"Pada 21 Oktober 1990 merupakan tarikh kembalinya PAS mentadbir semula Negeri Kelantan selepas terpaksa meninggalkan kerusi kerajaan pada 8 Mac 1978 (selepas darurat yang menyaksikan PAS berundur dari kerusi kerajaan pada pilihan raya khas Negeri Kelantan).
Justeru pada Rabu ini, 21 Oktober 2015 merupakan tempoh genapnya 25 tahun pentadbiran Negeri Kelantan di bawah urusan Kerajaan PAS Kelantan. Suatu tarikh yang melambangkan genapnya period Jubli Perak.
Sehubungan itu, penulisan ini adalah Bicara Hatiku yang cuba menukilkan beberapa nota kenangan pengalaman bersama-sama pengasas dasar Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan, Almarhum Tuan Guru Dato' Bentara Setia Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat (10 Januari 1937 - 12 Februari 2015). Satu nama dan susuk tubuh yang kini dalam kenangan semua warga Kelantan...."
~ ~ ~
Bersempena sambutan Jubli
Perak Pentadbiran Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan, pada 21 Oktober
2015, maka satu nama besar yang semestinya dalam kenangan ialah Tuan Guru Nik
Abdul Aziz Nik Mat (Almarhum, baca Tuan Guru). Beliau adalah pengasas kepada pembentukan
sebuah kerajaan negeri yang mentadbir negeri berteraskan Islam. Sudah tentu
berlonggok-longok sumbangan dan kenangan kepada kerajaan dan pembangunan negeri
yang zahir serta terlekat kukuh di dalam sanubari rakyat. Paling terlekat
adalah nilai-nilai murabbinya dan amalan kerohanian yang mencorakkan gaya
kepimpinan yang kini terabadi dalam lipatan sejarah.
Atas asas tanda sejarah
ini, maka sepengalaman diriku lebih suku abad hidup menghirup ilmu dari murabbi
besar itu, di sini dinukilkan beberapa nota pengalaman (secara terpilih) yang
dapat diabadikan sebagai Bicara Diriku.
Murabbiku
Tuan Guru adalah murabbiku
dan diriku adalah anak muridnya sejak pertengahan tahun 1984. Ia bermula
setelah menamatkan pengajian di UKM, Bangi. Saban minggu mengikuti kuliah Tuan
Guru––satu sesi (malam Jumaat) belajar kitab
sirah di Masjid Pulau Melaka dan satu sesi lagi (pagi Jumaat) menadah kitab
tafsir al-Quran ar-Rahman di Dewan Zulkifli Muhammad, Bangunan PAS Kelantan (sekarang
ini, Medan Ilmu). Dorongan mengikuti kuliah Tuan Guru atas kerana keinginan
untuk belajar agama dan menganggap diri sebagai anak murid. Atas sebab itu,
apabila bersalam dengan Tuan Guru, terdetik di hati agar direstui sebagai anak
murid dan Tuan Guru adalah guru (baca, murabbi).
Sehubungan itu, bicara ini ikhlas menukilkan beberapa nilai kepimpinan Tuan Guru selaku murabbiku.
Nota-nota yang merupakan jalinan daripada pengamatan dan manifestasi selama
tempoh bersama Tuan Guru––selaku anak murid, petugas dan pelaksana amanahnya.
Pencetus idea
Seketika dilantik sebagai pengerusi
penerbitan Risalah Pemuda (1985-1987), banyak isu daripada kuliah Tuan Guru telah
dijadikan idea pencetus yang dimuatkan di dalam penerbitan. Risalah itu diedar di
tempat kuliah Jumaat Tuan Guru di Dewan Zukifli. Apa yang pasti sumber kuliah tafsir
Tuan Guru banyak mencetuskan inspirasi olahan berita dan maklumat yang mendidik
masyarakat.
Semasa memikul amanah
selaku setiausaha jentera pilihan raya parti (1989 -2004) banyak tugas jemaah yang
melibatkan penyusunan modul kursus dan latihan kemahiran pilihan raya. Selain
itu, terlibat juga dalam menyelaraskan tindakan gerak kerja petugas di Dun ke
arah menghadapi pilihan raya. Kesemuanya dilakukan dengan semangat berjemaah berpandukan
amanat Tuan Guru agar kefahaman dan kemahiran berlaku seiiringan sebagai syarat
mencapai kemenangan perjuangan Islam. Tuan Guru turut menerapkan keyakinan
mengenai pilihan raya adalah jihad yang dijanjikan pahala apabila dilaksanakan
kerana Allah (Lil-Lah) serta ikhlas untuk kemenangan Islam.
Tahaluf siasi
Semasa menghadapi hujah segelintir
pemimpin yang menentang tahaluf siasi Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan),
turut terserlah sifat murabbi Tuan Guru apabila beliau mengambil pendekatan
menerang dengan memberi kefahaman asas-asas siasah syariyyah yang membolehkan
tahaluf melibatkan parti-parti Islam (tahun 1989). Selalu diungkapkan oleh Tuan
Guru ialah bila berlaku pecah kapal akan ada sekumpulan (dimaksudkan kepada
Tengku Razaleigh bersama-sama pengikutnya) yang akan kelemasan di lautan, maka
ia perlu diselamatkan. Maka hendaklah ada pihak yang menyelamatkan asalkan
mereka boleh menerima syarat yang menjadi penyelamat mereka. Antara syarat
utama disebutkan oleh Tuan Guru ialah Angkatan hendaklah menerima Islam sebagai
cara hidup (Ad-Din). Di sinilah nilai murabbi diutamakan oleh Tuan Guru, iaitu
ciri-ciri siasah syariyyah yang perlu diterima sebagai asas tahaluf bersama
Angkatan.
Pendekatan murabbi itu
telah membolehkan beberapa pemimpin tidak lagi menentang pendekatan tahaluf
Angkatan tersebut. Apa yang pasti, kesannya telah mencorakkan landskap baru siasah
rakyat Kelantan yang secara total menolak Barisan Nasional. Ia telah membawa kemenangan dasar politik Islam di Kelantan bertapak
subur (21 Oktober 1990) sehingga kini.
Malah titipan murabbi Tuan
Guru terlaksana dengan jayanya apabila diamanahkan sebagai Menteri Besar
Kelantan (1990-2013). Ia terbukti pada sepanjang tempoh khidmatnya apa yang
diberi tumpuan ialah dasar dan program ke arah mendidik rakyat Kelantan berpandukan
agama, di samping menyakinkan Islam sebagai cara hidup yang lengkap. Ia selari
dengan falsafah perjuangan menegakkan Islam––mendirikan dasar-dasar agama dan
mentadbir kehidupan di dunia ini dengan agama. Sejak dari situ sistem
pentadbiran negeri dilihat jelas bercirikan asas-asas Maqasid al-Syariah, iaitu berusaha ke arah
menjaga dan menyelamat lima persoalan hidup rakyat Kelantan––agama, nyawa,
akal, keturunan dan harta. Kesemuanya dapat dilihat dari segi urusan
pentadbirannya adalah berpandukan syariah (memperkenalkan hukum jenayah Islam,
simpanan kerajaan di bank bebas riba, galakan berkebajikan menerusi Tabung
Serambi Mekah, menjaga maruah melalui syarat berpakaian menutup aurat, menerap
budaya kerja UMI, tidak boros dan berhemat dalam perbelanjaan kerajaan dan
sebagainya lagi). Keutamaannya adalah berusaha mencapai pembangunan negeri
yang selari dengan pembangunan insan menurut acuan dasar Membangun Bersama
Islam––mesra syariah.
Sehubungan itu, Tuan Guru
benar-benar dilihat sebagai murabbi pentadbiran negeri apabila beliau sendiri memulakan atas dirinya sebagai qudwah rakyat. Satu aspek penting qudwah ialah mengamalkan gaya kesederhanaan dalam kepimpinan sebagai pakaian
hidupnya selama menjawat menteri besar. Bermula dengan cara berpakaian
dan berbelanja sehinggalah berhemat serta bercermat dalam mengguna dan menjaga
harta kerajaan. Gaya kesederhanaan itu adalah nilai murabbi yang utuh
membangkitkan aura dan karismatik di sisi masyarakat dan warga negeri Kelantan.
