Salehuddin Ayub kini seorang Naib
Presiden PAS yang paling terkedepan dalam menguasai pemberitaan media dalam
ketegori ketokohan politik nasional hujung minggu ini. Namanya terserlah memuncak
sebaik selesainya debat Sinar Harian (19 Jun 2012). Ia dihangat lagi dengan
berita kepulangannya ke Johor bagi menghadapi cabaran pilihan raya umum ke-13.
Itulah tokoh segar pimpinan PAS, seorang
lulusan bidang Sains Pembangunan Manusia dari UPM dan bekas kakitangan bank
kelahiran Pontian Johor dari darah campuran Cina (emak) dengan Melayu (bapa). Selaku
Naib Presiden PAS semestinya menjadi pejuang parti Islam yang sepenuh masa.
Beliau pada awalnya adalah menjadi aktivtis ABIM dan pernah memegang jawatan
Setiausaha ABIM cawangan Pontian (1981-1983). Pengalaman dan tarbiyah ABIM
ketika itu amat dekat dengan misi perjuangan PAS. Sudah pasti pengalamannya
bukan langkah sumbang baginya mengatur langkah perjuangan bersama PAS selepas
1983.
Pengalaman 30 tahun
Kini, Salehuddin sudah memasuki 30
tahun cabaran lurah dan liku perjuangan Islam. Selayaknya, beliau mendaki dalam
memikul amanah dengan cukup bertenaga. Bermula dari menduduki senarai pemimpin
bawah terus melangkah ke pintu paras tertinggi. Lamanya berada dalam senarai
kepimpinan PAS Pusat adalah berkat istiqamah menekuni landasan yang mengukir
bakat yang tersemat kesabaran.
Ketokohan Salehuddin terbukti ketika
memegang Setiausaha Pemuda Pusat (1997-1999), kemudian Naib Ketua Pemuda PAS
Pusat (1999-2001), diikuti pula sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat
(2001-2003) dan Ketua Pemuda PAS Pusat (2003-2009). Ia cukup mendapat perhatian
seluruh warga perjuangan PAS mengamanahkan kepadanya Naib Presiden. Kini telah
dua penggal selaku Naib Presiden (bermula penggal pemilihan 2009 dan 2011
hingga kini) yang popular dalam bual bicara perjuangan merakyatkan isu-isu
menyanggahi kezaliman dasar dan amalan kuasa hegemoni Barisan Nasional.
Pejuang demokrat
Pengalaman pilihan raya pula pasti
mematangkan Salehuddin selaku pemimpin dan penjuang demokrat yang lunak
membangkit prinsip dan dasar PAS. Bermula pada pilihan raya 1999 di Dun Benut,
Johor beliau memperolehi 28.2 peratus sokongan pengundi dan tewas sebanyak
7,209. Ketika itu sebagai Ketua Pemuda PAS Johor. Ia sebagai pengalaman sulung
mendepani cabaran politik dakwah secara silmiyyah.
Apa pun selepas menjawat Ketua
Pemuda Pusat, beliau telah dipilih oleh parti bertanding di parlimen Kubang
Kerian, Kelantan pada pilihan raya umum 2004.
Beliau memperoleh 57.56 peratus sokongan
dan meraih majoriti 5,627 undi. Seterusnya pada pilihan raya
umum 2008 sekali lagi bertanding mempertahankan parlimen Kubang Kerian dan
berjaya dengan penguasaan 62.17 peratus undi dengan
meraih majoriti 10,642 undi.
Serambi Mekah universiti politik
Atas asas apa Salehuddin dibawa ke
Kubang Kerian adalah mengandungi maksud yang tersirat dan tersurat. Apa yang
pasti, kini Salehuddin sudah lapan tahun mewakili parlimen Kubang Kerian, iaitu
salah satu kubu PAS di Kelantan yang tidak pernah tewas. Pasti juga sarat
dengan aroma dan aura Serambi Mekah yang pernah diabsah sebagai “Universiti
Politik Terbuka” oleh pimpinan PAS.
Sebelum ini Kubang Kerian dikenali
sebagai parlimen Nilam Puri pada pilihan raya umum 1990 dan 1995. Ketika itu,
Nilam Puri diwakili Timbalan Presiden PAS sekarang, Haji Mohamad Sabu yang
ketika itu selaku Naib Ketua dan Pemangku Ketua Pemuda Pusat. Berikutan
persempadanan bahagian pilihan raya 1996 parlimen Nilam Puri telah diubah
sempadan dan membentuk dua parlimen baru, iaitu Kubang Kerian dan Ketereh.
Pada pilihan raya 1999, untuk
pertama kali parlimen Kubang Kerian diwakili Haji Husam Musa. Kemudian pada
pilihan raya 2004, Haji Husam telah bertanding di Dun Kijang bagi memberi
laluan kepada Salehuddin di parlimen Kubang Kerian. Ia jelas terserlah keunikan
perjuangan PAS dalam kancah politik Kelantan. Maka Salehuddin adalah pemimpin
yang menjadi mata-rantai perjuangan tokoh-tokoh dari luar Kelantan terdahulu
daripadanya – Zulkifli Muhammad, Abu Bakar Hamzah dan Mohamad Sabu – berjaya
mengukir nama membawa kebangkitan semangat dan kemajuan perjuangan Islam di
negara ini.
Selamat pulang anakku
Sehubungan itu, pada 29 Jun lalu segala-galanya
telah benar mengenai cakap-cakap dan khabar angin tersebar sebelumnya. Sudah
rasmi, Salehuddin yang diura-ura bakal meninggalkan Kubang Kerian telah pulang mengukuh
saf kepimpinan PAS Johor berdepan Barisan Nasional dalam pilihan raya ke-13. Ia
berlaku dengan penuh harmoni seiring dengan semangat kebangkitan Himpunan Hijau
bermula di Alor Star, Kedah pada 1 Jun lalu. Semarak kehijauan telah menyambut
kepulangan Salehuddin.
Kemuncak kemeriahannya sedia terungkap “selamat pulang
anakku” oleh seorang “bapa” Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat. Diungkap dengan penuh harapan menuju kejayaan pada malam Tuan Guru
memotong riben selamat pulang (29 Jun) bertempat di Taman Dahlia, Johor Bharu. Sejarah
menintakan detik kepulangan bergaya dalam mengatur langkah PAS bersama Pakatan
Rakyat Johor sedang menitip perjuangan menuju Putrajaya.
Hakikat kemeriahan acara selamat pulang itu cukup terbukti dalam empat siri program sepanjang hari 29 Jun. Mengambil semangat kebersamaan Al-Mursyidul Am di Johor Bharu ialah acara solat Jumaat di Pasir Gudang, diikuti perjumpaan warga perumahan flat pengundi Johor dan Kelantan di Kempas, dan makan malam bersama kepimpinan Cina anjuran Perhubungan PAS Johor diketuai Pesuruhjaya, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed serta acara kemuncaknya Himpunan Hijau bersama pemuda di Taman Dahlia telah merakamkan kehadiran 20 ribu pendukung ekspresi hijau. Ia turut diserikan dengan penyerahan keahlian PAS pelakon filem Laftenan Adnan, Hairie Othman sebagai ikon anak muda yang tuntas. Segala-galanya jelas terpamer kesatuan semangat menyumbang kemenangan Pakatan Rakyat di bumi selatan Johor Darul Takzim. Semoga berjaya dengan penuh keberkatan-Nya – Allahu akbar.
No comments:
Post a Comment