17 September, 2008

Ulang tahun ke-1,439 NUZUL AL-QURAN

17 Ramadhan 1429H

Firman-Nya:
Al-Baqarah ayat 185, bermaksud: (Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Tahun ini sudah 1429 tahun Nabi Muhammad SallalLahu ‘alaihi wasallam (SAW) berhijrah dari Mekah al-Mukarramah ke Yathrib – lalu Yathrib dikenali dengan Madinah al-Munawwarah. Sebelum itu, selama 10 tahun Nabi Muhammad telah menerima amanah sebagai nabi dan rasul dan berdakwah di Mekah. Ini bermakna tempoh lamanya (usia) al-Quran diturun ke pengetahuan manusia (pertamanya diterima oleh Nabi Muhammad) dengan ayat mula-mula turun ialah al-Iqra’ yang kemudian dikenali surah al-Alaq, sudah 10 tahun di Mekah kemudian ditambah pula tempoh permualaan tahun Hijrah sekarang sudah 1429 tahun, maka usia al-Quran diturunkan sudah mencecah 1439 Hijrah. Ini adalah perkiraan ‘orang awam’ mengenai usia al-Quran lahir ke muka dunia.
Al-Alaq ayat 1-3, bermaksud: Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.

Meskipun demikian, ayat-ayat al-Quran sesungguhnya adalah ‘kalam Tuhan’ yang sedia ada di ‘arays’ diturunkan dari 'luhmahfoz' dan dibawa malaikat Jibrail ‘alaihimussalam ke alam dunia; untuk “menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Maka kandungan kepada keseluruhan al-Quran itu adalah mengajak manusia dan makhluk ciptaan-Nya ke arah keimanan dan ketaqwaan yang perlu direalisasikan melalui cara hidup berteraskan ‘hablun minalLah’ dan ‘hablun minannas’; manusia diasuh melalui al-Quran untuk menguruskan cara hidup berteraskan tanggungjawabnya terhadap Tuhan yang Esa dan mengurus cara hidup berteraskan tanggungjawab sesama manusia. Itulah al-Quran yang sebenarnya adalah perlembagaan hidup yang lengkap telah disediakan oleh Tuhan yang Esa sebagai panduan manusia. Maka selamatlah manusia itu apabila istiqomah (tidak berganjak/berdiri tegak/mencangcang teguh/melurus hati) dengan semua ayat-ayat al-Quran. Sesungguhnya firman-Nya:

Al-Baqarah ayat 2, bermaksud: Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

Sesuai dengan realiti keimanan dan ketaqwaan yang harus dicapai oleh semua manusia, maka sempena dengan mengingati Ramadhan al-mubarak sebagai bulan nuzul al-Quran, marilah kita semua kembali kepada fitrah (kehidupan natural life berteraskan kehendak Tuhan yang Maha Esa); sedia berjuang di atas kebenaran al-Quran - meruntuhkan segala kemungkaran dan menegakkan kemaarufan, menghancurkan thoghut dan membina kemurniaan iman dan taqwa. Masing-masing pihak, termasuk pemimpin di dalam kerajaan haruslah bermuhasabah peranan dan komitmen peribadi serta jamaah/parti; apakah yang dilakukan itu telah selari/tidak selari dengan ajaran al-Quran. Dalam hal sedemikian, tidak memadainya jika ajaran al-Quran iu sekadar dibaca pada bulan Ramadhan, ditadarus (dengan memahami makna); ditilawahkan dengan penuh kemerduan dan ritualisme, disanjung dengan kata-kata bermadah, dan nukilkan secara simbolik di atas rehal bertatah emas sekalipun; sedangkan dasar-dasar hidup bermuamalat dan bernegara masih terlekat dengan dasar-dasar yang berpandukan pemikiran manusia yang tidak mengerti makna dan roh al-Quran!!

Muhasabahlah, fikirlah, renungilah dan mengakuilah bahawa keimanan dan ketaqwaan kita berada pada rating ke berapa!! Seharusnya kita berusaha untuk mencapai rating pertama/terbaik. Semuga kita semua mendapat kejayaan di dunia dan kebahagiaan berkekalan di akhirat.
Amin.

No comments: