16 August, 2009

PERMATANG PASIR: penentu pada pengundi atas pagar

Pilihan raya kecil N.11 Permatang Pasir akan diadakan pada 25 Ogos ini. Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) turut mengumukan hari penamaan calon (esok) 17 Ogos 2009. Sebelum ini, pada 14 Ogos (sebelah malam), Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang malam tadi mengumumkan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Mohd Salleh Man, 53 tahun (gambar kiri) sebagai calon PAS sekaligus mewakili Pakatan Rakyat untuk bersaing dengan calon BN. Salleh, seorang guru agama dan pentadbir sekolah agama, merupakan lulusan pengajian Islam dari Universiti Malaya (UM) dan dilantik sebagai Pusuruhjaya PAS Pulau Pinang tahun lalu. Beliau pernah bertanding kerusi Pinang Tunggal, parlimen Kepala Batas pada tahun 2004 dan tewas dengan 535 undi di Sungai Dua, parlimen Tasek Gelugor pada Mac 2008.

Sementara BN pula, pada hari yang sama (sebelah petang) pihak Timbalan Perdana Menteri selaku Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38 tahun (gambar kiri) sebagai calon BN. Rohaizat seorang penasihat undang-undang merupakan lulusan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Cawangan Mengkuang, Bukit Mertajam, menyertai Umno pada 1996. Rohaizat juga disebut-sebut sebagai calon yang dicadang, tetapi tidak jadi bertanding pada pilihan raya kecil Penanti, 31 Mei lepas.

Sekilas pandang, pertandingan bagi pilihan raya kecil permatang Pasir nanti akan menyaksikan persaingan antara dua kedudukan teristimewa antara dua calon. Antara yang terpenting harus diberi perhatian ialah jurang umur antara kedua-dua calon, PAS mengemukakan seorang calon pada umur pertengahan dan BN pula seorang muda. Jika asas ini dikaitkan dengan demografi pengundi Permatang Pasir yang mempunyai 37.18% pengundi muda di bawah 40 tahun, maka ia suatu kelebihan sentimen bagi calon BN. Namun, ia suatu faktor yang relatif, kerana faktor calon masih bergantung kepada mood pengundi semasa, yang masih terpengaruh dengan isu-isu kempen kedua-dua belah pihak. Tambahan pula, sebahagian besar pengundi muda adalah cenderung bersikap atas pagar. Walau bagaimanapun, dalam soal sikap politik itu kebanyakan pengundi muda dan dewasa adalah serupa sahaja, iaitu sebahagian mereka adalah bersikap atas pagar dan sebahagian lagi telah bersikap partisan (sama ada PAS atau BN). Sehubungan itu, faktor pengundi atas pagar adalah penentu utama kemenangan bagi kedua-dua calon.


Memahami pengundi atas pagar


Sehubungan itu, memahami sikap politik pengundi atas pagar adalah teramat penting. Antara sikap tersebut, adalah berdasarkan realiti berikut:

  1. tidak berpolitik atau tidak menyertai mana-mana parti politik yang bertanding,
  2. tidak menyertai mana-mana permuafakatan kalangan parti politik atau calon bertanding,
  3. mengutamakan kepentingan peribadi atas muslihat kuasa undi yang dimiliki,
  4. bersedia membuat keputusan berpihak atau mengundi selepas dilayan baik oleh calon dan pimpinan parti yang bertanding,
  5. terdorong oleh persekitaran politik semasa yang sesuai untuknya sama ada keluar mengundi atau tidak,
  6. menerima desakan mana-mana pihak agar mengundi satu-satu calon,
  7. sensitif atas sesuatu isu yang menyentuh permasalahan hidupnya, dan menyebabkan mereka bertindak secara positif (mengundi calon/parti yang diyakini) atau negatif (menentang atau bersikap tidak kisah),
  8. tiada langsung kesedaran politik untuk menyumbang kuasa undi dalam pilihan raya,
  9. tidak terdedah kepada mana-mana dasar perjuangan parti politik, menyebabkan tiada dorongan untuk memperjuangkan hak-hak nasionalisme, jauh sama sekali untuk berjuang mengikut sunah Nabi menegak syariat Islam menerusi parti Islam.


Walau apapun, besok (17 Ogos) adalah penamaan calon, maka PAS dan BN sudah pasti akan mengemukakan calon masing-masing. Mungkin bebas turut bertanding. Di atas daya usaha masing-masing parti menyertai pilihan raya kecil Permatang Pasir kali ini adalah untuk merealisasikan harapan rakyat, maka harapan kita semua, semuga Tuhan Yang Esa akan memberi rahmat kepada pihak yang benar-benar ikhlas.

No comments: