28 September, 2012

Pakatan Rakyat perlu serius atas Kajian UMCEDEL


Kajian yang dibuat dan dibentangkan oleh University of Malaya Centre for Democracy and Elections (UMCEDEL) sebagaimana dipaparkan dalam media (26 September 2012) mengenai ‘pola pengundi menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) menunjukkan hakikat berlaku peningkatan sokongan dan keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Bacaan sebaliknya, sudah tentu bermaksud kemerosotan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN). 

Laporan kajian terbaru pusat kelolaan Profesor Dato' Dr. Mohammad Redzuan Othman bersama anakbuahnya itu boleh dilayari melalui laman sesawang (http://umcedel.um.edu.my) wajar dianggap sebagai usaha gigih menyumbang untuk kematangan politik Malaysia. Ia suatu sumbangan besar yang menyambung kejayaan UMCEDEL menerbitkan jurnal sulung “Demokrasi dan Pilihan Raya” pada bulan lepas.

UMCEDEL boleh dipercayai
Tanpa apa-apa prasangka, sebenarnya kajian UMCEDEL ini memiliki kebolehpercayaan tinggi berdasarkan pengalaman kajiannya yang lalu. Ia merupakan lanjutan kajian yang dibuat sebelum ini berhubung ‘kecenderungan politik’ menjelang PRU13.  Begitu pula, kajian lalu pusat ini turut mendedahkan penemuan agak signifiken berhubung ‘kesan persepsi masyarakat terhadap Islam Hadhari’ menjelang pilihan raya umum ke-12. Kajian tentang kesan Islam Hadhari itu telah menampakkan realiti ‘penolakan kepimpinan BN’ adalah benar, apabila kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat sokongan kurang dua pertiga di parlimen.

Kembali kepada kajian terbaru UMCEDEL mengenai ‘pola pengundian menjelang PRU-13’ adalah suatu penemuan perbandingan antara dua tempoh kajian, iaitu pertama pada 31 Mac–15 April 2012  (2,282 responden) dan keduanya 1– 16  September 2012  (1,526 responden).  

Paling hangat dari hasil kajian itu ialah mengenai keberkesanan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang menyentuh isu ‘populariti kepimpinan’. Menurut kajian itu, bagi tempoh pertama populariti Mohd Najib berada pada tahap 61 peratus dan tempoh kedua jatuh kepada 58 peratus. Dalam menilai populariti itu, pihak responden dihadapkan dengan nilai-nilai kepimpinan Mohd Najib – sejauh mana diterima sebagai mesra rakyat, berwibawa dalam pentadbiran, mengurus ekonomi dengan cekap, keperibadian yang dihormati dan dikenali di peringkat antarabangsa. Hasilnya responden menarafkan populariti Mohd Najib merudum tiga peratus dalam tempoh enam bulan (April-September).

Kajian sama oleh MC
Justeru kebolehpercayaaan kajian ini amat munasabah apabila dibuat bandingan dengan penemuan kajian Merdeka Centre (MC) sebelumnya. Kajian MC (melibatkan tempoh Februari-Jun 2012) juga menunjukkan populariti (baca performance) Mohd Najib sebanyak lima peratus dari 69 ke 64 peratus. Lihat Rajah 1 berikut (sumber Merdeka Centre):

Apa pun kajian MC itu  dikatakan belum mengambil kira secara langsung isu Projek RM250 juta membabitkan ternak lembu National Feedlot Centre (NFC) untuk keluarga Ketua Wanita Umno. Sedangkan kajian terbaru UMCEDEL telah menyentuh nilai NFC kepada responden. Maka isu NFC itu telah mengurangkan tiga peratus undi BN. Mungkin benar, lantaran NFC adalah manifestasi kepimpinan Mohd Najib yang masih sama – kurang integriti – seperti juga kepimpinan Abdullah – mengutamakan kroni – mengundang kurangnya penghormatan rakyat terhadap keperibadian Mohd Najib. Rajah 2 berikut (sumber UMCEDEL) menunjukkan tahap setuju responden bahawa NFC akan menjejaskan prestasi BN dalam PRU13.


Perlu tindakan serius
Apa pun nilai kajian terbaru UMCEDEL harus diberi perhatian oleh Pakatan Rakyat, terutama di dalam memperkemaskan program bagi mencapai misi ke Putrajaya. Ia sesuatu yang serius untuk diambil tanggungjawab oleh kepimpinan Pakatan Rakyat, terutama di dalam dua pendekatan, iaitu mengurus isu-isu sedia ada dan mencipta beberapa pecutan isu baru.

Dua pendekatan ini sudah tentu melibatkan juga tahap keseriusan di dalam mengurus isu-isu di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat (Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah). Justeru kajian UMCEDEL turut menyentuh pola pengundian yang akan berlaku dalam PRU13 di Selangor, Kedah dan Kelantan dalam hubungannya dengan isu ‘khidmat balas’ kerajaan Negeri kepada rakyat bagi menjawab atau mengimbangi kesan khidmat kerajaan Pusat yang dianggap memberi kepuasan tinggi kalangan rakyat.

Antara isu yang harus dilakukan ‘khidmat balas’ ialah pemberian bantuan BR1M sebanyak RM500 kepada mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan, perkhidmatan kedai 1Malaysia dengan harga patut, pwerkhidmatan klinik 1Malaysia untuk golongan berpendapatan rendah dan pendekatan turun padang mendekati masyarakat bukan Melayu.
Terbarunya pula keputusan pilihan raya kampus yang menggambarkan persepsi ‘establishment’ kalangan mahasiswa semakin baik kepada BN tatkala pindaan AUKU membenarkan mahasiswa berpolitik dan pemberi Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) yang menjadi isu kempen utama kumpulan pro-Aspirasi (baca menyokong pendekatan politik BN) untuk menempis hujah kumpulan pro-Mahasiswa (baca menyokong kebebasan berpolitik).

Jika kesemua isu (bikinan kerajaan BN) ini diukur dengan nilai keutamaan isu yang sedang dihadapi rakyat, maka penemuan kajian MC pada 22-29 Jun 2012 mendapati keutamaannya adalah berkaitan dengan ‘economic concerns’  (39 peratus), diikuti dengan ‘crime and social problems’ (12 peratus) dan ‘political issues’ (8 peratus). Rajah 3 berikut (sumber Merdeka Centre) adalah menjelaskan pola isu-isu keutamaan di sisi rakyat.

Atas nilai keutamaan tersebut, maka di sisi Pakatan Rakyat amatlah sesuai dengan musim pilihan raya menjelang tiba, sewajarnya bertindak serius bagi melaksanakan ‘khidmat balas’ dalam semua aspek keperluan (needs), pengharapan (expectations) dan minat (interests) rakyat, iaitu soal ekonomi (perut), permasalahan sosial (keselamatan dan kesejahteraan) dan politik (jaminan masa depan) harus diambil langkah serius oleh Pakatan Rakyat. Justeru bagi merealisasikan nilai keutamaan ini, kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat harus melaksanakan programnya dengan terbaik.

Kajian UMCEDEL mengenai Kelantan
Dalam konteks negeri Kelantan misalnya, ada isu-isu yang secara langsung perlu diurus secara serius bagi memenuhi nilai-nilai keutamaan tersebut. Mungkin penemuan UMCEDEL tentang peluang parti mana (antara Pakatan dengan BN) di Kelantan pada PRU13 boleh diteliti secara fakta.

Berdasarkan peningkatan (27 kepada 32 peratus) untuk BN 5 peratus dan penurunan (44 kepada 41 peratus) untuk Pakatan Rakyat dalam tempoh Mac-April dan 1-16 September 2012 adalah mengandungi nilai fakta semasa dan masa depan (Rajah 4). Ini ada kaitannya dengan mutu perkhidmatan dalam aspek ekonomi, kesejahteraan dan masa depan rakyat selepas 22 tahun di bawah pentadbiran kerajaan PAS.

Relevan juga untuk dilihat ialah persoalan kalangan rakyat Kelantan yang tidak prihatin dengan perkembangan politik semasa, didapati agak tinggi (mereka yang menjawab tidak pasti), iaitu antara 29 dan 27 peratus. Ini membukti masih ramai yang tidak merasai apa-apa atas khidmat kerajaan Negeri sekarang.

Hal ini diparahkan lagi dengan provokasi dan manipulasi pihak media yang memburukkan khidmat bekalan air, pembangunan tanah dan kadar pelaburan serta nilai-nilai integriti kepimpinan oleh kerajaan Negeri Kelantan yang begitu rancak masa kini. Pendekatan yang sama juga dibuat oleh media kempen BN dan Umno untuk memburukkan prestasi baik khidmat kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor (juga isu air, pelaburan dsb), Kedah (isu KUIN dan perpecahan kepimpinan dsb) dan Pulau Pinang (isu orang Melayu terancam, perpecahan kepimpinan dsb).

Sehubungan itu, bagi menjawab kesemua persoalan di sebalik penemuan kajian UMCEDEL mahu pun MC adalah wajar mengambil langkah serius untuk melaksanakan tindak balas bersrategik. Amat wajar sakretariat Pakatan Rakyat bertindak lebih aktif bagi menyelaras dan bekerjasama bagi memanfaatkan kesemua sumber yang ada serta kekuatan perpaduan dalaman menghadapi setiap serangan saraf menerusi pelbagai media perdana dan media baru. Masa masih ada, lebih-lebih lagi perkembangan isu pasca Bajet 2013 ia memerlukan tindak balas pantas yang lebih berkesan untuk mengubah persepsi dan prestaasi khidmat kerajaan Negeri masa kini. 

Oleh Wan Nik Wan Yussof, Pengarah Pilihan PAS Negeri Kelantan

No comments: