06 May, 2011

Ladang Rakyat, projek kebajikan rakyat ditentang Umno Kelantan

Tulisan saya ini telah disiarkan HARAKAH (Bil. 1635) 29 April-1 Mei 2011, F5. Harap dapat meredakan putaran negatif juak Umno Kelantan diketuai Datuk Mustapa Mohamed.

SENARIO di sebalik Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan program kebajikan rakyat sudah menampakkan kejayaan. Justeru itu, pihak Umno di Kelantan sedia mempertikai dan menidakkan, malah memutarnya sebagai kegagalan. Paling tidak pihak Umno akan mengatakan sesuatu program itu sebagai indah khabar dari rupa dan untuk kepentingan politik PAS semata-mata.

Demikianlah halnya dengan projek pembangunan ladang rakyat yang mula diperkenalkan Kerajaan Negeri pimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak 2006 dikatakan oleh pemimpinUmno sebagai projek politik. Malah paling dahsyat, ia dituduh sebagai projek merampas tanah rakyat.

Sedangkan ladang rakyat sejak dilaksanakan merupakan projek merakyatkan pendapatan negeri dengan penglibatan langsung syarikat Kerajaan Negeri khususnya, Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (Syarikat Ladang Rakyat). Berikutan itu, Syarikat Ladang Rakyat melalui usahasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Syarikat Ladang Sungai Terah Sdn Bhd serta Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) begitu komited merakyatkan kekayaan sumber hasil negeri dengan memajukan di beberapa ‘kawasan ladang rakyat’ untuk ditanam kelapa sawit dan sebagainya.

Hasil daripada usahasama tersebut, Syarikat Ladang Rakyat memperolehi pembayaran awal jutaan ringgit yang kemudian diagih kepada peserta sebagai dividen (hasil untung - lihat foto berikut).

Bayangkan, untuk satu kawasan ladang rakyat di mukim Lubok Bongor, Jeli yang luasnya kira-kira 8,000 ekar, syarikat sudah mendapat pembayaran lebih daripada RM1 juta yang berjaya diagihkan kepada peserta yang masing-masingnya menerima RM200 sebulan. Mengikut perjanjian untuk tempoh lima tahun, pembayaran itu akan bertambah kepada lebih RM2 juta. Itu untuk di kawasan Jeli sahaja, belum lagi mengambil kira kesemua di sepuluh kawasan ladang rakyat.

Menariknya lagi peserta tidak perlu bekerja keras, sebaliknya peserta kekal dengan pekerjaan masing-masing. Mereka boleh jadikan pemberian dividen itu sebagai hasil tambahan bagi melepasi garis kemiskinan.

Maka munasabahnya, rakyat yang terpilih yang rata-ratanya kalangan yang berpendapat rendah dan miskin akan dapat ditambah bilangan penerimanya dari semasa-ke semasa. Mana ada negeri yang diperintah oleh Umno sudah membuat pendekatan merakyatkan kekeyaan hasil negeri seumpama Kelantan ini. Justeru pihak Umno akan membuli habis-habisan projek ladang rakyat tersebut sebagai syarikat perampas tanah rakyat.

Tujuan Ladang Rakyat

Menurut sejarah Syarikat Ladang Rakyat, penubuhannya adalah melalui Enakmen No.2 Tahun 2006 dan diwartakan melalui Warta Kerajaan Negeri Jilid 59 No.9 bertarikh 27 April 2006 setelah diluluskan pada Persidangan DUN Kelantan pada 21 Februari 2006. Enakmen ini berkuatkuasa pada 1 Jun 2006 menerusi Warta Kerajaan Negeri Jilid 59 No.13 bertarikh 22 Jun 2006.

Namun sejarah juga membuktikan wakil rakyat dari Umno sepakat menolak cadangan penubuhan itu ketika membahas Enakmen Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan pada 21 Mac 2006 dulu.

Kenapa mereka menolak atau menentang cadangan tersebut? Mungkin mereka sedar projek ini sedai membantu rakyat dan mengesahkan Kerajaan Kelantan adalah sebuah negeri berkebajikan dan komited membantu golongan miskin. Mungkin juga mereka dapat menelah bahawa projek itu nanti pasti dapat memenuhi matlamat meningkatkan taraf hidup penduduk dan sumber hasil Negeri Kelantan.

Rakyat sebagai penerima dividen

Pemilihan peserta bagi menerima dividen ladang rakyat dibuat secara telus tanpa diskriminasi politik. Tiada amalan piliha bulu. Ia diambil dari Senarai Keluarga Miskin Negeri Kelantan yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan tambahan senarai daripada pencalonan rakyat miskin oleh Penghulu Mukim. Maka tidak ada alasan untuk mengatakan pemilihan peserta berlaku mengikut senarai kroni.

Keputusan pemilihan calon dibuat dalam mesyuarat lembaga Syarikat Ladang Rakyat, iaitu setelah mengambil kira kriteria calon ialah individu yang pendapatan isi rumah kurang daripada RM530 sebulan, mempunyai tanggungan yang ramai, dan tidak menerima lain-lain bantuan samada daripada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.

Apakah atas dasar ini, Umno menyifatnya sebagai amalan kroni?

Umno menuduh rampas tanah

Mengimbau suasana ketika perbahasan enakmen ladang rakyat pada 2006 dulu, boleh dikatakan kesemua Adun Umno bangkit menentangnya. Di antaranya yang tegar menentang ialah Adun Paloh. Adun tersebut menjerit-jerit dengan suara kuat menuduh Kerajaan Negeri mahu menipu rakyat melalui projek lading rakyat.

Malah secara berpuak mereka bangkit dengan begitu reaktif apabila perkataan ‘rakyat’ dipakai untuk enakmen itu. Sikap itu seolah-olah hak membela rakyat hanya ada di pihak Barisan Nasional sahaja.Lalu ada suara sumbang daripada Adun Umno itu mahu perkataan rakyat ditukar kepada perkataan lain.

Apa pun ketika undian dibuat, kesemua 22 Adun BN menolak, manakala 23 Adun kerajaan menyokong. Kemudian enakmen itu dilulus dengan kelebihan satu undi, majority mudah yang tidak memer;lukan sokongan dua pertiga. Hanya pindaan kepada Undang-undang Tubuh Negeri sahaja yang memerlukan sokongan dua pertiga ahli dewan.

Pencapaian

Sehingga kini, Syarikat Ladang Rakyat telah berjaya membuka 10 kawasan seperti ditunjukkan dalam senarai berikut:

BIL. LOKASI = KELUASAN (EKAR)

1 Ladang Rakyat Lubok Bongor, Jeli = 8,043.364

2 Ladang Rakyat Kandek, Kuala Krai = 5,038.471

3 Ladang Rakyat Renok, Gua Musang = 8,682.775

4 Ladang Rakyat Sokor, Tanah Merah = 1,997.900

5 Ladang Rakyat Pos Pasek, Gua Musang = 11,280.386

6 Ladang Rakyat Limau Kasturi (berpenempatan), Gua Musang = 3,271.670

7 Ladang Rakyat Paloh 4 (berpenempatan), Gua Musang = 1,581.000

8 Ladang Rakyat Pos Hau, Gua Musang = 6,466.000

9 Ladang Rakyat Pos Pulat (berpenempatan), Gua Musang = 2,445.000

10 Ladang Rakyat Kuala Balah, Jeli = 4,575.000

JUMLAH KESELURUHAN = 53,381.566

Seramai 1,125 orang peserta pada peringkat pertama telah dibayar dividen di mana setiap peserta menerima sebanyak RM200 sebulan. Pembayaran dividen dibuat pada setiap tiga bulan di mana Majlis Penyampaian Sijil Peserta dan Pembahagian Dividen Saham Peserta diadakan. Sehingga bulan Oktober tahun 2007, sejumlah 2,973 peserta yang terdiri dari bangsa Melayu, Cina, India dan Orang Asli telah mendapat manfaat daripada pemajuan ladang kelapa sawit.

Kini bilangan peserta sudah mencapai angka lebih daripada 50 orang setiap kawasan Dun seluruh Kelantan. Kesemua peserta itu bukan sahaja menikmati dividen bulanan tetapi turut dibangunkan minda dan rohaninya menerusi program pembinaan insane yang diuruskan oleh syarikat.

Harapannya, jumlah dividend an bilangan peserta akan bertambah apabila ladang-ladang rakyat mula mengeluarkan hasil nanti.

Sementara dalam “Bajet Penyayang 2011” Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 untuk pengurusan Syarikat Ladang Rakyat di samping sedang merundingkan dengan kumpulan penduduk termasuk Orang Asli bagi membuka lebih luas lagi kawasan ladang rakyat.

Asas perundingan adalah dengan mengambil kira persetujuan dan mana-mana kawasan yang tanah yang perlu dibayar pampasan, penilaian pampasan akan dibuat dan dibayar mengikut penilaian yang adil.

Apa yang penting difahami, syarikat tidak merampas tanah, tetapi merundingkan untuk dimajukan agar keuntungan dari tanah itu dapat ditingkatkan dan rakyat akan mendapat hasil yang sepatutnya.

No comments: