14 August, 2009

PERMATANG PASIR: BN layak menang?

Pilihan raya kecil di dewan undangan negeri (DUN) N.11 Permatang Pasir, Pulau Pinang bakal tiba. Pada 17 Ogos penamaan calon dan hari mengundi 25 Ogos. Dua tarikh tersebut adalah hari bekerja. Sudah pasti, ada parti yang akan bertanding untuk mengisi kekosongan kerusi berikutan kematian ahli dewan negeri (ADUN) di situ Dato’ Haji Mohd. Hamdan Abdul Rahman pada 31 Julai lalu. Sehingga kini, pihak Barisan Nasional (BN) melalui UMNO sudah menyatakan kesediaan untuk bertanding. Begitu pula, Pakatan Rakyat melalui PAS dijangka akan mendapat hak quota bertanding, memandangkan di DUN itu PAS sudah bertanding sekian kali.


Bagi PAS, rekod prestasi di DUN Permatang Pasir agak baik selepas pilihan raya umum 1999. Ketika itu, PAS melalui calonnya arwah Mohd Hamdan mencapai kemenangan agak besar (mencapai 62% undi popular), tetapi menurun pada tahun 2004 kepada hanya 52%. Namun, melonjak besar kepada 66% pada pilihan raya umum 2008.


Rekod kemenangan ‘hat trick’ PAS itu sebenarnya diraih melalui populariti calonnya yang sama, iaitu arwah Mohd Hamdan. Namun, itu bukanlah bermakna Permatang Pasti adalah milik PAS mutlak. Berdasarkan, kekuatan teras (hardcore supports) parti PAS di situ, ternyata sikap politik pengundi adalah tidak membayangkan kepekatan selera kepada PAS sahaja. Ternyata UMNO juga mempunyai sokongan yang utuh berbanding PAS. Begitu pula, pihak komponen BN yang lain seperti MCA, Gerakan dan MIC dikatakan juga mempunyai ahli yang berdaftar.

Menurut sumber, pihak BN kesemuanya mempunyai seramai 6,120 ahli berdaftar. Sementara pihak PAS pula, dikatakan mempunyai kira-kira 1,000 ahli berdaftar. Jika kedua-dua maklumat ini diperhitungkan kepada keputusan pilihan raya umum 1995, agak logik apabila PAS yang kalah pada masa itu, kerana PAS hanya mendapat sokongan 2,566 orang (20% undi popular), berbanding BN 8,764 (68%) dan DAP sebanyak 1,577 (12%).


Namun, selepas berlaku reformasi politik tahun 1999, undi PAS telah melonjak kepada 8,430 (62%) dan BN merosot kepada 5,236 (38%). Sebaliknya, ketika UMNO di puncak ekoran peralihan pemimpin dari Dr. Mahathir kepada Pak Lah, undi BN ketika pilihan raya umum 2004 melonjak semula kepada 48%, tetapi belum menang kerana PAS masih bertahan pada undi popular 52%.


Sehingga pilihan raya umum 2008 lalu, berlaku kebangkitan semula parti-parti pembangkang dan peranan aktif Anwar menyatukan saf pembangkang, maka PAS berjaya meraih sokongan tertinggi iaitu 66%, berbanding BN terus dirundum malang merosot lagi kepada 34%.

Jika sokongan kepada UMNO yang bertanding mewakili BN tahun 2008 itu, dibanding undi yang diperolehi 5,571 (34%), maka di sana terdapat 549 orang ahli parti komponen BN yang tidak mengundi calon UMNO. Ini sesuatu yang agak malang dalam konteks permuafakatan BN. Boleh jadi, mereka itu telah berpaling tadah dari UMNO, mahupun dari MCA, Gerakan atau MIC. Hakikatnya mereka sudah beralih sikap politiknya kepada menyokong PAS.

Jika ukuran undi diperolehi PAS pada pilihan raya umum 2004 sebagai bukti ‘sokongan teras’ , maka di sana terdapat 8,057 orang penyokong PAS. Sedangkan ‘teras’ PAS hanya 1,000 orang, maka apa yang berlaku ialah ada penyokong DAP, MCA, Gerakan, MIC dan sebahagian ahli UMNO yang mengundi PAS menyebabkan undi PAS mencecah lebih 8,000 undi.


Oleh itu, jika ditafsirkan pula kepada keputusan pilihan raya umum 2008, maka amat malang bagi BN kerana PAS yang dikatakan mempunyai ‘sokongan teras’ yang terlalu kecil itu, berupaya meraih sampai 11,004 undi. Sudah pasti undi sebanyak itu diperolehi daripada pengundi protes dan pengundi yang tidak berparti (non-partisan group). Pengundi protes ialah mereka yang tidak bersetuju dengan BN, mungkin kerana calon yang terpilih adalah tokoh yang tidak popular. Ia adalah suatu bukti betapa pemilihan calon dalam UMNO dan BN sebenarnya tidak memenuhi hasrat majoriti ahli UMNO. Maka calon UMNO sedia dicantas oleh kumpulan yang tidak bersetuju. Senario itu, turut mempengaruhi pengundi yang tidak berparti (golongan atas pagar) untuk menolak calon BN dan mengundi calon PAS.


Berpandukan analisis pola pengundian diterima oleh PAS dalam pilihan raya umum 1995, 1999, 2004 dan 2008 (di Permatang Pasir), ternyata sumbangan undi ‘bukan PAS’ agak besar. Antaranya ialah sumbangan pengundi atas pagar. Realiti itu agak standard dalam konteks pilihan raya di Malaysia, kerana kebanyakan pengundi belum memiliki kesedaran politik yang mantap berkomited dengan mana-mana parti. Sebaliknya, mereka itu lebih berminat untuk mengundi tatkala tiba musim pengundian. Sementara dorongan mengundi lebih dipengaruhi oleh persetujuan sementara atau sokongan tidak sebenar kepada parti, tetapi sokongan itu lebih kepada simpati, setuju atau terpengaruh dengan kempen seseorang calon.


Oleh itu, dalam konteks untuk memenangi sesuatu pilihan raya, asas utama perancangan untuk menang adalah keupayaan parti dan calon bertanding meraih sokongan majoriti pihak pengundi atas pagar. Premis ini berdasarkan realiti sikap politik sebahagian besar pengundi di sesuatu bahagian pilihan raya adalah tergolong kepada tiga pihak. Pertama, penyokong kerajaan (pro-establishment), keduanya pembangkang kepada pihak berkuasa (opposition) dan ketiganya golongan atas pagar yang dianggap penyokong pun tidak, pembangkang pun tidak.


Sehubungan itu, di kebanyakan bahagian pilihan raya parlimen mahupun dewan undangan negeri (DUN) adalah terdiri daripada tiga kumpulan pengundi tersebut. Dalam konteks DUN Permatang Pasir, jumlah golongan pengundi tersebut adalah sekitar 35% pengundi yang menyokong kerajaan, sekitar 35% pengundi yang menyokong pembangkang dan sekitar 30% lagi adalah pengundi atas pagar. Ini bermakna sokongan pengundi atas pagar amat penting dan menjadi penentu kemenangan kepada mana-mana calon/parti bertanding di pilihan raya kecil Permatang Pasir kali ini.


Namun, untuk memenangi hati pengundi atas pagar, parti bertanding perlu memiliki modal yang cukup. Modal paling asas adalah isu-isu yang boleh menarik perhatian dan mengalih keyakinan pengundi atas pagar untuk mengundi/tidak mengundi kepada sesuatu parti. BN dalam tempoh pilihan raya kecil Permatang Pasir ini sudah tentu akan menggarap secara serius isu-isu berkaitan dengan orang Melayu. Berdasarkan pemaparan agenda yang berlaku, nampaknya Tan Sri Muhyidin Yasin begitu serius akan menggunakan isu pengkhianat Melayu yang ditujukan kepada DS Anwar Ibrahim, isu jualan arak di Shah Alam dan krisis kepimpinan PAS dan DAP di Pulau Pinang. Oleh kerana Permatang Pasir adalah salah satu DUN dalam parlimen Permatang Pauh, sudah tentu isu-isu yang menyentuh kredibeliti Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Rakyat akan diganyang hebat, agar orang Melayu golngan atas pagar akan berpaling daripada menyokong Pakatan Rakyat. Atas agenda itu, BN layak meletakkan harapan untuk meraih kemenangan di Permatang Pasir. Mungkin bacaan strategis BN itu benar, apabila melihat sejarah Permatang Pasir sebelum 1999 adalah dimenangi BN.


Walau apapun, pemaparan agenda itu adalah membuktikan BN masih ada idea untuk lawan Pakatan Rakyat. Sementara Pakatan Rakyat pula, perlu menilai secara mendalam tindakan reaktif yang bakal diambil bagi menjawab ataupun mengemukakan isu-isu balas untuk hidangan pengundi. Mungkin roh bulan Ramadhan akan menyebelahi Pakatan Rakyat, seperti mana kenyataan Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan, iaitu bulan yang akan mendisiplinkan saf para pejuang Islam menjadi lebih kukuh dan mantap serta sukar untuk digugat. Mungkin, pihak BN cukup peka dengan nilai-nilai kerohanian ini.


Berpandukan pengalaman pilihan raya kecil yang diadakan pada bulan Ramadhan telah berlaku di Lundang, Kelantan (29 Mac 1994) menyaksikan jentera BN lemah longlai dan kecundang dengan hanya mampu meraih 35% undi popular. Pengundi atas pagar ketika itu memberi sokongan padu kepada calon PAS, Muhammad Daud Iraqi ketika itu pesara pensyarah Universiti Malaya. Senario kedupan sosio-ekonomi pengundi Lundang yang dekat dengan pengaruh urbanaisasi adalah hampir sama dengan Permatang Pasir. Ia jauh berbeza dengan Manek Urai. Atas perbezaan itu, mungkin pengundi atas pagar di Permatang Pasir akan membuat keputusan serupa dengan Lundang dan paling hampir serupa dengan Permatang Pauh.


Jika semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh, pengundi atas pagar memberi sokongan padu kepada Anwar Ibrahim, maka dalam konteks DUN Permatang Pasir, mungkin pengundi yang sama juga akan mengulangi sikap yang sama. Kecuali mereka itu, sebahagiannya tidak dapat mengundi gara-gara hari mengundi diadakan pada tengah minggu hari Selasa, hari bekerja. Maka, atas faktor tidak dapat ‘cuti’, boleh jadi suatu peluang bagi BN mendekatkan jarak undi, jika BN berjaya menggera seramai mungkin pengundi BN keluar mengundi tanpa protes.


Persoalannya, apakah sikap pengundi atas pagar di Permatang Pasir sedia berkompromi dengan BN, calon UMNO dan segala rekod lama parti itu memerintah Pulai Pinang. Segala-galanya sudah tersurat dalam lipatan sejarah, ‘Melayu Pulau Pinang’ sekian kali mencipta sejarah menobat seorang Perdana Menteri dari negeri Pulau Pinang. Namun, apakah mereka cukup puas menikmati segala hak di sebalik ciptaan sejarah itu? Pengamat politik bolehlah menyediakan kertas secukupnya untuk mencatat pola tujuarah orang Melayu yang bakal mengundi untuk masa hadapan mereka. Semuga Tuhan Yang Esa memberi ketenangan kepada semua umatnya, sesuai dengan bulan Ramadhan bulan ujian untuk semua orang beriman.


No comments: