Demikian pula, kumpulan terbesar pengundi ialah pengundi dewasa yang berjumlah 25,189 orang. Jumlah ini pula, petanda yang ada menunjukkan kira-kira 60 % adalah kumpulan pengundi Melayu yang semestinya bertaraf signifiken dan penentu kepada kemenangan. Taraf ini perlu dimantapkan dengan tindakan kempen bersifat mengukuhkan sokongan pengundi teras. Namun, latar belakang pengundi dewasa yang kebanyakannya berada dan aktif dalam kawasan pilihan raya akan memudahkan tindakan kempen. Tetapi ia perlu dilakukan secara berstrategik.
Keadaan yang berbeza bagi pengundi muda yang sebahagian besar berada di luar kawasan kerana faktor pekerjaan. Maka tindakan kempen kepada pengundi muda perlu disokong oleh tahap penggunaan teknologi informasi untuk memastikan komitmen balik mengundi.
Walau apapun, demografi pengundi tetap menuntut perhatian lebih kepada kedudukan komposisi kaum yang agak besar jumlah pengundi bukan Melayu. Ini bermaksud tindakan kempen harus mengambil kira latar belakang geopolitik kumpulan pengundi tersebut. Pengaruh bandar yang agak sederhana berbanding luar bandar dan aktiviti ekonomi yang majoritinya bersifat tradisi (nelayan, pekebun dan buruh ladang serta peniaga). Oleh itu, darjah penaungan dan kebergantungan agak tinggi. Psikopolitik ini akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) menjalankan tindakan kempen secara manipulatif dan menggunakan segala kekuatan kerajaan selaku parti pemerintah.
Dalam konteks tersebut, maklumat demografi pengundi umumnya hanyalah sebagai panduan bagi membina strategi kempen yang mendatar. Tindakan kempen yang berstrategik atau bertindan-lapis tetap bergantung kepada isu-isu yang membina mood pengundi itu sendiri. Dalam aspek ini, Pakatan Rakyat (PR) memiliki kekuatan dan hubungan yang intim dengan mood pengundi ekoran daripada perkembangan politik semasa di Perak. Namun ia tetap bergantung kepada keupayaan masing-masing parti menggerakkan jentera kempen masing-masing mendekati, menguasai dan menawan pengundi Bukit Gantang.
Catatan akhir:
Sesungguhnya Tuhan Yang Esa menyediakan pahala kepada hamba-Nya yang menjayakan amal kebaikan dan mencegah keburukan. Oleh itu, setiap petugas parti yang bertanding hendaklah melaksanakan tugas kempen dengan penuh keikhlasan. Namun ke arah mana pengundi Bukit Gantang hendak dikempen. Ia harus dilihat kepada senario politik di Perak masa kini. Sekiranya BN berjaya memenangi PrK tersebut, bermakna pengundi mengesahkan usaha “membeli” tiga ADUN PR bagi membolehkan BN mengambil alih kerajaan negeri Perak daripada PR. Persoalannya pula, adakah usaha “membeli” ADUN PR akan dikira pahala di sisi Tuhan Yang Esa, dan segala usaha untuk mengekalkan mandat rakyat yang menjayakan pembentukan kerajaan PR di Perak itu akan juga mendapat pahala? Perenggan akhir ini adalah titik tolak renungan bagi menilai politik yang dibawa BN mahupun PR adalah suci dari pengaruh kebendaan-keduniaan.
No comments:
Post a Comment