20 April, 2011

Pasca pilihan raya Sarawak : PAS dan masa depan di Sarawak

Pada 16 April lalu telah selesai pilihan raya bagi penggal ke-10 dewan negeri Sarawak. Keputusannya sebagaimana dimaklumi, pihak Barisan Nasional (BN) yang diketuai parti PBB, bersama-sama dengan SUPP, SPDP dan PRS berjaya mengekalkan kuasa dengan memenangi lebih dua pertiga kerusi dewan negeri.

Sementara pihak Pakatan Rakyat––KeADILan , DAP dan PAS––bersama-sama parti SNAP dan PCM serta Bebas merupakan pihak oposisi yang bertanggungjawab memastikan BN tidak menang percuma.

Keputusan bilangan kerusi setiap parti bertanding dan dimenangi adalah ditunjukkan dalam Jadual 1 yang berikut.

Jadual 1: Kedudukan parti, kerusi bertanding dan menang

Parti

Bertanding

Menang

% Kerusi

Undi

% Undi

PBB

35

35

49.3

77.46

372,379

54.50%

SUPP

19

6

8.45

PRS

9

8

11.27

SPDP

8

6

8.45

DAP

15

12

16.9

22.54

300,288

45.50%

PKR

49

3

4.23

PAS

5

0

0

PCM

6

0

0

SNAP

26

0

0

BEBAS

41

1

1.41

Apa yang penting dalam Jadual 1 ialah pihak (baca blok) BN masih kekal menguasai lebih dua pertiga kerusi (64 peratus ke atas) daripada keseluruhan 71 Dun. Bagi BN jumlah ini adalah berkurang berbanding 2006 yang ketika itu memenangi 63 Dun, tetapi sekarang 55 Dun (77.46 peratus), sedangkan pihak Pakatan Rakyat dan Bebas telah berjaya menambahkan bilangan kerusi daripada 8 kepada 16 Dun (22.54 peratus). Ia bermakna bilangan kerusi pihak oposisi telah bertambah seratus peratus.

Menariknya lagi ialah jumlah undi terkumpul di antara dua blok itu, didapati blok BN meraih 54.5 peratus dan blok oposisi 45.5 peratus. Jumlah undi ini cukup memberi amaran bahawa hanya sekitar 55 peratus sahaja pengundi Sarawak yang bersetuju dengan kepimpinan BN sekarang. Maka mandat sebanyak ini bukannya selesa dan bukan juga mewakili majoriti dua pertiga pengundi.

Apa pun pertambahan undi/kerusi di blok oposisi dianggap suatu kejayaan besar pihak Pakatan Rakyat yang boleh menyuntik semangat ke arah kemenangan awal dalam pilihan raya umum ke-12 dan mungkin meletakkan status Sarawak bukan simpanan tetap blok BN lagi. Kejayaan menambah bilangan kerusi itu adalah secara khusus kepada DAP dan KeADILan. Sementara PAS berjaya dari segi penambahan undi.

Hilang deposit

Meskipun begitu, kelima-lima Dun yang ditandingi PAS didapati agak baik dari segi prestasi undi dan tidak berlaku hilang wang deposit. Berbanding dua parti oposisi yang tidak menyertai Pakatan Rakyat iaitu SNAP dan PCM, kedua-duanya telah mengalami kekalahan teruk dan turut hilang wang deposit.

SNAP bertanding 26 Dun dan PCM hanya enam Dun. Namun kedua-dua parti ini gagal mendapat kemenangan di mana-mana kerusi. Paling malang ialah kedua-dua-dua parti itu telah hilang wang deposit dengan jumlah yang agak besar. Setiap Dun wang deposit perlu dibayar sebanyak RM5,000, maka SNAP hanya meraih kembali wang deposit di dua Dun sahaja, iaitu di N41 Pakan dan N55 Katiba. Sementara PCM hanya meraih kembali wang deposit di N43 Ngemah. Ini membuktikan kedua-dua parti ini sudah tidak mampu menyaingi BN dan Pakatan Rakyat dari segi mendapat sokongan pengundi.

Menariknya lagi, kedua-dua parti itu sudah tidak popular di kalangan kaumnya sendiri, iaitu kawasan majoriti Iban, Keputusan terbaik bagi parti SNAP hanya di Dun N41 Pakan dan N55 Katibas yang masing-masingnya mendapat 2,741 dan 1,070 dan kalahan di tangan BN masing-masingnya sebanyak 1,197 dan 1,070.

Begitu pula, PCM juga telah gagal di gelanggang sendiri, apabila kecundang di Dun N43 Ngemah, iaitu Dun kawasan Iban yang dimenangi Presidennya atas tiket Bebas pada tahun 2006. Logiknya kedua-dua parti ini patut dibubarkan.

Prestasi PAS

Sementara bagi PAS, pilihan raya negeri Sarawak kali ini telah mengulangi sekali lagi kegagalan untuk mencapai kemenangan sulung. Meski pun PAS yang bertanding di lima Dun telah meletakkan harapan untuk mencapai sekurang-kurangnya memenangi satu Dun, iaitu N.24 Beting Maro. Perubahan undi di lima Dun ditandingi PAS adalah seperti mana Jadual 2 berikut.

Jadual 2: Bandingan undi PAS/KeADILan

Dun

2006

2011

Beza

N3 Tajong Datu

409

1,002

593

N15 Muara Tuang

1,536

3,196

1,660

N20 Sadong Jaya

1,857

1,074

-783

N22 Sebuyau

1,300

1,769

469

N24 Beting Maro

1,901

2,678

777

Realitinya PAS telah berjaya menambah bilangan undi, sekurang-kurangnya di empat Dun, iaitu Tanjong Datu, Muara Tuang, Sebuyau dan Beting Maro. Sementara di Sadong Jaya, ia masih belum mampu meraih und i yang diperolehi calon KeADILan pada tahun 2006.

Namun kejayaan menambah undi di Muara Tuang merupakan peluang baik untuk PAS berkembang di kawasan terletaknya Kota Samarahan yang merupakan Bandar ilmu dan kem tentera. Sementara Dun Beting Maro merupakan Dun tradisi PAS sejak 2001. Ia mencapai prestasi baik kerana selama tiga pilihan raya lepas, PAS berjaya mendapat sokongan bertambah bermula 2001 sebanyak 1,399 (23.99 peratus), tahun 2006 sebanyak 1,901 (40.47 peratus) dan 2011 sebanyak 2,678 (46.60 peratus).

Penilaian prestasi

Secara umumnya prestasi Pakatan Rakyat dan PAS khususnya adalah berkaitan dengan persiapan dan gerak kempen yang terlewat. Ia dilihat tidak seimbang dengan misi untuk menafikan dua pertiga kuasa BN di dewan negeri Sarawak. Melainkan DAP yang dilihat berjaya menggalas matlamat kempen “vote for change” bagi pilihan raya ke-10 kali ini.

Bagi DAP, ia merupakan penerusan momentum bermula dari pilihan raya kecil Sibu pada 16 Mei 2010 yang menyaksikan semua pengundi bandar (khususnya kaum Cina) bangkit menolak BN (khasnya parti SUPP). Atas faktor ini, Dap berjaya menambah bilangan kerusi daripada 2006 sebanyak 6 Dun kepada 12 Dun. Hal yang sama turut dialami oleh KeADILan yang turut memenangi dua kerusi di kawasan bandar dan satu di kawasan Orang Ulu (Ba’kelalan).

Apa pun KeADILan, masih dikira belum mampu mencipta kemenangan cemerlang kerana pencapaian undi yang masih rendah tidak sebagaimana DAP. Sambutan diterima oleh KeADILan adalah sama dengan PAS, apabila masih belum dapat melepasi garis kemenangan di Dun dominasi pengundi Melayu/Melanau dan Iban.

Bagi PAS pula, pencapaian terbaik walau pun belum menang ialah Dun Beting Maro. Ia disebabakan telah berlaku beberapa aspek persiapan awal sebelum pembubaran dewan negeri. Namun, keputusan meletakkan calonnya masih dilihat agak terlewat yang menyebabkan undi PAS merundum di daerah mengundi Beladin yang mempunyai jumlah pengundi teramai (3,497). Kebetulan calon BN dari PBB dikatakan anak tempatan Kampung Beladin yang dikenali ramai sebelum bertanding. Sedangkan calon PAS kali ini tidak sebagaimana calon PAS pada 2006, Haji Alem Din yang sudah dikenali sebagai anak tempatan Kampung Beladin.

Atas asas tersebut, dikatakan PAS memperolehi 1,074 di daerah mengundi Beladin telah merundum dan hanya memperolehi 639 undi, iaitu berkurang sebanyak 435.

Faktor kelewatan memperkenal calon kepada pengundi tempatan di semua kerusi PAS bertanding menyebabkan undi peribadi calon tidak mampu mengatasi populariti calon BN yang dilihat rata-rata adalah anak tempatan dan penyandang sebelum ini.

Sehubungan itu, ke arah menghadapi masa depan PAS di Sarawak, ada baiknya gerak kerja awal dengan menampil calon-calon yang sedia berkhidmat kepada pengundi adalah wajar. Ia hendaklah diikuti dengan meneruskan pembinaan akar umbi parti melalui penubuhan pusat khidmat Dun. Paling penting dan segera hendaklah dilakukan dalam tempoh terdekat kerana Sarawak sekali lagi bakal berdepan dengan pilihan raya umum peringkat parlimen sedikit masa lagi.

Semoga usaha meningkat sokongan perjuangan Islam tetap subur di bumi Kenyalang dan saf perjuangan parti terus bersemangat mendepani segala ujian dan cabaran politik-dakwah.

No comments: