03 October, 2009

Bagan Pinang: Misi menjulang calon bersih

Semangat Ramadhan perlu diteruskan ketika Syawal, malah sehingga bertemu Ramadhan nanti. Antara tuntutan semangat itu ialah kerbersihan hati dan amalan dari sebarang dosa-dosa. Antara nilai kebersihan itu ialah mengelak diri dari amalan dosa besar. Antara dosa besar pula ialah mengamalkan rasuah atas amanah rakyat ketika menjadi pemimpin. Begitu juga, di pihak rakyat perlu membersihkan diri, agar tidak terpalit dengan dosa-dosa pemimpin yang melakukan rasuah hatta tidak menjalan amanah secara bersih.

Mereka yang bakal dipilih sebagai pemimpin pula hendaklah sedia menghisab diri. Jika dirinya pernah terlibat dengan dosa-dosa, maka rasailah bahawa dirinya tidak layak untuk dipilih lagi. Pesalah rasuah adalah antara mereka yang tidak layak dipilih kerana mereka sudah tidak bersih. Justeru itu, rakyat harus menolak malah memprotes sebarang cubaan untuk menjulang pemimpin rasuah. Hakikat ini adalah suatu penegasan hukum Tuhan Yang Esa yang patut dijulang oleh semua rakyat. Lebih-lebih lagi ketika demokrasi makin matang, rakyat pun perlu matang. Ciri demokrasi matang adalah pendukungnya terdiri daripada mereka yang bersih hati budinya dan berkompromi hanya dengan peribadi pemimpin dan pendukung yang bersih dan berintegriti.

Latar falsafah sedemikian adalah 'hawa' yang harus dinikmati oleh semua pendukung demokrasi di negara ini. Ketika sidang pilihan raya kecil sudah bermula di Bagan Pinang (hari ini penamaan calon), maka semua rakyat harus berkongsi rasa dan nilai-nilai kebersihan bagi melengkapkan hiasan demokrasi mencapai kedaulatan politik rakyat sebenar. Maka, dukunglah cita-cita perjuangan mulia bagi mencipta kebersihan diri dan politik demi kebekatan Ilahi.

No comments: