Hari Guru diingati setiap 16 Mei. Ia mengingatkan kepada pengalaman setiap orang kepada laluan pendidikan peribadi masing-masing semasa belajar di sekolah. Mahupun mereka yang sedang atau pernah pernah berkhidmat sebagai guru, maka tidak terkecuali mereka akan menobatkan bidang perguruan adalah bidang profesional yang melahir ribuan profesional. Sesungguhnya, guru adalah gerbang pendidikan yang banyak mencipta sejarah peribadi, hatta anak warga Negara.
Kehebatan 16 Mei tetap menjadi kenangan agung peribadi saya, kerana bidang perguruan adalah pekerjaan pertama selepas mencapai ijazah pertama dari Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi, tahun 1984. Berbekalkan pengalaman perguruan, saya bersama-sama kawan: Zainoddin dan Mazlan, adalah rakan satu universiti juga memiliki pengalaman pekerjaan pertama sebagai guru telah berpakat menubuhkan pusat tuisyen pertama ‘berhawa dingin’ di Kota Bharu: Pusat Tuisyen Anda yang diurus secara perniagaan. Kemudian ditubuhkan sekolah swasta dan ditukar nama sebagai Institut Anda. Selepas tahun 1989, kami bertiga telah bertukar profesion: Zainoddin menjadi usahawan pengedar Ricoh dan kertas, Mazlan menjadi usahawan kilang perabot, dan saya memilih bidang politician. Maka masing-masing kami telah meninggal bidang perguruan, namun ia tetap mengukir kenangan dan pengalaman indah yang turut mematang kehidupan kami. Antaranya, kami bertiga secara kebetulan telah memilih guru sebagai pasangan hidup: isteri yang mempunyai sifat keibuan terpuji sesuai dengan jiwa pendidik yang merupakan pengurus sumber manusia ke arah membina tamadun Negara!
Sesungguhnya, segala perjalanan hidup adalah tersirat di bawah qadha’ dan qadar Tuhan Yang Esa. Saya dijadikan seorang yang mengenali guru, mengalami bidang perguruan dan amat memahami pengorbanan seorang guru. Sesuai dengan semangat Hari Guru 16 Mei, saya mendoakan kebahagian dan kejayaan hidup kepada semua guru-guru, terutama guru (begitu ramai untuk disebutkan) yang pernah menyumbang kejayaan mendidik saya! Jasa kalian adalah permata berkilau yang terus menyinari alam ini.
1 comment:
Tuan,
Pengalaman & alam luas juga adalah guru. Merasai denyut nadi rakyat, mendahulukan rakyat, perlukan guru. Manakala guru itu mestilah benar dan betul ilmunya, tulus hati dan kaya akal budinya.
Jika tidak jadilah kau anak yang kepalang ajar.
Dapatkah kau rasai denyut nadi rakyat andai bergurukan nafsu dan syaitan?
Post a Comment