Menteri Besar Kelantan YAB TG Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat mengangkat bendera R tanda bermula konvoi R di Pondok Pasir Tumboh Kubang Kerian, Kelantan. |
Ahli rombongan bergambar sebelum bertolak. |
Dato' Ustaz Haji Ahmad Yakob mengimamkan solat hajat di depan Istana Kehakiman sebelum penghakiman kes rayuan Kerajaan Kelantan lawan Petronas di Putrajaya [3 Oktober 2012] |
Apabila memahami
strategi politik ‘perguna kuasa untuk mengatasi kuasa’ maka ia pasti dilakukan
oleh pemimpin Umno yang berkuasa di peringkat pusat untuk mengekang kuasa musuh
politiknya demi kekal berkuasa. Strategi ini sedang berlaku di Malaysia hari
ini. Ia telah berlaku sejak 22 tahun lalu di Kelantan.
Tindakan
politik Umno di Kelantan jelas berorientasikan hegemoni, maka segenap segi
kekuatan yang ada (aparatus di bawah kerajaan persekutuan), termasuk Petronas telah
dipergunakan untuk mencetuskan tekanan ke atas kerajaan negeri. Dalam hal ini,
pihak Umno sudah melakukan di Terengganu pada tahun 2000 dulu, menyebabkan
kerajaan negeri (dikuasai PAS) pada masa itu telah merosot kekuatan
kewangannya. Sebaliknya Umno mendapat kekuatan baru apabila bayaran tunai
kira-kira RM1,000 juta dari Petronas dirampas oleh kerajaan persekutuan dan
disalur kepada aparatus Umno menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan.
Pertimbangan diskriminatif
Tindakan itu
menampakkan cara Umno yang bercanggah dengan demokrasi dan mengetepikan prinsip
federalisme. Tatkala hak kerajaan negeri dinafikan, sekaligus pula rakyat
disekat daripada menikmati limpahan wang hasil minyak dan gas dari perut bumi
negeri sendiri. Ini tindakan pemimpin Umno demi menjaga hayat Umno dan perut pemimpin
serta mengawal penyokong agar terus mendapat kepentingan walaupun mereka tidak
berkuasa di Kelantan. Ia membuktikan Umno melaksanakan pertimbangan diskriminatif
yang bermaksud menzalimi pihak yang tidak bersetuju dengan mereka.
Disebabkan pertimbangan
itu, pihak pemimpin Umno akan terus mengawal ruang yang membolehkan rakyat
dipaksa menerima cara mereka dan menolak cara PAS-Pakatan Rakyat masa kini.
Justeru kerajaan negeri dan rakyat Kelantan adalah mangsa diskriminatif sejak
22 tahun lalu. Faktanya berlaku dalam banyak perkara, selain royalti hasil
minyak dan gas tidak terkecuali peruntukan pembangunan dalam rancangan lima
tahun Malaysia juga turut dinafi dan diolah secara politik birokrasi. Akibatnya,
hampir kesemua peruntukan pembangunan yang ada dalam buku rancangan itu tidak
disalur kepada kerajaan negeri, tetapi disalurkan kepada Jabatan Pembangunan
Persekutuan. Malah hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan lebuh raya, pelabuhan
entreport, stadium baru, pelebaran jalan, lapangan terbang antarabangsa dan
perumahan kesemuanya dinafikan.
Sekiranya
ada yang disalurkan kemudahan seperti pembiayaan bekalan air, itupun dalam
bentuk pinjaman dan berlaku pula campurtangan secara langsung dalam pengurusan
projek apabila perlantikan kontraktor tidak diberikan kepada kerajaan negeri.
Perkembangan
terbaru ini, menerusi pelbagai projek 1Malaysia yang dilancarkan era
pentadbiran Mohd Najib ini, kesemuanya diurus oleh Jabatan Pembangunan
Persekutuan. Seolah-olah di Kelantan tidak ada kerajaan negeri. Hal yang sama
berlaku di negeri Pakatan Rakyat – Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.
Justeru ia
suatu tindakan pihak kerajaan persekutuan yang bersalahan dengan prinsip kedaulatan
(sovereignity) dan keabsahan (legitimacy) pada carta maruah sejagat. Ia adalah amalan
Umno yang menggunakan kuasa kerajaan persekutuan, maka amalan sedemikian adalah
bercanggah dengan prinsip keadilan dalam Islam. Menurut sistem politik Islam
setiap wilayah dalam kaedah penaungan mestilah diberi kuasa khusus (autonomi),
lebih-lebih lagi apabila kuasa itu terkandung di dalam perjanjian dan diperolehi
menerusi mandat pilihan ramai.
Sesungguhnya
perkembangan tersebut telah menyebabkan rakyat begitu mual dengan permainan
politik Umno-Barisan Nasional. Kesannya rakyat Kelantan sedang melakukan
tindakan hegemoni balas (counter hegemony), tatkala mereka sepakat menyokong
sebarang usaha menuntut hak dan kepentingan mereka. Selari dengannya kemunculan
“Gerakan R” adalah ruang yang menuju ke arah realiti tuntutan hak dan
kepentingan rakyat yang sekian kali didiskriminasikan.
Gerakan R
Gerakan R telah
dicipta hasil gabungan 58 buah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di Negeri
Kelantan bagi menggerakkan kesedaran akan hak kerajaan negeri Kelantan
berhubung tuntutan bayaran tunai daripada Petronas sepertimana termaktub dalam
perjanjian. Impiannya adalah untuk menuntut bayaran tunai (royalti) hasil
minyak dan gas dari perut bumi Kelantan. Ia sedang melalui pergerakan positif
selari dengan keputusan kerajaan negeri yang membawa kes tuntutan tersebut ke
Mahkamah Persekutuan. Ia telah berlaku pada 3 Oktober lalu, apabila lima hakim
yang bersidang sudah memenuhi rayuan kerajaan negeri untuk meneruskan tuntutan
menerusi jalan mahkamah.
Kepimpinan Gerakan R (dari kiri): Nazri, Fauzi dan Hisyamudin pada sidang media. |
Meskipun
laluannya berliku-liku kerana turut dicelah oleh taktik politik Umno melalui
kerajaan persekutuan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas yang kononnya akan
mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil
petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Jawatankuasa
Khas ini akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari
tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat
syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan.
Apa yang
berbangkit bagi kerajaan negeri dan Gerakan R ialah bayaran mengikut perjanjian
adalah tanggungjawab Petronas, tetapi kerajaan persekutuan selaku penguasa ke
atas Petronas telah campur tangan. Justeru dalam urusan royalti, kerajaan
persekutuan telah menentukan untuk tidak membayar. Keputusan kerajaan
persekutuan itu telah menafikan hak kerajaan negeri Kelantan hanya dengan
alasan yang dangkal – kononnya hasil petroleum berlaku dalam perairan di luar
dari jarak tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.
Hakikatnya
tindakan tidak membayar itu telah bercanggah dengan kerangka perundangan dan
perjanjian di antara kerajaan negeri Kelantan dengan Petronas. Mengikut perjanjian
di bawah Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974 pada 9 Mei 1975, Petronas
hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan
sebanyak yang setara dengan lima peratus dari nilai petroleum yang didapati dan
diperoleh di Kelantan.
Jelaslah,
tidak ada pun fakta ukuran tiga batu nautika yang dihujahkan. Oleh sebab itu, apakah
pendirian ini berpandukan keputusan mana-mana mahkamah, atau ia hanya tafsiran
atas hasrat pemimpin Umno untuk menyekat hak (bayaran tunai) kepada kerajaan
negeri? Apa yang pasti, kesemuanya adalah hasil keputusan yang berpaksikan
matlamat politik rakus pemimpin Umno.
Berpandukan
realiti ini, rakyat Kelantan harus menjadikan isu tuntutan royalti hasil minyak
dan gas bersama-sama dengan semua isu yang berbangkit akibat diskriminasi
kerajaan persekutuan dapat dijadikan medium penyatu hasrat rakyat untuk
membetulkan keadaan demokrasi pincang amalan Umno-Barisan Nasional sekarang.
Masa terbaik adalah ruang pilihan raya umum ke-13 ini adalah peluang terbaik
bagi melakar sejarah baru bersama Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya, demi
keadilan untuk semua negeri dan rakyat.
No comments:
Post a Comment