17 October, 2008

Kelab Penyokong PAS perlu nafas baru

Dengan nama Tuhan yang Esa, maka melalui ruang ini sukacita saya mengaitkan posting saya kelmarin (16 Okt.) dengan apa yang dipaparkan oleh Sdr. Zulkifli Yahya melalui Harakahdaliy.net (7 Okt. lalu), bertajuk Perpaduan kaum versi baru ditakuti BN.
Namun, saya tetap bertegas dengan kenyataan bahawa Kelab Penyokong PAS dah berkubur? Memang realitinya begitu, akibat tindakan dalaman PAS yang lemah, lambat serta tidak meletakkan pembinaan Kelab Penyokong PAS sebagai berstatus keutamaan dalam jamaah masa kini; sebaliknya agak sibuk dengan isu peralihan kerajaan dan termimpi-mimpi dengan mainan pembentukan kerajaan baru ala Anwar (bukan sesuatu keutamaan pun), maka nilai keutamaan sebenar bagi PAS dah terperosok ke setor barang expired (tetapi belum lusuh lagi). Maka penegasan semual saya, Kelab Penyokong PAS perlu nafas baru.
Kembali kepada kenyataan Zulkifli Yahya tadi. Beliau ada mempersoalkan dengan soalan berikut:
“Persoalan besarnya ialah mengapa kini golongan bukan Islam tidak takut lagi dengan PAS?
Ada pandangan yang mengatakan mereka menyokong PAS bukan kerana PAS tapi kerana protes besar-besaran terhadap BN. Dalam pilihan raya lalu mereka mengundi semua parti yang menentang BN.


Sebenarnya, PAS di Kelantan telah berkuasa dengan penuh bermakna: mendekati orang bukan Melayu seawal pemerintahan (1990) lagi dengan pelbagai pendekatan. Namun, dalaman PAS sendiri yang semacam tidak memandang serius dan besar impaknya kepada masa depan PAS dan pembinaan politik baru Malaysia. Cuma kebelakangan ini sahaja (menjelang pilihan raya umum 2004), peranan Kelab Penyokong PAS telah diutarakan secara serius. Ia dikuti dengan perlantikan Hu Pan Chow (seorang Cina Hokien Kelantan). Kemudian dalam Muktamar PAS ke-53 di Kota Bharu pada 2007, beliau telah diberi ruang berucap mewakili Kelab Penyokong PAS. Selepas berlaku pilihan raya umum 2008, PAS menang besar dan Ustaz Dr. Mujahid Yusoff dilihat tokoh “perpaduan nasional” di dalam isu kelab ini. Tetapi berdasarkan pengakuan CJ Ong sendiri, Ustaz Mujahid semacam hilang tumpuan untuk mengaktifkan kelab itu di parlimennya sendiri. Walaupun beliau dilihat ke sana ke mari menaja Kelab Penyokong PAS. Jika itu telah terjadi, maka persoalan/kenyataan dibangkitkan Zulkifli Yahya yang berikutnya sudah tidak ketahuan!!

Zulkifli Yahya menukilkan:
“Tetapi selepas pilihanraya, mereka terus menghampiri PAS dan berbondong-bondong menyertai Kelab Penyokong PAS. Kelab penyokong tumbuh bagai parti baru di Kedah.


Betulkah kenyataan ini? Realitinya, dari segi keorganisasian kelab penyokong itu belum tumbuh, yang tumbuh hanya sentimen dan sentimen itu belum diambil tindakan secara organisasi. Kerana sehingga kini PAS semacam teraba-raba mencari di titik mana untuk dimertabatkan kelab penyokong itu; sebagai NGO yang engage dengan PAS atau ia sebagai sayap PAS di peringkat Pusat, Negeri dan Kawasan. Jika benar untuk menjadi realiti, seharusnya di dalam Muktamar PAS ke-54 lalu, sepatutnya diluluskan secara rasmi agenda memertabatkan kelab Penyokong PAS sebagai sayap rasmi PAS (dengan mencadang suatu pindaan perlembagaan PAS/dimasukkan sebagai aktiviti rasmi PAS bersandarkan mana-mana fasal dalam perlembagaan PAS). Namun, seni keutamaan dalam tindakan organisasi masih gagal diputuskan.
Walau apapun, pemerhatian Sdr. Zulkifli Yahya itu harius dilihat dari sudut positif. Sebagaimana beliau menyatakan:
"Mereka boleh mengadakan majlis yang menghimpunkan beribu-ribu orang bukan Islam untuk dihadiri oleh pemimpin-pemimpin kerajaan negeri dalam satu masa. Masyarakat Cina, Siam dan India, semuanya sama. Mereka pilih PAS.

Sehubungan itu, kerajaan PAS di Kedah adalah “faktor kekuatan PAS” masa kini yang boleh diperkasakan lagi dengan memanfaatkan segenap ruang yang ada bagi meyakinkan masyarakat bukan Melayu kepada PAS. Sebagai tanda keseriusan usaha itu, sewajarnya Menteri Besar sendiri atau salah seorang ahli exco dari PAS yang memegang portfolio hubungan antara kaum dan mengiktiraf Kelab Penyokong PAS sebagai rakan strategik memajukan program perpaduan masyarakat antara kaum di negeri Kedah. Jika ini dapat dibuat, sudah tentu PAS di Kedah melalui kerajaan negeri bakal dan mampu mendepani cabaran komitmen orang bukan Melayu kepada PAS. Sekaligus juga ia mendahului PAS di Kelantan. Maka persoalan keyakinan orang bukan Melayu kepada PAS semakin memuncak dan terjawablah persoalan yang dibangkitkan Zulkifli Yahya:
“Mengapa tak sertai KeADILan atau DAP? Bukankah lebih mudah kerana parti itu sedia terima keahlian bukan Islam. Jawapan yang diberikan mereka mudah saja. "Kami lebih percayakan PAS!" Jawapan kepada persoalan ini amat jujur jika ditanyakan kepada sebahagian orang Cina yang menyokong PAS.


Misalanya, CJ Ong secara terus-terang mendedahkan gelagat pemimpin PAS yang lebih terbuka, jujur dan ikhlas dalam menjalin hubungan politik dengan kelompok mereka. Jika kenyataan ini dilihat sebagai suatu “modal PAS”, maka sepatutnya tiada halangan bagi PAS merealitikan kenyataan yang ditulis oleh Zulkifli Yahya seperti mana berikut:

“Apabila kini pemimpin PAS boleh masuk ke rumah bukan Islam menziarahi kematian, menghadiri pesta Tanglung, menjemput tarian naga ke program PAS, menjemput bukan Islam ke majlis berbuka puasa, boleh lantik bukan Islam jadi ahli majlis dan ketua kampung, maka tembok salah faham yang yang lebih kukuh dari tembok Berlin selama ini, runtuh satu persatu.

Sebenarnya, kenyataan di atas telah berlaku dengan jayanya di Kelantan, apabila Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar selaku reformis PAS pasca Fadhil Nor telah menampilkan dirinya di dalam semua sosialisasi masyarakat Cina, Siam, India dan Orang Asli. Sehingga sesetengah penampilan itu dipandang kabur dan serong oleh beberapa pemimpin PAS sendiri lantaran pihak UMNO telah mengambil kesempatan menyerang PAS di dalam isu-isu yang berkenaan. Misalnya, lawatan beliau ke wat Siam, kelulusan pembinaan tokong besar - terbarunya di Bachok, duduk sepentas dengan sami Buddha, memberi peruntukan untuk pembangunan pusat ibadat... sehingga pemberian milik kekal tanah.


Rumusannya, apa yang diamalkan PAS selama ini adalah lebih terbuka dan memberi kesan kepada semakin tebalnya keyakinan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Maka pilihan raya umum 2008 lalu telah mencerahkan bukti-bukti segala-gala bakti PAS selama ini di dalam meletakkan PAS sebagai sebuah parti anti perkauman dan sentiasda berada di landasan Islam. Oleh itu, penghebahan secara menyeluruh sumbangan dan jasa PAS perlu dibuat secara complete communication. Di sana ia memerlukan tindakan dalaman PAS mengisi jaringan komunikasi tersebut agar realiti Kelab Penyokong PAS akan terus diharmoni dan dimurnikan dalam strategi politik PAS mengadapi pilihan raya umum ke-13 nanti. Semuga Tuhan yang Esa memberkati dan menunjuki jalan kemenangan kepada perjuangan Islam ini – PAS.

No comments: