Kemungkinan
tarikh pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada September ini sah tidak berlaku. Ini
kerana sepanjang bulan ini pihak Kerajaan BN dan pimpinan Umno akan sibuk
dengan beberapa peristiwa besar yang dikira memberi laba kepada peluang meraih
kemenangan pilihan raya. Antaranya ialah persidangan perwakilan Umno peringkat
bahagian di seluruh negara, pengumuman rancangan pendidikan nasional pada 11
September, diikuti dengan cadangan pindaan peraturan pilihan raya akan
dikemukakan pada sidang parlimen bermula 24 September dan kemuncaknya ialah pembentangan
Bajet 2013 pada 28 September.
Berikutnya,
sepanjang Oktober adalah tempoh yang sibuk bagi pakar propaganda Umno dan BN untuk
mempromosikan pujukan dan umpan di hati rakyat. Sudah tentu persoalan taburan
janji dan omongan ‘rakyat didahulukan’ akan terus bergema. Maka Oktober adalah bulan
kempen yang rancak sebelum parlimen dan dewan negeri dibubarkan.
PRU13 pada November?
Justeru itu
munasabahnya tarikh PRU13 jatuh dalam bulan November depan. Ramalan baru ini telah
dicetuskan akhbar The Star (3 September 2012) yang menghujahkan berdasarkan
ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib di Sandakan, Sabah. Ramalan di
sebalik realiti angka 11 menjadi faktor kepada pertimbangan tarikh PRU13.
Logiknya bulan November ialah bulan ke-11 dalam kalendar masehi setiap tahun.
Sementara angka 11 pula adalah asalnya enam ditambah lima. Apabila dikaitkan
dengan usia Umno menjangkau 66 tahun, bermakna angka 11 didarab enam bersamaan umur Umno.
Kebetulan tahun ini pula adalah tahun sambutan kemerdekaan negara yang ke-55
dan apabila angka 11 didarab lima bersamaan ulang tahun kemerdekaan negara.
Begitu juga angka 11 didarab dua
bersamaan 22 bersaman usia Umno bertapak menggantikan Usno di Sabah. Ramalan di
sebalik ucapan Mohd Najib yang dibangkitkan pula oleh akhbar berbahasa Inggeris
pro-MCA itu dikatakan logik bagi mereka yang berminat dengan permainan angka.
Namun
begitu, disebalik ramalan dan tarikh realiti PRU13 itu, timbul persoalan pula
persoalan, adakah senario itu kondusif bagi BN dan Umno untuk terus kekal
berkuasa selepas pilihan raya nanti?
Kondusif pada November?
Mungkin sejauh
mana kondusifnya bulan November untuk PRU13 boleh difahami menerusi coretan tokoh wartawan
negara, A. Kadir
Jasin menerusi coretan blognya (3 September) di bawah tajuk “Election
And Other Stories From Open Houses.”
Coretan A.
Kadir telah meletakkan pertimbangan, jika BN dapat kekal berkuasa, ia tidaklah
menang besar. Itu pun kerana BN masih kuat atau popular sementara parti oposisi
pula berada dalam kucar-kacir.
Walau
bagaimana pun menurut A. Kadir lagi, kedudukan peluang di peringkat
negeri-negeri didapati PAS dan DAP masih selamat di Kelantan
dan Pulau Pinang. Sebaliknya, peluang mempertahan kemenangan agak terancam untuk PKR
(KeADILan) di Selangor dan PAS di Kedah. Ia kerana KeADILan dan PAS yang
mengetuai kerajaan negeri kini sedang bergelut dengan masalah dalaman.
Namun
begitu, BN dikatakan tidak selamat di Perak dan bakal menghadapi saingan sengit
di Negeri Sembilan
dan Johor. Manakala di Sarawak dan Sabah
dianggap bukan selamanya selamat bagi BN.
Dipercayai,
apa yang disebut oleh tokoh wartawan negara itu adalah rumusan daripada kutipan
cakap-cakap dan pemerhatian beliau daripada pelbagai sumber. Antaranya adalah
pandangan mereka yang terlibat secara langsung dalam pelbagai bidang
‘keberhasilan utama’ ekonomi dan sosial negara. Justeru dicoretkan, isu-isu
ekonomi dan diskriminasi sedang berlaku dalam pasaran pekerjaan dan penguasaan
atas isu-isu perkauman yang dimainkan oleh NGO Melayu (Perkasa) yang dikatakan bercanggah
dengan agenda 1Malaysia bawaan Mohd Najib. Ia sudah dianggap mencabar Umno dan
PAS dalam membela hak dan tuntutan orang Melayu. Ia mungkin ada desakan Perkasa
yang menafikan Umno dalam membela orang Melayu dan PAS gagal menjaga hak umat
Islam.
Turun padang menjaja retorik
September
juga sebagai bulan Umno membangkit semangat mesyuarat perwakilan di setiap
bahagian. Seawal September ini, Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib mulai turun
padang siri kedua atas nama mempromosi jelajah meraih simpati rakyat. Ia
bermula dengan urusan merasmi mesyuarat agung perwakilan Umno Zon Lima di Sabah
yang merangkumi Libaran, Kinabatangan, Sandakan, Batu Sapi dan Beluran di Dewan
Sri Libaran.
Ucapan
Mohd Najib yang bernada retorik di
Sandakan itu telah membangkitkan sisi pandangannya tentang perjuangan Umno yang sudah
66 tahun (termasuk usia Umno Baru bermula 1988), kononnya adalah atas dasar
perjuangan suci untuk membela kedaulatan agama, bangsa dan negara. Sekaligus menafikan
peranan parti-parti politik lain dalam membebaskan negara daripada belenggu
penjajahan. Kononnya Umno satu-satu yang berjuang sehingga negara dan bangsa
bebas menentukan masa depan sendiri tanpa kongkongan pihak luar. Kononnya juga Umno
bukan sebarang parti, tidak lahir kerana kerakusan hendakkan kuasa, bukan parti
yang lahir di tepi jalan, bukan parti ditubuh di tengah rusuhan rakyat. Kononnya
Umno ditubuhkan kerana perjuangan, kerana niat yang suci, lahir atas niat besar,
dan bukan parti yang lahir kerana orang dengki hendak sangat jawatan Perdana
Menteri. Lantas
menyeru kepada pemimpin Umno Sabah agar memastikan Sabah kekal sebagai ‘fixed
deposit’ untuk kemenangan BN.
Kepimpinan Pak Lah lebih baik
Kajian
persepsi bulan Mei 2012 mendapati populariti Mohd Najib dikatakan pada paras 65
peratus dan kajian pada Jun pula menurun satu peratus kepada 64 peratus. Sedangkan
persepsi terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdulllah Ahmad (Pak Lah) selaku
Perdana Menteri lebih baik berbanding Mohd Najib menjelang pilihan raya Mac
2008. Pak Lah mendapat kadar populariti sebanyak 71 peratus menjelang pilihan
raya tersebut. Kesannya Umno dan BN hilang kuasa dua pertiga. Justeru, apakah
pilihan raya pada November nanti Umno dan BN melalui kepimpinan transformasi Mohd
Najib akan menaikkan kadar populiriti dirinya berupaya meraih semula kuasa dua
pertiga?
Menilai
persoalan ini, realiti ucapan Mohd Najib di Sandakan minggu lepas sudah
mengulangi modal lama masih membangkit isu lapuk dalam meraih simpati melampau
daripada kepimpinan Umno Sabah. Sebagaimana berucap di Jeli, Kelantan tatkala jelajah
meraih simpati siri pertama telah dibangkitkan isu-isu remeh mengenai air paip
di Kelantan bertukar menjadi ‘teh susu’, maka di Sandakan Mohd Najib
membangkitkan pula ‘jalan berdebu’. Lantas rakyat Sabah diraih agar memberi
kepercayaan kepada Umno untuk terus mengetuai kuasa kerajaan membangun negeri.
Sedangkan ‘jalan berdebu’ adalah bukti diskriminasi dan pengabaian selama 22
tahun Umno ‘membangun’ rakyat Sabah.
Justeru
pelan transformasi yang dijaja cukup jelas amat mesra pemimpin bukannya rakyat.
Ini kerana semua pemimpin Umno di Sabah cukup kaya, sedangkan rakyatnya terus
bergelumang dalam kancah kemiskinan yang teruk, lebih teruk daripada Kelantan
dan Kedah. Atas faktor ini, rasanya rakyat Sabah wajar melakukan perubahan dan
pentas perubahan itu berada di sebelah kepimpinan Pakatan Rakyat. Ayuh
bangkitlah bersama agenda perubahan untuk membina harapan baru seluruh warga
Sabah dengan menolak Umno dan BN.
No comments:
Post a Comment