Ehsan Sinar Harian : Ustaz Fathan (foto kecil) bendera PAS di Bulatan Chempaka. |
Pilihan raya kecil N.06 Chempaka (PRK Chempaka) bakal
berlaku pada 22 Mac 2015 nanti. Penamaan calon telah pun selesai pada 10 Mac lalu
dan PAS mengemukakan Ustaz Ahmad Fathan Mahmood (Ustaz Fathan) sebagai calon
pilihan. Ia berdepan dengan empat calon Bebas bersimbolkan Kunci, Buku, Pen dan
seekor Gajah. Pengundian awal akan berlaku pada 18 Mac nanti.
Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia telah mengumumkan
seramai 21,890 pengundi berdaftar dengan komposisinya adalah 20,390 orang
pengundi hadir dan 1,500 orang pengundi pos. Ia turut melibatkan 11,028
(50.38%) pengundi muda (bawah 40 tahun), diikuti 7,706 orang dewasa (41-60
tahun) dan 3,156 orang pengundi warga
emas (61 tahun ke atas). Dari segi jantina pula, 10,908 (49.83%) lelaki dan
10,982 (50.17%) wanita. Sementara dari segi komposisi kaumnya, terdapat 21,674
(99.01%) pengundi Melayu dan selebihnya 210 (0.96%) Cina dan lndia hanya enam
orang sahaja.
Penerus Legasi Tok Guru
Sebagaimana yang diketahui umum, PRK Chempaka diadakan
adalah bagi mengisi kekosongan selepas pemergian ke rahmatullah Almarhum Tuan
Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) pada 12 Mac 2015. Suatu pemergian
yang tidak mungkin berganti dari segi jasadnya. Namun dari segi legasi atau
peninggalan kepimpinannya, ia sesuatu yang harus diganti. Maka PRK Chempaka
diadakan bagi mengisi ruang ‘mengganti” Tok Guru sebagai wakil rakyat di situ
sekaligus penerus legasinya.
Sebenarnya PRK Chempaka ini dilihat penting bagi PAS dan
politik Kerajaan Negeri Kelantan. Ia sebagai pengesahan survival Kepimpinan
Ulama’ berasaskan ‘Legasi Tok Guru’ dan penerimaan Calon PAS sebagai penerus
kepimpinan Almarhum Tok Guru yang bermula sejak 1986. Di sisi Kerajaan Negeri
pula, boleh dianggap peluang membuktikan penerimaan rakyat selepas perubahan
kepimpinan di peringkat negeri pasca Tok Guru.
Hal ini selari dengan hasrat pengundi Dun Chempaka yang
inginkan seorang calon terbaik yang boleh membawa gaya kepimpinan Tok Guru
sebagai wakil rakyat mereka. Sebagaimana penemuan kajian Pusat Kajian Strategik
Negeri Kelantan (1 Mac 2015) melibatkan 645 orang responden; mereka mahukan
calon pilihan raya seorang yang boleh meneruskan kepimpinan tinggalan Tok Guru
berasaskan tiga kriteria besar iaitu berpendidikan agama (80%) berbanding
profesional
(17.5%) dan academician (2.0%). Sementara dari segi pembawaan kepimpinan
pula, mereka mahukan (sangat setuju) seorang calon yang mempunyai enam gaya utama: (1) Murah hati dan
berkebajikan (68.5%), (2) Cakna dan prihatin terhadap
isu-isu rakyat (68.5%), (3) Mampu menyelesaikan aduan rakyat
dan masalah pengundi (68.2%), (4) Sifat mesra pengundi, khususnya
mesra anak muda dan warga emas (66.8%), (5) Penampilan senang kiro mudoh
baso (63.6%), dan (6) Boleh menyampaikan ilmu agama/mengajar di masjid/surau
(61.6%). Kesemua sifat ini adalah nilai kemuliaan atas gaya kepimpinan Tok Guru
sebelum ini. Maka pemilihan Ustaz Fathan, seorang lulusan sarjana bidang agama
(Syariah), sebelum ini sebagai pensyarah dan Imam Mukim dan sekarang menyandang
jawatan Bendahari PAS Kawasan serta Guru Dakwah Halaqat. Ternyata beliau adalah
seorang yang cara hidupnya amat rapat dengan rakyat (pengundi) di Dun Chempaka.
Kempen PAS
Justeru bagi menjayakan matlamat kemenangan bagi PRK
Chempaka kali ini, pihak Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil yang diketuai
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Jentera Operasi yang
diketuai Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan
bersama-sama Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Hussin telah menggerakkan enam pasukan kempen utama iaitu Pasukan
Kempen Penerangan yang menganjurkan kepada ceramah dan kuliah dan
sebagainya, diikuti Pasukan Kempen Muslimat, Pemuda, Ulama’ dan Gerak Saraf serta
Media Baru.
Namun keutamaan kempen ialah Kempen Penerangan yang amat
bergantung kepada keberkesanan penyampaian pihak penceramah dan pengkuliah. Di
samping gerakan kempen Muslimat, Pemuda dan Ulamak. Mereka diarahkan bekerja
keras memikul amanah besar untuk memastikan misi kemenangan meskipun berdepan
dengan empat calon Bebas pada kali ini.
Justeru bagi merancakkan
kempen kali ini, maka pemilihan tema ‘Meneruskan
Kepimpinan Ulamak’ adalah simbolik gerak kerja bagi penerusan sentimen
kepimpinan Tok Guru untuk dikongsi sama oleh semua pengundi Dun Chempaka.
Berpandukan tema ini, misi utama PAS di PRK
Chempaka ini adalah untuk mencapai kemenangan mutlak sebagai membuktikan
penerimaan legasi Almarhum Tok Guru dan keberkesanan PAS mentadbir Kelantan.
Sehubungan itu, bagi memastikan kejayaan misi ini, maka
pendekatan kempen yang diputuskan pihak Jentera Operasi adalah berasaskan
perancangan strategik yang mengutamakan usaha mencapai objektif kemenangan dalam
rangka mempertahan dan meningkat sokongan popular (pengundi) ke paras 68
peratus.
Justeru gerak kerja kempen yang
diatur adalah meliputi kempen terhadap pengundi asalnya Umno yang pernah
memberi undi peribadi kepada Tok Guru. Lebih-lebih pada saat Umno tidak
menurunkan calon bertanding kali ini. Hal ini perlu disokong dengan pendekatan
mesra pengundi dengan merayu dan memujuk atas asas calon PAS, Ustaz Fathan
sedia memiliki sifat popular seperti mana kehendak pengundi, iaitu meneruskan
Kepimpinan Ulamak yang diasaskan oleh Tok Guru.
Membina mood keluar mengundi
Apa yang penting, mood pilihan
raya kecil (tanpa Barisan Nasional) dijangka memberi kesan kepada kemungkinan rendahnya
jumlah keluar mengundi, maka adalah menjadi keutamaan pasukan kempen ialah
memapraktikkan pendekatan membina mood keluar mengundi. Semua pasukan
kempen digalakkan melaksanakan kempen mesra pengundi dan perlunya menyampai
isu-isu yang mengukuhkan sokongan kepada
calon serta usaha menyuntik
akidah akan wajibnya mengundi calon yang diputuskan oleh Jama’ah.
Oleh itu, sasaran kempen
perlu dipertingkatkan kepada kumpulan pengundi wanita melalui pendekatan
penyayang, mesra dan berkebajikan serta cakna kepada pengundi anak muda, hal
ehwal kekeluargaan dan prihatin segmen MOSWA dan Yatim. Begitu pula sasaran
kepada pengundi anak muda (pemuda) menerusi pendekatan merapat hubungan,
pengiktirafan dan kemeriahan bersama calon serta mempamer kekuatan mengekal
gelombang anak muda bersama PAS.
Harapnya, komitmen PAS untuk menang di Dun
Chempaka kali ini bakal mengubat duka semua kepimpinan dan pendukung PAS berikutan
pemergian selamanya pemimpin yang disayangi semua pihak, Tok Guru Nik Abdul
Aziz. Semoga usaha kempen menuju kemenangan tanpa kehadiran calon Umno, bakal
membulatkan tekad para pengundi semua (termasuk pengundi pasukan tentera) untuk
sama-sama mengundi PAS dengan memilih calonnya Ustaz Fathan pada 22 Mac
nanti.
Oleh:
Dr. Wan Nik Wan Yussof,
Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan/
Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan
No comments:
Post a Comment