Paling terkesan gaya kepimpinan tersebut telah dijadikan pendekatan urus
tadbir kerajaan Negeri Kelantan yang semestinya memerlukan kesederhanaan,
terutama dalam aspek pengurusan kewangan dan pelaksanaan projek pembangunan.
Prinsipnya adalah dasar Membangun Bersama Islam berpaksikan teras Ubudiah,
Mas’uliah dan Itqan (UMI).
Kerohanian mengukuh
pentadbiran
Realiti Tuan Guru amat
istiqamah dalam menampilkan gaya kesederhanaan yang tersendiri dan bersifat
unik, langsung ia telah mencorakkan pendekatan urus tadbir kerajaan negeri. Ini
terjadi mungkin di sananya ada keberkatan dan asbabnya adalah kerana Tuan Guru
memiliki amalan kerohanian yang bersistematik di dalam hubungannya dengan Allah
SWT pada sepanjang hari. Asas kerohanian yang sistematik itu dapat diamati dan
dihayati tatkala mengikuti rutin hidup Tuan Guru sama ada di dalam dan luar
pejabat, di masjid atau ketika menjalankan urusan kerajaan mahupun tugasan
sebagai pemimpin jemaah (Parti Islam Se-Malaysia).
Jika di Pejabat Menteri
Besar, sebelum memulakan tugas Tuan Guru akan solat sunat dhuha terlebih
dahulu. Sementara waktu Zohor dan Asar, acap kali Tuan Guru menunaikan solat
berjemaah bersama-sama staf di pejabat. Begitu pula, selepas solat berjemaah, Tuan
Guru istiqamah beristighfar, kemudian membaca Al-Fatihah dan ayat Al-Kursi dan
tatkala berdoa adalah diamati bahawa Tuan Guru sentiasa mendoakan agar ahli
keluarga tergolongan dalam kalangan yang istiqamah menunaikan solat dan menjadi
orang yang muttaqin serta memohon kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.
Dalam hal ini, pernah ditanya, apakah amalan rutin Tuan Guru sebagai menguatkan
kerohanian diri? Jawabnya, “jangan tinggal bacaan Fatihah dan Ayat Kursi setiap
kali lepas sembahyang.”
Sementara sudut ibadat di
masjidnya di Pulau Melaka, Tuan Guru sentiasa melaksanakan kehidupannya sebagai
murabbi pada setiap hari Khamis dan Jumaat dengan diadakan kuliah (bermula Maghrib
sehingga Isya’). Sementara setiap pagi Jumaat sebaik selepas solat subuh Tuan
Guru mengamalkan bacaan wirid dan zikirnya tersendiri, diikuti dengan
penyampaian kuliah Subuh kepada ahli jemaah. Selepas itu, Tuan Guru akan
meraikan majlis tahnik bayi-bayi yang dibawa khusus oleh ibu bapa masing-masing.
Hal ini merupakan suatu petunjuk penerimaan masyarakat atas sifat murabbi Tuan
Guru sebelum dan selama masa menjawat menteri besar.
Murabbi Ummah
Sesungguhnya hari Jumaat
merupakan kesibukan bagi Tuan Guru seperti juga hari-hari berkerja di pejabat. Justeru
Tuan Guru sendiri pernh mengumumkan hari Jumaat sebagai 'hari ilmu.' Maksud 'hari
ilmu' itu boleh difahami daripada cara bagaimana Tuan Guru sendiri mengisi ruang
sepanjang hari itu dengan pendekatan murabbi kepada masyarakat. Paling penting
ialah Tuan Guru mempunyai jadual yang tersusun, pertama pada sesi Subuh di
masjidnya, keduanya pada jam 9.30 pagi menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu
Kota Bharu dan ketiganya akan hadir jemputan berkhutbah Solat Jumaat di
mana-mana masjid di dalam kawasan Dun Chempaka yang diwakilinya atau yang
diatur oleh pejabatnya. Ada kalanya pula, pihak pejabat parti turut menyusun
jadual untuk Tuan Guru menyampaikan ceramah (di sebelah malam) di serata
pelusuk negeri. Demikian pula, sekali dalam sebulan pihak parti peringkat pusat
(atas kapasitinya selaku Al-Mursyidul Am PAS) akan mengatur aktiviti ceramah di luar Kelantan. Kesemuanya disusun adalah atas kehendak Tuan Guru sendiri
yang sentiasa memikirkan ruang dan masa untuk menyampaikan apa jua ilmu dan isu
kepada masyarakat. Itulah prinsip murabbi yang dimiliki oleh Tuan Guru sejak
awal sehinggalah sepanjang menjawat menteri besar. Suatu prinsip beristiqamah bagi
mendidik masyarakat, maka selayaknya Tuan Guru bergelar Murabbi Ummah.
Menurut bekas Ketua
Eksekutif KIAS, Senator Dr Johari Mat, Tuan Guru layak bergelar murabbi ummah
kerana sifatnya yang gigih menyampaikan ilmu dan dakwah yang selari dengan
sunnah Nabi Muhammad SAW. Menurutnya, murabbi ummah itu ialah seorang ‘pengasuh
ummah’ yang dilahirkan oleh Allah, dan sifat pengasuh ada pada Tuan Guru. Ia boleh
dilihat padanya dari pelbagai sudut, sehingga ada yang menulis, merakam dan menjadi
sebutan orang (baca, topik perbincangan) atas apa yang Tuan Guru sampaikan di
dalam kuliahnya.
Murabbi berdepan cabaran
Sepanjang menjadi menteri
besar, Tuan Guru tidak terkecuali malah sering kali diasak dengan pelbagai
karenah yang bersifat kontradiksi dengan kuasa, hak dan diskriminasi pelayanan daripada
pihak berkuasa Pusat. Sehingga ada kalanya menimbulkan pelbagai kekusutan dalam
pentadbiran negeri. Ia terjadi lantaran perbezaan mandat rakyat Kelantan yang
memilih kuasa berbeza mentadbir negeri.
Justeru itu, pendekatan
ketika berdepan kekusutan ialah Tuan Guru akan meminta pihak Dewan Ulamak
mengadakan solat hajat dan munajat. Keyakinannya, hanya kepada Allah tempat
mengadu dan berserah. Ini prinsip tawakal dan ikhtiar yang menintakan
keberkatan kepimpinan Tuan Guru sepanjang memimpin dan menggalas amanah menteri
besar. Keserasian nilai keberkatan itu terpamer tatkala rakyat berkongsi kerohanian
berkumpul di atas padang, atau ada kalanya di dalam dewan, demi mengadu dan
merayu pertolongan Ilahi. Pembudayaan yang mengakar perpaduan sejemaah dan
perkongsian semangat kekitaan warga negeri. Apa yang pasti pendekatan
merakyatkan solat hajat itu telah terlekat dalam hati yang dipasak dengan iman dan
keyakinan yang sentiasa berpaut pada kekuasaan Allah SWT.
Munasabahnya pendekatan
Tuan Guru itu kerana ia selari dengan sifat taqarrub melalui amalan tahajud demi menyuburkan nilai kerohanian diri selaku seorang pemimpin sebuah gerakan
Islam dan kerajaan yang mesra syariah. Justeru di dalam banyak perkara
berkaitan dengan tugas dan amanah, hanya pada-Nya Tuan Guru bermunajat dan memohon petunjuk dan jalan bagi melaksanakan urusan kepimpinannya. Di atas nilai
amalan tahajud itu, ramai pemimpin sejemaah mengakui keputusan dan pilihan Tuan
Guru sentiasa dihubungkan dengan restu Allah SWT. Ia kerana setiap kali
qiamullail, di samping bertahajud Tuan Guru juga mendirikan solat sunat
Istikharah, terutama di dalam menentukan saf calon-calon pilihan raya dan
perlantikan saf kepimpinan dalam kerajaan dan parti. Tuan Guru meletakkan
keyakinan atas asas: “Maha Suci
Dikau yang tiada ilmu bagi kami kecuali apa yang Dikau ajarkan (tunjukkan)
kepada kami. Sesungguhnya Dikau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana!”
No comments:
Post a Comment