Muktamar PAS ke-57 cukup meninggalkan makna besar kepada perjuangan PAS. Paling besar ialah berlaku permuafakatan pimpinan dan ahli PAS mendepani cabaran pilihan raya umum ke-13. Ia dilihat cukup teruja bila dikaitkan dengan keputusan pemilihan jawatan di peringkat Pusat dan dewan-dewan (Ulama, Pemuda dan Muslimat).
“Sudah sampai masanya BN ditumbangkan." Demikian tegas Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan. Pokok hujah rasional beliau untuk menumbang BN ialah kerana kegagalan Umno untuk menyempurnakan amanah Allah. Selain daripada parti Melayu yang sudah tua itu didapati gagal mengurus ekonomi negara sehingga rakyat menjadi mangsa dengan segala macam kos hidup meningkat; kenaikkan harga petrol, gula dan tarif elektrik, serta merompak rakyat melalui saman ekor. Tidak ketinggalan, berleluasanya penyelewengan, kezaliman atas nama undang-undang dan pendakwaan mahkamah secara terpilih demi menyelamatkan kroni. Tidak ketinggalan juga, hujah Ketua Pemuda yang merupakan alumni Pondok Pasir Tumboh, Kelantan (dan lepasan Universiti al-Azhar Mesir) itu dapat dipadukan dengan isu kecacatan penyiasatan pihak tertentu sehingga berlaku dua kes kematian tragis (Teo Beng Hock dan Ahmad Sarbani Mohamed).
Kesemua timbunan isu tersebut dilihat sudah cukup untuk menggoncang, malah bakal meluruhkan ranggi-ranggi kekuasaan BN yang diboloti Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak. Justeru Pemuda sudah dilihat menyuntik idea (dengan timbunan isu) menyampaikan mesej persiapan mental untuk berdepan dengan segala macam taktik jahat BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Impian Muslimat
Dewan Muslimat pula menaruh impian tinggi untuk kemenangan pilihan raya umum ke-13 nanti. Selain menyasarkan calon wanita bertanding sekurang-kurangnya di setiap negeri ialah satu Dun dan satu Parlimen, turut dihujahkan ialah mengenai persiapan Dewan Muslimat untuk kemenangan. Justeru, ucapan tema “memimpin perubahan meneraju kebangkitan” pada Muktamar Muslimat ke-51 telah menggariskan strategi dan program mencapai kemenangan. Justeru Muslimat telah bertekad menawan hati pengundi, hati rakan seperjuangan dan menawan hati lawan agar bersama perjuangan menolak BN.
Kesungguhan Muslimat itu terjelma secara mendasar tatkala pelancaran dana pilihan raya umum ke-13 telah berjaya mengumpul sebanyak RM100 ribu. Paling terasa dan terlekat di jiwa setiap pejuang PAS ialah kejayaan Muslimat menggunakan cita rasa dinar emas dan dirham perak Kerajaan Negeri Kelantan sebagai perantara dan dorongan penderma menyumbang dengan seadanya. Paling teruja, sumbangan itu dimulakan oleh Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Apa yang pasti Muslimat telah mengatur langkah yang gagah menuju Putrajaya!
Ulama kemudi perjuangan
Dewan Ulama pula didapati konsisten sebagai kemudi parti yang mengawal prinsip dan fikrah sebenar PAS. Pada sidang muktamarnya, pimpinan dan alim-ulama telah diperingatkan betapa pentingnya perjalanan parti berada di atas landasan perjuangan Islam secara berpendirian (al-thawabit) dan berpandukan hukum yang terang (sarih). Ia suatu pendirian masyhur sebuah gerakan Islam yang dilihat begitu berhemah (tawazun) dengan segala-gala perkembangan semasa menuju matlamat kemenangan.
Oleh itu, PAS harus sentiasa dipacu oleh golongan ‘ulama haraki’ yang menjadi paksi kepimpinan ulama bergerak cergas peringkat atasan, negeri atau kawasan. Perkembangan ini cukup relevan dalam konteks sirah haraki dan siasah syariyyah yang sudah diterima dalam Pakatan Rakyat. Ia suatu nilai kepekaan dan sikap nazari (mendasar) yang sewajarnya menjadi prinsip yang sentiasa dipersegarkan di dalam PAS.
PAS Pusat terus memimpin
Apa yang pasti, Muktamar PAS ke-57 yang baru lalu telah menzahirkan penegasan dalam agenda memimpin ummah menghadapi cabaran besar pilihan raya umum ke-13. Langkah pembinaan kepimpinan mantap hasil gandingan pelbagai kepakaran dan seni mendekati rakyat adalah ukuran tepat untuk memastikan agenda politik baru berteras siasah syariyyah bakal diperkasakan.
Apa yang utama, natijah pembinaan gandingan mantap kepimpinan PAS kali ini merupakan gambaran tepat wahana ketuanan perjuangan Islam yang sudah bertapak kukuh di Kelantan dan Kedah. Lantaran itu, sumbangan PAS hendaklah mendapat perhatian serius kepimpinan tertinggi PAS untuk bangkit lagi di Terengganu, Perak dan Selangor, malah di semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Maka, kuak dada pimpinan diharap dapat mendepani sama gelora kemahuan rakyat kepada sebuah parti yang tulus dan cakno bagi menggantikan Umno yang sudah korup dan bakal runtuh.
Cabaran perjalanan Putrajaya
Apa pun syabah dan tahniah kepada semua kepimpinan dan perwakilan Muktamar PAS ke-57 yang sudah tuntas melakukan muhasabah dan membina tekad menggalas tugas dan semangat memimpin perjalanan ke Putrajaya. Kesemuanya adalah laluan yang pasti digerakkan bersama agenda pilihan raya umum ke-13.
Namun harus diperingatkan kepada semua wira dan wirawati PAS, di sananya pihak Umno dan BN sedia menyerang dan melakukan serang hendap tidak kira masa dan tempat. Sebagaimana dimaklumkan, Umno selaku tulang belakang kuasa yang sudah bertindak selaku penguasa dijangka akan terus istiqamah dengan amalan petualang demokrasi. Kesannya nanti, PAS bersama-sama Pakatan Rakyat akan berdepan dengan medan pilihan raya yang tidak seimbang. Ketika itu, semua jentera kerajaan akan digunakan sebagai jentera BN. Wang ringgit akan menjadi dedaun kering yang boleh dikutip membeli undi di merata peti undi. Pegawai dan rakyat miskin maklumat akan diugut, dipaksa dan diancam dengan pelbagai tekanan politik demi meraih undi secara haram, asalkan menang. Maka, logiknya Mohd Najib pernah mengungkapkan akan merampas Selangor dari Pakatan Rakyat “dengan apa cara sekalipun.” Jelas tergambar, kehangatan pilihan raya akan datang kerana PAS bakal berdepan dengan permainan yang berat sebelah akibat mungkin tiada lagi pengadil yang berani bertindak neutral.
Ditambah lagi dengan kegemparan di beberapa negeri, pihak Jabatan Pendaftaran Negara begitu sibuk dengan kerja ‘overtime’ melayani projek pembikinan IC kepada pengundi pindah tempat mengundi, IC untuk warga permastautin tetap (PR) dan tidak kurang juga dihebohkan berlaku pemberian IC kepada pendatang warga asing. Hal itu semua bakal menguji sejauh mana keupayaan pimpinan PAS dan petugas pilihan raya parti berkemahiran bertindak menghalang ‘kemaharajalelaan’ gerakan petualang demokrasi yang sudah tentu menguntungkan Umno.
Justeru, gerakan Bersih 2.0 nanti harus dijayakan secara nasional. Oleh itu, tarikh 9 Julai seperti yang dicanang sebagai hari perarakan besar-besaran rakyat dari seluruh negeri harus dimanfaatkan sebagai perarakan menyahkan petualang demokrasi dari terus bermaharajalela di takhta kuasa. Logiknya, badan-badan pengadilan demokrasi terutama polis, tentera dan SPR harus bertindak selaku pengadil yang adil seadil-adilnya (fair and fairness) tanpa memberi muka kepada Umno dan BN. Hanya suara-fizikal pemimpin dan rakyat boleh menjadi pendesak kepada kebobrokan badan-badan pengadilan tersebut. Lantaran itu, gerakan Bersih 2.0 nanti adalah medan percaturan kuasa dan hak yang harus dijayakan sebaiknya.
Semoga ramuan Muktamar PAS ke-57 yang baru berakhir bakal mengisi segala ruang perjuangan, malah turut menceriakan sepanjang laluan menuju Putrajaya. Maka pemimpin dan pendukung PAS dan Pakatan Rakyat harus siap-siaga dengan segala gerakan dan strategi yang mengasak, demi kemenangan perjuangan Islam membela ummah.
No comments:
Post a Comment