Kini Pakatan Rakyat yang dibentuk hasil permuafakatan
tiga parti (PKR, DAP dan PAS) sudah tinggal semangatnya sahaja. Ia kerana DAP
telah memutuskan hubungan dengan PAS dan begitu juga PAS. Realitinya kedua-duanya
telah tidak lagi sealiran ekoran masing-masing sudah memutuskan hubungan. Namun
semangat Pakatan Rakyat masih berlaku dalam bentuk hubungan terpusat dengan PKR
sahaja, iaitu antara PAS dengan PKR dan DAP dengan PKR. Hubungan terpusat
kepada PKR tetap penting bagi PAS di Selangor dan bagi DAP di Pulau Pinang demi
mengekalkan kuasa dalam kerajaan negeri.
Sehubungan itu, penulisan ini tidak berhajat
untuk mengulas tentang hubungan antara parti selepas keputusan PAS memutuskan
hubungan dengan DAP. Jauah sama sekali untuk mengulas hubungan PAS dengan PKR
yang terasa hawanya cukup panas kebelakangan ini. Sebaliknya, tumpuan penulisan
ini hanyalah untuk mendedahkan fakta kronologi dan nostalgia hubungan kerjasama
perjuangan politik sudut oposisi antara PAS dengan DAP yang bersifat terbuka
dan tegang.
Sentimen terbuka
dan tegang
Sejarah hubungan lampau dan terkini PAS-DAP boleh disifatkan sebagai
berlaku berdasarkan keadaan politik dan isu. Di dalam sesetengah keadaan ia
berlaku sentimen hubungan terbuka dan dalam keadaan yang lainnya pula berlaku
secara tegang. Hubungan terbuka boleh berlaku secara terang demi memenuhi
nilai-nilai politik bersifat simbiosis. Contoh hubungan terbuka ialah semasa
kerjasama Barisan Alternatif (1999) di atas kebersamaan (PAS-DAP-KeADILan)
untuk menuntut keadilan dan menentang kezaliman yang dibayangi oleh peristiwa
pemecatan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Begitu pula, atas nama
Gabungan Bersih (menghadapi pilihan raya 2008) bagi menuntut pilihan raya yang
telus, adil dan bersih. Diikuti dengan berlaku permuafakatan atas nilai-nilai
hak dan kebebasan demokrasi lalu ditubuhkan Pakatan Rakyat (2008) sehingga
pilihan raya 2013.
Sementara hubungan tegang pula merujuk kepada
sentimen hubungan PAS-DAP dalam konteks percaturan pengaruh bagi membuktikan
ketulusan prinsip perjuangan masing-masing demi mengukuhkan keyakinan ahli dan
penyokong. Misalnya, pernah PAS mahupun DAP bersepakat untuk menentang Barisan
Nasional di dalam pilihan raya atas dasar untuk memecah undi agar sentimen
pengundi (atas prinsip agama dan kaum) bagi mengalahkan Barisan Nasional.
Demikian pula, di atas prinsip pengukuhan sokongan terhadap dasar perjuangan
parti, PAS akan membuktikan ketegasan di atas isu-isu berkaitan Islam sebagai
dasar perjuangan (contohnya matlamat negara Islam). Begitu pula bagi DAP akan
tetap bertegas untuk membuli matlamat negara Islam atas semata-mata membuktikan
ketegasan matlamat perjuangan negara sekular demi menarik sokongan kelompok
tegar yang anti-negara Islam.
Di atas nilai sentimen politik dan prinsip
perjuangan sedemikian, maka tidaklah pelik untuk memahami tujuan tersirat
masing-masing parti sanggup melakukan hubungan tegang. Dalam konteks ini,
pendirian PAS begitu kental mempertahankan prinsip perjuangan Islam dengan
menstatuskan pendekatan siasah syariyyah beralaskan pelaksanaan Kanun Jenayah
Syariah-Hudud, meskipun ia ditentang keras oleh DAP. Lantas di atas isu ini maka
berlakulah hubungan tegang antara PAS dengan DAP.
Sebaliknya pula, pihak DAP
menyambut sifat hubungan tegang itu dengan menyerang dan membuli prinsip PAS secara
berterusan bagi meraih keyakinan ahli dan penyokong yang inginkan DAP kekal di
atas prinsip negara sekular. Maka sentimen pengundi akan berpihak kepada
masing-masing parti yang mereka persetujui. Lazimnya, PAS akan diyakini
kalangan mereka yang bersetuju atas prinsip Islam (di zon majoriti Melayu) dan
DAP dapat kekal popular (di zon bandar majoriti Cina) dalam kalangan pengundi
pro-sekular demokrat.
Kronologi putus
hubungan
Sebagimana dinyatakan pada awalnya, hubungan (baca, kerjasama) PAS
dengan DAP mempunyai nilai politik yang bersifat timbal-balas. Pada 22
September 2001, DAP terpaksa keluar Barisan Alternatif kerana tidak
bersetuju dengan perjuangan PAS untuk menegakkan negara Islam. Sebelum itu DAP
telah mengemukakan lima formula bagi mengelak perpecahan Barisan
Alternatif, namun PAS terpaksa menolak formula itu kerana didapati bercanggah
dengan perjuangan Islam. Tinggallah PAS kekal bekerjasama dengan KeADILan
sehingga pilihan raya 2004 yang menyaksikan kemerosotan kerusi PAS dan KeADILan
kerana Umno melakukan pembaikkan menggantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana
Menteri pada 31 Oktober 2003. Penggantinya Abdullah Ahmad Badawi (31
Oktober 2003 – 3 April 2009) yang dkenali sebagai Pak Lah seorang ‘bersih’ yang
sebelumnya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Sejarah kerjasama kali kedua termaktub semula
menjelang pilihan raya 8 Mac 2008, apabila PAS, PKR (dulunya KeADILan)
dan DAP boleh bersama dan hasilnya mencapai kemenangan yang hampir menumbangkan
Barisan Nasional. Ia membawa penubuhan Pakatan Rakyat selepas itu yang
memperjuangkan prinsip bersama di atas persetujuan bersama. Ia dirumuskan
sebagai prinsip bersetuju dan untuk tidak bersetuju (agree to disagree), iaitu bersetuju memperjuangkan isu-isu yang
dikongsi sama, tetapi tidak bersama dalam isu-isu dasar masing-masing parti.
Medan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat adalah forum yang mengesahkan
asas bersetuju untuk tidak bersetuju itu.
Walaupun begitu, perjalanan politik Pakatan
Rakyat agak berliku-liku yang memaksa masing-masing parti cuba menggerakkan
agenda parti sendiri tanpa keabsahan atau tanpa pesetujuan Majlis Pimpinan
Pakatan Rakyat.
Hal yang menjadi rujukan antaranya melibatkan DAP melalui
Kerajaan Negeri Pulau Pinang, iaitu pada
9 Mei 2012 Dewan Negeri Pulau Pinang meluluskan Rang Undang-Undang
(Enakmen) Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Prai) tanpa
persetujuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. Apapun enakmen tersebut terbatal
apabila pada 14 Ogos 2014 Mahkamah Persekutuan memutuskannya sebagai
bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Demikian juga, satu lagi hal yang dirujuk ialah
pada 27 Januari 2014, Adun PKR bagi DUN Kajang bertindak meletak jawatan
bagi menjayakan matlamat “Langkah Kajang” (Kajang Move) iaitu untuk
menggantikan Menteri Besar Selangor. Suatu ‘move’ yang menggugurkan Abdul
Khalid Ibrahim untuk digantikan dengan Anwar kemudian Wan Azizah, tetapi yang
jadinya ialah Azmin Ali. Suatu ‘move’ yang juga tanpa keputusan Majlis Pakatan
Rakyat. Maka, di celah-celah polemik isu “Kajang Move” dan menukar Menteri
Besar itu, berlaku pada awalnya PAS tidak bersetuju. Kemudian PAS mengambil
jalan yang bersetuju sebagai menghormati syarat-syarat pihak berkuasa Istana
yang mahukan menyenaraikan lebih daripada dua nama calon menteri besar. Lalu
mencetuskan tanggapan negatif di sisi PKR dan DAP yang mengendurkan
permuafakatan sehingga memaksa pelan tanpa persetujuan itu diterima dengan
penuh kegusaran. Malangnya segala-gala kegusaran dihadapkan kepada Presiden PAS
tanpa belas kasih, termasuklah sikap DAP turut mencetuskan persepsi buruk
kepada PAS. Hal ini turut merencatkan usaha PAS untuk melaksanakan Kanun
Jenayah Syariah di Kelantan.
Sehubungan itu, berlakunya hubungan tegang
PAS-DAP apabila beberapa kali penjelasan PAS untuk mendapat persetujuan bersama
berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah sentiasa ditentang oleh DAP.
Menyebabkan muncul persepsi awam termasuk dalam kepimpinan PAS sendiri yang
menganggap matlamat pelaksanaan itu sebagai faktor pemecah-belah Pakatan
Rakyat. Malah tidak kurang pula muncul tohmahan kononnya Presiden PAS dan
kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan tertipu dengan mainan politik (baca, tipu
muslihat) Umno dari dalam.
Namun kesungguhan
untuk melaksanakan undang-undang Islam itu tetap diteruskan, meskipun berberapa
kali siri penjelasan dibuat kepada kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk di Ibu
Pejabat DAP dan di Pejabat Agung PAS. Kali terakhir taklimat ialah pada 12 Mac 2015 di Bangunan
Parlimen. Natijahnya DAP paling
lantang menentang, malah melihat hasrat dan usaha PAS sebagai permainan ke arah
Unity Government (UG). Lantas Presiden PAS dilabelkan sebagai penerus agenda UG
dan pembawa suara Umno.
Meskipun begitu, demi
melunaskan komitmen perjuangan dan mandat rakyat Kelantan atas prinsip
menghormati demokrasi dan ruang perundangan yang ada, maka Presiden pada 18 Mac 2015 telah mengemukakan
notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi membawa usul rang undang-undang
persendirian (private member bill) bertujuan
meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) berkaitan
bidang kuasa hukuman mahkamah syariah ke arah memenuhi kehendak syariah. Ia disusuli
dengan persidangan Dewan Negeri Kelantan yang meluluskan pindaan Kanun Jenayah
Syariah 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac
2015.
Apa yang dilakukan oleh PAS itu menyebabkan DAP
bertindak lebih tegang dan mengambil sikap memutuskan hubungan secara taktikal
sebelum ditafsirkan sebagai memutuskan hubungan secara rasmi. Ia bermula pada 23
Mac 2015, DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, malah melabelkan
Presiden PAS seorang yang tidak jujur dan tidak bermaruah. Bukan sekadar itu,
di dalam kenyataan media yang sama (23
Mac), Setiausaha Agung DAP turut menyindir supaya menumbangkan Presiden PAS
di dalam pemilihan PAS.
Tindakan DAP itu sedemikian turut dilakukan
melalui pemimpin kanannya pada 23 Mac 2015 apabila ayah kepada Setiausaha
Agung DAP pula menulis provokasi di dalam blognya, membayangkan PAS bakal kalah
kerana ingin melaksana hudud di Kelantan dan turut menuduh Presiden PAS
melakukan kerosakan kerana berusaha membawa usul persendirian mengenai
undang-undang jenayah syariah (meminda Akta 355) ke parlimen.
Provokasi atas sentimen tegang tersebut telah diteruskan
apabila pada 27 Mac 2015, DAP Sarawak telah mengisytiharkan keluar dari
Pakatan Rakyat. Kemudian disusuli pula ucapan yang penuh
provokasi oleh Lim Kit Siang, ayah kepada Setiausaha Agung DAP pada 30 Mac
2015 di hadapan pimpinan DAP Wilayah Persekutuan. Malahan ucapan itu turut
meramalkan PAS bakal kalah di Johor, Perak, Melaka dan juga di Pahang dan Kedah
serta tidak mustahil akan kalah juga di Kelantan atas alasan kerana PAS
meneruskan usaha pelaksanaan hudud. Sementara di Sabah pula, pada hari yang
sama (30 Mac 2015), pihak DAP turut mengumumkan putus hubungan dengan
PAS Sabah. Nampak jelas ia
suatu tindakan terancang pihak DAP.
|
Kenyataan Lim Guan Eng. |
Kesemuanya boleh
dianggap sebagai gerakan provokasi untuk melabelkan PAS yang merencanakan perpecahan
di dalam Pakatan Rakyat atas sentimen DAP yang tegar menggunakan
pendekatan hubungan tegang untuk meraih sentimen penyokong. Menurut Setiausaha
Agung PAS ketika itu (berhubung tindakan memutus hubungan), “ia suatu strategi
DAP untuk popular menjelang pilihan raya Negeri Sarawak yang akan berlaku tidak
lama lagi.”
Usul putus
hubungan
Walaupun demikian, DAP tidak berhenti di situ, beberapa riak politik
yang diatur membayangkan sememangnya DAP inginkan PAS keluar daripada Pakatan
Rakyat. Ini terserlah tatkala pada 25 Mei 2015, DAP mengeluarkan
kenyataan lagi dengan menuduh Presiden PAS mahu wujudkan UG bersama UMNO.
Meskipun kenyataan formula UG (bekerjasama dengan Umno atau Kerajaan
Barisan Nasional) itu turut disebut kemudiannya
oleh beberapa pemimpin PKR dan DAP sendiri.
Justeru kenyataan menjelang Muktamar PAS itu
telah diterjemahkan oleh sebahagian perwakilan sebagai ‘campur tangan DAP’
untuk menyokong beberapa pimpinan yang bertanding jawatan tertinggi PAS Pusat (pada
Muktamar ke-61). Kesan daripada gaya DAP itu menyebabkan kesemua tokoh PAS yang
berkenaan tidak terpilih dalam Muktamar PAS di Kuala Selangor pada 4-6
Jun 2015. Sehinggalah, provokasi dan asakan tegang DAP itu menyebabkan Muktamar
PAS ke-61 telah menerima tanpa bahas usul
‘mencadangkan kepada Majlis Syura dan PAS Pusat supaya memutuskan hubungan
dengan DAP. Akhirnya usul itu dipersetujui Majlis Syura pada 11
Julai 2015, mengesahkan usul putus hubungan dengan DAP dan diangkat kepada
Jawatankuasa PAS Pusat untuk dilaksanakan.
Kesan putus hubungan
Berpandukan kronologi
hubungan PAS-DAP tersebut, hakikatnya PAS menerima kesan yang parah. Sebelum
Muktamar PAS Ke-61 telah muncul gerakan NGO Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA)
dan pasca muktamar itu telah muncul pula kumpulan serpihan “Gerakan Harapan Baru (GHB)” yang dianggotai oleh kepimpinan yang
tewas dalam pemilihan. Sehinggalah kini gerakan tersebut bertukar menjadi Parti
Amanah Negara (PAN@Amanah).
Apapun PAS
sewajarnya mengatur langkah berstrategi menghadapi gerakan pemimpin yang tidak
terpilih dalam Muktamar PAS ke-61 itu. Ia merupakan cabaran besar bagi PAS
dalam persiapan menghadapi PRU ke-14. Semoga bahtera PAS mampu belayar
mendepani cabaran keseterusnya.