11 September, 2012

Antara hudud dan isu teka teki PRU13


Angin bertiup kencang mengenai teka-teki pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada September ini. Kini teka-teki itu mulai reda. Ia diredakan oleh beberapa kayu ukur yang sudah rapuh. Baru-baru ini, pihak perdana menteri sudah menaja beratus-ratus jemaah haji ke tanah suci Mekah. Jemaah itu adalah dipilih berdasarkan merit ‘orang yang berjasa’ mengikut sisi pandang Umno. Sebahagian jemaah itu akan berpergian ke tanah suci dalam Syawal ini. Jika PRU13 diadakan sudah tentu mereka kecewa.

Demikian pula, Suruhanjaya Pilihan Raya dimaklumi akan membawa cadangan pindaan peraturan pilihan raya dalam persidangan parlimen yang dijadual bermula 24 September depan. Kemudian 28 September, Bajet 2013 akan dibentang dan pihak perdana menteri dijangka mengumum peruntukan besar berupa ‘gula dan madu’ pilihan raya termasuk bayaran bantuan rakyat 1Malaysia RM500 pusingan kedua.

Merencana agenda perubahan
Justeru pihak Umno sudah merencana isu-isu yang terbaik untuk BN sendiri meraih kemenangan besar pada pilihan raya nanti. Tidak terkecuali pihak Pakatan Rakyat juga dikatakan telah menyusun beberapa isu yang harus diutamakan bagi mengasak dan memaut keyakinan rakyat bagi menjaya agenda perubahan pada PRU13.

Meskipun demikian, kerancakan putaran isu itu turut membangkitkan semula isu hudud yang menampak sedikit kekalutan dan kecelaruan antara kedua pihak – BN dan Pakatan Rakyat. Ini kerana ramai pihak tampil dengan nada bersetuju dan tidak bersetuju. Sehingga masyarakat umum melihat ada percanggahan kalangan pemimpin kedua belah pihak dalam membicarakan, bagaimana isu hudud dianggap relevan untuk memantapkan sokongan rakyat kepada perjuangan yang dibawa.
Apa yang pasti perjuangan memartabatkan hukum Allah (hudud) ini adalah di pihak PAS bukannya Umno. Maka PAS yang berkuasa di Kelantan (25 November 1993) dan semasa berkuasa di Terengganu (8 Julai 2002) sudah meluluskan enakmen kanun jenayah syariah yang membabitkan hudud. Sedangkan Umno yang sekian lama berkuasa belum pernah membayangkan sebarang rang undang-undang berkaitan hudud. Termasuklah di Terengganu, tatkala BN kembali berkuasa pelaksanaannya tidak dibuat.

Agenda pecah-belah Pakatan Rakyat
Oleh kerana itu, apa yang dibisingkan oleh Umno mengenai hudud adalah tidak lebih daripada hanya permainan politik yang cuba memerangkap PAS di persimpangan pilihan raya menjelang PRU13. Atas asas ini, putaran media massa pro-Umno begitu kental membangkitkan fakta-fakta dan suara sumbang pihak yang tidak selesa dengan usaha pelaksanaan hukum Allah ini bagi memalitkan demi merentakkan kerjasama dan konsensus parti pendukung Pakatan Rakyat. Ini disebabkan pihak Umno sendiri melihat hanya isu hudud yang boleh memecah nilai-nilai kerjasama dan konsensus dalam Pakatan Rakyat.

Dalam konteks ini, media massa tertentu telah diarah memuka-depankan kenyataan bercanggah, pertikaman lidah dan kritikan sesama pemimpin Pakatan Rakyat. Sebaliknya media berkenaan terus menenggelamkan kecelaruan usul AdunUmno dari Kemelah, Johor yang mahukan Umno melaksanakan hudud ke atas orang Islam dan bukan Islam. Media itu juga terus menyembunyi diri daripada mengulas kenyataan perdana menteri (24 September 2011 di Batu Gajah, Perak) yang tidak mahu hudud dilaksanakan. Begitu juga tiada satu pun wakil media pro-Umno yang bertanyakan mufti atau mana-mana pemimpin agama atas isu ada seorang penceramah Umno (Utusan Malaysia 8 Ogos 2012) yang mengharbikan sebuah parti politik yang sah.

Hanya saluran media baru (atas talian internet) sahaja yang mencetuskan polemik secara fakta dan ilustrasi mengenai kenyataan biadap presiden MCA yang menghina hukum hudud termasuk mencerca Adun Kemelah dengan ungkapan hilang akal. Apa pun, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak kedengaran ada membincangkan implikasi keceluparan kenyataan pemimpin MCA itu. Malah bahagian keselamatan dalam negeri sehingga kini tidak bertindak atas penghinaan kepada maruah Islam dan umat Islam itu, kerana ia rakan sekutu dalam BN.

Berstrategi mengurus isu
Sehubungan amalan ketidak adilan layanan media massa masa kini, ada baiknya pihak Pakatan Rakyat sendiri bertindak dengan lebih berstrategi dalam mengurus setiap isu berbangkit. Langkah pengurusan berstrategi isu amat penting diberi perhatian, kerana kini semua pihak sedang berhadapan dengan musim pilihan raya.

Justeru isu hudud harus disabitkan sebagai isu yang memudaratkan Umno dan BN, bukannya merungkaikan kerjasama dan konsensus dalam Pakatan Rakyat. Paling utama, rakan Pakatan Rakyat terus bangkit ke arah membangkitkan segala macam isu kebobrokan sang penguasa (Umno dan BN) sekarang ini. Termasuklah menyiarkan rakaman video kenyataan perdana menteri yang bertegas tidak akan melaksanakan hukum hudud  dengan alasan kononnya Malaysia negara masyarakat majmuk. Strategi sebegini dilihat perlu bagi menyedarkan rakyat betapa sang penguasa sekarang adalah golongan yang merendah-rendah hukum Allah.

Pengurusan isu yang berstrategi harus diutamakan demi menyatukan keyakinan rakyat untuk menjaya agenda perubahan – menolak BN dalam PRU13 nanti. Justeru itu, komitmen dan persefahaman kepimpinan mesti ditonjolkan demi menggambarkan saf kepimpinan Pakatan Rakyat memiliki kesatuan jiwa dan rasa patriotis yang kental bersama rakyat. Maka pelan kepimpinan berintegriti harus ditonjolkan dalam membicarakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan kepada mana-mana media massa.

Merungkai kekecewaan rakyat
Melengkapkan lagi pelaksanaan agenda ialah mengambil langkah yang berkesan ke arah merungkai kekecewaan rakyat atas karenah pemimpin BN hari ini yang sedang membarah di dalam masyarakat. Antara kekecewaan yang harus dirungkai adalah amalan kronisme dan nepotisme yang mencetuskan salah guna kuasa sebagaimana berlaku di sebalik skandal Scorpene, skandal NFC dan mengabsahkan kalangan kaum kerabat pemimpin BN menjadi jutawan segera. Begitu pula kekecewaan di sebalik program transformasi perdana menteri yang berlabel retorik, sedangkan rakyat terus dibeban dengan kenaikan harga barang, kos pengajian anak-anak, perumahan dan cukai perkhidmatan serta seumpamanya.

Tidak harus dilupakan juga, membangkitkan situasi ancaman hak kewarganegaraan berikutan limpahan warga asing masuk secara sah atau secara pendatang haram yang turut meragut hak rakyat dan mencetus kejadian jenayah sehingga mencabul nilai-nilai keselamatan dan kesejahteraan awam. Kesemua isu ini harus diurus secara kemas dan teratur bagi memastikan rakyat tidak terus terlena dengan alunan sang penguasa yang sedang membuli rakyat menjelang PRU13 ini.

Tanggungjawab negeri Pakatan Rakyat
Bagi menjayakan agenda perubahan juga, negeri-negeri Pakatan Rakyat hendaklah berusaha gigih bagi memantapkan keyakinan rakyat demi meraih kemenangan lebih besar untuk memuncak ke Putrajaya. Justeru kerajaan negeri di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang harus meletakkan nilai keutamaan atas setiap isu yang menyentuh keperluan dan pengharapan masa depan rakyat.
Dalam hal ini, aspek yang perlu diberi perhatian khusus ialah program berkebajikan dalam semua segi kehidupan rakyat. Misalnya persoalan bekalan air, bimbingan kerohanian, peluang pendidikan, ruang kesejahteraan dan kemudahan awam serta hospitaliti untuk semua rakyat. Tidak kurang penting juga, hendaklah diuar-uarkan perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan semasa dan masa depan. Ini bakal memenuhi keperluan generasi muda dan jaminan ekonomi negeri untuk tempoh jangka pendek dan jangka panjang.

Dalam pada itu, semua pemimpin Pakatan Rakyat hendaklah sepakat dalam menyebarluas isu-isu yang terkandung dalam Buku Jingga. Komitmen setiap kerajaan negeri Pakatan Rakyat harus dipromosikan sebagai tawaran terbaik untuk rakyat. Ini penting dalam rangka menarik sokongan pelbagai lapisan rakyat, di samping membuktikan betapa rakyat harus menolak apa yang dibuat oleh Umno dan BN sekarang ini. Melalui Buku Jingga telah diungkap 13 Dasar Bersama (Buku Jingga 2010, muka surat 21-31) yang meliputi semua aspek kepentingan rakyat untuk diterangkan kepada masyarakat Malaysia menjelang PRU13.

Pengalaman Kelantan
Pengalaman Kelantan yang selama ini mengalami tindakan diskriminasi melampau pemimpin Umno, hakikatnya telah mendera rakyat Kelantan. Justeru itu kerajaan Kelantan telah memperkasakan program kebajikan untuk rakyat dan meneruskan pembangunan ekonomi bermodalkan sumber yang ada. Di samping secara terus menerus mengemukakan tuntutan di atas semua hak negeri daripada pusat. Maka kerajaan Kelantan terus komited dalam isu tuntutan hak royalti petroleum dan isu pembinaan lebuh raya demi menyedarkan rakyat bahawa di sebaliknya ada hak rakyat Kelantan yang dinafikan akibat permainan pemimpin Umno Kelantan. Kesannya, Kelantan hari ini bukan lagi Kelantan 22 tahun dulu. Rakyatnya sedang menikmati keunikan pembangunan beralaskan agama dan seni politik yang tidak mudah dijual beli. Namun pemimpin Umno sendiri masih kelam dalam memahami erti pembangunan di sisi rakyat. 

Kesemua isu ini perlu diurus secara telus agar rakyat dapat menilai semua taburan janji kebendaan pihak Umno sebagai pendekatan memancing undi. Harapannya, rakyat akan kenal mana pemimpin yang jujur dan berintegriti, dan mana pula pemimpin yang belot dan busuk hati terhadap rakyatnya. 

No comments: