20 August, 2015

Kajian PKS: Anak Muda Kelantan aset Kepimpinan Ulamak

Oleh: Dr. Wan Nik Wan Yussof, Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan

Bersempena pada tahun 2015 ini merupakan ‘sambutan jubli perak’ Kepimpinan Ulamak mentadbir kerajaan Negeri Kelantan, maka tahap sokongan anak muda (golongan belia) boleh dijadikan asas penerimaan survival program dan dasar yang dilaksanakan semenjak 1990. Menyedari kepentingan asas penerimaan ini, maka Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan melalui kajiannya ke atas ‘tahap pengetahuan anak muda’ telah mendapati kepelbagaian tahap kefahaman yang perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan Negeri Kelantan.

Kajian yang dijalankan pada April lalu telah mengukur dua aspek, iaitu pengetahuan terhadap program berkaitan anak muda dan penilaian terhadap dasar-dasar yang dijalankan oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan.

Ia melibatkan 450 responden yang terdiri daripada 258 (57.3%) lelaki dan 192 (42.7%) wanita. Pemilihannya secara random, iaitu seramai 10 orang bagi setiap Dun (keseluruhannya 45 Dun). Panduan random pula adalah setiap responden adalah dalam kategori umur belia (baca, anak muda) yang berumur antara 21-25 tahun (277 orang, 61.6%) dan 26-30 tahun (173 orang, 38.4%). Rasional pemilihan mengikut dua kategori ini ialah bagi meninjau status pemilih responden pada pilihan raya lalu. Maka kajian ini mendapati responden yang mengundi pada pilihan raya lalu (5 Mei 2013) yang berstatus sebagai 'pengundi pertama' seramai 247 orang (54.9%) dan yang berstatus 'bakal mengundi' seramai 203 orang (45.1%). Selain itu, kajian ini turut mengambil kira maklumat responden tentang pendidikan, pekerjaan dan pendapatan bulanan.

Penemuan Kajian

Penemuan kajian ini difokuskan kepada dua aspek umum, pertama tahap pengetahuan anak muda mengenai 15 program Kerajaan Negeri dan keduanya tahap penilaian anak muda terhadap 10 program bersifat dasar Kerajaan Negeri.

Maka penemuan umum tahap pengetahuan diukur berpandukan 15 program popular anjuran Kerajaan Negeri. Penemuannya dinyatakan seperti mana Jadual 1 berikut:



Berdasarkan Jadual 1 tersebut, daripada 15 program itu didapati tiga program popular yang diketahui oleh anak muda, iaitu Pengisytiharan MPKB sebagai Bandar Raya Islam (87.6%), Medan Ilmu di Kota Bharu sebagai pusat kuliah agama pada pagi Jumaat (72.2%) dan Program Ihya’ Ramadhan (64.9%).

Namun begitu, terdapat pula tiga program yang paling kurang diketahui, iaitu Membina Generasi Solat (20.7%), kem kenegaraan pelajar (21.1%) dan program badan dakwah (24.9%). Ini berlaku kerana tiga program ini dikendalikan oleh Sekolah-sekolah YIK, maka sebahagian kalangan responden tidak pernah terlibat/belajar di Sekolah YIK. Apapun, agensi pelaksana terbabit haruslah mempromosikan secara meluas untuk pengetahuan umum.

Kajian ini selanjutnya mendapati berdasarkan pelaksanaan 10 program dasar Kerajaan Negeri,secara keseluruhannya adalah mendapat nilaian (bersetuju), iaitu melebihi 86%. Tiga daripadanya adalah mendapat persetujuan tertinggi (sekitar 95% dan ke atas) iaitu Peraturan Tutup Aurat (94.9%), Waktu pejabat Kerajaan Negeri dipendekkan semasa Ramadhan (94.9%) dan Kerja lima hari seminggu (94.7%). Sementara itu, Amalan pentadbiran Kerajaan Kelantan adalah berintegriti telah mendapat nialaian terendah (86.4%).

Jadual 2 berikutnya menjelaskan penemuan ini yang menggambarkan 10 program dasar ini amat popular dipersetujui. Ini berlaku kerana, kesemua program dasar ini dianggap mesra dan serasi dengan kehidupan majoriti rakyat termasuk dalam kalangan anak muda.



Penemuan korelasi silang (crosstab) mengikut Dun

Tahap pengetahuan anak muda di semua Dun, secara keseluruhannya menunjukkan tahap pengetahuan tertinggi untuk program (B11) Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam iaitu tahap puratanya 87.6%. Dalam hal ini, Dun yang menunjukkan tahap pengetahuan anak mudanya tertinggi 100% bagi program B11 ini ialah sebanyak 11 Dun, dan Dun yang terendah (bawah 50%) pula ialah juga sebanyak 11 Dun. Walaupun begitu, bagi program B11 ini, tahap pengetahuan anak muda bagi ketiga-tiga Dun dalam Parlimen Machang adalah amat rendah (hanya 10% yang tahu di Pulai Chondong dan 100% adalah kurang tahu di Kemuning dan Temangan).

Sementara program yang terendah (kurang diketahui) kalangan anak muda ialah program (B1) Membina Generasi Solat iaitu pada tahap puratanya 20.7%. Dalam hal ini, Dun yang menunjukkan tahap pengetahuan anak mudanya tertinggi bagi program B1 ini ialah di Dun Air Lanas dan Kelaboran iaitu masing-masingnya 100% dan 70%. Bagi Dun yang paling rendah pula ialah sebanyak tujuh Dun yang masing-masing tahap pegetahuannya 10%. Apabila dilihat secara bandingan antara Dun-Dun pula, bagi program B1 ini, sebanyak 27 Dun tahap pengetahuan anak mudanya adalah kurang 50%. Sementara sembilan Dun pula adalah anak mudanya belum mengetahui kewujudan program B1 ini. Maklumat terperinci adalah sepertimana Lampiran 1: Korelasi Dun dengan 15 program melibat anak muda.

Tahap penilaian anak muda di semua Dun, secara keseluruhannya menunjukkan tahap penilaian tertinggi untuk program (C1) Peraturan tutup aurat dan (C2) Waktu pejabat Kerajaan Negeri dipendekkan semasa Ramadhan, iaitu masing-masingnya 94.9%. Dalam hal ini, Dun yang menunjukkan tahap penilaian anak mudanya tertinggi 100% bagi program C1 ini ialah sebanyak 28 Dun, dan Dun yang terendah (50%) pula hanyalah satu Dun (Semerak). Sementara Dun-Dun yang selebihnya lagi (16 Dun) menunjukkan tahap penilaian (bersetuju) juga tertinggi iaitu antara 80-90%. Sementara itu, program (C7) Amalan pentadbiran Kerajaan Negeri adalah berintegriti kerana mengamalkan prinsip Ubudiyah, Masuliyah dan Itqan adalah tahap nialian terendah tetapi masih pada tahap nilaian (bersetuju) yang terbaik, iaitu 86.4%. Justeru bagi program C7 ini, sebanyak 18 Dun tahap bersetuju anak mudanya 100%, sebanyak 24 Dun lagi berada pada tahap antara 60-90% dan hanya tiga Dun berada pada tahap 50%. Ini menunjukkan pentadbiran berintegriti pihak Kerajaan Negeri adalah suatu aspek yang diketahui dan dipersetujui secara meluas. Maklumat terperinci adalah sepertimana Lampiran 2: Korelasi Dun dengan 10 program dasar Kerajaan Negeri.

Penemuan korelasi silang mengikut Status Pemilih

Satu aspek menarik juga daripada kajian ini ialah berhubung korelasi silang tahap pengetahuan ke atas 15 program dengan Sataus Pemilih; dan tahap penilaian anak muda ke atas 10 program dasar dengan status pemilih.

Kajian ini telah mengkategorikan responden dalam dua status pemilih, iaitu pertamanya status pengundi pertama (mengundi kali pertama) dan keduanya status bakal mengundi pada PRU akan datang.

Penemuan kajian ini mengenai korelasi 15 program dengan status pengundi pertama (lihat Jadual 3 berikutnya):

(1) Mendapati enam daripada 15 program adalah yang popular diketahui dalam kalangan responden status pengundi pertama. Program tersebut ialah Program Skim Az-Ziwaj (63.6%), Program ehya Ramadhan di Kota Bharu (67.2%), Tadarus Al-Quran (64.8%), Pengasingan kaunter bayaran (63.6%), Pengisytharan Bandar Raya Islam (85.8%) dan Medan Ilmu pusat kuliah di Kota Bharu (76.5%).

(2) Sementara lima daripada 15 program adalah yang popular kalangan responden status bakal mengundi pada PRU14. Program tersebut ialah Program ehya’ Rmadhan di Kota Bharu (62.1%), Tadarus Al-Quran (64%), Pengasingan kaunter bayaran (60.6%), Pengisytharan Bandar Raya Islam (89.7%) dan Medan Ilmu pusat kuliah di Kota Bharu (67%).



Begitu pula, 10 program dasar yang dijadikan ukuran bagi menilai tahap persetujuan responden dalam kalangan status pemilih (pengundi pertama dan bakal mengundi), kesemuanya menunjukkan nilaian tertinggi melebihi 85%. Walaupun begitu, kedua-dua status pemilih tersebut meletakkan enam daripada 10 program sebagai yang tertinggi iaitu melebih 91% ke atas (lihat Jadual 4 berikutnya). Program itu ialah:
(1) Peraturan Tutup Aurat,
(2) Waktu pejabat Kerajaan Negeri dipendekkan semasa Ramadhan,
(3) Cuti bersalin selama 60 hari,
(4) Kerja lima hari seminggu,
(5) Negeri pertama meluluskan Kanun Jenayah Syariah, dan
(6) Negeri pertama yang akan melaksanakan Hudud.



Sehubungan itu, secara bandingannya didapati kesemua 15 program yang berkaitan anak muda adalah sebahagian sahaja yang diketahui secara popular (enam program kalangan pengundi pertama dan lima program kalangan bakal mengundi). Maka 9 program (kalangan pengundi pertama) dan 10 program (kalangan bakal mengundi) adalah belum diketahui secara meluas. Ini berbeza dengan kesemua 10 program berkaitan dasar Kerajaan Negeri adalah dinilai dengan nilaian tertinggi oleh kedua-dua status pemilih, iaitu melebihi 85%. Ini bermakna kesemua program dasar dianggap baik dan diterima umum. Dengan kata lain, dasar-dasar Kerajaan Negeri di sisi anak muda adalah baik dan diterima.

Rumusan

1. Kajian ini telah berjaya mencungkil tahap-tahap pengetahuan dan penilaian anak muda terhadap pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan. Dua kumpulan program telah disandarkan sebagai ukuran, iaitu pertama melibatkan 15 program berkaitan anak muda dan keduanya melibatkan 10 program yang menyentuh dasar-dasar pentadbiran (yang dimaksudkan sebagai program dasar).

2. Kajian ini juga turut membukti ada korelasi agak signifikan antara tahap pengetahuan program dan tahap penilaian dasar dalam kalangan anak muda diukur dengan lokasi Dun-dun. Maka didapati berlakunya tahap pengetahuan/penilaian anak muda yang rendah di sesetengah Dun. Ia berkemungkinan disebabkan kurang aktifnya penghebahan program dan rendahnya penglibatan anak muda dengan program tersebut. Hal ini perlu diambil perhatian dan dibuat penambahbaikan.

3. Sementara itu, kajian ini turut membuktikan ada korelasi yang signifikan antara tahap pengetahuan program dan tahap penilaian program dasar dengan status pemilih responden. Kajian ini mendapati tahap pengetahuan/penilaian untuk keseluruhan program adalah hampir sama dalam kalangan anak muda pengundi pertama atau mereka yang bakal mengundi. Apa yang pasti, 15 program berkaitan anak muda yang berstatus pengundi dan yang bakal mengundi adalah mempunyai pola pengetahuan/penilaian tinggi untuk program yang bersifat umum, tetapi program yang dikhususkan untuk anak muda (seperti bantuan usahawan belia) didapati tahapnya agak rendah (antara 20 hingga 52%), kecuali skim Az-Ziwaj yang menunjukkan kadar diketahuinya agak tinggi (63.6%) kalangan kategori pengundi pertama. Namun skim az-Ziwaj ini pula agak rendah diketahui dalam kalangan status bakal mengundi. Ini mungkin golongan ‘bakal mengundi’ belum memberi perhatian kepada isu-isu perkahwinan.

4. Namun demikian, pengetahuan/penilaian anak muda yang mengambil tahu terhadap program dasar yang berkaitan dengan syariah adalah tinggi. Ini dapat dilihat ke atas program dasar berkaitan tutup aurat dan pelaksanaan kaunter berasingan serta program pelaksanaan syariah-hudud adalah melebihi 91%.

5. Apapun, kajian ini turut membuktikan masih banyak program anjuran agensi-agensi Kerajaan Negeri yang belum cukup popular dalam kalangan anak muda. Sementara itu, didapati kebanyakan program yang menyentuh aspek dasar Kerajaan Negeri telah mendapat persetujuan (penilaian baik) dalam kalangan anak muda.

5. Oleh kerana itu, kajian ini amat berguna dan boleh dijadikan sandaran untuk mana-mana agensi pelaksana program strategik di bawah ‘pelan strategik merakyat dasar Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan’ demi melihat keberkesanan pencapaiannya menepati selera anak muda atau sebaliknya. Memandangkan salah satu faktor keutuhan survival dasar Kerajaan Negeri Kelantan adalah sokongan kumpulan anak muda, maka hasil kajian ini membuktikan relevansi yang bermanfaat.


Nota:

Kajian ini turut dijayakan dengan bantuan pembantu penyelidik, Nurul Hidayah Adnan (Penolong Pegawai Penyelidik Ekonomi) dan Adib Faisal Yaacob (Pentadbir).



LAMPIRAN






No comments: