Seminggu yang lalu, seorang menteri kerajaan Barisan Nasional datang ke Machang, Kelantan merasmikan mesyuarat Umno bahagian (Bernama, 20 Jun 2011). Sedap cakap, lalu menteri itu mencabar Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz agar mengemukakan model projek negara kebajikan berasaskan Islam yang dilaksanakan sepanjang 20 tahun memerintah Kelantan. Kemudian menghamburkan kata-kata sindiran, kononnya tiada apa-apa model yang boleh ditunjukkan Tuan Guru Menteri Besar Kelantan tentang negera kebajikan.
Demikian sekelumit respons pemimpin Umno berjawatan naib presiden yang boleh dikatakan terlalu tertekan dengan anjuran PAS, tatkala Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Awang membentangkan ucapan dasar muktamar lalu atas tajuk “Membangun Negara Berkebajikan.”
Respons tersebut merupakan siri bukti betapa Umno sudah mengalami demam panas ‘meracau’ bermula daripada presidennya, berjangkit pula kepada naib presiden dan mungkin ramai lagi di kalangan juak Umno di akar umbi.
Sudah ada model
Makna mudah dikatakan model negara berkebajikan ialah sebuah pemerintahan yang boleh menyelesaikan secara Islamik terhadap sesuatu persoalan yang bersifat kebaikan demi kuasa dan rakyat. Di dalamnya sudah ada aturan dan peraturan yang jelas, iaitu Al-Quran dan Sunnah serta pelbagai pandangan atau fatwa yang serasi kehendak Allah.
Justeru Kelantan ialah sebuah negeri yang rakyatnya hidup penuh beragama. Maka, nilai ajaran Islam sudah menyerap begitu tebal dalam kehidupan harian. Atas faktor ini, Kelantan telah mesra dengan jolokan Negeri Serambi Mekah sejak tahun 1800 lagi. Selayaknya, Kelantan juga seumpama Kota Madinah yang sezaman Nabi Muhammad adalah terbangunnya sebuah pemerintahan yang berkebajikan dengan penguasa dan rakyatnya diberkati Allah.
Jika bermulanya kebajikan di Kota Madinah kerana Nabi Muhammad yang mengutamakan hak Allah dalam pentadbiran, demikianlah Kelantan memakai slogan Membangun Bersama Islam ada nilai kebajikan yang ulung. Apa yang dilihat, nilai berkebajikan itu adalah melaksanakan apa jua polisi, program dan pemberian kepada rakyat semestinya selari dengan perintah Allah dan Sunnah Nabi.
Premis berkebajikan sedemikianlah yang melayakkan Negeri Kelantan selama dipimpin oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi sebuah negeri yang berkebajikan. Segala-galanya mengutamakan nilai kebajikan untuk semua lapisan rakyat. Antaranya dasar menolak amalan riba, mesra kewangan Islam, suburkan pahala melalui Tabung Serambi Mekah dan berlumba-lumba menderma untuk membina masjid––nilai kebajikan yang sudah serasi dengan negeri Kelantan yang sudah ditusuk ke lubuk iman rakyat sejak 20 tahun lalu.
Terbaru pada persidangan dewan (20-21 Jun 2011), Kerajaan Negeri Kelantan telah meluluskan pula peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta untuk program al-Itaam melibatkan pemberian beras percuma kepada keluarga miskin di seluruh Kelantan. Ditambah lagi peruntukan untuk pembinaan insan, belia dan penyelenggaraan jalan-jalan negeri. Ia melengkapkan lagi aspek berkebajikan dalam bentuk kerohanian dan fizikal.
Justeru rangkuman polisi dan program serta asuhan ini adalah bukti terbinanya model berkebajikan di Negeri Kelantan. Semuanya berpaksikan rahmat dan berkat atas keredaan Allah. Apakah aspek sebegini dilakukan oleh negeri-negeri yang dikuasai Umno?
Atas fakta tersebut, tidak dinafikan semua negara sudah melaksanakan asas-asas Negara Berkebajikan, tetapi penekanan adalah berbeza. Apa yang harus dilihat ialah kesan berkebajikan itu akan membawa keselesaan dan kesejahteraan golongan majoriti rakyat yang perlu dibantu oleh kerajaan. Natijahnya, dalam konteks Kerajaan Barisan Nasional berlaku kesan yang jelas ialah tekanan hidup rakyat akibat kenaikan harga barangan pengguna/keperluan harian (beras, gula, tepung, minyak masak dan gas memasak dan elektrik). Sedangkan pada masa sama, pihak kerajaan dan pedagang monopoli masih menikmati laba besar berikutan pengecualian cukai dan pelbagai insentif pengilangan. Malah sesetengah barangan keperluan asas seperti bahan binaan rumah dan kenderaan begitu mahal akibat kadar cukai import dan duti eksais yang membebankan dan terpaksa ditanggung oleh pengguna. Akibatnya pengguna terpaksa membayar pada harga mahal. Pada masa sama, kerajaan yang kaya, boros dan ketirisan perbelanjaan projek, sedangkan rakyat sebagai penggunaan terus terhimpit dan mengekang perut.
Ciri-ciri berkebajikan
Apa yang utama difahami rakyat ialah tujuan PAS menawarkan ‘Negara Berkebajikan’ adalah sebagai titik pertimbangan antara baik dan rasionalnya pendekatan bernegara berteraskan prinsip Islam. Landasannya tetap sama, malah masih mengekalkan konsep Negara Islam sebagaimana tawaran yang pernah dibuat oleh PAS sebelum ini.
Justeru negara berkebajikan yang ditawarkan adalah melibatkan pelaksanaan aspek-aspek pembangunan fizikal yang mengekalkan kebajikan awam, peranan kerajaan pembela dan penunaian hak rakyat, mengutamakan pembangunan moral dan keinsanan, meletakkan insan sebagai modal penting pembangunan seimbang, layanan saksama semua rakyat dan menggalak kecemerlangan individu, memastikan nilai kebajikan rakyat sebagai tanggungjawab negara yang berterusan dan memastikan kehidupan rakyat yang sejahtera serta negara makmur.
Tidak sesekali, negara berkebajikan tawaran PAS berjalan sebagai pemudah cara hanya untuk memberi subsidi kepada rakyat dalam semua aspek pembangunan (terutama aspek ekonomi dan kerohanian). Malahan di sisi PAS, rakyat akan disuburkan nilai kebajikan dalam bentuk asuhan berdikari menyertai persaingan secara sihat di dalam semua bidang. Bagi memenuhi nilai ini, semestinya pendekatan mengilmukan rakyat dikira sebagai nilai kebajikan yang dapat menjamin masa depan rakyat sebagai kepada penyumbang produktiviti negara. Atas tawaran ini, negara berkebajikan PAS adalah berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional. Natijahnya kerajaan Barisan Nasional telah menyelewengkan maksud kebajikan dengan menterjemahkan subsidi sebagai kebajikan untuk rakyat.
Kelebihan negara berkebajikan
Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (seperti mana dalam blognya) menjelaskan kelebihan negara berkebajikan anjuran PAS dari segi panduan utamanya ialah Al-Quran dan Sunnah serta tauladan dari sejarah pemerintahan para nabi seperti Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf dan Nabi Muhammad serta Khulafa' ar-Rasyidin. Inilah yang penegasan yang membuktikan PAS tidak menjual prinsip dalam menuju matlamat bernegara. Tidak mungkin negara kebajikan Barisan Nasional memakai panduan ini!
Justeru skop kebajikannya pula melibatkan kebajikan fizikal dan kebajikan spiritual rakyat. Sementara nilai beragama yang diamalkan adalah menolak polisi dan program mungkar dalam pemerintahan. Keutamaan dalam gaya dan program serta polisi pemerintahan negara adalah berasaskan taqwa kepada Allah dan melaksanakan keadilan kepada rakyat yang menjadi penghuni negara. Adakah ciri asas ini berlaku dalam Kerajaan Barisan Nasional yang pemimpin Umno mendakwanya sebagai sudah bertaraf Negara Berkebajikan?
Demikian pula, apabila membincangkan soal pengurusan sumber negara dalam konteks gaya hidup kepimpinan negara, apakah ia mengambil kira persoalan dosa pahala? Sedangkan perkiraan asas di sisi negara berkebajikan ialah keredaan Allah sebagai tiket meraih pahala dan menghindari dosa. Di sini nampaknya gaya hidup pemimpin Umno yang sekular itu amat jauh sekali, kerana zahirnya pemimpin Umno dilihat begitu jauh dari gaya hidup beragama. Lebih-lebih lagi apabila mereka begitu mesra dengan dasar perjuangan sekular-kebangsaan.
Sesungguhnya, pemimpin sekular-kebangsaan amat jauh sama sekali untuk memakmurkan pemerintahan berteraskan Al-Quran dan Sunnah. Bila jauh dengan Al-Quran dan Sunnah, apakah di dalam pemerintahan sebegitu masih ada lagi rahmat Allah? Ia bermakna, rahmat Allah yang tertera di dalam Rukun Negara sebagai kalimah “kepercayaan kepada Tuhan” hanyalah ungkapan di bibir semata-mata.
Natijahnya, masih berlambak amalan pemerintahan yang berlaku atas jalur kezaliman. Justeru itu berlaku amalan yang tidak menyalurkan wang royalti petroleum dari Petronas kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Ia adalah kes terkini yang membuktikan tiada rahmat dan kebajikan dalam pemerintahan tajaan Barisan Nasional. Masakan kerajaan Barisan Nasional boleh dianggap berkebajikan dibandingkan Kerajaan Negeri Kelantan?
No comments:
Post a Comment