07 June, 2020

COVID-19: PKPP Pemacu PENJANA

Hari ini Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP) yang  menyambung PKP Bersyarat  (PKPB) akan bermula pada 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020. Ia diumumkan setelah 35 hari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan iaitu mulai 4 Mei 2020. Penguatkuasaan PKPP ini juga adalah dilaksanakan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit).
Pada petang Jumaat yang lalu Perdana Menteri juga telah mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA dengan 40 inisiatif bernilai RM35 billion untuk menjayakan usaha pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19. Tiga kategori PENJANA, iaitu memperkasakan rakyat (11 Inisiatif), melonjakkan perniagaan (14 Inisiatif), dan meransang ekonomi (15 Inisiatif). Butiran inisiatif boleh dibaca di sini (40 inisiatif).

PENJANA sebagai satu pendekatan ransangan yang lebih meluas melibatkan lebih banyak sektor ekonomi yang dijangka memberi impak kepada meningkatkan kerancakan ekonomi rakyat dan Negara. 
Sebelum ini, Kerajaan telah mengambil pendekatan agresif menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac sehingga 12 Mei 2020 (empat tahap - 18-31 Mac; 1-14 April; 15-28 April; 29 April-3 Mei (12 Mei)/47 hari), dan kemudiannya disusuli dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei-9 Jun 2020 (37 hari), iaitu beberapa sektor ekonomi telah dibenarkan beroperasi secara terkawal mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Penguatkuasaan PKPP mulai 10 Jun 2020 pula merupakan pelaksanaan secara berperingkat oleh Kerajaan bagi memastikan Negara dapat melalui fasa pemulihan dalam penularan COVID-19 ini.

Justeru PKPP bakal menjayakan fasa pemulihan adalah berteraskan 7 Strategi iaitu:
• Pengukuhan Kesihatan Awam;
• Perundangan dan Penguatkuasaan;
• Pengukuhan Kawalan Sempadan;
• Pembukaan Sepenuhnya Sektor Ekonomi;
• Pembudayaan Kebiasaan Baharu;
• Pemerkasaan Tanggungjawab Komuniti;
• Perlindungan Golongan Berisiko.


Strategi-strategi ini merupakan sambungan daripada pelaksanaan PKPB dalam menangani dan membendung wabak COVID-19. Maka menerusi PKPP ini akan menjadi pemacu PENJANA apabla lebih banyak sektor ekonomi, aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan dan perniagaan akan dibuka. Pergerakan masyarakat juga diberi kelonggaran. Pastinya ini akan dilaksana berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Pendekatan ini diharap dapat mengimbangi nyawa dan mata pencarian (lives and livelihoods), sebagai  sebahagian daripada pemulihan (soft landing) dan seterusnya menyediakan Negara bagi strategi keluar atau “exit strategy”.

Namun begitu, pelaksanaan PKPB dan juga PKPP hanya akan berjaya dengan pematuhan semua pihak terhadap SOP yang telah ditetapkan, dan juga penglibatan komuniti dalam sama-sama membudayakan norma baharu dalam kehidupan seharian kita. Di atas asas ini, semua lapisan masyarakat sewajarnya terus patuh kepada SOP dan kekal waspada bagi memastikan rantaian penularan Wabak COVID-19 dapat diputuskan dalam komuniti. Ins sya Allah.
Situasi Wabak COVID-19 

Hari ini (7 Jun 2020), peringkat Global menunjukkan jumlah Wabak COVID-19 mencecah 7.04 juta yang positif dengan 403,347 orang telah meninggal dunia. KKM melaporkan 19 kes baharu Wabak COVID-19 di Negara kita. Maka jumlah kumulatif positif adalah sebanyak 8,322 kes
Berikut merupakan perkembangan harian Wabak COVID-19 di Malaysia yang dicatatkan di dalam temoh PKPB (4 Mei sehingga hari ini, 7 Jun).
Pembahagian kluster daripada 19 kes baharu yang dilaporkan, enam (6) kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Lagi 13 kes merupakan kesan penularan tempatan, iaitu dua (2) kes adalah Bukan Warganegara dan 11 kes adalah warganegara Malaysia.
Perincian bagi 11 kes dalam kalangan warganegara ada seperti berikut:-
Enam (6) kes di Selangor: 
dua (2) kes saringan pusat rehabilitasi di Dengkil; dua (2) kes saringan madrasah tahfiz; satu (1) kes Orang Kena Tahan (OKT) di Ibu Pejabat Polis Daerah di Sabak Bernam;  satu (1) kes saringan tempat kerja di Klang; Dua (2) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Satu (1) kes di Kluster Pangsapuri Cheras; Satu (1) kes bagi Kluster Gombak (kluster baharu), iaitu saringan kontak rapat kes 7064 dan kes 7246; Satu (1) kes saringan pekerja kilang di Seremban, Negeri Sembilan; Dua (2) kes di Sabah bagi saringan kontak rapat (ahli keluarga) kepada kes 3,641 dan kes 4,537. 
Sementara itu, sebanyak 39 kes dirawatpulih hari ini yang menjadikan jumlah kes aktif (sedang dirawat) dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah sebanyak 1,531 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Daripada jumlah ini, seramai lima (5) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada maklumat terkini yang dilaporkan bahawa terdapat tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 117 kes (1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Ingatlah pesanan KKM: Kita jaga diri kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga komuniti kita, dan kita jaga Negara. Kalau bukan kita, siapa lagi.


No comments: