17 June, 2020

COVID-19: Rakyat dan pemimpin hendaklah kekal berdisiplin

Perjalanan seharian Malaysia dalam musim Wabak COVID-19 membabitkan pendisiplinan dengan momokan ‘SOP memantapkan norma baharu, memutuskan rantaian penularan Wabak COVID-19’ – kesemuanya adalah ketentuan Ilahi yang terkesan ke seantero dunia.
Malaysia tidak terkecuali, sehingga memaksa Kerajaan mengambil langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 diikuti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei 2020. Kini PKPB telah berakhir pada 9 Jun 2020 dan digantikan pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020.
Hasilnya, penularan Wabak COVID-19 di Negara kita terkawal, malah mutakhir ini menunjukkan pola yang semakin baik.
Justeru itu, rakyat Malaysia harus bersyukur banyak-banyak kerana Allah SWT menemukan pendekatan Kerajaan kita dengan tindakan pantas dalam menjayakan usaha mengekang dan membendung penularan COVID-19 – ia sesuatu yang dibanggakan - membawa kepada terkawalnya penularan jangkitan Wabak COVID-19. Sudah tentu ia bersama-sama dengan kapasiti pasukan perubatan dan sistem kesihatan awam negara yang baik dan meyakinkan.
Berikutan pelaksanaan PKPP, Kerajaan telah membuka lebih banyak kelonggaran untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian bersemikan SOP yang dibina semenjak PKP (18 Mac). Berbezanya semasa PKPB pergerakan amat dihadkan demi mengawal warganegara menjalin kontak sosial secara bebas, maka tiada perjalanan rentas daerah dan negeri. Namun mulai 10 Jun lalu, perjalanan rentas negeri mulai dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPDatau Zon Merah - kawasan berisiko kebolehjangkitan Wabak COVID-19.
Kelebihan utama PKPP kini adalah hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat. Namun kesemuanya tertakluk kepada SOP.
Kesemuanya adalah berpandukan tujuh strategi: (1) Pengukuhan Kesihatan Awam; (2) Perundangan dan Penguatkuasaan; (3) Pengukuhan Kawalan Sempadan; (4) Pembukaan Sepenuhnya Sektor Ekonomi; (5) Pembudayaan Kebiasaan Baharu; (6) Pemerkasaan Tanggungjawab Komuniti; dan (7) Perlindungan Golongan Berisiko.
Matlamat strategik PKPP adalah ke arah gaya hidup kita rakyat dan pemimpin yang berdisiplin dan beristiqamah dengan komitmen bersama-sama mahukan penularan Wabak COVID-19 ini, ins sya Allah terkawal. Semoga menjelang 31 Ogos 2020 nanti Allah memberi kemenangan di atas usaha gigih bersama-sama ini.

Rekod hari ini
Perkembangan Wabak COVID-19 hati in (17 Mei 2020) terdapat 140 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,873 kes (92.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Terdapat sepuluh (10) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,515 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif (masih dirawat di hospital) dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 521 kes.
Alhamdulillah, seterunsya dilaporkan tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.
Daripada sepuluh (10) kes penularan di dalam negara, tiga (3) kes adalah bukan warganegara manakala tujuh (7) kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia.
Bagi kes jangkitan dalam negara  dalam kalangan bukan warganegara (3 kes) adalah:
(1) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: satu (1) kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8,455);(2) Negeri Sembilan: satu (1) kes di Akademi Imigresen Malaysia, Port Dickson berikut Orang Kena Tahan (OKT) yang dipindahkan daripada Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil;
(3) Sabah: satu (1) kes saringan pra-pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).
Sementara bagi kes penularan Wabak COVID-19 dalam kalangan warganegara Malaysia (7 kes) pula adalah:-
(1) Selangor: Lima (5) kes, iaitu empat (4) kes Kluster Warga Emas Kuala Selangor dan satu (1) kes saringan pusat Tahfiz;
(2) Sarawak: satu (1) kes yang kontak rapat dengan kes ke-8,453;
(3) Sabah: satu (1) kes kontak rapat dengan kes ke-8,403.
Kita tetap bersyukur, dengan dua angka kes baharu (10 kes), jumlah pesakit sembuh mencapai tiga angka (140 kes) dan tiada rekod kematian hari ini adalah situasi semasa yang memungkinkan penularan Wabak COVID-19 akan berakhir sebelum 31 Ogos 2020. Bersama-samalah kita berdoakan agar usaha mengekang penularan wabak ini dimakbulkan Allah jua. Ins sya Allah.

Wassalam.

No comments: