Kedua-duanya telah menjadi putaran media dan pelbagai terjahan pandangan pemimpin politik dan cendiakawan. Implikasinya sudah melampaui perspektif politik dan mencabar pihak state serta menggambarkan political will pemimpin politik.
Apa pun perbahasan hukum hudud dianggap lebih heavy untuk dianalisis dari perspektif politik kerana hudud adalah prinsip Islam yang diperjuangkan PAS yang sentiasa dibangkang Umno sejak 1993 tatkala mentadbir negeri Kelantan.
Perbahasan ramai pemimpin
Kalau isu Mat Indera, fokusnya adalah serangan dari puak Umno dan NGO pro-Umno terhadap Haji Mohamad didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang pada 21 September 2011. Akibatnya, advantage isu Mat Indera adalah dengan nilai pemberat (weightage) kepada PAS.
Namun perbahasan hukum hudud ini belum pasti pihak mana yang mendapat advantage, kerana nilai pemberat hukum hudud turut membabitkan pertimbangan perundangan dan pentafsiran perlembagaan serta fobia akibat momokan negatif puak Umno yang mengaku Islam. Justeru serangan golongan anti-hudud ini bertujuan mencabar kredibiliti politik PAS menjelang pilihan raya umum ke-13.
Justeru kedudukan hukum hudud telah mendapat reaksi dan respons berbeza serta bersifat political crusades daripada golongan pimpinan politik di sebelah BN mahupun Pakatan Rakyat. Antara pemimpin yang awal memberi reaksi ialah Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin, Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, dan Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn. Turut terheret sama memberi respons ialah Ketua Umum KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP, Encik Karpal Singh.
Namun respon lebih awal datangnya daripada mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir berikutan penegasan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz berhubung usaha pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Sementara tidak muncul-muncul ialah respons pemimpin NGO seumpama PERKASA Ibrahim Ali, Jaringan Melayu dan Seni Silat Lincah Omar Din, mungkin tidak berani tampil membuat laporan polis takut dituduh sebagai menentang atau menyokong pelaksanaan hukum hudud. Ia berbeza dengan isu Mat Indera yang menyaksikan lebih seribu laporan polis dibuat dan menteri dalam negeri sendiri yang menggesa supaya laporan polis dibuat ke atas Haji Mohamad Sabu.
Demikian juga menteri agama di Jabatan Perdana Menteri tidak pula menggesa supaya laporan polis dibuat terhadap mana-mana pemimpin tertentu yang menghina hukum hudud dan sekaligus mengubah nilai kemuliaan sejarah perundangan Islam yang diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW!
Kenapa berlaku sedemikian? Tidak lain ialah kerana perjuangan ke arah pelaksanaan hukum hudud bukannya kandungan politik BN. Sebaliknya, hukum hudud difahami sebagai kandungan perjuangan umat Islam yang menjadi isu bagi PAS di Kelantan. Maka pihak parti komponen BN atau NGO pro-Umno tidak perlu menyibuk melapor dan mendesak polis menyiasatnya.
Pencetus perbahasan
Dalam konteks perbahasan hukum hudud, amat adil untuk dikatakan ia bermula apabila Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bertegas ingin meneruskan usaha pelaksanaannya. Meskipun sejak dilulus oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan tahun 1993 dan mendapat perkenan Sultan, natijahnya hukum hudud masih belum menjadi realiti akibat tidak mendapat sokongan Kerajaan Pusat demi melengkapkan suasana kondusif.
Semenjak itu (sebelum berkerjasama dengan DAP), setiap tahun Kerajaan Kelantan mengadakan majlis sambutan memperingati hukum hudud sebagai titik pendidikan dan pemerkasaan kefahaman masyarakat terhadap perundangan Islam yang sukar diterima oleh puak yang kurang mesra (puak Umno dan bukan Islam) dengan perundangan syariah.
Akibatnya, hukum Allah menjadi sasaran dan turut memberi kesan politik terhadap PAS sebagai satu-satunya parti yang serius mengemukakannya di dalam pelan pentadbiran Islam di Kelantan.
Akta penghalang hudud
Menurut profesor undang-undang perlembagaan UIAM, Dr. Abdul Aziz Bari (The Malaysian Insider, 23 September 2011), di sisi undang-undang, hudud boleh dilaksanakan di Malaysia. Caranya ialah mengambil inisiatif memansuhkan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang membataskan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Akta ini dianggap bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Islam adalah bidang kuasa negeri sedangkan akta berkenaan ialah undang-undang yang dibuat oleh Persekutuan.
Bagi Dr. Abdul Aziz, Mahkamah Syariah berada di bawah kuasa negeri, mengapa Parlimen mencipta akta yang menyekat mahkamah milik negeri? Suatu tindakan berlawanan dengan semangat federalisme. Ditambah pula, keengganan Kerajaan Pusat untuk membenarkan hasrat Kerajaan Kelantan, maka pilihan yang boleh diambil ialah mengambil tindakan mahkamah bagi mencabar akta tersebut.
Pihak mahkamah berhak mentafsir secara adil demi menghormati mandat rakyat Kelantan untuk menghayati kekuatan Islam ke arah pelaksanaan hukum hudud. Mahkamah (atau mana-mana pendukung federalisme) tidak seharusnya berdegil dengan perspektif anti perundangan syariah. Perkara ini turut dijelaskan oleh Dr. Abdul Aziz ketika mengunjungi Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz di pejabat Menteri Besar (Ahad lepas).
Suasana kondusif
Turut menghangatkan perbahasan hukum hudud ialah hujahan pensyarah USM, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin ketika membentangkan kertas kerjanya “Hudud suatu perbincangan: Tanggapan, suasana dan keberkesanan" sempena Sambutan Hari Hududullah Negeri Kelantan, 20 September lalu. Suasana kondusif digambarkan sebagai yang mesra hukum hudud bagi membolehkan ia dilaksana dalam negara ini. Ia membabitkan suasana kebajikan – kukuhnya semangat bantu-membantu dan tolong-menolong antara masyarakat, berlaku jaminan hak rakyat berkaitan dengan suasana halal yang mudah – mudah berkahwin, talak, fasakh, khuluk dan selainnya. Tiada alasan untuk lelaki atau pun wanita berzina. Sementara suasana haram yang diketatkan – sukar mendapat dan menebusi perkara haram.
Suasana kondusif juga membolehkan rakyat tiada alasan untuk memilih yang haram. Jika ada memilih yang haram juga, maka memang layak mereka itu dihukum, atau kerana mereka itu mengidap penyakit jiwa yang berat dan condong memilih yang buruk sekalipun sukar serta menolak yang halal sekalipun mudah.
Anwar sokong
Salah satu suasana kondusif berlaku di Kelantan ialah pentadbiran yang adil. Justeru Datuk Seri Anwar Ibrahim (Malaysiakini, 22 September 2011) secara peribadinya menyokong usaha pelaksanaan hukum hudud di Kelantan kerana pada dasarnya hukum hudud boleh dilaksanakan kerana dalam perkara tertentu, terdapat jaminan yang jelas mengenai pentadbiran yang adil.
Asas keadilan merupakan petunjuk penting dari segi kestabilan politik sesebuah kerajaan. Tambahan pula, usaha Kelantan itu sebenarnya tidak menyentuh langsung hak dan kebebasan orang bukan Islam. Ia hanya untuk menunaikan tuntutan agama bagi orang Islam. Mungkin ini yang dimaksudkan oleh Anwar, "...dalam apa cara sekalipun, ia tidak mencabuli hak-hak orang bukan Islam."
Namun ketakutan melampau kalangan orang politik bukan Islam semacam mereka tidak menghormati hak dan tuntutan agama kalangan orang Islam. Malah lebih buruk lagi ialah munculnya sangkaan silap kerana menganggap pelaksanaan hukum hudud adalah meragut hak dan kebebasan serta menyebabkan layanan tidak adil ke atas orang bukan Islam. Ternyata ia suatu kesilapan. Sesungguhnya sangkaan buruk itu tidak berlaku di Kelantan, kerana Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz komited mempastikan keadilan untuk semua rakyat.
Negara sekular?
Meskipun begitu penolakan tetap wujud di kalangan pemimpin politik bukan Islam, termasuk Dr. Chua (Malaysiakini, 23 September 2011) yang beranggapan bukan lagi masanya bagi perundangan Islam dilaksanakan di Malaysia yang penduduknya berbilang agama. Suatu penolakan yang menghina umat Islam dan Malaysia sebagai sebuah negara umat Islam. Lagaknya membayangkan penolakan kepada Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan mencabar kemuliaan Yang Dipertuan Agong dan Sultan sebagai ketua agama Islam di negeri.
Penolakan yang sama diungkitkan oleh Datuk Chang dan Karpal. Alasannya kerana menganggap Malaysia sebuah negara sekular yang tidak perlu hukum hudud. Di sisi Karpal hukum hudud adalah hukum agama Islam dan ia dianggap kontra dengan sifat negara sekular yang tidak menerima hukum atau undang-undang dari sumber agama.
Kefahaman pemimpin politik sebegini adalah tersasar sama sekali. Jika benar Malaysia sebuah negara sekular, apakah maknanya kedudukan Islam sebagai Persekutuan? Apakah pula kedudukan perundangan Islam yang dilaksanakan di setiap negeri sekarang?
Persoalan paling mencabar lagi ialah apakah kedudukan Yang Dipertuan Agong dan Sultan sebagai ketua agama Islam itu tidak sah? Sedangkan Yang Dipetuan Agong dan Sultan adalah sebahagian daripada perlembagaan yang mengukuhkan sistem politik federalisme Malaysia hari ini. Apa yang nyata, ‘Islam sudah berada di dalam sistem politik dan perlembagaan Malaysia.’ Apakah keberadaan Islam di dalam sistem ini masih dianggap sekular? Pada pandangan sekular, tidak perlu wujud hubungkait agama secara total di dalam sebarang urusan pentadbiran. Justeru tafsiran Karpal tentang sifat sekular Malaysia adalah tidak benar dan jumud kerana menafikan kedudukan ‘Islam sebagai agama’ dalam konteks perundangan.
Mungkin pentafsiran Islam di sisi mereka ialah sekadar kepercayaan, upacara dan agama seperti agama-agama lain. Itu pentafsiran yang salah. Mungkin boleh dianggap betul ialah Islam dalam status Perlembagaan Persekutuan merupakan way of life, termasuk aspek perundangan, bukan upacara semata-mata.
Pendirian songsang
Dalam kesegaran perbincangan pelaksanaan syariah hukum hudud, muncul Dr. Mahathir (The Malaysian Insider, 21 September 2011) yang meminta Menteri Besar Kelantan bertemu Mohd Najib jika mahu melaksanakan hukum hudud. Suatu pendirian songsang Dr. Mahathir yang masih tidak berubah sama dengan tindakannya menghalang (secara bersurat bertarikh 8 Jun 1994) pihak Kerajaan Kelantan melaksana hukum hudud.
Apa pun pendirian songsang Dr. Mahahthir kini dipakai oleh perdana menteri sekarang yang turut menghalang hukum hudud (Malaysiakini, 24 September 2011). Pendirian yang tidak membenarkan pelaksanaan hukum hudud di mana-mana negeri di Malaysia atas alasan pelaksanaannya mesti berpaksikan kepada realiti. Maknanya iman Mohd Najib berkata realiti sekarang adalah tidak sesuai bagi perundangan ciptaan Allah! Realiti yang dimaksudkan ialah masyarakat majmuk! Ia satu pendirian yang senada (baca sekepala) dengan timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yasin yang menerima hukum hudud, tetapi menganggap sekarang ini bukan masanya kerana penduduk Malaysia adalah berbilang agama!
Disebabkan pendirian sedemikian, maka pemimpin parti komponen BN (MCA dan Gerakan) sendiri turut mengugut untuk keluar parti jika Umno menerima hukum hudud. Mungkin atas sifat penolakan MCA dan Gerakan itu menyebabkan Mohd Najib akur tidak mahu melaksanakan hukum hudud. Natijahnya, pendirian (Mohd Najib mewakili Umno, Dr. Chua dari MCA dan Chang dari Gerakan) itu telah menghina kedudukan hukum Allah (hudud).
Apakah umat Islam merestui sikap politik songsang (menghina) terhadap kemuliaan hukum-hakam Allah? Sedangkan premis menghina itu adalah tindakan politik yang anti pelaksanaan hukum hudud. Sikap anti hukum hudud itu berlaku atas semata-mata kerana ia dicetuskan oleh PAS dan permulaannya berlaku di Kelantan. Amat terang sekali, hukum hudud sedang menghadapi perspektif politik puak-puak Umno dan BN yang dijangka akan melonjakkan sokongan rakyat terhadap PAS di Kelantan. Ini persepsi yang cuba dikongsi oleh Dr. Abdul Aziz selepas mengunjungi Menteri Besar Kelantan. Sesungguhnya Allah Maha Penentu atas sebarang usaha (melaksanakan hukum hudud) yang dicetuskan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz di Kelantan. Atas usaha baik ini, pastinya mendapat pertolongan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment