Muktamar PAS ke-57 lalu mencipta satu lembaran baru dengan warna yang terang dan ceria. Ia selari dengan keputusan pemilihan ‘saf pilihan raya’ yang agak sepadan (matching) dengan tema dan kandungan ucapan dasar presiden, Membangun Negara Berkebajikan.
Kandungan ucapan dasar itu dikira sebagai suntikan vaksin mujarab bagi PAS untuk lebih sihat dan bertenaga melangkah ke medan pilihan raya umum ke-13. Betapa misi dan aturan kerja parti PAS sudah jelas untuk menawan sokongan rakyat. Ini kerana program berkebajikan adalah hak dan keperluan majoriti rakyat masa kini.
Sekaligus, pihak pimpinan Umno kelihatan gelisah dan meracau di siang hari, apabila dikhabarkan program berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS bersama Pakatan Rakyat. Maka logiknya Umno sudah mengalami suhu badan mencecah paras ‘demam panas’. Apa pun PAS tidak seharusnya setakat menjadi pelawat kepada pesakit demam panas. Apa yang diingini PAS sepatutunya sedia menjadi doktor terus memberitahu rakyat supaya tidak lagi menghampiri Umno yang sudah demam yang mengancam kesihatan awam. Sewajarkah rakyat membawa Umno ke ‘wad sakit’ dalam pilihan raya nanti?
Bukti Umno sudah mengalami demam panas boleh disaksikan daripada komen ‘meracau’ pimpinan mereka tentang negara berkebajikan. Bermula daripada Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak (The Malaysian Insider, 10 Jun 2011) yang menganggap PAS mengikut jejak kerajaan Barisan Nasional dalam isu negara berkebajikan.
Ia suatu respons Mohd Najib terhadap ucapan dasar Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar PAS ke-57. Komen sebegitu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang bertaraf perdana menteri kerana denyutan jantung rakyat sentiasa kencang (melebihi 60 denyutan seminit) selama di bawah dasar dan program kerajaan pimpinan Umno yang banyak mendera rakyat.
Hakikatnya ia sudah bercanggah dengan nilai-nilai berkebajikan––petrol dan gas naik harga mendadak, semua pelajar lepas IPT menjadi pemiutang pelajaran, harga air minuman botol semahal harga minyak, pemborosan wang rakyat kerana terlalu banyak lawatan rasmi ke luar negara dan tiada jaminan pendapatan rakyat meningkat sebaliknya pendapatan kapitalis terus berganda. Kesemuanya menderakan rakyat!
Apa yang jelas, pemimpin Umno sudah kabur (kemamar) bila melihat negara berkebajikan tawaran PAS adalah realistik menurut persepktif Islam. Maka Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yasin (The Malaysian Insider, 5 Jun 2011) telah menyifatkan PAS sudah mengubah matlamat perjuangan Negara Islam kerana mahu membangun negara kebajikan. Malah menafikan matlamat PAS, sebaliknya menegaskan kononnya Malaysia sudah lebih awal melaksana negara berkebajikan. Nampak sangat gopohnya Muhyidin di dalam memahami maksud negara berkebajikan yang dihurai oleh presiden PAS.
Turut memberi respons yang songsang (mungkin kerana demam panas) ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Utusan Malaysia, 11 Jun 2011). Nor Yacop sangat kabur tentang konsep negara berkebajikan. Justeru bagi Nor Yacop kerajaan Barisan Nasional sudah lama mengamalkan konsep negara kebajikan. Agak pelik pula, berkebajikan itu disamakan dengan langkah transformasi ke arah negara maju menjelang 2020.
Nampak jelas menteri itu seorang yang temberang, kerana tidak merasai sama denyutan kencang jantung rakyat akibat permainan ‘ekonomi kapitalis’ yang segala-galanya mendahulukan kelompok kapitalis.
Sekarang rakyat terus dipaksa membayar lebih, sebagaimana harga minyak disel sudah mencecah RM1.90 sen (akan naik lagi ke paras RM2.00), sedangkan Malaysia pengeluar minyak. Jika dilihat kepada Arab Saudi yang juga pengeluar minyak, harga diselnya hanya SR0.25 seliter (bersamaan RM0.22). Begitu pula, harga kenderaan, termasuk yang diimport amat mahal akibat dasar percukaian yang mesra kapitalis. Misalnya, harga kereta Toyota Camry di Malaysia melebihi RM180 ribu, sedangkan di Arab Saudi yang lebih jauh dari bumi Jepun, harga Cuma SR90 ribu (sekitar RM79 ribu). Bayangkan nilai cukai yang duipaksa bayar oleh rakyat semata-mata ingin memakai kereta Toyota tersebut.
Oleh itu, sewajarnya omongan berkebajikan jajaan pemimpin Umno itu boleh difahami sebagai negara bercukai. Cukai dikutip sudah melebihi kadar yang mesra rakyat, sebaliknya sudah membebankan. Munasabahnya kerajaan Barisan Nasional hari ini dipanggil kerajaan bercukai memaksa dan membeban rakyat. Natijahnya, Saudi Arabia yang dilitupi padang pasir itu lebih berkebajikan dan mesra rakyat.
Apa beza kebajikan Malaysia dibandingkan Arab Saudi? Sangat ketara bezanya ialah untung harga minyak dikaut kapitalis milik negara, iaitu Petronas! Berapa banyak untung itu dipulangkan untuk kebajikan rakyat? Lihat sahaja bangunan milik Petronas, Menara Kembar di Kuala Lumpur, tidak sampai 10 peratus rakyat menerima lelehan minyak itu!
Model berkebajikan tajaan Umno tidak mendahulukan rakyat kerana kesemua aspek daruriyat rakyat sudah dikapitaliskan. Aspek pendidikan telah diIPTA dan diIPTSkan yang kesemuanya memaksa rakyat membayar sendiri. Kerajaan Barisan Nasional telah bertindak sebagai pemudahcara menyedia wang untuk dipinjam dan dikenakan faedah (berlindung di sebalik perkataan caj perkhidmatan) secara paksa. Lagaknya kebajikan itu sudah berupa ‘along’ yang halal. Belum lagi dibicara isu kebajikan hospital, tabung penanaman semula Felda dan skim Amanah Ikhtiar! Natijahnya, dasar berkebajikan di sisi kerajaan Barisan Nasional adalah bermaksud rakyat perlu membayar lebih untuk hidup, sementara kerajaan pengaut untung di belakang tabir. Kesannya rakyat terdera dengan kelicikan aturan dan peraturan yang diabsahkan oleh kuasa demokrasi yang sudah tua, berusia 54 tahun!
Namun, seorang pensyarah undang-undang, Dr Abdul Aziz Bari (The Malaysian Insider, 10 Jun 2011) kali ini agak bersetuju dengan misi negara berkebajikan PAS. Menurut Abdul Aziz, PAS sudah pun menekankan soal negara berkebajikan sejak akhir 1970-an.
Mungkin yang dimaksudkan Dr. Aziz ialah sebagaimana amalan PAS ketika memerintah Kelantan era 1960-an dan masa kini (terlalu banyak, tidak perlu disebut di sini). Malah semua pihak mengetahui. Cuma pemimpin Umno sahaja tidak mengaku yang mereka sebenarnya tahu aspek kebajikan ditawarkan oleh kerajaan Kelantan di bawah pimpinan ulama, Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Justeru, kenyataan Dr Aziz itu telah membela PAS, sekaligus menolak dakwaan Mohd Najib dan Muhyidin serta Nor Yacop. Sebenarnya PAS tetap istiqomah dengan dasar perjuangan Islam. Apa yang nyata, hala tuju bernegara masih menjadi matlamat PAS. Justeru Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (The Malaysian Insider, 9 Jun 2011) menegaskan ‘negara berkebajikan” adalah lebih menepati maksud konsep bernegara adalah selari dengan Islam yang terdapat di dalam al-Quran.
Paling membuat Umno terus mengalami demam panas ialah tatkala Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya (Malaysiakini, 11 Jun 2011) turut memberi respon. Sahibul samahah yang dilihat ‘berpolitik’ itu sudah mencadangkan agar PAS mengadakan jawatankuasa pemandu merangka konsep negara berkebajikan memandangkan kedua-dua kerajaan Barisan Nasional dan PAS (Pakatan Rakyat) berebut-rebut cuba membuktikan mereka berada di depan dalam agenda tersebut.
Apa pun pandangan Dr. Juanda itu amat bermakna ke arah memantapkan hala tuju perjuangan Islam agar mudah diterima rakyat. Justeru pandangan mufti negeri yang paling utara itu boleh dianggap sebagai aulawiyat (keutamaan) kerana momentum kesedaran rakyat sedang amat kuat kepada PAS dan Pakatan Rakyat!
Sehubungan itu, Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menegaskan pihak parti bakal mengadakan munaqasyah ucapan dasar presiden pada muktamar lalu amat dialu-alukan demi memperincikan konsep negara berkebajikan itu. Ia perlu disegerakan bagi melengkap pengetahuan kepada pimpinan dan ahli PAS. Malah ia cukup penting bagi menjawab cakap merapu (umpama orang demam panas) pimpinan Umno yang menidakkan penegasan PAS dalam usaha membangun negara berkebajikan. Syabas, pimpinan PAS yang diperbaharui semula pada muktamar lalu.
No comments:
Post a Comment