Apa pun dalam konteks isu politik atau politik pembangunan, ruang politik persepsi biasanya di sempitkan antara parti-parti yang berlawanan dan juga hubungan kerajaan dengan rakyat. Justeru persepsi yang berlaku sama ada antara parti berlawanan akan menggunakan setiap isu untuk mencetus persepsi buruk kepada parti lawan.
Begitu pula, pihak kerajaan akan melakukan kebersamaan dalam sesuatu isu bagi mencorakkan sokongan baik di kalangan rakyat. Sementara akan ada pula segolongan rakyat yang melakukan kebersamaan dengan parti lawan (bukan kerajaan) bertujuan membuli kerajaan bagi menghakis atau memaling sokongan rakyat. Atas asas ini, masing-masing akan berperanan mencetus apa sahaja isu demi mencipta sesuatu nilai persepsi––positif (baik) atau negatif (buruk).
Kelantan dalam ruang persepsi
Berikutan teori politik persepsi, kebelakangan ini Kelantan turut tidak ketinggalan daripada ruang yang dibicarakan. Ia berpunca daripada tindakan parti Umno yang berada di sisi penentang segala macam dasar dan program anjuran Kerajaan Negeri pimpinan PAS sejak 20 tahun lepas. Maka ruang persepsi itu sekarang ini semakin sendat dan tersumbat dengan segala macam kecamukan isu politik.
Seiringan dengannya, boleh dikatakan setiap agensi yang pro-Umno telah menjadi alat atau diperalat sebagai aparatus Umno di Kelantan demi mencapai cita-cita politik pemimpinnya––merampas kuasa negeri ini. Antara yang utama ialah saluran TV1 dan TV3 serta Radio Kelantan FM. Tidak ketinggalan akhbar utusan dan sinar!
Logiknya, tindakan Umno Kelantan itu adalah bertepatan dengan peranannya sebagai penentang PAS dan pembangkang kepada apa sahaja usaha memajukan rakyat di bumi Kelantan ini.
Maka segala macam program, termasuk agenda melaksanakan pentadbiran Islam, memartabatkan siasah syariyyah, mendidik rakyat secara Islamik dan mengurus kebajikan serta program pembangunan untuk rakyat akan diputar sebagai buruk dan batil. Paling malang, program solat hajat berjamaah di stadium pun turut diputar dalam ruang persepsi dengan menuduhnya sebagai program nak mengajar tuhan. Ia bukti kuat, betapa teruknya mainan politik persepsi Umno Kelantan.
Bazar Tok Guru sebagai premis persepsi
Terkini dan masih tersumbat dalam kepala rakyat Kelantan adalah isu bazar Tok Guru (foto sebelah) telah menjadi isu yang diputar-ligat pihak Umno Kelantan sebagai projek menzalimi peniaga di bandar Kota Bharu. Akibat putaran bermotif untuk mencetus persepsi negatif, maka muncullah watak pembohong sedia berada sepentas dengan pemimpin Umno dan tidak kekok pula untuk tampil di muka TV serta halaman akhbar.
Kenapa mereka (foto bawah) dikatakan sebagai watak pembohong? Bukan kerana mereka sudah hadir kebersamaan pemimpin Umno dalam membangkit isu bazar Tok Guru. Sebaliknya mereka sebagai wakil peniaga yang bertanggungjawab berunding dengan pihak Kerajaan Negeri untuk berniaga di bazar Tok Guru didapati sudah berbohong kepada semua rakyat Kelantan. Fakta berbohong adalah adalah atas perkara saiz ruang niaga, lalu menuduh pihak pemaju dan Kerajaan Negeri mengamalkan rasuah.
Apa yang sebenar, saiz ruang niaga yang dibina di bazar Tok Guru adalah hasil persetujuan bersama antara pihak persatuan peniaga yang hadir berunding dengan Kerajaan Negeri. Pihak Kerajaan Negeri yang dimaksudkan ialah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKBBRI) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Cara watak pembohong memutar isu dan bermain persepsi adalah dengan menuduh pula menteri besar berbohong dan pihak agensi Kerajaan Negeri mengamalkan rasuah. Malah turut menghuduhkan lagi ruang persepsi berbohong itu, mereka sanggup mengadakan sidang media (foto atas dan bawah) bersama-sama pemimpin Umno bahagian Kota Bharu. Kesannya, kelihatan semacam pemimpin Umno itu pula menjadi pembela kepada kumpulan peniaga yang berbohong atas saiz ruang niaga di bazar Tok Guru.
Meskipun fakta berbohong itu sudah dijawab oleh pihak MPKB, Namun pembohongan itu tidak ditarik balik. Kesannya, segelintir daripada kira-kira 415 orang peniaga itu terpengaruh dan sanggup bersolat hajat bersama-sama watak pembohong. Paling malang, ada kalangan mereka itu memperkecilkan tawaran dan skim galakan pihak Kerajaan Negeri kepada mereka untuk berniaga tanpa apa-apa bayaran dalam tempoh setahun
Sebaliknya, cara mereka itu turut membuka ruang pula kepada pemimpin Umno mencemarkan lagi usaha murni Kerajaan Negeri dengan mencetuskan suatu persepsi lain yang kononnya berlaku ‘permainan dan rasuah’ di sebalik pemindahan peniaga dari pasar lama MPKB. Kononnya, peniaga terpaksa berpindah atas semata-mata pasar lama itu telah dijual dengan harga murah dan peniaga mesti berpindah. Sedangkan realitinya pasar itu sudah berusia lebih 50 tahun dan tidak selamat untuk berniaga dan perlu dibina yang baru.
Natijahnya, pihak MPKBBRI dan PMBK sudah dijadikan sasaran watak pembohong. Maka dua agensi penting Kerajaan Negeri ini sewajarnya mengambil langkah bertindak balas, sama ada secara perundangan atau pun meneruskan perbincangan untuk membetuli ‘peristiwa sebenar’.
Modal politik Umno
Seharusnya semua pihak sedar dan tahu, apa sahaja ruang persepsi yang ada di Kelantan kini, pihak Umno sudah pasti memanfaatkannya untuk memburukkan ketulusan Kerajaan Negeri Kelantan membantu dan membangunkan rakyat.
Justeru sehingga kini selain isu bazar Tok Guru, isu ladang rakyat, bekalan air bersih, bantuan rakyat termiskin, isu penerokaan tanah dan integriti pentadbiran; kesemuanya telah dipalitkan dengan persepsi negatif. Maka sudah terang dan nyata sekali, kerja Umno Kelantan sekarang memang penentang segala amal kebajikan dan kebaikan yang menjadi teras kepimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz di Kelantan. Semoga pertimbangan rasional rakyat Kelantan lebih mengenali bahawa pemimpin Umno itu pengacau kesejahteraan yang harus ditolak rakyat.
2 comments:
Saya masih mengharapkan perjuangan PAS seperti dahulu, perjuangan yang jelas untuk diperjuangkan...tetapi kini setelah Nik Aziz menjadi penentu, dasar perjuangan PAS telah tersasar jauh....!
Berdirilah PAS dengan bermaruah tanpa PKR dan DAP terutamanya, janganlah diperbodohkan oleh mereka...! kembalilah pada perjuangan asal semoga kita rakyat Malaysia dapat keberkatan daripada perjuangan PAS.
Kembalilah kepada perjuangan asal....sebuah negara Islam yang berdaulat!
Pengerusi Arked Lama MPKB, Salim tu hanyalah umpan UMNO dalam PAS Kota Bharu. misi menjatuhkan kerajaan negeri berjaya dijalankan olehnya dengan isu Bazar Tok Guru. dia ni memang pure UMNO. tapi bertopengkan PAS disebabkan hidup di dalam persekitaran pasar yang dikelilingi oleh orang2 PAS sebagai pelobinya untuk kekal sebagai pengerusi.
Post a Comment