24 May, 2009

PENANTI: PAS PASTIKAN PAKATAN RAKYAT MENANG

Mesyuarat khas jentera pilihan raya PAS di Pongsu Seribu pada 21 Mei lepas telah memutuskan semua PAS Negeri hendaklah turun membantu memenangkan Dr. Mansor selaku calon KeADILan mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil N.12 Penanti, 31 Mei.

Meskipun penamaan calon semalam (23 Mei) menyaksikan persaingan empat penjuru - Dr. Mansor berdepan dengan tiga calon bebas; namun, Pakatan Rakyat dijangka tidak berdepan dengan cabaran hebat berikutan pihak Barisan Nasional (BN) tidak bertanding.

Berdasarkan prestasi pilihan raya umum lalu dan sokongan pengundi DUN Penanti semasa pilihan raya kecil lalu, ternyata Pakatan Rakyat mendapat undi popular 62% dan 65%. Ekoran gandingan padu jentera Pakatan Rakyat - kerjasama erat KeADILan, DAP dan PAS - sudah pasti keputusan pilihan raya kecil itu nanti amat menyakinkan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, Haji Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS meletakkan keyakinan tinggi, Dr. Mansor akan menang...

"Saya jangkakan Pakatan Rakyat akan menang, calon bebas mungkin akan hilang deposit dengan keadaan ini apabila sokongan kepada PR amat baik," katanya.

Realiti itu sesuai dengan keyakinan Dr. Mansor selaku calon yang meletakkan harapan tinggi kepada kerjasama parti-parti dari Pakatan Rakyat untuk beliau menang...

"Kita punya jentera pilihan raya dengan bantuan DAP dan PAS akan membantu dan kita yakin mampu menang pilihan raya ini," katanya.


Meskipun begitu, kemungkinan undi kumpulan pengundi UMNO tidak keluar mengundi, sementara pengundi atas pagar akan memprotes kepada calon Bebas. Kehadiran calon Bebas, seorang wanita (Aminah Abdullah), seorang Melayu (Kamarul Ramizu) dan seorang bukan Melayu (Nai Khan Ari a/l Nai Keow) sedikit sebanyak akan mengelompokkan pengundi atas pagar yang protes kepada calon-calon Bebas. Saya setuju dengan pandangan Mohamad Sabu dan Dr. Mansor, kedua-duanya relevan dalam menentukan prestasi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Penanti.


Berdasarkan itu, jika melihat kepada kedudukan sokongan pengundi yang diperolehi Dato' Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil lalu; semua daerah mengundi adalah berpihak kepada Pakatan Rakyat. Lihat jadual di bawah.


Analisis peluang

Pengaruh Pakatan Rakyat bagi DUN Penanti agak tinggi: semasa PRU DUN - 62% dan PrK – 65%. Maknanya populariti Pakatan Rakyat lebih tinggi semasa PrK (faktor Anwar). Apabila BN tidak menurunkan calon, jangkaan keluar akan merosot dan mana-mana calon Bebas dijangka mendapat simpati pengundi BN kerana menentang Pakatan Rakyat. Maka populariti Pakatan Rakyat tidak akan terjejas. Senario tersebut akan berpihak kepada Pakatan Rakyat jika mood rakyat dan momentum jentera pilihan raya berlaku dalam prestasi terbaik. Sebaliknya, jika beberapa titik bengit yang berlaku gagal ditangani, maka pola pengundian mungkin merosot sampai 10%, maka memungkin Pakatan Rakyat mencapai 55% undi popular. Walau apapun, janji kerajaan negeri Pulau Pinang untuk melantik Dr. Mansor selaku Timbalan Ketua Menteri I, sudah pasti ia memberi keyakinan, terutama kalangan pengundi Melayu di Penanti. Oleh itu, selayaknya Dr. Mansor bakal meraih undi besar, kerana di sebalik jawatan itu nanti bakal meneruskan status-quo ADUN Penanti sebelum ini dan sekaligus mengharmonikan imej kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang dianggotai majoriti ADUN Cina.


Segala ketentuan itu adalah daripada Tuhan Yang Esa, semuga kehidupan yang berbangsa-bangsa dalam suatu pemerintahan bakal mencapai keharmonian atas nama kesatuan warga negara.

No comments: