Kerajaan Pusat sudah melaksanakan rasionalisasi ekonominya menerusi
pendekatan menaikkan harga barangan dan caj tenaga serta yang terbaru cadangan
menaikkan bayaran tol lebuh raya. Ia adalah lanjutan daripada siri-siri
kenaikan harga barangan asas selepas pilihan raya umum yang ketika kempen pihak
Barisan Nasional menjanjikan untuk mengurang kos sara hidup rakyat. Namun apa
yang berlaku ialah kerajaan Pusat telah bertindak menaikkan harga petrol, disel
dan gas. Seperti mana pada 3 September lalu harga petrol RON95 dan disel
dinaikkan kepada 20 sen menyambung daripada siri-siri kenaikan harga sebelum
ini.
Walau pun pihak Kerajaan Pusat diterajui Barisan Nasional cuba memujuk
rakyat dengan mengadakan beberapa pendekatan, namun Menteri Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hassan Malik cuba memujuk rakyat semasa
perasmian kedai rakyat satu Malaysia (KR1M) di Tawau Sabah (15 September 2013).
Katanya, kerajaan membuka KR1M dan bersedia menjual sebanyak 397 jenis barangan
pengguna pada harga berpatutan adalah satu langkah kerajaan yang menepati
janji.
Kenyataan ini adalah permainan wayang yang cuba mempersedakan rakyat. Ia
ditambah buruk lagi dengan sikap pemimpin Barisan Nasional yang menghiburkan
rakyat dengan segala-gala pemberian termasuk BR1M, insuran satu Malaysia dan
pelbagai skim kredit atas jenama satu Malaysia.
KR1M bukan penyelesaian
Persoalannya, apakah KR1M ini menjual barangan lapuk dan tidak terikat
dengan kenaikan kos-kos berkaitan dalam produksi barang. Jawapnya, mustahil
KR1M menjual barangan yang bebas daripada segala-gala kenaikan kos-kos
berkait. Maksudnya, roti atau biskut
yang dijual adalah barangan dari kilang yantg dijanakan oleh tenaga elektirik
atau minyak dan gas (telah dinaikkan caj), dan ini sudah tentu memberi kesan
kenaikan kos pengeluaran. Justeru KR1M
terpaksa juga menjual pada harga yang untung demi survival. Maka harga barangan
keperluan asas di KR1M tidak boleh dielak, kenalah menjual pada harga yang untung
(selepas mengambil kira kenaikan kos).
Misalnya harga gula (berat
sekilogram) bertapis kasar ialah RM2.84
dan bertapis halus RM2.94. Logiknya harga gula dijual pada harga RM3.00 sekilo.
Mungkin kebaikan di KR1M hanya dari segi pilihan antara mahu membeli barangan
import yang mahal atau barangan tempatan yang murah. Natijahnya barangan
tempatan lebih murah kerana tiada cukai import. Apa yang pasti harga jualannya
tetap pada harga yang untung setelah mengambil kira kos pengeluaran yang
bertambah kesan kenaikan kos-kos pengeluaran.
Sementara kos bahan asas pengeluaran
satu-satu barangan (produk) pula adalah mengambil kira harga bahan tenaga yang
menjana mesin dan pengangkutan kilang serta bahan mentah. Maka kesannya
kenaikan minyak dan gas memungkinkan caj (bil elektrik dan gas) sumber asas
bahan tenaga dinaikan. Kesan yang sama berlaku ke atas kos pengangkutan bahan
mentah (contohnya tepung gandum) yang terpaksa juga dinaikkan. Justeru logiklah
produk kilang (misalnya roti dan biskut) itu dinaikkan. Kalau sebelum ini satu
pek roti saiz jumbo berharga RM2.80, tetapi kini terpaksa dijual dengan harga
untung pada saiz sama ialah RM3.20. Secara langsung kos makanan untuk roti sudah meningkat 40
sen bagi satu hari atau sebanyak RM12.00 sebulan. Sudah tentu unjuran kenaikan
banyak lagi barangan pengguna yang lain akan melalui kadar kenaikan tertentu.
Jika purata satu barang asas (roti) mengalami kenaikan RM12 sebulan, bayangkan
berapa kos yang meningkat terpaksa ditanggung pula jika setiap bulan kita
terpaksa menggunakan 10 bahan keperluan asas (beras, minyak masak, gas,
elektirik, bawang, lada, ikan, ayam, sabun dan air), maka purata kenaikan kos
keperluan bahan asas sudah melebihi RM100 sebulan. Jika setiap keluarga atau
individu menggunakan sekitar 100 jenis barangan asas setiap bulan maka, tidak
dinafikan kenaikan kos bulanan sudah melebihi RM1,000 sebulan.
Atas rasional pengiraan mudah ini, pendekatan KR1M bukanlah satu
penyelesaian. Maka amatlah tidak popular bagi sebuah kerajaan cuba mengimbangi
kenaikan kos dan kesan himpitan ekonomi semasa dengan cara pendekatan
rasionalisasi harga, iaitu menaikan harga dan cukai barangan pengguna.
Justeru pendekatan PAS dan Pakatan Rakyat membina kesedaran bersama-sama NGO
untuk mendesak pihak Kerajaan Barisan Nasional agar menurunkan harga bahan asas
seperti caj elektrik, minyak dan gas serta cukai perkhidmatan (baca: GST akan
kenakan) dan sebagainya adalah sesuatu yang harus disokong.
Meneteri Besar sokong
Selari dengan hasrat dan kesedaran inilah, pihak Menteri Besar Kelantan,
Ustaz Dato’ Ahmad Yakob telah menyatakan sokongan penuh kepada usaha bagi
mengadakan perhimpunan untuk membantah kenaikan harga dan turut bersetuju
dengan pendirian NGO, Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) mengajurkan Himpunan
Amarah Rakyat di Dataran Merdeka pada malam 31 Disember nanti. Ia bukanlah
himpunan mengguling kerajaan sebagaimana difitnahkan oleh media pro-Barisan
Nasional. Ini kerana himpunan mengguling kerajaan sebenarnya berlaku di Kota
Bangkok. Himpunan amarah (mendesak diturunkan harga) ini adalah himpunan
membela rakyat.
Justeru pendirian Kerajaan Negeri Kelantan ini turut disokong oleh Pemuda
PAS Kelantan menerusi kenyataan Ketua Pemuda, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang
bersedia menghantar ahli pemudanya untuk hadir menyertai himpunan tersebut. Ini
adalah keprihatinan warga Kelantan atas komitmen bagi memperjuangkan kesejahteraan
hidup rakyat berdepan dengan himpitan hidup angkara pentadbiran boros dan
ketirisan Kerajaan Barisan Nasional. Ia juga adalah terjemahan secara langsung
pendirian Kerajaan Negeri Kelantan sebagaimana terkandung dalam tawaran pilihan
raya lalu.
Semoga kesedaran dan bangkitnya rakyat menyatakan bantahan (baca: amarah)
akan membangkit tindakan balas Kerajaan Pusat agar bersedia melaksanakan
pertimbangan sewajarnya untuk menyeimbangi himpitan ekonomi melampau hari ini. Inilah
prinsip perjuangan Pakatan Rakyat, sentiasa bersama rasa dan denyut nadi rakyat
bagi kesejahteraan rakyat.
No comments:
Post a Comment