalah Allah, kedua menerima kenabian (nubuwwah) Nabi Muhammad sebagai utusan Allah yang membawa wahyu dari Allah atas nama Islam, dan ketiga membawa kefahaman agar manusia semua yakin akan menghadapi kematian dan akan dihidupkan semula di akhirat kelak selepas mati serta di sananya akan menghadapi pembalasan dari Allah.

Kesemua ajaran Nabi Muhammad SAW itu ialah untuk memberitahu kita, bahawa ada kuasa yakni Allah yang Maha Kuasa atas segenap kejadiannya. Justeru di sebalik diutuskan Nabi, betapa manusia diberi ingatan ketika hidup di dunia ini perlu ada pemimpin bagi menyelamatkan manusia dan pemimpin itu hendaklah menjadi penghubung untuk hidup dengan selamat di akhirat. Maka Nabi adalah pemimpin dan penghubung antara manusia dengan Allah bagi mencapai keredaan Allah sepanjang hidup di dunia sampailah ke akhirat. Pokoknya, ajaran Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad itu hendaklah dipatuhi.

Dalam hal ini,  Nabi adalah membawa seruan Islam untuk mengajar manusia hidup sesuai dengan kehendak Allah untuk manusia menjalani kehidupan yang selari dengan perintah-Nya. Jika tidak selari sudah tentu dimurkai Allah dan di akhirat kelak tunggulah siksaan Allah. Maka seorang manusia (hamba Allah) yang baik hendaklah memilih jalan hidup yang selari dengan kehendak Allah, iaitu seperti mana maksud ayat dalam surah Al-Fatihah (dinyatakan pada permulaan) – mohon Allah menetapkan kita hidup dalam keadaan istiqamah dengan ajaran Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Ada manusia berani tolak wahyu?

Apapun setiap manusia harus sedar dan insaf akan kelemahan masing-masing. Kita tidak mungkin dapat melihat sesuatu yang bersifat ghaib. Sebagaimana untuk kita melihat benda yang halus dan jauh dari pandangan mata, kita pasti memerlukan bantuan alat yang canggih. Kita memerlukan mikroskop bagi melihat zarah atau kuman yang terlalu halus. Demikian pula kita memerlukan teropong bagi melihat bulan, bintang atau objek yang terlalu jauh dari kita.

Begitulah halnya, kita tidak mampu melihat sesuatu yang ghaib seumpama syaitan, iblis, dosa atau pahala, syurga atau neraka melainkan kita dapat melihatnya melalui wahyu yang disampaikan melalui Nabi. Ini kerana wahyu adalah ilmu Allah yang tidak boleh dipertikaikan lagi kebenarannya. Menerusi wahyulah kita diberitahu hakikat syurga dan neraka, dan nabi Muhammad SAW sendiri diperjalankan dan dibawa naik ke langit serta menyaksikannya. Ia berlaku dalam bentuk mukjizat dan wahyu, ia membuktikan kekuasaan Allah yang tidak boleh ditolak.

Sehubungan itu, di mana hebatnya manusia untuk menolak mukjizat dan wahyu Allah itu? Di manakah hebatnya kita manusia dibandingkan dengan ilmu Allah? Soalnya, sampai sekarang masih ada manusia yang berani menolak kandungan Al-Quran (wahyu Allah kepada Nabi Muhammad).
Tidaklah pelik. Ia tabiat manusia yang tidak sanggup istiuqamah atas jalan kebenaran. Walaupun dalam Al-Quran mengajar kita agar tetap beristiqamah. Tapi bila kandungan Al-Quran pun mereka tolak, maka tidak peliklah bila ada manusia yang berani menolak ajaran Islam. Firman Allah SWT,

 Bermaksud: “Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan” (Surah Hud ayat 112).

Persoalannya, manusia yang mengaku beriman, bila berkuasa (memerintah negara) mereka masih menolak untuk melaksanakan apa yang diwahyukan oleh Allah SWT. Ia berlaku kepada UMNO sekarang – sebuah parti yang berkuasa sejak 55 tahun lalu. Sampai kini tidak melaksanakan sistem pemerintahan menurut Islam. Demikian pula, dasar parti UMNO itu sendiri pun masih kekal dengan perjuangan Melayu, satu dasar berpaksikan nasionalis, berjuang atas nama bangsa dan tidak berteraskan Islam.

Ia bermakna, bila tidak terima dasar perjuangan berteraskan Islam, ia telah menafikan kebaikan Islam yang di bawa oleh Nabi. Sedangkan Nabi sendiri berpesan agar kita jangan berjuang atas landasan bangsa atau kaum (fahaman kebangsaan).  Seperti mana sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Bukan daripada kalangan kami orang yang mengajak kepada asabiyyah, bukan daripada kami orang yang berperang di atas dasar asabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang mati kerana asabiyyah.”

Bagaimanakah kita nak masuk syurga (mendapat syafaat Nabi) bila kita berjuang atas landasan yang Nabi tidak suka? Apakah di akhirat kelak, selepas dibangkit semula (hidup balik), kita ada hujah untuk mendapat syafaat Nabi? Sedang sepanjang di dunia kita menolak ajaran baginda.
Justeru, demi untuk kita selamat di dunia dan di akhirat, buatlah pertimbangan yang berlandaskan ajaran Nabi. Jangan sesekali menolak apa yang Nabi suruh. Jauh sama sekali untuk kita menolak ilmu wahyu kerana wahyu itu adalah daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa atas segala-galanya.

11 December, 2011

Simpang siur hal Pilihan Raya

PAS Kelantan tuntut SPR mansuh dulu undi pos

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 31, 2011

KOTA BHARU – PAS Kelantan berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mansuhkan dulu undi pos sebelum bercadang membenarkan golongan pengundi dalam kalangan pengamal media, perubatan, penerbangan dan cari gali minyak mengundi pos atau undi awal.

Ketua Penerangannya, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sepatutnya SPR serius dengan tuntutan pihaknya supaya undi pos dimansuhkan kerana ia meragukan, tidak telus dan boleh dieksploitasi.

“Apa yang kita tuntut adalah mansuhkan undi pos. Tiba-tiba hendak tambah lagi kepada beberapa pemilih dalam sektor tertentu seperti perubatan, media dan sebagainya.

“Lagipun kategori golongan sibuk tu macam mana. Relatif. Cuma setahun sekali keluar sekejap untuk menunaikan tanggungjawab mengundi takkan tidak boleh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mempertikaikan cadangan SPR untuk membenarkan pemilih termasuk pemberita, juruterbang, doktor dan mereka yang bekerja dalam industri cari gali minyak mengundi secara pos atau mengundi awal bersama polis dan tentera pada PRU-13.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff pula berpendapat cadangan SPR itu perlu diperkemas supaya golongan dalam beberapa sektor pekerjaan itu hanya dibenarkan undi awal dan bukannya undi pos.

“Jika undi pos ia boleh dimanipulasikan dan itu yang dibimbangkan. Bagaimanapun doktor ada waktu tertentu yang mereka boleh keluar mengundi, sama juga dengan pengamal media dan sebagainya.

“Golongan yang memang tidak dapat hadir wajarlah diberi undi awal dan ia boleh dipertimbangkan. Isu utama yang dibangkitkan Pakatan Rakyat selama ini adalah hapuskan undi pos supaya diganti dengan undi awal,” katanya.

Beliau berharap Kerajaan Pusat menunaikan dulu tuntutandibuat pihaknya selama ini sebelum cuba untuk membuat pendekatan baru dalam proses pengundian kepada golongan yang dimaksudkan itu.

http://www.sinarharian.com.my/politik/PAS -kelantan-tuntut-spr-mansuh-dulu-undi-pos-1.3184 [31 Oktober 2011]

PAS persiapkan calon PRU

Oleh : MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
Tarikh : December 3, 2011

KOTA BHARU - PAS Kelantan memuktamadkan senarai calon untuk bertanding di Pilihan Raya Umum 13 (PRU 13) dengan mengemukakan beberapa nama baru untuk mempertahankan penguasaan Kerajaan Negeri lebih 20 tahun.

Bagi tujuan tersebut, Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan nama-nama berkenaan kepada PAS Pusat untuk dipertimbangkan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS III negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya mengemukakan beberapa calon baru untuk menggantikan wakil rakyat yang menarik diri atas pelbagai faktor seperti kesihatan.

“Insya-Allah calon tersebut yang terbaik dari segi peluang kita yakin peluang mempertahankan Kelantan cerah kerana tidak banyak isu yang boleh dimainkan Umno, sebab itu isu air dibangkitkan.

“Namun saya percaya ia tidak menjejaskan penguasaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

http://www.sinarharian.com.my/politik/pas-persiapkan-calon-pru-1.9519 [3 Disember 2011]


PAS sambut baik cadangan sumpah bai’ah Umno

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 4, 2011

KOTA BHARU – PAS Kelantan menyambut baik cadangan seorang perwakilan supaya Umno turut mengamalkan pendekatan sumpah bai’ah seperti Pas bagi mengelak perbuatan khianat dan sabotaj ketika menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yussof, berkata, cadangan Umno itu membuktikan amalan yang dilakukan PAS selama ini adalah betul sehingga terdapat cadangan menirunya.

“Jika Umno juga tiru amalan itu, PAS sambut baiklah. Ia bukti kukuh pendekatan dibawa PAS selama ini di landasan betul. Jika tidak betul perwakilan Umno tidak akan membuat cadangan itu sehingga disambut setuju oleh perwakilan-perwakilan lain.

“Pas menganggap amalan yang dilakukan itu (bai’ah) selama ini benar dan memberi kebaikan kepada perjuangan parti. Kalau Umno hendak tiru baguslah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas cadangan Perwakilan Umno Terengganu, Kamarudin Omar kepada pucuk kepimpinan supaya mengadakan sumpah bai’ah di kalangan perwakilan untuk mengelak parti disabotaj oleh ‘pengkhianat’ dalam pilihan raya umum.

Dalam perhimpunan agung Umno itu, beliau dilaporkan menyebut, bai’ah itu juga bagi menyatakan sokongan kepada kepimpinan berhubung pemilihan calon boleh menang dalam pilihan raya itu.


PAS tidak gentar calon Umno

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh : November 12, 2011

KOTA BHARU – PAS Kelantan tidak gentar dengan kesediaan Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk menjadi bakal Menteri Besar kerana berkeyakinan rakyat negeri itu bijak menilai dan tetap memilih PAS sebagai pemimpin.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata, jika keperibadian Ketua Perhubungan Umno Kelantan itu menjadi faktor beliau dijadikan calon paling layak, lebih ramai lagi pemimpin PAS yang jauh lebih baik daripadanya.

“Kita tengok dulu rakyat Kelantan pilih beliau (Tok Pa) atau tidak dalam Pilihan Raya Umum (PRU)13 nanti. Jika Tok Pa dikatakan baik, bagi PAS lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin parti ini yang jauh lebih baik daripada beliau.

“Dulu pada PRU 2004, Tok Pa sudah dicalonkan sebagai bakal Menteri Besar tetapi rakyat Kelantan tetap tidak memilih beliau. Fakta sejarah membuktikan ketika itu beliau hampir menang tetapi rakyat negeri ini tidak memberi mandat kepadanya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan portal berita mengenai kesediaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu untuk berhadapan dengan kepimpinan Mursyidul Am PAS , Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mengetuai Kelantan jika Barisan Nasional berjaya mengambil alih negeri itu pada PRU 13.

Menurutnya, kenyataan Ahli Parlimen Jeli itu menunjukkan keyakinan beliau dalam pilihan raya akan datang tetapi keputusan itu terpulang kepada pucuk pimpinan Umno sendiri untuk memilih siapa yang layak.

Ini kerana, katanya, pada 2004 beliau bertanding dua kerusi dan hanya memenangi Dewan Undangan Negeri Ayer Lanas manakala empat tahun kemudian Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin pula digambarkan sebagai bakal Menteri Besar tetapi tumpas di kedua-dua kerusi.

Wan Nik berkata, beliau berpendapat kemungkinan Mustapa akan bertanding dua kerusi juga dalam PRU 13 nanti tetapi beliau perlu berwaspada kerana pengundi Kelantan mempunyai taktik dengan calon bertanding dua kerusi.

“Cara pengundi Kelantan jika seseorang calon itu bertanding dua kerusi, mereka akan bagi laluan kepada satu kerusi sahaja. Ia pernah berlaku kepada Tok Pa dulu. Namun Awang Adek tumPAS di kedua-dua kerusi yang dipertandingkan apabila rakyat Kelantan menolaknya pada 2008,” katanya.

Mustapa dilaporkan berkata, di bawah situasi normal, sesiapa sahaja ketua Umno negeri akan mengetuai (kerajaan) negeri jika menang (pilihan raya). Pertama, dia (ketua Umno negeri) akan mengetuai parti dalam pilihan raya.

”Ia laluan normal yang diambil, tetapi kita tidak boleh membuat andaian terlalu awal. Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menentukan perkara ini, saya akan ikut arahan sebagai ‘seorang pengikut setia anda’,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/PAS -tidak-gentar-calon-umno-1.5134 [12 Nov 2011]