11 September, 2012

PRU13: Benarkah SPR sudah siap sedia?


Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (Sinar Harian 8 September 2012) sudah sedia sepenuhnya untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan kini menanti tarikh pembubaran Parlimen.
Betulkah? Sedangkan apa yang diketahui umum semacam ada percanggahan antara persediaan SPR dengan cadangan penambahbaikan pengurusan pilihan raya. Lebih-lebih lagi apabila membandingkan antara lapan tuntutan BERSIH 3.0 dengan kesanggupan SPR dan persetujuan pihak kerajaan melakukan penambahbaikan menerusi penubuhan cadangan jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSC).
Sekiranya mengambil perhatian apa yang dinyatakan pengerusi SPR, iaitu “persediaan yang dibuat telah mencapai 85 peratus dan selebihnya hanya menunggu pembubaran Parlimen sahaja.” Ini bermakna semua lapan tuntutan penambahbaikan tersebut sudah dibuat. Termasuklah kesemua cadangan PSC sudah diambil kira.
Logikkah penegasan pengerusi SPR bahawa “yang belum siap hanya tunggu Dewan Rakyat dibubarkan untuk proses tempahan dan beli peralatan.” Jika meneliti kepada lapan tuntutan BERSIH 3.0 dengan syor PSC, maka ini suatu kenyataan yang mengelirukan bagi warga negara yang ingin melihat proses pilihan raya pada PRU13 untuk pertama kali berlaku secara adil, bersih dan telus.

Ingat semula tuntutan BERSIH 3.0
Asas yang mengelirukan itu ialah kerana di hadapannya telah ada dua kumpulan fakta penambahbaikan yang memerlukan komitmen pelaksanaan oleh SPR dan pihak kerajaan sendiri. Pertama, lapan tuntutan BERSIH 3.0 dan keduanya, 22 syor pihak PSC yang ditubuh sendiri oleh kerajaan.
Mengingati 28 April 2012 yang lalu, berlaku rangkuman sejarah demokrasi di Malaysia yang penuh tragis di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Sebuah demokrasi yang cuba ditegakkan atas lapan tunutan bagi mencapai impian proses pilihan raya yang adil, bersih dan telus.
Lapan tuntutan itu ialah:
1.       Bersihkan Senarai Undi,
2.      Mereformasikan Undi Pos,
3.      Gunakan Dakwat Kekal,
4.      Akses Media Bebas dan Adil,
5.      Masa Kempen Minima 21 Hari,
6.      Kukuhkan Institusi Awam,
7.      Hentikan Rasuah
8.     Hentikan Politik Kotor.
Sementara itu pihak penganjur BERSIH 3.0 dilaporkan berkata, hanya penggunan dakwah kekal untuk dicalit pada jari telunjuk pengundi sahaja yang sebenarnya sudah dilayan. Ia bermaksud, hanya 12.5 peratus sahaja urusan penambahbaikan proses pilihan raya untuk PRU13 nanti yang diambil tindakan oleh SPR atau kerajaan.
Walaupun begitu pihak SPR dikatakan sudah memberi perhatian juga untuk melakukan reformasi pengundian pos melalui cadangan pengundian awal (advance voting). Namun di sebaliknya, ada pula peraturan yang membolehkan isteri tentera yang asalnya bertaraf pengundi biasa telah didaftarkan sebagai pengundi pos. Tindakan ini sudah dianggap bertentangan dengan semangat penambahbaikan yang diperjuangkan oleh gerakan BERSIH 3.0.
Justeru  sehingga kini, belum ada apa-apa peraturan rasmi mengenai pengundian awal yang boleh diteliti. Sementara pihak parti pula masih belum menerima apa-apa panduan rasmi daripada SPR. Apa yang didedahkan dalam kursus anjuran SPR hanyalah tatacara mengundi melibatkan penggunaan dakwat kekal. Sedangkan tatacara pengundian awal masih tergantung dan apakah persidangan parlimen terdekat ini bakal diusulkan tatacara berkenaan?
PSC hanya helah?
Pada 2 Oktober 2011, PSC ditubuhkan yang keanggotannya melibatkan ahli parlimen dari wakil parti termasuk Pakatan Rakyat. Ia dipengerusi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili. Hasil kajian PSC sebanyak 22 syor telah dibentangkan di Dewan rakyat pada 3 April 2012. Topik penting 22 syor itu melibatkan:
1.       Rakyat Malaysia di luar negara boleh mengundi di Perwakilan Malaysia atau secara pos
2.      Pengundi luar kawasan
3.      Tarikh pembubaran Parlimen
4.      Kerajaan sementara
5.      Penguatkuasaan peraturan sedia ada berhubung kesalahan memberikan maklumat palsu dalam urusan pendaftaran
6.      Akses media yang bebas dan saksama
7.      Pembersihan daftar pemilih yang berterusan
8.     Penelitian daftar pemilih bagi alamat-alamat yang mempunyai ramai pemilih berdaftar
9.      Bantahan terhadap daftar pemilih yang telah diperakui melalui aduan atau maklum balas daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya
10.  Penggunaan alamat selain alamat mastautin pada kad pengenalan sebagai alamat pendaftaran untuk menentukan bahagian pilihan raya.
11.   Memperkasakan kedudukan SPR
12.  Penstrukturan dan pengukuhan SPR
13.  Pengasingan fungsi utama SPR
14.  Pengagihan kerusi Dewan Rakyat bagi negeri Sabah dan Sarawak
15.   Persempadanan bahagian pilihan raya yang seimbang
16.  Memberi kemudahan mengundi secara pos kepada petugas SPR dan media
17.   Membenarkan prapendaftaran seseorang warganegara untuk didaftarkan sebagai pemilih apabila mencapai umur 20 tahun
18.  Memanjangkan tempoh berkempen
19.  Persempadanan bahagian pilihan raya yang seimbang
20. Kajian ke arah pendaftaran secara automatik
21.  Peruntukan dana kepada parti politik
22. Sistem pilihan raya baru.

Penilaian syor PSC
Majlis Peguam Malaysia pula mendapati syor yang disenaraikan PSC adalah positif dan langkah yang betul, tetapi tiada syor komprehensif bagi merealisasikan pilihan raya yang adil dan bebas. Antara yang dipertikaikan ialah kegagalan menangani daftar pemili. Dalam hal ini, SPR telah menyatakan enam daripada 10 syor awal tidak diterima. Sementara beberapa syor gagal diperincikan seperti akses kepada media. Ia mungkin disebabkan Laporan PSC itu diluluskan tanpa perbahasan terperinci dan tiada komitmen balas pihak kerajaan.
 
Apa pun dikatakan hanya satu tuntutan yang ditolak PSC, iaitu tuntutan berkaitan masa berkempen yang dipanjangkan kepada minimum 21 hari dengan alasan tempoh tersebut terlalu lama dan memerlukan kos yang tinggi. Penolakan ini sepatutnya disokong oleh penerima syor akses media yangh adil. Malangnya ia tidak berlaku demikian. Apa yang diterima hanyalah kesanggupan membenarkan tempoh berkempen selama 7 hari sebelum ini dipanjangkan kepada 10 hari sahaja.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar menjelaskan ada sebahagian besar daripada 22 syor yang dikemukakan oleh PSC melibatkan soal dasar, yang melibatkan keputusan kerajaan dan pembabitan agensi-agensi lain dalam membuat keputusan. Oleh itu, pelaksanaan dijangka memakan masa. Malah, pelaksanaan sebahagian besar syor PSC juga memerlukan persetujuan kerajan, selain memerlukan pindaan perlembagaan. Atas asas ini, pihak SPR berpendapat sebahagian besar syor tidak dapat dilaksanakan ketika PRU13.

Realitinya, penubuhan PSC sudah dilihat sebagai helah kerajaan kononya sedia melayani tuntutan BERSIH 3.0. Ini kerana, tidak berlaku suatu perkembangan yang benar-benar positif atas segala PSC yang menyumbangkan kepada pelaksanaan pilihan raya yang adil, bersih dan telus sebagai mana diimpikan banyak pihak.

PRU13 bakal tiba
Walau pun pihak SPR dan kerajaan dominasi Umno hari ini masih liat untuk melakukan penambahbaikan proses pilihan raya, adat undang-undang yang diamalkan pilihan raya tetap diadakan.
Bayangan mandat semasa Kerajaan dominasi Umno dikatakan akan berakhir pada 28 April 2013. Jika Parlimen dibubarkan pada tarikh akhir ini, maka PRU13 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu atau sebelum 28 Jun 2013.
Mungkin tarikh yang tragis boleh dipilih jika pilihan raya hendak diadakan pada tahun hadapan ialah pada 13 Mac 2013 bersamaan 13.3.13 sebagai mengenang persitiwa transisi politik negara yang berlaku pada 13 Mei 1969. 

No comments: