Pengumuman Presiden KeAdilan, Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku calon pilihan
raya kecil Kajang pada 11 Mac lalu mengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah
menepati suasana kemelut ‘Langkah Kajang’ (Kajang Move). Ia berlaku berikutan
Anwar dikira ‘hilang kelayakan’ setelah dijatuhi hukuman atas kes liwat II oleh
Mahkamah Rayuan pada Jumaat lepas. Kini Wan Azizah dilihat sebagai penerus
agenda Langkah Kajang yang sebelum ini dipikul Anwar.
Sudah tentu senario politik itu amat menarik perhatian ramai pihak,
terutama apabila dilihat Langkah Kajang itu sebagai tindakan come back––kembalinya Wan Azizah di pentas
pilihan raya kecil. Ia suatu imbauan sejarah politik, tatkala sebelum ini Wan
Azizah yang popular dengan panggilan ‘Kak Wan’ pernah mengosongkan kerusi
parlimen Permatang Pauh pada 31 Julai 2008, kira-kira enam tahun dulu. Pengosongan
itu bertujuan memberi laluan kepada Anwar tampil di parlimen selepas tamat
tempoh ‘pantang lima tahun’ akibat dipenjarakan. Kini giliran Wan Azizah pula
mengisi kekosongan yang dibuat Adun Kajang, Lee Chin Cheh pada 27 Januari lalu.
Tujuan pengosongan, menurut Lee adalah untuk
kepentingan bersama dan mengukuhkan kebolehan Pakatan Rakyat berkhidmat untuk
rakyat Selangor. Justeru tugas Kak Wan adalah
menjayakan misi ini.
Mengimbau senario tahun 1999, Anwar dipenjara atas tuduhan rasuah ketika Dr. Mahathir menduduki kerusi Perdana Menteri. Maka Anwar hilang hak bertanding, dan menyebabkan Wan Azizah bertanding di kerusi Permatang Pauh, kerusi yang sepatutnya Anwar bertanding. Selama dua penggal (1999-2004 dan 2004-2008) Wan Azizah mewakili kerusi itu. Sehingga pilihan raya umum 8 Mac 2008, Wan Azizah sekali lagi bertanding dan menang. Apa pun kemenangan itu tidaklah lama, terpaksa mengosongkan kerusi parlimen itu bagi memberi laluan untuk Anwar. Ia sesuatu yang wajar demi mengembalikan maruah politik Anwar yang kemudian dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, dan Anwar memimpin perjalanan menuntut keadilan untuk mencapai Putrajaya pada pilihan raya umum 2013 lalu.
Namun langkah dari Permatang Pauh ke Putrajaya belum tercapai. Lalu langkah
itu cuba disambung menerusi agenda Langkah Kajang. Namun Langkah Kajang dikira
terganggu ekoran pihak kerajaan Barisan membawa semula kes Liwat II ke Mahkamah
Rayuan. Ternyata ia suatu gangguan, kerana pada 7 Mac lalu Anwar disabit dengan
hukuman lima tahun penjara dan bayaran jaminan RM10 ribu. Kini mendorong pula untuk
berdepan dengan proses Mahkamah Persekutuan yang belum pasti bila kesudahannya.
Apa yang pasti rancangan Langkah Kajang tidak lagi untuk Anwar. Proses
pilihan raya kecil sedang berjalan, pengundian bakal berlaku pada 23 Mac. Begitu
pun, di sananya berlonggok-longgok isu yang harus dikobarkan untuk rakyat
menilai, agar kesinambungan dominasi kerusi Kajang pasti memenangkan Pakatan
Rakyat.
Antara isu utama adalah isu-isu defensif pihak Barisan Nasional ekoran tekanan
ekonomi dan sosial yang gagal diurus oleh kerajaan Barisan menyebabkan kos
hidup meningkat ekoran kenaikan harga barang yang tidak terkawal, dan juga
pemulihan imej MCA (paeti yang bertanding) selepas dipimpin oleh kepimpinan
baru.
Namun isu paling penting adalah isu proses keadilan terhadap Anwar (kes
liwat II) dilihat bergelumang dengan konspirasi politik, dan apa yang tersirat di
sebalik agenda Langkah Kajang sendiri––rakyat ingin tahu penyelesaian isu-isu pentadbiran
negeri Selangor yang sebelum ini dimomokkan dengan persoalan ‘perbalahan’
sesama sendiri.
Maka kesempatan kempen pilihan raya kecil adalah perlu dimanfaatkan bagi
menerangkan kemajuan penyelesaian, termasuk isu MoU air Selangor dengan Pusat,
pertikaian dalam PKNS dan peranan untuk Wan Azizah sendiri dalam kerajaan
Selangor jika menang nanti.
Meskipun di sebalik Langkah Kajang itu pelbagai isu bakal dibangkitkan
untuk menarik pengundi, apa yang penting kini, seluruh tenaga Pakatan Rakyat
dan waktunya harus ditumpukan bagi memenangkan Wan Azizah selaku Presiden
KeAdilan. Kemenangan amat bermakna dalam memastikan segala-gala kebobrokan politik
kerajaan Barisan hari ini harus ditolak oleh majoriti rakyat. Jadikan keputusan
daripada pilihan raya kecil Kajang ini
sebagai tanda aras amaran rakyat, menerima atau menolak Langkah Kajang. Sekaligus
ia menatijahkan pengiktirafan rakyat kepada Wan Azizah, penerus Langkah Kajang selaku
ikon kepimpinan yang amat tabah dan begitu teruji dalam menghadapi segala macam
cabaran perjuangan. Semoga pengundi Kajang sedia melangkah bersama-sama
kepayahan rakyat dengan menolak Barisan Nasional pada 23 Mac nanti.
No comments:
Post a Comment