Suasana kondusif menjadi nilai dan petunjuk ke arah keharmonian dan keserasian pelaksanaan hukum hudud. Ia berbangkit kini pasca 20 tahun PAS sebuah parti Islam yang serius melaksanakan hukum hudud. Ia adalah titik renungan dan penilaian yang pastinya positif ke arah impian umat Islam menyaksikan hukum hudud terus segar di bumi Allah ini.
Tugas mewujudkan suasana kondusif mengikut Dr Asri itu, "ada yang di bawah tanggung jawab Kerajaan Pusat dan ada di bawah Kerajaan Negeri." Bagus sekali pandangan ini, tetapi ini tidak cuba difahami oleh puak-puak Umno.
Antara sikap yang tidak kondusif berada di bawah tanggungjawab Kerjaaan Pusat ialah tidak memberi kuasa 'perlembagaan' untuk Kerajaan Negeri dalam bidang penguatkuasaan Mahkamah, polis, penjara, imigresen, kastam dan seumpamanya serta nilai Akta Mahkamah Syariah 1965 yang menerima pakai hukum yang tidak bertaraf hudud. Termasuk juga doktor dan hospital yang menjaga kesihatan rakyat seluruh negara (termasuk di Kelantan) adalah di bawah perdana menteri bukannya menteri besar.
Maka dalam kes HIV-Aids (seperti didakwa Dr Mahathir - foto) atau apa-apa kes yang tidak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, pihak berkuasa di bawah Kerajaan Pusat sepatutnya bertanggungjawab secara langsung. Tidak adil jika kes berkaitan kesihatan rakyat dipersalahkan kepada Kerajaan Kelantan yang ingin melaksanakan hudud! Atau menyandarkan kerana Kerajaan Negeri pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz hanya mengajar politik, tidak mengajar agama.
Logiknya, hujah Dr Mahathir itu terlalu tumpul dan tidak realistik. Asasnya, tugas Tuan Guru Nik Abdul Aziz, meskipun menjawat menteri besar Kelantan sudah 21 tahun, tetap setia mengajar agama kepada rakyat berpusat di dada Bandar Kota Bharu adalah rutin beliau. Maka jawapan Tuan Guru kepada Mahathir, “kita di Kelantan bertanggungjawab mengajar agama dan politik untuk rakyat" adalah benar.
Atas asas gerakan kondusif inilah Kelantan terus melihat jauh ke depan dengan menjayakan program keharmonian masyarakat berbilang kaum. Sikap tidak berpolitik, tanpa pilih bulu dan meletakkan taraf “semua kaum tidak kira Melayu, Cina, India, Siam, Orang Asli dan semua warga negeri ini adalah rakyat ambo belako,” demikian penegasan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Program mesra kondusif
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mengutamakan program berkebajikan, menangani kemiskinan, mendidik rohani dan berusaha mengukuh asas-asas amal maaruf dan nahi mungkar. Semuanya ke arah mewujudkan suasana kondusif yang mesra pelaksanaan hudud.
Dari segi program berkebajikan diadakan skim warga emas kifalah, bantuan armalah, pemberian deviden ladang rakyat. Kesannya telah memberi manfaat kebajikan untuk tiga kelompok besar warga emas, ibu tunggal dan ketua keluarga umur pertengahan. Terbaru pula, Kerajaan Negeri turut melaksanakan bantuan beras skim al-it’aam kepada kira-kira 4,500 orang keluarga miskin setiap bulan seluruh Kelantan. Disokong pula pemberian hadiah perkahwinan az-Ziwaj untuk pasangan lelaki yang layak dengan sasaran 4,500 pasangan seluruh negeri. Ditambah lagi dengan program ekonomi dan jaya diri untuk kaum wanita menerusi Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK). Ia melenhgkapkan lagi pengukuhan ilmu di kalangan rakyat menerusi program ehya’ Ramadhan setiap tahun, kelas pengajaran agama oleh 500 pengkuliah dakwah halaqat setiap malam seluruh masjid dan surau.
Termasuk juga, acara sambutan hari Hududullah setiap tahun yang mendedahkan pelbagai aspek hukum hudud untuk mendidik rakyat. Diikuti dengan penganjuran seminar-seminar hubungan antara kaum dan keharmonian masyarakat majmuk serta penglibatan ketua-ketua agama dan masyarakat antara kaum. Ia melengkapkan lagi amalan pentadbiran Kerajaan Negeri yang sejak 1990 lagi melantik penghulu dan ahli majlis PBT mewakili komuniti pelbagai kaum termasuk Orang Asli dan Siam. Ia telah melengkapkan lagi dasar memberi kebebasan beragama, rumah ibadat, adat resam, bahasa dan pendidikan berteraskan kaum dan agama.
Justeru pelaksanaan prinsip pentadbiran Islam berteraskan Membangun Bersama Islam dengan penghayatan amalan ubudiah, masuliyah dan itqan. Kesannya berlaku program pembangunan Islam dari aspek pendidikan Islam sepadu dan tahfiz al-Quran di bawah Yayasan Islam Kelantan, pelaksanaan perbandaran Islam menerusi Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam, Bandar Pelancongan Islam dan bandar satelit Islam, dan internet toyyibah serta Bertani Satu Ibadah. Kesemuanya telah memantapkan nilai kondusif dalam masyarakat dari aspek tekanan ekonomi dan menurunkan kadar kemiskinan rakyat ke arah kerukunan sosial.
Oleh kerana itu, dakwaan Dr Mahathir yang memberi komen sinis atas kes HIV atau Aids sebenarnya tidak berasas dan berniat buruk. Lantaran itu bukan ukurannya untuk meletakkan usaha ke arah merealisasikan hukum hudud sebagai bermotif politik. Hudud adalah hukum Allah dan menjadi tanggungjawab pihak berkuasa yang mengawal suasana ke arah kondusif atau tidak kondusif. Justeru kondusif dalam nilai federalisme adalah menrangkumi tanggungjawab kerajaan Pusat dan Negeri.
No comments:
Post a Comment