Minggu lepas (Utusan 9 Oktober 2012) pihak Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) terkial-kial menyangkal dakwaan pihak Pakatan Rakyat mengenai
adanya pengundi yang diragui dalam senarai daftar pemilih yang bakal digunakan
dalam pilihan raya akan datang. Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
mendakwa kenyataan ketua umum KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya secara
umum dan menyukarkan SPR untuk menyiasat secara terperinci.
Beliau menambah, SPR mahu maklumat terperinci daripada pihak
yang mempertikai kedudukan 64,100 pemilih pos yang didakwa telah dimasukkan
dalam daftar pemilih. Ia minta dibuktikan dengan menyerahkan semua 64,100 maklumat
pemilih dengan terperinci bagi membolehkan SPR menyemak rekod daftar pemilihnya.
Sementara, Anwar dalam Suara Keadilan (2 Oktober) atas tajuk
"Audit Sahkan SPR Menipu-Anwar" menyatakan penemuan 64,100 pemilih
pos dimasukkan dalam daftar pemilih pada 9 April 2010 berkemungkinan besar
tidak melalui proses semakan dan bantahan rasmi. Laporan itu turut mendakwa
77,246 nama yang tidak ada dalam daftar pemilih yang dipakai pada pilihan raya umum
ke-12.
Kesemua dakwaan tersebut telah dinafikan oleh Abdul Aziz dan
baginya setiap permohonan (menjadi pemilih) perlu melalui proses tertentu dan sebelum
diterima oleh SPR.
Kesangsian daftar pemilih
Pada bulan Mei lalu, pihak SPR (The Star 30 Mei 2012) telah
mendedahkan seramai 12,658,803 pemilih boleh mengundi jika pilihan raya
diadakan dalam masa terdekat. Ketika itu, Abdul Aziz turut mengumumkan SPR melaksanakan pembersihan daftar pemilih dengan kerjasama Jabatan
Pendaftaran Negara dan pihak pengundi sendiri
diberi peluang mengesahkan maklumat berdaftar
adalah betul dan tepat.
Hasil daripada usaha itu, kini di Kelantan terdapat 894,915 pengundi. Apa pun terdapat kesangsian
di sebalik jumlah ini apabila dibandingkan jumlah pemilih pada pilihan raya
umum 2008 seramai 753,407––berlaku tambahan seramai 141,508 (18.78
peratus). Pertambahan yang lebih besar
berbanding tahun 2004 ke tahun 2008––tambahan dalam tempoh ini (2004-2008)
ialah 88,960 (13.42 peratus).
Mungkin pertambahan besar (antara 2008 hingga 2012) adalah kejayaan
gerakan pendaftaran pemilih atas sifat masih ramai mereka yang cukup umur belum
mendaftar.
Namun berdasarkan analisis dan semakan ke atas senarai
pemilih yang diedar oleh pihak SPR, timbul lagi beberapa persoalan terhadap
daftar pemilih di Kelantan. Ini kerana pertambahan itu didapati telah
disumbangkan oleh 100,231 pengundi pertama (first
time voter), iaitu pemilih dalam kumpulan umur 21-25 tahun.
Bukan warga Kelantan
Daripada jumlah ini, satu analisis data dibuat mengenai
identiti pengundi tersebut, maka didapati tambahan itu turut disumbangkan oleh
pengundi bukan warga negeri Kelantan. Data kajian latar belakang pengundi itu
didapati mereka yang bukan lahir di Kelantan (bukan warga negeri) pada tahun
2008 ialah 74,907, kemudian bertambah kepada 118,850 pada Mac 2012 lalu. Ia menunjukkan
tambahan seramai 43,943 pemilih.
Ini bermakna daripada jumlah tambahan pengundi di Kelantan
seramai 141,508 terdapat 43,943 (31.05 peratus) adalah mereka yang lahir di
luar Kelantan didapati mendaftar menjadi pengundi di Kelantan. Apakah maksud di
sebalik ini?
Kemungkinan mereka adalah ‘warga Kelantan sebenar’ tetapi
tidak dilahirkan di Kelantan kerana ibu bapa mereka berkerja di luar Kelantan.
Namun dipercayai mereka itu tidaklah sampai berjumlah lebih 40 ribu orang.
Analisis data tersebut mengikut Parlimen, didapati Parlimen
yang agak besar peratusnya (bukan lahir di Kelantan) ialah Kota Bharu (13,485 – 16.98 peratus) dan Jeli (7,116 – 16.86 peratus). Diikuti dengan Pengkalan Chepa
(9,449 – 14.98 peratus), Pasir Puteh (10,404 –
13.91 peratus), Tumpat (12,040 –
12.58 peratus), Tanah Merah (7,034 – 12.58
peratus) dan Bachok (8,119 – 10.22
peratus).
Kerja pihak tertentu?
Logiknya ada pengundi yang memang bukan warga negeri
Kelantan yang diurus daftar khas oleh pihak tertentu untuk mengundi di
Kelantan. Hal ini terbukti apabila ada kes-kes bantahan yang dibuat oleh pihak
PAS melibatkan pengundi yang tidak kenal dan bukan memiliki kad pengenalan (kod
03 dan 29) membuktikan bukan warga Kelantan. Sebagaimana dakwaan di Dun Wakaf
Bharu (melibatkan laporan polis pihak PAS ––Sinar Harian 11 Julai 2012) bagi
suku ke-2 tahun 2012 lalu, terdapat 10 orang awam dan 37 anggota polis yang
diragui identiti mereka yang ada namanya dalam rang daftar pemilih tambahan telah
dibantah. Kemasukan nama-nama itu (10 orang awam dan 37 anggota polis)
dikatakan dibuat secara terancang.
Persoalannya,
itu semua kerja siapa? Justeru pihak SPR tidak seharusnya bersikap reaktif atas
apa yang dibangkitkan. Paling utama, usaha pemutihan dan pengharmonian nama-nama
pemilih di dalam senarai yang diragui itu mesti diselesaikan sebagaimana
tuntutan BERSIH.
Sekadar
mengingatkan semula mengenai tuntutan BERSIH, salah satunya ialah meminta pihak
SPR membersihkan nama-nama pemilih dalam senarai pemilih yang sudah dilihat
kotor. Ia dikatakan kotor berikutan adanya nama pengundi yang tidak dikenali,
tidak bermastatutin pada alamat yang didaftarkan dan ada yang telah lama
meninggal dunia. Sementara itu, tidak kurang pula ada nama-nama yang sudah
berpindah tempat tinggal dan ada nama-nama yang didaftar secara berlonggok
(berpusat) pada satu alamat.
Pun
begitu, pihak PAS dan Pakatan Rakyat seharusnya mengambil langkah proaktif
untuk memantau dan menyemak serta mengemaskini data pemilih yang ada. Ia
langkah penting bagi memastikan mereka yang benar-benar berhak boleh mengundi
dan yang tidak berhak harus disekat menurut peraturan yang ada. Praktikal
sekiranya pihak PAS dan rakan Pakatan Rakyat dapat menumpukan kepada urusan
bancian dan penculaan atas semua nama-nama pengundi pertama dan pengundi bukan
warga negeri sebagai pencerapan untuk mendesak SPR melakukan pemutihan.
No comments:
Post a Comment