11 December, 2011

Simpang siur hal Pilihan Raya

PAS Kelantan tuntut SPR mansuh dulu undi pos

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 31, 2011

KOTA BHARU – PAS Kelantan berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mansuhkan dulu undi pos sebelum bercadang membenarkan golongan pengundi dalam kalangan pengamal media, perubatan, penerbangan dan cari gali minyak mengundi pos atau undi awal.

Ketua Penerangannya, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sepatutnya SPR serius dengan tuntutan pihaknya supaya undi pos dimansuhkan kerana ia meragukan, tidak telus dan boleh dieksploitasi.

“Apa yang kita tuntut adalah mansuhkan undi pos. Tiba-tiba hendak tambah lagi kepada beberapa pemilih dalam sektor tertentu seperti perubatan, media dan sebagainya.

“Lagipun kategori golongan sibuk tu macam mana. Relatif. Cuma setahun sekali keluar sekejap untuk menunaikan tanggungjawab mengundi takkan tidak boleh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mempertikaikan cadangan SPR untuk membenarkan pemilih termasuk pemberita, juruterbang, doktor dan mereka yang bekerja dalam industri cari gali minyak mengundi secara pos atau mengundi awal bersama polis dan tentera pada PRU-13.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff pula berpendapat cadangan SPR itu perlu diperkemas supaya golongan dalam beberapa sektor pekerjaan itu hanya dibenarkan undi awal dan bukannya undi pos.

“Jika undi pos ia boleh dimanipulasikan dan itu yang dibimbangkan. Bagaimanapun doktor ada waktu tertentu yang mereka boleh keluar mengundi, sama juga dengan pengamal media dan sebagainya.

“Golongan yang memang tidak dapat hadir wajarlah diberi undi awal dan ia boleh dipertimbangkan. Isu utama yang dibangkitkan Pakatan Rakyat selama ini adalah hapuskan undi pos supaya diganti dengan undi awal,” katanya.

Beliau berharap Kerajaan Pusat menunaikan dulu tuntutandibuat pihaknya selama ini sebelum cuba untuk membuat pendekatan baru dalam proses pengundian kepada golongan yang dimaksudkan itu.

http://www.sinarharian.com.my/politik/PAS -kelantan-tuntut-spr-mansuh-dulu-undi-pos-1.3184 [31 Oktober 2011]

PAS persiapkan calon PRU

Oleh : MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
Tarikh : December 3, 2011

KOTA BHARU - PAS Kelantan memuktamadkan senarai calon untuk bertanding di Pilihan Raya Umum 13 (PRU 13) dengan mengemukakan beberapa nama baru untuk mempertahankan penguasaan Kerajaan Negeri lebih 20 tahun.

Bagi tujuan tersebut, Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan nama-nama berkenaan kepada PAS Pusat untuk dipertimbangkan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS III negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya mengemukakan beberapa calon baru untuk menggantikan wakil rakyat yang menarik diri atas pelbagai faktor seperti kesihatan.

“Insya-Allah calon tersebut yang terbaik dari segi peluang kita yakin peluang mempertahankan Kelantan cerah kerana tidak banyak isu yang boleh dimainkan Umno, sebab itu isu air dibangkitkan.

“Namun saya percaya ia tidak menjejaskan penguasaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

http://www.sinarharian.com.my/politik/pas-persiapkan-calon-pru-1.9519 [3 Disember 2011]


PAS sambut baik cadangan sumpah bai’ah Umno

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 4, 2011

KOTA BHARU – PAS Kelantan menyambut baik cadangan seorang perwakilan supaya Umno turut mengamalkan pendekatan sumpah bai’ah seperti Pas bagi mengelak perbuatan khianat dan sabotaj ketika menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yussof, berkata, cadangan Umno itu membuktikan amalan yang dilakukan PAS selama ini adalah betul sehingga terdapat cadangan menirunya.

“Jika Umno juga tiru amalan itu, PAS sambut baiklah. Ia bukti kukuh pendekatan dibawa PAS selama ini di landasan betul. Jika tidak betul perwakilan Umno tidak akan membuat cadangan itu sehingga disambut setuju oleh perwakilan-perwakilan lain.

“Pas menganggap amalan yang dilakukan itu (bai’ah) selama ini benar dan memberi kebaikan kepada perjuangan parti. Kalau Umno hendak tiru baguslah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas cadangan Perwakilan Umno Terengganu, Kamarudin Omar kepada pucuk kepimpinan supaya mengadakan sumpah bai’ah di kalangan perwakilan untuk mengelak parti disabotaj oleh ‘pengkhianat’ dalam pilihan raya umum.

Dalam perhimpunan agung Umno itu, beliau dilaporkan menyebut, bai’ah itu juga bagi menyatakan sokongan kepada kepimpinan berhubung pemilihan calon boleh menang dalam pilihan raya itu.


PAS tidak gentar calon Umno

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh : November 12, 2011

KOTA BHARU – PAS Kelantan tidak gentar dengan kesediaan Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk menjadi bakal Menteri Besar kerana berkeyakinan rakyat negeri itu bijak menilai dan tetap memilih PAS sebagai pemimpin.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata, jika keperibadian Ketua Perhubungan Umno Kelantan itu menjadi faktor beliau dijadikan calon paling layak, lebih ramai lagi pemimpin PAS yang jauh lebih baik daripadanya.

“Kita tengok dulu rakyat Kelantan pilih beliau (Tok Pa) atau tidak dalam Pilihan Raya Umum (PRU)13 nanti. Jika Tok Pa dikatakan baik, bagi PAS lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin parti ini yang jauh lebih baik daripada beliau.

“Dulu pada PRU 2004, Tok Pa sudah dicalonkan sebagai bakal Menteri Besar tetapi rakyat Kelantan tetap tidak memilih beliau. Fakta sejarah membuktikan ketika itu beliau hampir menang tetapi rakyat negeri ini tidak memberi mandat kepadanya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan portal berita mengenai kesediaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu untuk berhadapan dengan kepimpinan Mursyidul Am PAS , Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mengetuai Kelantan jika Barisan Nasional berjaya mengambil alih negeri itu pada PRU 13.

Menurutnya, kenyataan Ahli Parlimen Jeli itu menunjukkan keyakinan beliau dalam pilihan raya akan datang tetapi keputusan itu terpulang kepada pucuk pimpinan Umno sendiri untuk memilih siapa yang layak.

Ini kerana, katanya, pada 2004 beliau bertanding dua kerusi dan hanya memenangi Dewan Undangan Negeri Ayer Lanas manakala empat tahun kemudian Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin pula digambarkan sebagai bakal Menteri Besar tetapi tumpas di kedua-dua kerusi.

Wan Nik berkata, beliau berpendapat kemungkinan Mustapa akan bertanding dua kerusi juga dalam PRU 13 nanti tetapi beliau perlu berwaspada kerana pengundi Kelantan mempunyai taktik dengan calon bertanding dua kerusi.

“Cara pengundi Kelantan jika seseorang calon itu bertanding dua kerusi, mereka akan bagi laluan kepada satu kerusi sahaja. Ia pernah berlaku kepada Tok Pa dulu. Namun Awang Adek tumPAS di kedua-dua kerusi yang dipertandingkan apabila rakyat Kelantan menolaknya pada 2008,” katanya.

Mustapa dilaporkan berkata, di bawah situasi normal, sesiapa sahaja ketua Umno negeri akan mengetuai (kerajaan) negeri jika menang (pilihan raya). Pertama, dia (ketua Umno negeri) akan mengetuai parti dalam pilihan raya.

”Ia laluan normal yang diambil, tetapi kita tidak boleh membuat andaian terlalu awal. Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menentukan perkara ini, saya akan ikut arahan sebagai ‘seorang pengikut setia anda’,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/PAS -tidak-gentar-calon-umno-1.5134 [12 Nov 2011]

No comments: