02 July, 2020

COVID-19: Bahagia Seawal Julai

Rasa syukur ke hadrat Allah SWT, seawal Julai ini Negara kita dikhabarkan oleh KKM dengan penularan Wabak COVID-19 pada angka satu digit terendah dengan satu (1) kes baharu sahaja. Itupun dikatakan berpunca daripada kes bawaan import, iaitu individu yang balik dari luar negara yang disahkan positif dan ia didaftarkan sebagai kes COVID-19 di Negeri Selangor.
Justeru berdasarkan jadual di atas, sehingga semalam (1 Julai, 2020) jumlah keseluruhan kes dalam Negara yang positif dengan kumulatifnya adalah 8,640 kes. Daripada jumlah ini, tiga negeri tertinggi direkodkan ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 2,436 (28.19%), diikuti dengan Selangor 2,048 (23.70%), Negeri Sembilan 1,025 (11.86%).  
Sementara empat negeri yang terkebawah jumlah kesnya kurang 100 kes ialah Kedah dan Wilayah Perketuan Putrajaya masing-masingnya 97 kes,  diikuti dengan Perlis 18 kes dan terendah sekali Wilayah Persekutuan Labuan 17 kes.
Status terkini
Merujuk kepada status COVID-19 di Malaysia ini, daripada 8,640 keseluruhan kes, didapati 4,402 kes adalah daripada pemeriksaan kesihatan/mereka yang dijangkiti dari pembawa kontak rapat; 3,375 kes pula daripada penularan kluster Sri Petaling (berkaitan perhimpunan Jemaah Tabligh penghujung Februari 2020); 237 kes pula adalah daripada penularan orang awam; dan 626 kes lagi adalah daripada pembawaan import. 

Satu aspek yang boleh dinilai kejayaan dan keberkesanan langkah KKM bersama pasukan saf hadapan adalah daripada 8,640 keseluruhan kes; seramai 8,375 pesakit telah dirawatpulih/ sembuh; dan dengan kekal 121 kes kematian. Prestasi kejayaan ini akan menuju ke titik menang lebih awal daripada tempoh PKPP nanti, ins sya Allah.

Kes seawal Julai
Pada 1 Julai 2020,KKM melaporkan Wabak COVID-19 yang telah dirawatpulih berjumlah 21 kes. Ini menambahkan lagi jumlah kumulatif kes sembuh daripada 8,354 kes (30 Jun) kepada 8,375 kes (96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Apa yang dianggapkan membahagiakan Negara ialah terdapat satu (1) kes baharu pada 1 Julai ini. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia daripada 8,639 kepada 8,640 kes. Maka jumlah kes aktif yang sedang dirawat atau kebolehjangkitan COVID-19 adalah daripada 164 telah menurun kepada 144 kes.

Satu (1) kes baharu yang dilaporkan adalah kes bawaan import yang mendapat jangkitan di luar negara. Maka tiada kes penularan di dalam negara yang dilaporkan.

Alhamdulillah, sehingga kini (selama tempoh 17 hari semenjak 15 Jun) direkodkan sifar kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal 121 kes (1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Situasi Membahagiakan
Situasi selama empat (4) bulan lalu, semenjak kes pertama gelombang kedua COVID-19 dilaporkan di Malaysia, iaitu pada 27 Februari 2020, Negara kita menguruskan pandemik ini dengan lancar dan kempeten. Ini menggambarkan sistem kesihatan dan komitmen pasukan perubatan bersama saf hadapan yang lainnya amat proaktif menjalankan tanggungjawab.

Relaitinya, rekod penularan terkini (hanay satu (1) kes bawaan import) adalah pertama kalinya Negara kita mencatatkan kes harian COVID-19 yang membahagiakan sepanjang gelombang kedua pandemik COVID-19 ini. Lebih penting lagi, tiada kes COVID-19 yang dilaporkan mendapat jangkitan dari dalam negara (iaitu penularan tempatan) melibatkan dalam kalangan Warganegara Malaysia mahupun Bukan Warganegara.

Penurunan kes harian juga menggambarkan kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri dan tanggungjawab sosial (social responsibility). Semoga setiap lapisan dan kumpulan masyarakat dapat meneruskan penjarakan sosial (social distancing) yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu (1) meter di antara satu sama lain, kebersihan kendiri yang tinggi, tidak berasosiasi di kawasan sempit dan sesak serta mengelak bertutur dengan jarak yang dekat.

Kita doakan agar seluruh masyarakat bersatu hati dan berkomitmen tinggi bagi menjayakan setiap langkah ke arah mengekang rantaian Wabak COVID-19 ini. Ins sya Allah.

Wassalam.


No comments: