03 August, 2009

Dari Manek Urai ke Permatang Pasir

JANGKA BN KALAH LAGI

Negara bakal berdepan dengan satu lagi pilihan raya kecil di Permatang Pasir, Pulau Pinang. Ia berlaku secara bersiri selepas Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai, Penanti dan Manek Urai. Namun suatu sejarah pula bagi negeri Pulau Pinang, yang sudah menerima dua pilihan raya kecil sebelum ini (Permatang Pauh dan Penanti), kini yang ketiga juga berlaku di tempat yang sama, di dalam parlimen Permatang Pauh. Meskipun punca dua pilihan raya kecil terdahulu adalah kerana perletakan jawatan wakil rakyatnya, namun kini puncanya kerana kematian wakil rakyat Permatang Pasir, Dato’ Hj Mohd Hamdan Abdul Rahman pada 31 Julai lalu. Ia sesuatu ketentuan Tuhan Yang Esa, maka pihak parti politik yang bersaing bakal berentap lagi meraih kuasa rakyat untuk mengisi kekosongan tersebut.


Lakaran pilihan raya kecil lepas

Berdasarkan keputusan piluhan raya kecil yang lepas, ternyata pihak BN mengalami kekecewaan memuncak berbanding Pakatan Rakyat. Justeru kerana dalam politik pilihan raya, ada pengundi yang mengundi kerana terdesak, ada yang mengundi sekadar menyatakan protes, di samping ada yang mengundi kerana sokongan sebenar. Justeru itu, penilaian secara analistik wajar dibuat, apakah pencapaian undi yang diraih adalah menggambarkan nilai pengaruh sebenar? Lihat sahaja prestasi BN di Manek Urai, apakah prestasi BN yang menerima lanjakan 6.36% itu adalah prestasi sokongan sebenar pengundi terhadap UMNO?

Pengalaman pilihan raya kecil Bukti Gantang, UMNO juga bertanding mewakili BN. Parti itu kalah agak besar, iaitu ayunan undi popular 42.51%. Namun, ayunan di peti undi teras undi Melayu adalah berpihak kepada BN berbanding PAS. Berdasarkan 8 peti undi teras Melayu (komposisi pengundi Melayu melebihi 70%), BN mendapat sokongan pengundi Melayu pada purata 52.44%, berbanding pilihan raya umum 2008 BN hanya mmperolehi 51.17% . Maknanya BN mendapat lonjakan 1.28% peratus, iaitu suatu lonjakan yang sekadar membaiki kemerosotan BN pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Ternyata prestasi BN di Buki Gantang cukup berbeza bila dibandingkan dengan Manek Urai. Di Manek Urai, kesemua sembilan peti undi merupakan kawasan teras Melayu, maka BN berjaya memenangi di lima peti undi dengan mendapat 49.69% berbanding pilihan raya umum 2008 hanya menang di sartu peti undi dengan ayunan undi popular sebanyakk 43.33%. Maknanya, BN di Manek Urai menerima lonjakan 6.36% pengundi Melayu.


Medan tempur PAS-UMNO

Sekarang, DUN Permatang Pasir bakal menjadi medan tempur keempat antara PAS dengan UMNO (selepas Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Manek Urai). Apakah BN berupaya memperbaiki prestasinya bagi membuat lonjakan undi di Permatang Pasir?

Dr. Kua Kia Soong dalam bukunya Malaysian Political Realities, melabelkan BN sebagai parti yang mengamalkan politik komunal untuk memecah belahkan rakyat. Label itu boleh dianggap benar, kerana ada banyak isu yang biasa digunakan oleh BN bertujuan memecah kesepakatan rakyat. Antaranya ialah isu-isu pembangunan dan sosio-ekonomi setempat sebagaimana berlaku di Manek Urai. Misalnya, Tan Sri Muhyiddin mendakwa (sebagaimana laporan The Star, 27 Jun 2009) bahawa “UMNO akan mempertahankan hak-hak orang Melayu, dan kedudukan raja-raja Melayu, bahasa dan Islam seperti yang ermaktub dalam Perlembagaan sampai ke titisan darah terakhir.” Sementara itu, Muhyiddin juga menegaskan bahawa pihak BN akan terus mempertahankan hak-hak kaum lain dan tidak berlakunya penindasan kepada mana-mana kaum.

Apakah jaminan dan ikrar timbalan perdana menteri itu suatu jaminan yang realistik? Ini kerana berapa ramai pemimpin UMNO yang telah berikrar sedemikian. Realiti yang terjadi, di manakah hak-hak dan kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur serta yang berada di seluruh pelusuk negara dari Perlis sampai ke Sabah. Kesemua sedang terperangkap dengan kesan mainan politik UMNO yang mengutamakan semangat BN menyebabkan Melayu terhimpit dengan kemiskinan, pejuang bahasa terpaksa turun berdemonstrasi, raja-raja Melayu sudah hilang ‘kekebalan’ di tangan bangsa sendiri, kerusi politik Melayu sudah hilang dua pertiga di parlimen, pengundi Melayu sudah hilang majoriti, usahawan Melayu terus ‘bertongkat’ dan paling malang jutaan orang belia Melayu menjadi mangsa dadah dan pil khayal.

UMNO perbodoh orang Melayu

Kesemuanya bukan salah orang lain, melainkan salah pemimpin Melayu yang berada di tampuk kuasa (pemimpin UMNO yang menunggani BN). Mereka sedia berbuat apa sahaja demi meraih kuasa dan sanggup perbodohkan orang Melayu dengan segala janji demi meraih simpati undi. Tindakan itu berlaku di mana-mana pilihan raya kecil, dan yang terbaru di Manek Urai. Sehingga orang bukan Melayu membaca gelagat pemimpin UMNO itu sebagai sentiasa ‘menggula-gula’ orang Melayu demi mendapatkan undi. Antaranya Lim Kit Siang (di dalam blognya), ketika memberi komen terhadap cara UMNO berkempen di Manek Urai baru-baru ini mengangapnya sebagai tindakan terdesak melakukan “golden offer to voters” dengan pelbagai janji pembangunan.

Persoalannya, kenapa sebelum ini UMNO yang tidak pernah ketinggalan bertanding di Manek Urai tidak membangunkan DUN berkenaan. Malah UMNO dilihat sengaja memundurkan sesuatu kawasan atau negeri tertentu. Apabila adanya pilihan raya, kemunduran itu dijadikan sebagai modal untuk terus menghimpit rakyat supaya menyokong BN. Itulah sikap sebenar pemimpin UMNO. Sekali mereka tidak berkuasa, mereka mula meracau, lalu mendakwa merekalah pejuang bangsa dan melabelkan orang lain pula pemusnah bangsa.

Pendekatan kempen kebendaan

Bagi menghalalkan tindakan tidak bermaruah itu, maka setiap kali pilihan raya mereka akan menjalankan pendekatan kempen kebendaan, iaitu pengundi akan disogokkan dengan segala kebendaan yang berumpankan wang ringgit sehingga memaksa rakyat membuat silap mengundi BN tanpa kerelaan.

Hal tersebut telah ditulis dengan baik oleh wartawan Malaysiakini (14 Julai 2009; 12:03 pm) ketika membuat liputan pilihan raya kecil Manek Urai. Menurut wartawan tersebut, “seorang lelaki warga emas yang pulang dari Kuala Lumpur untuk mengundi, memberitahu bahawa mereka menerima RM300 jika nama mereka terdapat dalam senarai tersebut sebagai elaun tambang.

“Di sebuah rumah di Sungai Peria pula kelihatan orang ramai menunjukkan kad pengenalan mereka kepada petugas di situ dan kemudian keluar sambil memegang beberapa keping wang tunai RM50.

“Tidak kelihatan sebarang logo parti politik tetapi terdapat sebuah kereta Proton Wira warna putih bersama logo Kesedar di depan rumah tersebut, tempat orang ramai beratur.
Seorang petugas lelaki yang berbaju putih memanggil nama mereka yang beratur. Difahamkan beliau merupakan tuan rumah bagi ceramah "Pentas Pemuda" di Sungai Peria beberapa hari lalu.


Sehubungan itu, pernah Ibrahim Ali dalam bukunya Dilema Neraca Retak telah membantai UMNO sebagai parti yang mengamalkan politik wang sejak dulu lagi, dan menganggap fenomena yang sudah sebati.


Jika benar dakwaan Ibrahim itu, maka punca peningkatan sokongan orang Melayu kepada BN dalam setiap pilihan raya, di mana calonnya dari UMNO adalah berkaitan dengan kejayaan sogokan wang kepada pengundi. Mungkin fenomena politik wang sesama UMNO ketika merebut jawatan (musim pemilihan dalam parti) adalah tidak mustahil akan dipraktikkan juga semasa pilihan raya. Maka kesan politik wang itu, BN berjaya meraih lonjakan undi, kerana ramai pengundi bersikap terhimpit dan terdesak malah tertipu dengan janji dan politik wang. Lalu munculnya kesimpulan ‘bodoh’ pemimpin UMNO dalam mengulas peningkatan undi BN di Manek Urai itu sebagai petanda kebangkitan semula “gelombang biru” di seluruh negara. Sedangkan, hakikatnya bukan semua orang Melayu mudah tertipu dengan pendekatan kempen kebendaan BN itu. Atas sebab itu, BN kecewa kerana masih kalah di Manek Urai.


BN berjaya tambah undi

Sebenarnya, dalam konteks prestasi BN di Manek Urai, mereka boleh berbangga kerana berjaya menambah undi sebanyak 889 dan pada masa sama berjaya mengurangkan undi PAS sebanyak 398. Nilai prestasi itu adalah pertamanya, BN berjaya mengekalkan undi yang dicapai pada pilihan raya umum 2008 sebanyak 4,394; kedua, meraih undi baru 889; dan ketiganya, mengurangkan sebanyak 398 undi PAS. Mungkin undi baru BN (889) itu sebenarnya sudah termasuk 398 undi yang disumbangkan oleh sikap beralih arah penyokong PAS akibat asakan kempen BN. Maka upaya kempen kebendaan BN di Manek Urai yang begitu bergema dapat dinilai dari segi angkanya hanyalah bernilai 889 undi sahaja. Angka itu adalah bersamaan dengan 7.23% sahaja daripada keseluruhan 12,293 pengundi.


Jalan sukar bagi BN

Berpandukan nilaian prestasi kempen kebendaan BN yang bergema di Manek Urai itu, apakah di Permatang Pasir, Pulau Pinang nanti akan terjadi trend yang sama? Mungkin ramalan awalnya, kita boleh katakan tidak. Ini kerana Permatang Pasir berlainan dengan Manek Urai. Kelainannya boleh dilihat dari segi sosio-budaya, komposisi pengundi dan latar belakang politik. Dari segi sosio-budaya Permatang Pasir adalah lebih hampir kepada pengaruh urbanisasi, komposisi pengundi pula agak pelbagai kaum dengan Melayu 72.82%, Cina 25.99 dan India 1.19%, dan latar belakang sosio-politiknya banyak dipengaruhi oleh nilai-nilai psikologi orang Melayu yang sekian lama berlindung di bawah bumbung kerajaan BN yang kini sudah beralih ke bumbung Pakatan Rakyat.


Berdasarkan tiga kelainan tersebut, pihak BN tidak boleh meletakkan pendekatan kempen kebendaan yang digemakan di Manek Urai akan mendapat sambutan oleh pengundi di Permatang Pasir. Sikap berdikari pengundi Permatang Pasir sudah bermula sejak tiga pilihan raya lepas (1999, 2005 dan 2008) setelah sanggup memilih wakil rakyat dari PAS, munculnya undi penentu bukan sahaja kalangan pengundi atas pagar Melayu, tetapi juga 26% pengundi Cina adalah ayunan utama kemenangan. Malah, pengundi Permatang Pasir sebelum ini sudah membuat dua kali keputusan menolak BN dalam jarak terdekat (pilihan raya umum 2008 dan pilihan raya kecil Permatang Pauh). Maka, kesan psikologi ini bakal ‘meracau’ pendekatan kempen kebendaan BN untuk mendekati pengundi.


Walau apapun, keputusan dua pilihan raya lalu itu adalah penegasan mutlak pengundi Permatang Pasir yang hanya sekitar 34% sahaja daripada 20 ribu pengundi memilih BN. Kedudukan itu jauh berbeza dengan pengaruh BN di Manek Urai, kerana BN sudah mempunyai 43% sokongan pengundi. Oleh itu, agak sukar bagi BN meraih kemenangan di Permatang Pasir, kerana BN terpaksa mengawal 34% sokongan teras, sekaligus melakukan kempen meraih bagi menguasai 16% lagi undi strategik. Sekiranya BN boleh melakukan kempen mengawal dan meraih itu secara bersepadu, barulah kedudukan persaingan undi bakal mencabar strategi kempen Pakatan Rakyat. Ini kerana, pihak Pakatan Rakyat akan terus mengutamakan kempen berkubu bagi mengawal sokongan 66% pengundi yang mengundi PAS dalam pilihan raya lepas.


Membina mood pengundi

Namun, perkiraan utama kempen bagi BN mahupun Pakatan Rakyat ialah bagaimana untuk menguasai sikap pengundi. Ini bermakna, strategi kempen masih bergantung kepada sejauh mana upaya masing-masing ke arah membina mood pengundi. Maka, di sana terdapat beberapa isu politik yang berupaya membantu isu-isu kempen bagi kedua-dua pihak.


Dalam konteks Pakatan Rakyat dijangka akan menghadapi senario defensif dengan kemelut penduduk Kampung Buah Pala, di samping beberapa isu hubungan dalaman sesama parti Pakatan Rakyat yang melibatkan kepentingan orang Melayu di negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat.


Pihak BN pula dijangka akan melakukan tindakan ofensif melalui beberapa isu spesifik prestasi kerajaan negeri Pakatan Rakyat, termasuk isu-isu peribadi Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan terus digemakan memandangkan Permatang Pasir adalah DUN di dalam parlimen Permatang Pauh. Tidak ketinggalan, pihak BN akan terus menguar-uarkan prestasi 100 hari Dato’ Seri Mohd Najib selaku Perdana Menteri. Retorik petunjuk utama prestasi (KPI) akan didendangkan secara sepadu oleh media utama milik BN. Begitu pula, pihak polis sudah pasti dikerah lebih awal untuk mengumpul maklumat, di samping seperti biasa jutaan ringgit akan dibelanjakan untuk penempatan polis berkhemah di dalam kawasan pilihan raya. Mengiringi pihak polis ialah semua agensi kerajaan pusat yang berkaitan dengan ‘delivery system’ akan dikerah supaya mengenal pasti kumpulan pengundi tertentu untuk dijadikan sasaran. Ia suatu langkah bagi membolehkan menteri dan jentera kempen BN mendekati dan mengikat mereka agar mengundi BN. Kesemua pendekatan kempen BN itu adalah strategi ampuh demi membina mood pengundi agar menolak Pakatan Rakyat.


Semangat Ramadhan

Walau apapun, kempen pilihan raya kecil Permatang Pasir nanti dijangka berlaku dalam musim umat Islam menyambut Ramadhan. Sudah pasti semangat Ramadhan yang merupakan bulan ibadat itu akan meredakan sedikit sebanyak dendangan retorik BN, mahupun terjahan panas para penceramah kedua-dua belah pihak. Mungkin bagi PAS kempen ketika bulan Ramadhan akan memberi kelebihan. Berdasarkan pengalaman pilihan kecil Lundang, Kelantan pada awal pemerintahan PAS dulu, natijahnya PAS mencapai kemenangan dan BN di pihak yang kecewa.


Penutup

Apa yang pasti, pilihan raya kecil Permatang Pasir kali ini adalah suatu medan yang getir bagi BN dan Pakatan Rakyat. Bagi BN, sudah pasti inilah peluang bagi UMNO membuktikan pengaruh yang masih kental di kawasan majoriti Melayu. Sementara bagi Pakatan Rakyat pula, menjadi tanggungjawab bersama untuk terus mempertahankan penerimaan majoriti rakyat yang sudah menolak BN. Pilihan raya kecil Permatang Pasir bakal memberi jawapannya.

No comments: