27 July, 2009

MEMAHAMI ‘SALAM’ MENTERI BESAR KELANTAN

Berita Minggu (26 Julai 2009) menyiarkan paparan headline ‘Nik Aziz hulur salam’, sementara Berita Harian (27 Julai 2009) selanjutnya menyambung lagi nilai political commercial dengan paparan headline menyosong dari yang kelmarin, ‘UMNO positif syor Nik Aziz’. Jelas dan realistik, di sebalik paparan tajuk besar/muka depan akhbar kawalan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu memberi makna besar dari segi isu dan kesannya kepada pembaca. Ia sudah bertukar persepsi, dari isu asalnya adalah berpunca daripada kenyataan yang cuba menterjemahkan makna ‘federalisme’ kini telah bertukar kepada persepsi politik kepartian.


Jika isu (seperti paparan Berita Harian 27, Julai itu) itu dikorek dengan tajam, sudah pasti puncanya adalah sebagaimana laporan Bernama (25 Julai 2009; 13:57 pm) yang merungkaikan natijah Tuan Guru Nik Abdul Aziz atas kapasiti sebagai Menteri Besar Kelantan telah menzahirkan gaya dan seni pentadbirannya dalam konteks “membina jambatan” antara Negeri dengan Persekutuan. Sebagaimana dipetik dari Bernama tersebut, Tuan Guru menegaskan bahawa sebelum ini kerajaan negeri tidak pernah pun menganggap kerajaan pusat sebagai musuh, tetapi hanya sebagai lawan dalam mempertahankan perjuangan ideologi politik masing-masing.


Namun, konteks sebenar itu telah diterjemahkan secara licik oleh pihak media, termasuk Bernama telah melakukan tindakan minded spinning, berikutan (27 Julai 2009; 22:54 pm) tersiarnya respon Dato’ Mustapa Mohamed selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan yang dilaporkan berkata, “BN dan UMNO Kelantan khususnya bersikap terbuka dan sememangnya tidak mahu perbezaan dan perjuangan politik menjadi pemisah yang memecahkan umat Islam dan orang Melayu. Maka, respon Mustapa itu telah meletakkan isu ‘salam’ Tuan Guru tersebut sebagai isu politik kepartian antara PAS dengan UMNO, bukan lagi antara kerajaan dengan kerajaan. Logiknya minded spinning yang dicetuskan Bernama dan Mustapa itu adalah bermotifkan political impact ke arah mengalih pemikiran khalayak daripada isu-isu negatif yang dialami kerajaan BN hari ini. Ini kerana sepanjang bulan Julai ini, setidak-tidak telah berlaku isu-isu besar yang merundum moral kerajaan BN, antaranya kekalahan tipis BN di Manek Urai (mengabsahkan BN sudah tidak popular di kalangan orang Melayu), isu kematian luar dugaan mangsa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia – SPRM – (yang mendedahkan penderaan pihak berkuasa kerajaan BN ke atas exco kerajaan Selangor menggunakan SPRM), dan isu ulangtahun ke-50 undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri – ISA – yang bakal disambut secara perhimpunan rakyat anti-ISA pada 1 Ogos (yang dijangka menggugatkan integriti kepimpinan kerajaan BN yang kononnya mendahulukan hak rakyat, sedangkan sekian lama menzalimi hak rakyat).


Meskipun begitu, cara olahan media milik kerajaan BN (seperti mana Bernama dan Berita Harian) tersebut, apa yang harus difahami adalah maksud jelas cetusan ‘salam’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang terlerai semasa majlis prapelancaran Kelantan Fiesta 2009 di Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu.


Mungkin bagi memahami cetusan Tuan Guru itu adalah dengan menilai rekod pentadbiran beliau yang sekian lama (sejak 1990 lagi) boleh dianggap cukup bergaya dan tersirat seni yang cukup halus dalam menjalin hubungan harmoni antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat, sehingga setiap cabaran dalaman dan luaran mampu ditangani dengan bijaksana. Jika merenung kepada beberapa detik sejarah hubungan itu, antara paling kritikal ialah sikap tegas Tuan Guru dalam soal meluluskan Enakmen Hudud, meskipun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri pada masa itu menyindir dengan pelbagai persepsi buruk terhadap hukum hudud. Tetapi, Tuan Guru boleh bersama Tun Dr. Mahathir semasa pembukaan rasmi Jambatan Sultan Ismail Petra di Tendong. Begitu pula, ketika Tun Abdullah selaku Perdana Menteri berbangkit penolakan secara total Tuan Guru terhadap konsep Islam Hadhari yang dimomokkan sebagai menyimpang daripada ajaran Islam. Namun, pihak Tuan Guru boleh berada sepentas dan seganding dengan Abdullah ketika pelancaran projek Koridor Ekonomi Pantai Timur – ECER – pada saat hampir dengan pilihan raya umum 2008. Demikian pula, sifat terus terang dan berhemah gaya dan seni pentadbiran Tuan Guru ketika mengulas dan menjawab isu-isu hubungan kerajaan negeri-pusat ketika persidangan dewan negeri turut menginsafkan Mustapa Mohamed sewaktu menjadi ketua pembangkang dewan negeri Kelantan (selaku ADUN Air Lanas, sesi 2004), terpaksa mengaku betapa beliau adalah antara pemimpin UMNO Kelantan yang menyekat beberapa peruntukan pembangunan untuk rakyat Kelantan semasa beliau berada di Kementerian Kewangan!


Sehubungan itu, amat logik pula bagi kali ini Tuan Guru sekali lagi mempamerkan realiti gaya dan seni pentadbirannya demi meraih ‘kemenangan untuk rakyat Kelantan’ pada kesempatan kepemimpinan Dato’ Seri Mohd. Najib, Perdana Menteri. Ia juga bertepatan dengan slogan kepemimpinan perdana menteri, “satu Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.” Maka, pendekatan cetusan ‘salam’ Tuan Guru adalah suatu ajakan kepada semua pemimpin kerajaan negeri dan kerajaan pusat untuk bertindak atas nama Kelantan adalah satu Malaysia. Justeru itu, segala-gala konteks ‘federalisme’ yang bersangkutan sejak merdeka dan terpacak kuat di dalam Perlembagaan Persekutuan harus diutamakan.


Mehamami realiti tersebut, maka menjadi tugas besar pemimpin kerajaan BN untuk menterjemahkan ‘salam’ Tuan Guru mengikut persepsi dan kandungan perlembagaan, bukannya mengikut citarasa politik kepartian. Ini kerana banyak isu-isu 'federalisme' dari perlembagaan semacam dilengah-lengah, malah dikebelakangkan dan tidak didahulukan. Akhirnya rakyat Kelantan kekal sebagai mangsa penderaan atas hak dan keistimewaan. Sehubungan itu, beberapa aspek kandungan perlembagaan harus diberi perhatian. Di antara kandungan tersebut adalah:


· Bab 3, Perkara 82, mengenai pembiayaan perbelanjaan yang berhubungan dengan perkara dalam Senarai Bersama maka hendaklah diambil tindakan di bawah Perlembagaan, seperti ceraian (a) mengenai komitmen Persekutuan (kerajaan pusat) atau ceraian (b) mengenai komitmen Negeri (kerajaan negeri).

· Bab 5, Perkara 92, berkaitan rancangan pembangunan Negara adalah menjadi tanggungjawab untuk mengadakan rancangan pembangunan termasuk mengadakan peruntukan modal, membayar balik kepada Persekutuan atau membayar kepada Negeri bagi negeri yang terlibat dengan rancangan pembangunan tersebut.

· Di bawah tajuk Majlis Kewangan Negara, Perkara 108, fasal 1 hingga 5 telah dinyatakan peranan yang harus dimainkan oleh kerajaan Persekutuan (kerajaan pusat) bagi memastikan kerajaan negeri menerima peruntukan kewangan yang seadanya. Ia melibatkan juga tanggungjawab memberi pinjaman, pemberian kewangan dan pembuatan rancangan pembangunan oleh kerajaan Persekutuan kepada atau ke atas kerajaan negeri.

· Di bawah tajuk pemberian kepada Negeri pula, dengan terang dinyatakan dalam Perkara 92, fasal 1 mengenai pemberian ikut kepala dan pemberian penyenggaraan jalan Negeri kepada kerajaan negeri berpandukan Bahagian I, Jadual Kesepuluh dan Bahagian II, Jadual Kesepuluh.

· Di bawah tajuk penyerahakkan cukai dan fi kepada Negeri, turut dinyatakan dalam Perkara 110, fasal 1 hingga 5 yang termasuk sama berhubung hak menerima perkadaran duti eksport atas mineral termasuk minyak.

· Di bawah Jadual Kesembilan turut dinyatakan Senarai Bersama yang menjadi tanggungjawab Persekutuan dan Negeri yang tidak boleh tidak memerlukan komitmen kerajaan Persekutuan memajukan tugas-tugas khusus jabatan di negeri-negeri. Antaranya dalam perkara kebajikan masyaraakat, memajukan penternakan, saliran, perumahan, biasiswa dan perancangan bandar dan desa, kebudayaan dan sukan serta pemeliharaan warisan.


Sehubungan dengan parkara-perkara perlembagaan itu yang bersangkutan dengan hak Persekutuan dan hak Negeri, maka di sana terdapat banyak isu-isu yang tertangguh, belum selesai dan perlu komitmen antara dua pihak state (kerajaan negeri-persekutuan) yang berkuasa.


Bagi pihak Tuan Guru Menteri Besar Kelantan, sudah pasti sedia mencetuskan salam untuk perdana menteri agar memberi perhatian atas beberapa isu yang menjadi tugas beliau untuk segera atau diutamakan/didahulukan. Antara yang kritikal adalah melibatkan penunaian hak negeri Kelantan menerimah wang royalti minyak yang sudah sekian lama termeterai perjanjian (sejak tahun 1975) antara Petronas dengan kerajaan negeri. Realiti ini telah disokong oleh Tengku Razaleigh sendiri selaku bekas Pengerusi Petronas yang terlibat dengan perjanjian tersebut (sebagaimana lapor The Malaysian Insider, 27 julai 2009).


Demikian juga, janji mantan Perdana Menteri Tun Abdullah, kerajaan BN sedia membina jambatan kedua merentasi Sungai Kelantan di Kota Bharu adalah tugas yang harus disempurnakan kerana ia telah termaktub di dalam perlembagaan. Ia juga sebagai suatu projek ‘balas budi’, memandangkan kerajaan PAS sebelum ini telah membina Jambatan Sultan Yahya Petra melengkapkan jalan persekutuan menghubungkan Kota Bharu dengan Tumpat dan Pasir Mas.


Sehubungan itu, rakyat Kelantan tidak sepatutnya terkeliru dengan janji-janji berbau politik ketika atau semasa musim pilihan raya. Maka, seharusnya tidak berbangkit rakyat boleh beralih ‘arah’ apabila dijanjikan jambatan di Manek Urai Lama, sedangkan di situ terletak dalam kawasan pembangunan Kesedar (di bawah Persekutuan) yang memang tugas kerajaan persekutuan menyediakan segala-gala prasarana untuk rakyat di situ. Oleh itu, tidak berbangkit kerajaan negeri mengkebelakangkan pembangunan untuk rakyat, kerana tugas membangunkan negeri ini adalah tugas bersama negeri dan pusat.


Maka, di sebalik projek-projek atau komitmen yang belum selesai itu, adalah logik bagi Tuan Guru Menteri Besar Kelantan menghulurkan ‘salam’ berbaik-baik dengan kerajaan pusat, demi menyelesaikan kesemua urusan rakyat dan kerajaan negeri. Sehingga kini, berlaku banyak perkara red-tape dan karenah birokrasi di sebalik hubungan antara negeri dengan pusat. Namun, hasil keberkatan dan amalan berintegriti kepemimpinan kerajaan negeri, bermula dari menteri besarnya bersama saf exco dan setiausaha kerajaan serta para pegawainya, hakikatnya ia telah berupaya melaksanakan pentadbiran dalam suatu perjalanan yang selamat, meskipun berhemat.


Dalam konteks, persetujuan dengan ‘salam’ Tuan Guru bersandarkan kepentingan rakyat dan negara serta negeri Kelantan, adalah menjadi harapan kita semua agar persoalan, permasalahan dan nilai-nilai politik pentadbiran yang berbangkit dalam perlembagaan tersebut dapat dirungkaikan melalui rundingan antara kedua belah pihak. Semuga ia juga dapat dijadikan resipi perbincangan sebagaimana janji Tan Sri Muhyiddin (Berita Harian, 27 Julai 2009) untuk membawa perkara ini kepada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO. Apa yang kita harapkan selepas itu, keputusan MT bakal menjadi panduan untuk kabinet kerajaan BN pimpinan Mohd Najib melaksanakan ‘salam’ Tuan Guru Menteri Besar Kelantan tersebut. Agar terlerai segala kekusutan melalui lakaran wajah politik baru dan terbina jambatan kukuh menghubungkan kerajaan negeri pimpinan PAS dengan kerajaan pusat pimpinan BN.


Sama-sama berdoa agar Tuhan Yang Esa merestui setiap salam ukuhuwah hamba-Nya, demi kebaikan umat-Nya jua. Amin.

No comments: