29 December, 2013

Kepimpinan baru PAS: Gandingan mantap mencapai rahmat

Pada 1 Disember 2013 berlansungnya mesyuarat pertama selepas Muktamar PAS ke-59. Ia disusuli kemudiannya ((17 Disember) satu mesyuarat pembentukan saf kepimpinan PAS Pusat bagi sesi 2013-2015. Hasilnya PAS dilihat berjaya mempamerkan suatu wajah kepimpinan yang diyakini mampu berganding erat dengan saf kepimpinan yang terpilih pada muktamar lalu.  Ia juga bakal mantap sebaik rasminya perlantikan di peringkat lajnah-lajnah dan perhubungan negeri-negeri/wilayah.

Sehubungan itu, PAS Pusat dijangka bakal meneruskan pelaksanaan agenda perjuangan yang lebih segar dan bertenaga mendepani cabaran dan harapan umat Islam. Lebih-lebih lagi di dalam merencana pelan tindakan mengatasi segala kelemahan yang ditemui ketika pilihan raya umum yang lalu. Termasuklah mengambil tanggungjawab atas setiap isu yang dibangkitkan oleh para perwakilan muktamar.

Selanjutnya, menjadi tugas PAS di negeri-negeri/wilayah pula untuk membentuk saf kepimpinan agar memenuhi tuntutan perjuangan, termasuklah merealisasikan tema ucapan dasar ’Rahmat untuk Semua’ seperti yang diucapkan oleh Presiden PAS.

Berdasarkan perkembangan terakhir (hal pembentukan saf kepimpinan), didapati hampir semua negeri telah membentuk jawatankuasa harian masing-masing. Cuma belum ada pengumuman (semasa tulisan disiap) ialah daripada PAS Sabah dan Sarawak.

Gandingan mantap

Sebagaimana diumumkan, saf kepimpinan baru kali ini merupakan suatu gandingan mantap antara kepimpinan generasi lama dengan yang baru.  Ini kerana pada pemilihan lalu, ada sebahagiannya terpilih daripada kepimpinan dari generasi baru (contohnya Ustaz Nasarudin, Ustaz Nik Mohamad Abduh, Ustaz Redhuan dan Ustaz Datuk Nik Zawawi) dan sudah tentu sebahagian besarnya adalah juga generasi lama yang cukup berpengalaman.

Ekoran itu, menerusi kuasa perlantikan (hasil cadangan Presiden dan persetujuan secara kolektif ahli mesyuarat), terserlah pula semangat kebersamaan dalam menggandingkan generasi lama dan baru dalam saf kepimpinan PAS Pusat. Ia suatu kematangan yang dikongsi atas nama amalan berjamaah (baca: musyawarah), terutama dalam membariskan susunan perjawatan (melalui lantikan dan pemilihan). Justeru amat tepat, perlantikan semula tokoh berpengalaman iaitu Datuk Haji Mustafa Ali selaku Setiausaha Agung,  bakal memacu suatu gerak kerja kesetiausahaan Pejabat Agung. Lebih-lebih lagi apabila mengekalkan sama Datuk Takiyudin Hassan bersama dua orang lagi bakat baru selaku Penolong Setiausaha Agung. Demikian pula perlantikan Bendahari yang baru, Haji Asmuni Awi, seorang peguam yang turut berpengalaman dengan perniagaan. Ia diperkukuhkan lagi dengan perlantikan Ketua Penerangan yang baru Datuk Mahfuz Omar, mantan Naib Presiden sesi lalu yang teruji dalam membangkitkan isu-isu rakyat.  Turut dilantik semula Dr. Mohd Hatta Ramli sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya bagi meneruskan khidmat menggalas jalan ke Putrajaya untuk mencipta kemenangan.

Pesuruhjaya harapan PAS Negeri

Sementara perlantikan pesuruhjaya PAS di negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan, menyaksikan tujuh pesuruhjaya dikekalkan dan tujuh lagi dilantik yang baru. Negeri yang menerima lantikan Pesuruhjaya baru ialah Pulau Pinang (Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden), Kelantan (Ustaz Datuk Haji Ahmad Yakob, Timbalan Ketua Ulama Pusat merangkap Menteri Besar), Terengganu (Ustaz Saiful Bahri Mamat, Adun dan mantan Timbalan Pesuruhjaya), Johor  (Aminulhuda Hassan, Adun dan mantan Timbalan Pesuruhjaya), Selangor (Ir. Iskandar Abdul Samad, Exco Kerajaan Negeri Selangor dan mantan Timbalan Pesuruhjaya), Perak (Razman Zakaria, Yang Dipertua Lenggong dan mantan Timbalan Pesuruhjaya) dan Perlis (Mohd Shukri Ramli, Adun dan mantan Setiausaha Perhubungan).

Pesuruhjaya yang dikekalkan ialah Pahang (Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man), Melaka (Adly Zahari), Negeri Sembilan (Mohd Taufek Abdul Ghani), Kedah (Datuk Mahfuz Omar), Wilayah Persekutuan (Mohammad Noor Mohammad), Sabah (Mohd Aminuddin Aling) dan Sarawak (Adam Ahid).

Berdasarkan senarai saf kepimpinan tersebut, diyakini lantikan baru mahu pun lantikan semula diputuskan berdasarkan matlamat  ke arah keutuhan misi perjuangan dalam menarik sokongan dan memenuhi harapan rakyat di setiap negeri. Ini kerana mereka yang dilantik itu memiliki gaya ketokohan (baca: berkepimpinan) cukup berpengalaman di peringkat negeri/wilayah masing-masing. Malah mereka memiliki pelbagai latar belakang kepakaran dan kebolehan. Ia dilihat suatu gandingan kepelbagaian (ulama, iktisas dan aktivis) yang pasti mampu membawa imej PAS bersama ’Kepimpinan Ulama’ menuju kejayaan pada masa depan.

Apapun kepelbagaian ini seharusnya disokong kuat oleh PAS negeri-negeri dan wilayah demi memastikan PAS dapat berperanan secara berkesan, terutama dalam memenuhi cita-cita perjuangan bersama Pakatan Rakyat. Sebagaimana harapan mantan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Saleh Man dalam mengalu-alukan perlantikan Timbalan Presiden, Haji Mohamad Sabu selaku Pesuruhjaya, pemilihan Mohamad jelasnya, “amat bertepatan kerana ia menyenangkan persefahaman dan tindakan untuk menjaga kepentingan hubungan dalam Pakatan Rakyat khasnya di Pualau Pinang. Malah amat tepat demi memanjangkan pertalian dalam perjuangan memartabatkan PAS ke satu tingkat yang lebih baik."

Realiti atas keyakinan seperti yang ditunjukkan Ustaz Saleh itu amat penting demi melihat PAS terus maju dalam mencorakkan penguasaan politik di peringkat negeri-negeri/wilayah. Justeru komitmen sedemikian juga turut dikongsi oleh mereka yang baru dilantik sebagai Pesuruhjaya. Antaranya, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat menganggapkan “kepimpinan adalah amanah dan bukannya ghanimah.” Bermakna penerimaan perlantikan harus dibuktikan dengan hasil perjuangan (mencapai kemenangan). Ia turut berkongsi sama dengan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang menganggap jawatan yang baru diamanahkan adalah satu tanggungjawab yang besar bagi mengawal selia seluruh aktiviti serta program bagi mencapai matlamat merealiasasikan dasar dan objektif parti.  Sementara, Pesuruhjaya PAS Selangor yang baru, Ir. Iskandar manganggapkan perlantikan itu sebagai tugas besar bagi membawa PAS Selangor ke arah memenuhi isu dan hasrat ucapan dasar Presiden pada Muktamar PAS tahun ini, iaitu "Rahmat Untuk Semua" sebagai panduan kepada perancangan dan gerakerja pada sesi ini."


Justeru itu, fokus PAS setelah selesai semua urusan pembentukan saf kepimpinan ialah memastikan pelan tindakan yang berstrategik dapat dirangka bagi memastikan visi, misi dan objektif PAS di peringkat Pusat dan negeri-negeri/wilayah. Ia penting bagi mendepani apa jua cabaran, lebih-lebih lagi untuk mengisi ruang dan memanfaatkan peluang yang ada, berikutan kebobrokon kerajaan Barisan Nasional sekarang yang semakin menekan rakyat dalam pelbagai segi kehidupan. Semoga ketuntasan kepimpinan sesi kali ini sentiasa memberi rahmat kepada perjuangan Islam, sekaligus rahmat untuk semua. 

No comments: