Oleh: Dr Wan Nik Wan Yussof, Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.
Perjalanan Pilihan Raya Kecil Chempaka
(PRK Chempaka) lalu berlangsung di tengah-tengah keseriusan Kerajaan Negeri
Kelantan pimpinan PAS menguruskan pembentangan Kanun Jenayah Syariah II (1993)
Pindaan 2015. Keputusannya sebagaimana ramai pemerhati politik meramalkan adalah
PAS mendapat kemenangan selesa. Ia bukan sahaja kerana Dun Chempaka merupakan
kubu kuat PAS sejak nama asalnya Dun Semut Api, tetapi mood semasa yang menyokong
atas kesungguhan kepimpinan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berjaya
membawa ke depan hasrat rakyatnya yang mahukan udang-undang jenayah Islam
menuju realiti.
Dari segi latar sosiopolitiknya pula, Dun Chempaka
merupakan tapak PAS sejak awal lagi. Ia menjadi tapak penyambung kepada kemenangan
berterusan selama tujuh penggal sejak 1986. Penyambungnya ialah Tuan Guru Dato’
Bentara Setia Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (Tok Guru) seorang pimpinan utama
PAS berjawatan Ketua Ulamak yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar
Kelantan selepas kemenangan PAS pada pilihan raya umum 1990.
Kekosongan kerusi N.06 Chempaka berlaku berikutan
kembalinya ke rahmatullah Tok Guru selaku penyandang pada 12 Februari 2015. Ia sebagai titik penyebab untuk
suatu pilihan raya kecil diadakan. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)
telah menetapkan 10 Mac 2015 sebagai tarikh penamaan calon, diikuti dengan pengundian
awal pada 18 Mac dan hari mengundi pada 22 Mac. Ia turut memperuntukkan 12 hari
tempoh berkempen.
Selain itu, SPR turut menyedia 10 pusat
mengundi dengan sembilan buah sekolah dijadikan pusat membuang undi menerusi 42
saluran mengundi awam dan satu saluran mengundi awal. Sementara
itu, seramai 21,890 pemilih yang berdaftar, 20,390 adalah pemilih biasa dan 1,497
pemilih awal kalangan anggota tentera dan isteri serta tiga pemilih yang tidak
hadir.
Calon PAS popular
Perjalanan PRK Chempaka kali ini menyaksikan perlawanan
lima penjuru tanpa penyertaan calon Barisan Nasional. Calon PAS telah ditentang
oleh empat calon Bebas yang dua daripadanya adalah dibayangi oleh pertubuhan
bukan kerajaan (NGO). Pihak Barisan Nasional tidak menyertai PRK Chempaka kali ini
adalah berikutan keputusan Umno yang ingin menumpukan kepada gerakan pemulihan
banjir dan sebagai menghormati Almarhum Tok Guru. Justeru calon PAS diwakili
oleh Ustaz Ahmad Fathan Mahmood (42) telah ditentang oleh empat calon Bebas
dengan lambang masing-masing, iaitu Aslah bin Mamat (64 tahun, Buku), seorang
wanita Fadzillah Hussin (55, Kunci), Izzat Bukhari (47, Pen) dan Hj. Syarif
Mahmood (59, Gajah). Namun fokusnya hanyalah kepada calon PAS, Ustaz Fathan yang merupakan
Bendahari PAS Pengkalan Chepa yang berkelulusan Sarjana Syariah dari Universiti
Malaya.
Sebelumnya pernah belajar di Universiti Al-Azhar Mesir adalah bekas Imam Mukim Baung, bekas Timbalan Pengetua Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) dan berpengalaman dalam pendidikan masyarakat melalui jawatan Pegawai Dakwah Halaqat yang disandang sebelumnya. Aktiviti pendidikan berteraskan agama Islam itu merupakan rutin Ustaz Fathan telah meletakkan beliau
popular di kalangan masyarakat. Populariti tersebut melebihkan Ustaz
Fathan di sisi kepimpinan PAS setempat yang lain. Misalnya menerusi respons
kajian awal kalangan pimpinan PAS cawangan dalam Dun Chempaka didapati ia telah
memenuhi hasrat lebih daripada 80 peratus yang bersetuju.
Kemudian kajian Pusat
Kajian Strategi berhubung kriteria pilihan untuk bakal calon PRK Chempaka,
Ustaz Fathan memenuhi hasrat 86 peratus responden yang mahukan seorang
beragama, berilmu dan mesra. Ia diperkukluhkan lagi oleh hasrat masyarakat awam
yang mahukan seorang berkemampuan meneruskan legasi Tok Guru di dalam aspek
penyebaran pendidikan agama kepada masyarakat.
Keputusan
majoriti selesa
Berpandukan kekuatan faktor calon yang dikongsi dengan suasana bersemangat di sebalik usaha pembentangan Kanun Jenayah Syariah II (1993) Pindaan 2015 pada 18 Mac di Dewan Negeri Kelantan, ternyata keputusan PRK Chempaka amat berpihak kepada PAS. Sebagaimana yang diumumkan Calon PAS telah memenangi dengan majoriti selesa sebanyak 10,092 undi, menewas kesemua empat Calon Bebas yang turut hilang wang deposit. Had undi yang menyebabkan hilang deposit bagi PRK Chempaka ini ialah kurang 1,500 undi. Meskipun jumlah keluar mengundi agak rendah kerana sememangnya penyokong dan ahli UMNO/Barisan Nasional tidak menyertai pengundian kali ini. Pada pilihan raya umum lepas, calon Barisan Nasional memperolehi 5,810 undi. Ini bermakna seramai 12,020 yang keluar adalah tidak termasuk kalangan Barisan Nasional. Berikut adalah keputusan undian untuk setiap calon PRK Chempaka.
Keluar mengundi rendah
Namun demikian,
walaupun fokus PAS pada PRK ini adalah untuk meraih populariti asal 68 peratus,
ia telah tercapai apabila daripada jumlah yang keluar mengundi (12,020) itu,
91.8 peratus (10,899) berpihak kepada PAS dan hanya 8.20 peratus kepada
kumpulan calon Bebas. Ia turut melakarkan sejarah bagi PRK tanpa Barisan Nasional (baca, UMNO)
maka jumlah keluar mengundi hanya 54.9 peratus berbanding pada pilihan raya
umum lalu 85 peratus. Maka bolehlah dikatakan bahawa pengundi yang tidak keluar
mengundi adalah kira-kira 25 peratus daripada ahli dan penyokong Umno dan
selebihnya (20 peratus) adalah pengundi tentera dan pengundi yang bertugas di luar
Kelantan serta non-partisan. Sehubungan ini, besarnya majoriti PAS dan
rendahnya keluar mengundi adalah juga kerana Barisan Nasional tidak menurunkan
calonnya bertanding pada kali ini.
Selain
itu, berdasarkan rekod pengundi PAS sendiri, dilaporkan sebahagian (kira-kira
50 peratus sahaja) pengundinya yang berkerja di luar Kelantan didapati balik
mengundi. Data yang diperolehi menunjukkan kira-kira 1,200 sahaja. Ini ada
kaitan juga dengan penentuan hari mengundi oleh SPR berlaku di penghujung cuti
pesekolahan (hari Ahad). Walaupun begitu, jumlah ini dianggap menepati sasaran
memandangkan mood dan persepsi yang ada ialah keyakinan sebahagian pengundi
PAS, sesungguhnya PAS mudah menang apabila Barisan Nasional tidak menurunkan
calonnya. Justeru melihat kepada faktor ini, PAS hanya mengalami kemerosotan
sebanyak 1,411 undi sahaja berbanding undi pada pilihan raya umum lalu. Dilihat dari keputusan
sebelum ini, undi PAS mempeolehi 12,310 dan pada PRK ini menurun kepada 10,899
(kurang 1,411 undi). Lihat analisis bandingan seperti mana jadual di
bawah.
Hakikatnya
pihak pasukan kempen PAS sendiri sudah menyedari kemungkinan kemerosotan
tersebut. Maka ini, usaha yang dibuat selain kempen mempopularkan calon bagi
mendapat undi simpati daripada kelompok atas pagar, turut diusahakan ialah ke
arah menambah dan mengekalkan kemenangan menerusi pendekatan penyelesaian
keperluan penduduk tempatan. Misalnya mengambil perhatian dan berusaha
mengatasi masalah bekalan air di Kampung Pulau Panjang, persoalan kemudahan
nelayan di Kuala Sabak dan beberapa tempat lagi. Begitu juga isu-isu kehidupan
setempat yang tertangguh turut diambil perhatian, termasuklah menguar-uarkan
melalui “risalah seruan calon” mengenai beberapa komitmen Ustaz Fathan
berkaitan dengan usaha untuk menyambung legasi Tok Guru dari segi kelas pengajian
ilmu agama, mengadakan kemudahan untuk aktiviti anak muda serta golongan wanita
dan warga emas serta penambahbaikan prasarana penduduk setempat pasca banjir.
No comments:
Post a Comment