15 July, 2012

Dasar PR: Mesra kitar semula selari dengan ajaran Islam


Dalam buku jingga “Ubah Sekarang SelamatkanMalaysia” dinyatakan aspek memacu ‘ekonomi berprestasi tinggi, mapan dan adil’ yang dimasukkan aspek Alam Sekitar. Fokusnya kepada lima perkara asas, iaitu membudayakan amalan kitar semula, aktiviti pembalakan terkawal, penggunaan sumber tenaga alternatif, mengawal pembinaan di lereng bukit dan merendah kadar pelepasan karbon. 

Menyahut dasar bersama Pakatan Rakyat itu, PAS Kelantan menerusi ‘manifesto PRU-13’ turut menyentuh tawaran berkaitan alam sekitar yang menekankan aspek kelestarian. Sehubungan itu, langkah pro-aktif Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menjalankan projek kitar semula amat dialu-alukan. Ia secara langsung memenuhi amalan pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan yang berasaskan ‘ubudiah’ dalam semua segi, termasuklah persoalan alam sekitar yang dicipta Allah SWT.

Ciptaan Allah

Hakikat alam ciptaan Allah SWT ini adalah suatu ekosistem yang perlu dijaga dan diurus secara baik. Ini kerana setiap sesuatu kejadian itu adalah saling imbang-mengimbangi bagi menjamin kestabilan hidup seluruh makhluk di alam ini. Firman Allah SWT: 



Maksudnya: “(Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya): Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan, - Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, Dan buah anggur serta sayur-sayuran. Dan Zaitun serta pohon-pohon kurma. Dan taman-taman yang menghijau subur. Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput. Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu” ('Abasa 80:24-32).

Manusia memerlukan kestabilan dalam hidup, begitulah pokok-pokok, batu-batan, binatang di hutan dan binatang ternak. Rosaknya satu sistem kehidupan akan memberi kesan yang boleh merosakkan pula sistem kehidupan yang lain.  Inilah peri pentingnya memerhatikan segala kestabilan dalam sistem hidup. Firman Allah:
 




Maksudnya: (Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Ia juga telah menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya. Makanlah kamu daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah, bagi orang-orang yang berakal fikiran” (Taha 20:53-54)

Justeru alam ciptaan Allah ini merupakan gedung sumber atau komoditi yang menjadi keperluan bagi kehidupan manusia. Sesuai dengan manusia di sisi Islam adalah khalifah di bumi yang memikul amanah untuk memakmur dan menjaganya. Bermakna, alam fana ciptaan Ilahi ini harus dijaga sebaiknya, kerana ia suatu entiti yang perlu dihormati haknya seperti juga hak manusia dan makhluk Allah yang lain. Ia menepati ajaran Nabi Muhammad SAW sepertimana sabda baginda bermaksud: “Semua ciptaan Allah SWT adalah seperti satu keluarga; dan Dia paling menyayangi mereka yang paling baik terhadap keluarga-Nya.”

Atas prinsip kekeluargaan inilah ia menepati falsafah ekosistem yang menuntut kesimbangan, keadilan dan berkebajikan demi kebaikan semua pihak. Asasnya perintah Allah SWT menerusi firman-Nya:



Maksudnuya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya” (Al-Nahl 16:90).

Natijahnya, alam ini dijadikan mengikut ukuran tertentu dan berada dalam keadaan seimbang dan harmoni. Dianggap salah apabila manusia yang menggunakan alam ini yang membawa kepada kerosakan (ketidakseimbangan) dan kekacauan (bencana). Apakah manusia menginginkan kejadian alam ini menyebabkan ancaman kepada kehidupan? Sudah tentu tidak diingini!

Manusia yang rasional sudah tentu berfikir panjang di atas segala nikmat alam ini. Atas hujah ini, amat wajar sekali semua pihak bertanggungjawab menjaga alam ini agar terus terpelihara. Maka langkah yang amat penting pihak kerajaan, pertubuhan mahupun individu ialah memastikan keseimbangan, kelestarian dan kesegaran seisi alam ini. Justeru itu, langkah Kerajaan Negeri Kelantan menerusi MPKB-BRI menjalin usahasama bagi projek kitar semula bahan terbuang atau sisa pepejal (sampah-sarap) patut dipuji.

Pandangan Menteri Besar Kelantan

Bertolak daripada kesedaran kepada kesimbangan alam tersebut, pihak Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz merakam penghargaan dan terima kasih kepada MPKB-BRI dan rakan usahasama SS Microbial Sdn. Bhd yang sanggup menerokai projek kitar semula baru-baru ini. Cadangan projek dikenalpasti akan beroperasi di tapak seluas 10 ekar di Telong, Bachok itu bakal memberi nilai tambah dan manfaat besar bukan sahaja kepada alam sekitar malah kepada sosioekonomi rakyat.

Manfaatnya bukan sahaja dapat mengurus secara moden semua sumber sampah sarap (punca organik mahupun bukan organik), malah lebih dari itu, bagi sumber organik dikatakan bakal diproses menjadi baja organik. Ia membolehkan sedikit sebanyak dapat mengimbangi penggunaan baja kimia yang dikatakan membawa impak tidak baik kepada kehidupan manusia. Selari dengannya sudah tentu akan menggalakkan industri tani berasaskan organik.

Berbekalkan teknologi moden dari Taiwan yang akan diguna dalam projek tersebut, sudah tentu juga puluhan ribu tan bahan sisa dapat dikitar dan dimanfaat secara lebih berkesan, mesra alam dan menyumbang kepada kestabilan alam. Sebagaimana kejayaan yang pernah dicapai dalam mana-mana teknologi kitar semula ia akan mencekapkan lagi pengurusan bahan sisa dan membawa kesan positif kepada aspek sosial, politik, ekonomi dan melestarikan alam sekitar. Ini selari dengan perkembangan yang berlaku dalam arus pembangunan yang dilalui sekarang ini yang menuntut kepada pengurusan alam sekitar berkonsepkan hijau dan mapan (lestari).

Menurut Tuan Guru Menteri Besar, kejadian alam bersifat teratur dan boleh difahami susunannya. Ia menjadi ‘ayat’ atau ‘tanda’ bagi manusia memahami hakikat kewujudan Allah SWT, kerana itu Islam menganjurkan umatnya hidup dalam kesederhanaan dan tidak berlebih-lebihan, termasuk dalam menggunakan sumber alam.

Dalam persoalan sebegini, Allah SWT tidak melarang manusia menggunakan sumber alam, tetapi penggunaan ini tidaklah sehingga berlebih-lebihan, sebaliknya cukup sekadar memenuhi keperluan dan menurut hukumnya. Justeru ketentuan Allah dalam soal kitar semula mudah difahami dalam konteks udara yang kita sedut untuk bernafas (udara bersih) dan kita hembus (udara kotor). Hubungan ini berlaku dalam sifat manusia. Ia seiringan dengan fungsi tumbuhan menerusi dedaunnya dapat menyerap udara kotor (karbon dioksida) dan membebaskan pula udara bersih  (oksigen) untuk disedut oleh manusia, membantu pernafasan. Kaedah yang sama berlaku dalam jantung manusia – ada saluran masuk dan saluran keluar, ia suatu proses kitaran semula darah dan oksigen dalam tubuh manusia. Maka di persekitaran luar, pemahaman yang sama boleh dijadikan keinsafan bagi orang bertakwa.

Atas keinsafan itu, sudah tentu banyak kejadian Allah bersifat kitar semula – akan membawa kebersihan bukan sahaja kepada alam sekitar, malah kebersihan jasad dan rohani apabila ia disangkutkan dengan hati (niat) dan keikhlasan. Natijahnya konsep kitar semula akan membawa kesan positif kepada keharmonian hidup bermasyarakat.

Ini kerana manusia di sisi Islam ada pilihan untuk menerima atau melaksana sesuatu berpandukan kebaikan atau keburukan menurut neraca Allah SWT. Kebaikan adalah pahala dan keburukan adalah dosa, maka dua neraca ini harus dijadikan matlamat untuk kitar semula sama ada untuk mentauhidkan Allah atau menyekutukan–Nya. Atas sebab neraca ini Nabi Muhammad SAW menggambarkan ‘Peristiwa Hijrah’ dalam hadis baginda: “Sesungguhnya amal-amal perbuatan itu bergantung pada niat-niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang akan mendapatkan sesuai apa yang diniatkannya. Barang siapa berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa berhijrah kepada dunia yang dikejarnya atau wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya kepada apa yang diniatkannya.”

Bagi menjaga hati dan niat kita agar kaedah kitar semula ini menjadi falsafah hidup yang akan mendapat keredaan Allah SWT, maka ada baiknya semua pihak (individu) dapat menjadikan kelestarian alam sekitar (bersih dan segar) sebagai matlamat. Jika demikian, akhlak dan amalan kita akan dapat mengawal diri dari menjadi punca kepada sampah sarap. Paling tidak ialah tidak meneruskan tabiat membuang puting rokok, pembungkus makanan, atau kertas tisu menerusi tingkap kereta ketika memandu. Ia amalan buruk yang akan menjadi ikutan yang menyebabkan si-anak kecil terikut-ikut, dan akan terikut-ikut sama ialah para pelajar sekolah.

Justeru itu elakkan, agar ahli masyarakat tidak terus-menerus menyambung amalan buruk yang tidak menghiraukan kebaikan alam sekitar kita. Ingatlah, beramal untuk kebaikan alam sekitar kita, pasti ia disukai oleh Allah dan Rasul-Nya. Inilah antara prinsip kepimpinan berpaksi agama yang sedang dibina dan disuburkan di Kelantan di bawah Kepimpinan Ulama.

Sisipan:

Serikan hidup anda dengan menyumbangkan kepada kelestarian alam sekitar.
Semoga sinar mentari menceriakan dedaun.
Lantas menggema kicauan burung dan berterbangan riang ria
menyapa rama-rama,
kerana gelagatnya mengembang kepak,
sambil mendebungakan bebunga di setaman permai.
Zahirlah kekuasaan Ilahi mencorakkan putaran hidup makhluk-Nya.

No comments: