15 April, 2011

Pilihan Raya Sarawak: antara jangkaan dan realti

Bagi pertama kalinya, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Polis sejak dari awal proses pilihan raya negeri Sarawak sudah mengumumkan mengenai wujudnya Kerusi Panas. Ia dimaksudkan kepada kedudukan kerusi-kerusi yang berkaitan rapat dengan potensi persaingan sengit dan ketegangan isu kempen dimainkan antara parti-parti atau calon bertanding. Di samping kawasan itu juga ditandai warna merah yang menjelaskan keadaan lebih kritikal yang berkemungkinan besar pihak Barisan Nasional bakal kalah ditangan Pakatan Rakyat.

Jangkaan sebelum realiti

Menurut Malaysiakini (14 April 11) yang memetik sumber Umno berkata ada 28 kerusi panas yang melibatkan 19 kerusi dianggap bakal dimenangi Pakatan Rakyat. Sementara sembilan Dun lagi bakal menjadi medan perebutan yang belum pasti.

Sejumlah 19 kerusi panas itu, 15 kerusi adalah ditandingi SUPP, iaitu lima di Kuching, tiga di Sibu, tiga di Miri, dua di Sarikei, dan masing-masing satu di Sri Aman dan Bintulu. Sementara empat kerusi lagi ialah masing-masingnya tiga PBB dan satu SPDP. Jika ini berlaku bermakna, Pakatan Rakyat akan dapat memenangi setidak-tidaknya 19 hingga 28 Dun dan sekaligus memungkinkan upaya Pakatan Rakyat menafikan kuasa mutlak dua pertiga.

Sekiranya matlamat untuk menafikan kuasa dua pertiga, iaitu memenangi 24 kerusi, rasanya Pakatan Rakyat tidak mempunyai halangan besar. Ini kerana kesemua kerusi itu terletak di kawasan majoriti Cina dan Iban, kecuali tiga Dun ditandingi PBB merupakan Dun Melayu/Melanau (Seribas, Beting Maro dan Lingga). Di Dun Panas itu juga berlakunya putaran ligat isu penolakan terhadap Tan Sri Abdul Taib Mahmud dari kuasa ketua menteri. Ia seperti mana dijelmakan oleh laras bahasa kempen DAP yang mengingatkan pengundi bahawa “vote SUPP = vote Taib” sehingga memaksa pihak Barisan Nasional memutar isu tersebut menggunakan pendekatan reverse psi-war dengan mengajak pengundi Cina mengundi Barisan Nasional demi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan, kemakmuran dan kesederhanaan.

Apa pun semua laras bahasa kempen pihak Barisan Nasional sudah dilihat kaku dan tidak bermaya berikutan banyak isu-isu yang terdedah sudah membongkarkan kekayaan Abdul Taib, anak-anak, menantu dan kroninya menerusi pelbagai projek ekonomi dan kewangan.

Menurut Bridget Welsh (Malaysiakini 12 April 2011) isu-isu berkaitan Abdul Taib itu telah perlekatkan dengan kekangan ekonomi semasa, peningkatan perbelanjaan sara hidup, gaji yang murah diikuti dengan pembolotan kekayaan oleh elit politik kroni Barisan Nasional dan elit politik dari Semenanjung Malaysia yang seida mengaut hak rakyat Sarawak. Ia bakal mencetus suatu gelombang kebangkitan rakyat Sarawak seumpama dengan tsunami politik pada pilihan raya umum 2008.

Analisis jangkaan

Hal ini ada benarnya berasaskan kepada kajian persepsi oleh Zentrum Future dan maklumat Malaysiakini daripada ‘dalaman Umno’ yang menyimpulkan pihak Barisan Nasional Sarawak tidak lagi kalah lapan Dun, sebaliknya akan hilang kuasa dua pertiga.

Jadual berikut adalah ringkasan kedudukan jangkaan keputusan oleh dua entiti tersebut.

Jadual 1: Kajian persepsi semasa - Zentrum Future Studies

Parti

Bil. Kerusi

% kerusi

PR

31

43.66

SNAP

15

21.13

Bebas

4

5.63

Jumlah PR

50

70.42

BN

21

29.58

Jumlah

71


Berdasarkan jadual 1, Pakatan Rakyat dijangka berjaya meraih 31 kerusi dan parti oposisi lain, iaitu SNAP 12 kerusi dan Bebas 4. Ini bermakna Barisan Nasional bakal jatuh dari tampuk kuasa dengan hanya meraih 21 Dun. Maka dijangka tamatlah riwayat Abdul Taib sebagai Ketua Menteri paling lama. Justeru jangkaan Zentrum Future sudah tidak popular lagi buat Abdul Taib dan rakan sepasukannya.

Hal yang hampir sama ditunjukkan oleh Malaysiakini daripada maklumat ‘dalaman Umno’ (seperti mana dipetik Malaysiakini, 14 April 11) ) yang menilai prestasi kempen di Dun Sarawak. Jadual 2 berikut menunjukkan Barisan Nasional masih utuh di tampuk kuasa, meskipun masih kekal sebagai pihak berkuasa negeri.

Jadual 2: Sumber dalaman Umno - Malaysiakini

Parti

Bil. Kerusi

% kerusi

BN

43

60.56

DAP

18

25.35

KeADILan

9

12.68

PAS

1

1.41

SNAP

0

0.00

PCM

0

0.00

Jumlah PR

28

39.44

Jumlah

71


Berpandukan jadual 2, kesemua parti Pakatan Rakyat dikatakan akan mencapai kemenangan di kerusi panas seperti yang dijelas di awal tadi. Namun, menurut sumber Umno (yang dipercayai bersumberkan maklumat perisikan yang sah), kemungkinan agak realistik, meskipun di sana masih muncul keghairahan kalangan pengundi Iban untuk berubah bersama-sama Pakatan Rakyat. Hal yang sama dijangkakan oleh salah seorang pensyarah sains politik Universiti Malaysia Sarawak (dalam Hornbill Unleassed 3 April 2011) yang meletakkan 29 kerusi persaingan sengit dan boleh dimenangi Pakatan Rakyat.

Apakah ini suatu realiti atau hanya sekadar jangkaan permainan analisis angka para pengkaji? Justeru itu, perkembangan kempen sehingga hari terakhir (15 April) di setiap 71 Dun boleh menjadi asas untuk menjangkakan kemenangan besar atau kecil . Ataukah ia bakal menyaksikan peralihan kuasa?

Perkembangan terakhir

Faktor Abdul Taib yang sudah berusia 74 tahun dan sudah berkuasa selama 30 tahun sebagai ketua menteri masih gagal diganti, ia sudah cukup menjadi simbol kontroversi di sebalik dominasi PBB mengetuai dominasi politik Sarawak.

Berdasarkan pandangan pengkaji politik, James Chin dari Monash University Malaysia, pihak Pakatan Rakyat dijangka memenangi sekitar 20 kerusi atas faktor pengundi yang tidak suka kepada Abdul Taib sahaja (belum diambil kira faktor lain). Asas tidak suka itu mungkin berkait rapat dengan angkara tuduhan rasuah berskala besar, amalan kroni dan penyuburan sekutu politik nepotisme.

Sebaliknyha, hal tersebut turut menyuburkan sambutan rakyat kepada Pakatan Rakyat, meskipun pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadikan sasaran kempen buli atas fitnah video seks dan liwat serta perpecahan dalaman parti KeADILan. Sekali-kali ia tidak menghalang sambutan luar biasa berlaku dalam kempen di Sibu, Miri dan Kuching serta Bintulu. Ia telah merekodkan poin hangat yang memungkinkan kesemua kerusi bandar dan sub-bandar akan menolak Barisan Nasional.

Jika itu benar, maka SUPP bakal terjelepak longlai seperti parti Gerakan, sementara PBB, SPDP dan PRS sedang tertekan dengan asakan isu pemilikan tanah adat dan kaitannya dengan penguasaan tanah tersebut oleh syarikat yang ada hubungannya dengan pemimpin politik parti-parti tersebut.

Atas faktor tersebut, nampaknya kesedaran muncul mendadak kalangan pengundi Iban, Bidayuh dan Orang Ulu serta suku bumiputra lain. Jika benar, gelombang rakyat Sarawak menolak Barisan Nasional pasti berlaku, maka gelombang pengundi di pedalaman itu memungkinkan Baru Bian boleh menang selesa di Ba’kelalan, diikuti dengan persaingan sengit di semua Dun pengundi Iban melebihi 3,000 orang. Apa pun hanya malam 16 April bakal menentukan semua jangkaan menjadi realiti untuk Sarawak, kemudian pilihan raya umum nasional ke-13.

No comments: