26 January, 2010

Laporan media: rakyat perlu bijak menilai, fitnah atau benar

Perkembangan pantas (ledakan) maklumat melalui media baru di ruang siber sekarang menyebabkan masyarakat terdedah dengan pelbagai isu. Perkembangan yang sama turut melibatkan media konservatif seperti radio, televisyen dan akhbar cetak. Rangkuman berita dan maklumat antara media baru dan konservatif itu turut memberi kesan kepada masyarakat, sama ada bersetuju atau terpengaruh, dan mungkin menolak atau mencetuskan skeptikal yang tidak berkesudahan. Umumnya, masyarakat akan kepeningan dan hilang nilai kebenaran sekiranya ledakan maklumat atau pemberitaan dipengaruhi unsur fitnah dan kebatilan.


Sehubungan itu, Allah telah memberi ingatan agar bersikap bijak menilai secara analitikal (analytical) ke atas sesuatu pemberitaan yang tersebar. Mungkin, pemberitaan itu adalah angkara golongan songsang yang munafik.


(Surah Al-Hujurat ayat 6)

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”


Arahan “periksalah” dalam konteks di atas adalah suatu panduan bagi setiap individu agar berfikiran skeptik dan analitik. Maksudnya, jangan cepat percaya, mudah menerima dan senang mengiya tanpa usul periksa. Maka, setiap berita perlu dinilai tarafnya sama ada disebar oleh orang mempunyai berakhlak hina, berniat buruk dan berkelakuan songsang (orang fasik).


Firman Allah lagi:


(Surah An-Nisa ayat 83)

Maksudnya: “Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (Rasul dan Ulil Amri). Kalau tidaklah karena karunia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikut syaitan, kecuali sebahagian kecil saja (di antaramu)”


Oleh itu, dalam konteks urusan berkaitan Kerajaan pula, sewajarnya setiap sebaran isu menyentuh hal ehwal urusan Kerajaan selayaknya rakyat bersikap terbuka dan sedia merujuk sebarang kekeliruan itu kepada pihak Kerajaan. Oleh itu, firman Allah di atas menyatakan peranan Uli Amri yang dimaksudkan kepada tokoh-tokoh sahabat dan para cendekiawan di antara mereka. Sekiranya, berlaku sesuatu berita tentang keamanan (Kerajaan) dan ketakutan (rakyat) hendaklah dirujuk kepada Rasul selaku Ketua Kerajaan dan dan Ulil Amri (pemimpin di kalangan rakyat), kerana pihak Rasul dan Ulil Amri merupakan mereka yang ahli yang bertanggungjasab menetapkan kesimpulan (istimbat) atas setiap berita itu.


Pengjaran besar daripada dua ayat al-Quran di atas adalah prinsip asas di dalam komunikasi awam, lebih-lebih lagi apabila merujuk kepada penyebaran maklumat menerusi media baru seperti rangakaian maya (internet atau laman sesawang). Maka, premis yang tepat bagi memahami dan menelusuri (mencari akar dan punca sebenar) sesuatu berita dan rumors ialah para pembaca hendaklah mengambil jalan analitikal dan skeptikal.


Maksudnya, setiap pembaca hendaklah menggali sedalam-dalamnya pemberitaan tersebut dengan alat-alat untuk mempersoalkan setiap inci berita itu, seperti siapa pelapor, apa hubungan pelapor dengan berita yang dilapor, dari mana sumber berita atau siapa informer, sejauh mana sifat benarnya pelapor itu, mungkin atau tidaknya pelapor dan sumber (informer) berita itu berkongsi kepentingan, apa kaitan berita atau laporan itu dengan pihak-pihak berkaitan; logik atau tidaknya berita yang disiar; kenapa guna saluran berita seperti blog atau akhbar dan pelbagai persoalan lain yang boleh dipersoalkan.


Panduan penting untuk dipakai oleh para pembaca ialah realiti peranan media baru seperti blog, portal, laman sosial, ruang sembang maya dan saluran chatting, serta surat elektronik (e-mail) atau apa-apa saluran maklumat yang pastinya mengundang kesan positif mahupun negatif.


Persoalannya, mana lebih banyak kesannya di antara positif dan negatif. Banyak pihak bersetuju, peranan media baru itu, akan membawa banyak kebaikan sekiranya berlaku perkongsian bijak maklumat (smart sharing information) antara pihak-pihak yang berkomunikasi menerusi media baru itu. Namun sekiranya ada pihak yang mengambil kesempatan, bertindak menyelitkan unsur fitnah, sudah pasti kesannya begitu buruk kepada mana-mana pihak yang difitnahkan. Maka, golongan pemfitnah itu disifatkan sebagai pembawa bahaya kepada masyarakat. Oleh itu, al-Quran telah mengingatkan kita akan ancaman golongan pemfitnah itu sebagai lebih bahaya daripada pembunuhan.

(Surah al-Baqarah ayat 191)

Maksudnya: “…dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan.”


Dalam maksud yang lain, perbuatan fitnah (melalui pelbagai jenis media) dalam konteks firman Allah di atas boleh disamakan dengan aktiviti yang menimbulkan kekacauan, seperti mengusir sahabat dari kampung halamannya, merampas harta mereka dan menyakiti atau mengganggu kebebasan amalan beragama.


Dalam konteks masyarakat pasca moden yang berorientasikan “the belief that truth is not discovered, but created,” maka, banyak perkembangan maklumat semasa berlaku begitu pantas sentiasa boleh dipersoalkan kebenarannya. Sesuai pula dengan kesibukan tugasan dan minimumnya tumpuan ke atas sesuatu kejadian menyebabkan ada pihak (individu) yang terpengaruh dengan pemberitaan atau penyebaran berita bersifat arus panas. Paparan pertama yang bersifat sensasi sudah tentu mempengaruhi persepsi dan kemungkinan darjah kepercayaan tinggi. Atas faktor kesibukan dan kurang tumpuan untuk menyiasat dan menganalisis setiap berita yang diterima memungkinkan tingginya edaran berita yang belum pasti benar. Oleh itu, realiti kesibukan dan kurang tumpuan invididu adalah sebenanrya peluang bagi pemftinah bermaharaja lela di ruang siber menggunakan media baru sebagai alat adu-domba.


Sehubungan itu, langkah membendung kejadian menyalahgunakan ruang siber dan media baru itu perlu diambil tanggungjawab bersama. Meskipun di sana terdapat juga individu yang secara sedar aktif menjalankan fitnah, diyakini golongan pemfitnah itu akan insaf dan bertaubat. Apa yang penting, kalangan pemfitnah itu diberi ingatan dan pemulihan sikap agar bertaubat. Antara saluran ingatan dan pemulihan ialah membacakan ayat-ayat al_Quran dan Hadis Nabi kepada mereka betapa besarnya amaran Allah terhadap pemfitnah.


Firman Allah,

(Surah Al-Baqarah ayat 193)

Maksudnya: Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim.”


Di sini, Allah menyamakan golongan pemfitnah sebagai musuh sehingga dihapuskan golongan itu atau diberhentikan perbuatan fitnah itu. Hal ini adalah menyamaikan dengan seruan Hadis yang bermaksud “Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah.” (Hadis riwayat Muslim).


Begitu pula Hadis yang bermaksud; “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Sehubungan dengan pemahaman dan keyakinan atas sifat pemberitaan serta pandangan ‘agama’ dalam persoalan tersebut, ada baiknya diteliti beberapa contoh isu. Tujuannya, agar masyarakat pembaca mendapat sedikit panduan bagi menilai secara analitikal dan skeptikal kedudukan isu, sama ada fitnah atau benar. Antara isu yang sesuai dilihat dan sedang berada di arus panas ialah yang melibatkan integriti pentadbiran Menteri Besar Kelantan, iaitu mengenai Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan isu cah keting.

No comments: